Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, May 02, 2008

Mufti Perlis kritik program hiburan melampau 'ala zoo' dalam khutbah

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 2 Mei (Hrkh)- Jika sebuah pemerintahan negara itu boleh diubah dengan perasaan dan kemarahan rakyat, mengapa tidak sebuah program hiburan yang tidak berprinsip juga diubah dengan kuasa rakyat, demikian intipati khutbah Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini.

Katanya, artis membawa budaya yang melampau, bercanggah serta merosakkan bangsa dan budaya Melayu, juga sering mengakibatkan penonton-penonton menjerit-jerit seperti dalam zoo adalah bertentangan dengan agama.

Semasa berkhutbah di Masjid Alwi dekat sini tengahari tadi, Asri menyentuh tentang program Jom Heboh di Perlis yang sibuk diperkatakan apatah lagi beliau sendiri menyatakan bantahan sekiranya program tersebut melanggar peraturan yang ditetapkan.

"Islam bukanlah agama yang mengongkok sehingga menyusahkan manusia untuk hidup atau mengharamkan semua perkara untuk manusia. Demikian juga berhubung dengan hiburan. Islam tidak menghalang hiburan, tapi meletakkan batas dan mesti mengikut peraturan serta mempunyai garis panduan yang jelas.

"Festival Jom Heboh ini telah dibantah oleh beberapa buah negeri akibat pelbagai kontroversi yang timbul, sehingga ianya melangkah jauh beberapa negeri dan ia hinggap ke negeri ini. Kita bukan anti hiburan dengan mengatakan golongan muda, remaja hatta yang tuapun tak boleh berhibur, tapi mesti berperaturan.

"Kereta kita sendiri, harta sendiri yang dibeli dengan wang sendiri tapi apabila digunakan di jalanraya mestilah mengikut peraturan," katanya memberikan perumpamaan.

Katanya, setiap perkara mesti ada peraturannya dan Islam tidak pernah mengenal istilah hiburan tanpa batas atau hiburan tanpa had.

"Semua semua perkara ada 'rights and limits', ada hak dan hadnya maka apabila ia datang mestilah mengikut peraturan. Kita terkejut bila diiklankan ada artis yang dikenali bermasalah akan datang. Kita menegur bukan kerana beliau membuka baju tapi gelagatnya yang berterusan. Kita mahu ada misi ada kejelasan.

"Kita tak mau apabila orang melihat hiburan bagikan pergi ke zoo, dengan melompat-lompat dan menjerit-jerit tanpa batasan dan tak tahu identiti.

Tapi dalam masa yang sama kita bercakap tentang memajukan Islam, memajukan umat Islam, mahukan minda kelas pertama tapi dalam masa yg sama kita menyogokkan kepada remaja dengan hiburan yang memperbodohkan mereka, dengan hiburan yang tidak membangunkan minda mereka," tegasnya.

Asri juga melihat betapa buruknya apabila hiburan yang dicontohi dari barat dibawa ke dalam minda anak-anak muda di negara ini.

"Artis di Barat menjerit-jerit dan melompat-lompat, jeritan dan lompatan itu menghasil wang yang banyak untuk menyara mereka dan jadikan manusia seperti kita menjadi pengikut, maka kita menjadi hamba kepada media.

"Tetapi jeritan artis dan remaja kita hanya yang didengar ialah tentang isu, cerita keruntuhan moral, penyalahgunaan dadah dan seumpamanya.

"Kita bercakap tentang kemajuan, adakah remaja kita tidak maju kerana tidak tahu melompat atau menjerit? Maka kita tak dapat menerima artis rock di negeri ini, hiburan kita berperaturan kita tak dapat terima unsur khurafat, campur gaul yang melampaui batasan, pendedahan tubuh dan tidak menghormati sensitiviti orang Islam dengan tidak dapat membezakan waktu solat. Sebelum ini kedengaran muzik dan bunyi-bunyian mengatasi suara azan. Kita telah banyak dicandukan dengan hiburan seperti ini setiap kali ada pesta hiburan yang meruntuhkan moral anak-anak kita," ujarnya.

Selain itu, beliau turut menyentuh tentang pembabitan anak-anak orang Melayu/Islam yang ramai setiap kali berlangsungnya pesta hiburan.

"Anak siapakah yang pergi ke hiburan itu? Kebanyakannya anak orang-orang Melayu yang mengaku Islam. Tapi apabila ada pesta buku, pesta ilmu atau pertandingan yang membangun minda yang kering-kontang adalah anak-anak orang Melayu yang mengaku Islam.

"Keruntuhan moral, keciciran dalam pelajaran dan pelbagai-bagai lagi disebut sedangkan negara ini semakin hari semakin dikutip dan direbut oleh orang lain. Alangkah buruk dan bodohnya generasi ini jika mereka terus dibiarkan tenggelam dalam hal yang sedemikian.

