Kitab suci bukan untuk perhiasan
Petikan : Berita Harian
KANGAR: Umat Islam disaran menjadikan al-Quran sebagai panduan dan rujukan hidup serta benar-benar menghayatinya untuk memastikan kehidupan mereka cemerlang, gemilang dan terbilang.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata al-Quran tidak harus disimpan atau hanya dijadikan bahan bacaan saja.
Sebaliknya, kata beliau, umat Islam perlu menghayati dan menjadikan al-Quran sebagai sumber kekuatan yang dinamik yang diyakini mampu menangani pelbagai masalah yang dihadapi dalam masyarakat.
"Paling penting memastikan tidak wujud fenomena di mana umat Islam atau generasi akan datang menjadi masyarakat jumud dan lesu sebaliknya menjadi generasi al-Quran yang mantap keimanannya dan berjaya setanding dengan bangsa lain di dunia ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan dan penyampaian hadiah Majlis Menghafaz al-Quran peringkat negeri Perlis 1427/2006 di Dataran Jubli Emas, di sini, kelmarin.
Teks ucapan beliau dibacakan Speaker Dewan Undangan, Sulaiman Che Shafie.
Seramai 21 peserta dari seluruh negeri menyertai majlis menghafaz al-Quran peringkat negeri itu bagi kategori juzuk satu hingga lima, juzuk satu hingga 15 dan juzuk satu hingga 30.