Oleh Wartawan Harakah
PADANG BESAR, 9 Ogos - Langkah tiga sayap Umno Bahagian Padang Besar yang tidak mahu ahli merekamenghadiri program ceramah Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dijadualkan di Beseri pada 26 Ogos ini jelas menujukkan tiadanya amalan demokrasi dalam parti tersebut.
Setiausaha PAS Kawasan Padang Besar, Ustaz Yahya Ahmad menyifatkan Umno tidak mempunyai sifat keterbukaan sehingga sanggup mengongkong ahli mereka sedemikian.
"Sebagai parti yang sudah lama memerintah, mereka sepatutnya bersifat lebih matang dan terbuka, apatah lagi yang itu adalah orang lama parti yang dahulunya mereka sanjungi. Tambahan pula Tun Mahathir masih lagi ahli Umno," katanya.
Media minggu lalu melaporkan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Padang Besar menasihatkan ahlinya agar tidak menghadiri program ceramah Tun Mahathir.
Alasan yang diberikan ialah tidak sesuai diadakan ketika ini kerana khuatir pihak tertentu mengambil kesempatan untuk kepentingan politik mereka termasuk di kalangan parti pembangkang.
Ustaz Yahya melihat ketiga-tiga sayap Umno itu cuba menghalang ahlinya daripada hadir ke majlis tersebut kerana takut mereka mengetahui isu-isu yang bakal disebut oleh Tun Dr Mahathir.
"Banyak isu yang ditimbulkan Tun Mahathir sejak kebelakangan ini menjadikan pimpinan Umno gusar. Jadi mereka tak mahu ahli di peringkat bawah tahu. Ini belum dengar dah sekat, mana ada demokrasi?,"tambahnya.
Katanya lagi, PAS Perlis bergerak di atas kekuatannya sendiri dan bukan hanya bergantung kepada isu semata-mata.
"Kita tidak terlibat langsung dalam masalah dalaman Umno dan tidak pernah menangguk di air yang keruh," tegasnya
No comments:
Post a Comment