Sidang DUN Perlis tunda 4 kali
Oleh Bashir Ishak
Kategori : Berita
KANGAR, - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang sepatutnya bersidang pada 17 April baru-baru ini ditunda lagi atas sebab-sebab yang kurang jelas.
Ini merupakan kali keempat pesidangannya ditunda, demikian jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang, Ustaz Hashim Jasin.
"Pada awalnya DUN dijangka bersidang pada 25 April, minggu lalu dipindahkan ke hari Rabu (12 April). Beberapa hari sebelum itu dipindahkan ke hari Ahad 16 April pula," katanya.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis menjelaskan bahawa dua hari sebelum sidang, beliau mendapat panggilan telefon bahawa ianya ditunda ke hari Isnin 17 April pula.
"Kemudiannya mereka telefon lagi untuk memberitahu bahawa tarikh DUN bersidang diubah kembali ke 25 April ini," jelasnya.
Ditanya tentang kertas-kertas dewan yang selalu dihantar lewat, Ustaz Hashim menjelaskan bahawa beliau sudah tidak kisah kerana perkara tersebut memang selalu berlaku.
"Saya dah tak mahu kata apa-apa lagi, memang macam tu setiap kali DUN akan bersidang," jawabnya.
Pada sidang yang lalu, Ustaz Hashim telah menegur pihak pengurusan DUN berkaitan dengan hal ini dan hujahnya turut disokong oleh Adun BN dari Santan, Sabry Ahmad.
"Dulu kita ada tiga orang Adun PAS. Sekarang tinggal saya seorang mudah la mereka buli macam ni," katanya berseloroh.