"Kita bukan ekstrimis agama atau anti hiburan tapi kita mahu melihat generasi ini maju ke hadapan dan demikian tanggungjawab kepimpinan orang Islam mestilah berfikir untuk memajukan umat mereka," serunya.


Asri turut menyeru ibu-bapa supaya mengambil tanggungjawab memastikan anak-anak agar tidak terbabit dalam Festival Jom Heboh di Perlis sekiranya ianya gagal mengikuti peraturan yang ditetapkan.

"Jika tidak menurut peraturan, ibu bapa mesti memastikan anak-anak mereka tidak terlibat sama. Allah Taala mengingatkan 'Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, nanti kamu akan disentuh oleh api neraka'.

"Jika mematuhi aturan, bolehlah pergi melawat pameran atau hiburan yang tidak melampau. Tapi jika tidak patuh, kitalah ibu bapa yang bertanggungjawab memastikan unsur-unsur ini tidak meyusup masuk ke jiwa anak-anak.

"Jangan fikir kita sebagai ibu bapa siapalah kita untuk menghalang suatu program yang besar, tetapi hendaklah fikir kitalah yang bertanggungjawab dan memikul amanah.

"Jika pilihanraya yang membabitkan mengubah pemerintahan negara boleh dibubah dengan perasaan dan kemarahan rakyat apabila setiap orang merubahnya, demikianlah juga hiburan, apabila ianya tidak berprinsip, ianya boleh diubah dengan kuasa rakyat," katanya lagi.

KENYATAAN MEDIA JABATAN MUFTI PERLIS MENGENAI JOM HEBOH

KEPADA SESIAPA YANG BERKENAAN

Assalamualaikum wr. Wbth.,

Tuan

KENYATAAN MEDIA JABATAN MUFTI PERLIS MENGENAI JOM
HEBOH


Pada dasarnya, Jabatan Mufti Perlis tidak mengharamkan Program Jom
Heboh anjuran Stesyen TV3, akan tetapi pihak Jabatan Mufti dukacita
dengan nilai-nilai negatif yang terselit bersama dengan program Jom
Heboh tersebut.

2. Pihak Jabatan Mufti mencadangkan garis panduan berikut
sebagai panduan pelaksanaan program Jom Heboh di Negeri Perlis:

i. Program Jom Heboh tanpa konsert adalah satu keutamaan
sekiranya hendak dilaksanakan di Negeri Perlis

ii. Jika disertai dengan program konsert, ia hendaklah
terkawal dan berdisiplin

iii. Artis-artis yang menimbulkan contoh-contoh yang buruk
seperti Faizal Tahir atau aliran artis lain dari aliran rock,
dangdut dan seumpamanya yang mempromosikan
gelagat-gelagat liar dan ala kebudak-budakan yang
menghapuskan nilai-nilai kematangan hidup tidak boleh
dibenarkan

iv. Maka artis-artis yang hendak dibawa masuk hendaklah
artis yang telah dirujuk persetujuan dari Jabatan Mufti,
secara umumnya dicadangkan artis-artis puisi seperti
Kopratasa, Ramli Sarip dan Suhaimi Mior Hassan ataupun
kumpulan-kumpulan nasyid di tanahair.

v. Sebarang aktiviti-aktiviti yang memperlihatkan nilai-nilai
kebodohan yang seakan-akan memperlekehkan akal dan
pemikiran rakyat adalah tidak boleh dibenarkan

vi. Unsur-unsur khurafat seperti penampilan kepercayaankepercayaan
misteri dan karut tidak dibenarkan. Demikian
juga jualan barang-barangan khurafat dan tahyul seperti
kayu koka tidak dibenarkan

vii. Penganjur Jom Heboh hendaklah menghormati sensitiviti
orang-orang Islam seperti tidak menguatkan bunyianbunyian
pada waktu solat sehingga kelihatan seperti tidak
menghormati agama.

Sekian , terima kasih.

“BERKHIDMAT UNTUK AGAMA DAN NEGARA”

Saya yang menjalankan tugas,
( DR. MOHD. ASRI BIN ZAINUL ABIDIN )
Mufti,
Kerajaan Negeri Perlis.

Pandangan Mufti Mengenai Program Jom Heboh Perlu Diberi Perhatian

KANGAR, 1 Mei (Bernama) -- Pandangan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai program Jom Heboh perlu dilihat secara positif, kata Menteri Besar Perlis Datuk Dr Md Isa Sabu.Beliau berkata mufti berkenaan telah bertemu beliau semalam untuk memberi pandangannya mengenai program tersebut yang diwar-war akan diadakan di Perlis selama dua hari pada hujung minggu ini di Stadium Utama.

