KANGAR, 17 Ogos - Kejadian Majlis Perbandaran Kangar (MPK) disita semalam menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai, sama ada pemimpin politik mahupun masyarakat. Rata-rata menganggap kejadian ini amat memalukan dan menjatuhkan imej negeri Perlis.
Semalam, MPK disita selama dua minggu berikutan kegagalan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tersebut melunaskan ganti rugi termasuk faedah dan kos sebanyak lebih RM6 juta kepada sebuah firma pemaju perumahan.
Sebelum ini Buletin Utama TV3 menyifatkan kejadian ini sebagai suatu yang di luar kebiasaan apabila PBT disita.
Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin berpendapat campurtangan politik yang berlebihan menjadikan pengurusan MPK berkecamuk.
"Apabila berlakunya campur tangan politik, maka banyak peraturan yang ditetapkan dilanggari. Banyak benda tak dapat dilaksanakan dengan sempurna," katanya.
Beliau berharap agar satu kaedah penyelesaian segera dicari agar MPK dapat berfungsi sebagi sebuah PBT yang berkesan memandangkan sumber utama kewangan mereka bergantung kepada kerajaan negeri.
"Kerajaan negeri perlu bertanggungjawab mencari sumber kewangan untuk MPK agar kejadian seperti ini tidak berulang," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Parti KeADILan Rakyat Perlis, Nordin Johan menyifatkan kejadian ini sebagai amat memalukan.
Katanya, beliau kesal dengan kejadian ini serta hairan mengapa sebuah PBT yang sepatutnya berfungsi menaikkan imej negeri Perlis boleh dikenakan tindakan sedemikian.
Nordin meminta agar pihak pengurusan MPK dan kerajaan negeri dipertanggungjawabkan sepenuhnya di atas kejadian ini.
"Imej kerajaan negeri dan Menteri Besar kini berada di tahap paling rendah. Mereka perlu mengambil tanggungjawab untuk memulihkan semula imej yang tercalar," tegasnya.
Abang Din, seorang peniaga yang ditemui melahirkan rasa terkejut apabila mendengar berita ini dan menganggap kejadian sebagai dunia sudah terbalik.
"Biasanya mereka yang menyita orang, tapi kini mereka pula disita," katanya.
Sementara itu, seorang pemimpin Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang tidak mahu namanya disiarkan menyeru agar satu rombakan dibuat ke atas pengurusan MPK.
"Perlis adalah negeri dalam bandaran atau dalam erti kata lain seluruh Perlis adalah di bawah jagaan MPK, jadi sewajarnyalah mereka mempunyai satu sistem pentadbiran yang berkesan," katanya yang juga seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi.
Manakala seorang imam masjid di Simpang Empat yang ditemui pula berpendapat bahawa pentadbiran MPK dilihat tidak berwibawa di samping tidak mempunyai perancangan yang baik untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan mereka.
Katanya lagi, MPK perlu mempunyai misi dan visi jangka panjang yang tersusun untuk menambahkan kantung mereka di samping muncul sebagai satu PBT yang berkualiti.
Alamat Baru Kami
Friday, August 18, 2006
Petikan Harakahdaily