"Pandangan mufti akan dibangkitkan pada mesyuarat bersama TV3 selaku penganjur program itu di sini esok," katanya.

Antara pandangan Dr Mohd Asri ialah program itu perlu dihentikan seketika ketika masuk waktu untuk bersembahyang serta tidak menampilkan artis yang tidak boleh menjadi contoh kepada orang ramai.

Semalam mufti tersebut turut memberi contoh nama penyanyi yang disifatkan sebagai tidak berdisiplin dan tidak patut mengambil bahagian dalam program hiburan berkenaan.

Dr Md Isa berkata pandangan Mufti Perlis itu akan menjadi garis panduan kepada program hiburan yang bakal diadakan di Perlis di masa depan.

"Pandangan mufti perlu diambil kira kerana program Jom Heboh itu juga terletak tidak jauh dari Masjid Putra dan Masjid Behor Empiang," katanya.-- BERNAMA

Mufti tidak benar Faizal Tahir ke Perlis

Petikan Berita Harian
KANGAR: Bintang One In A Million, Faizal Tahir yang baru 14 hari mengecapi kebebasan selepas tiga bulan digantung kemunculan di kaca televisyen, sekali lagi berdepan masalah apabila kehadirannya melalui Konsert Jom Heboh 2008 di Perlis ditentang Mufti negeri itu, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Walaupun turut mempertikai Konsert Jom Heboh 2008 anjuran TV3 itu di Perlis, Dr Asri secara peribadi menyebut nama Faizal antara artis yang tidak patut dibenarkan membuat persembahan di Perlis, selain artis aliran rock dan dangdut.

Dr Asri berkata, kemunculan artis aliran sedemikian terutama dengan imej rambut panjang dan tingkah laku yang sering meraung serta melompat-lompat menunjukkan imej yang tidak matang dan tidak sesuai sekali untuk dipertontonkan kepada rakyat Perlis.

Mengenai Faizal, katanya, beliau sendiri sudah mengajukan surat kepada Pejabat Menteri Besar Perlis, meminta penganjur Jom Heboh 2008 menilai semula atau menghalang artis terbabit ke negeri ini, yang dianggap tidak sesuai dengan imej Perlis selain mampu membawa pengaruh buruk kepada rakyat.

"Saya tidak anti-manusia bernama Faizal Tahir, tetapi keperibadian dan tingkah laku liar serta tidak matang artis itu setiap kali melakukan persembahan, jelas membayangkan imej kebudak-budakan.

"Bagi saya, perbuatan seperti melompat-lompat dan meraung seperti yang sering dipertontonkan artis itu, terutama insiden membuka baju ketika melakukan persembahan tidak boleh diterima di Perlis. "Paling teruk, dia (Faizal) dilihat masih berada pada tahap krisis identiti kerana tidak tahu hala tuju sendiri. Malah, dia sendiri tidak tahu siapa dirinya yang sebenar kerana kejap mahu jadi manusia, kejap mahu jadi Superman," katanya di sini, semalam.

Faizal yang baru memenangi anugerah Artis Lelaki Paling Popular dan Artis Baru Lelaki Terbaik dalam Anugerah Planet Muzik 2008, digantung persembahannya di kaca televisyen sebelum ini, berikutan tindakannya membuka baju ketika melakukan persembahan sempena ulang tahun ke-4 8TV, Januari lalu.

Sementara itu, mengenai Jom Heboh ke negeri ini, Dr Asri berkata Jabatan Mufti Perlis tidak pernah mengeluarkan fatwa mengharamkannya, tetapi dukacita dengan nilai negatif yang terselit bersama program terbabit.

"Saya sudah mengajukan surat kepada Menteri Besar Perlis, Datuk Dr Md Isa Sabu dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Ahmad Bakri Ali, minggu lalu meminta kerajaan negeri menetapkan garis panduan, sesuai dengan negeri ini sekiranya Jom Heboh 2008 dibenarkan dibawa masuk ke Perlis.

"Jom Heboh tanpa konsert adalah satu keutamaan jika dibenarkan di Perlis. Bagaimanapun jika disertai konsert, ia haruslah terkawal dan berdisiplin," katanya.

"Ini termasuk menghormati sensitiviti orang Islam seperti tidak menguatkan bunyi pada waktu solat, selain mengelak sebarang unsur khurafat dan tahyul seperti penampilan kepercayaan misteri dan karut, serta penjualan barangan berunsur sedemikian. "Islam tidak pernah menghalang hiburan atau menghadkannya kepada nasyid semata-mata, tetapi ia perlu berada dalam garis panduan yang ditetapkan.

"Kenapa kita mahu bawa artis yang tidak membangun minda rakyat, sedangkan ramai lagi yang berimej bersih terutama artis berunsur puisi seperti Kopratasa, Ramli Sarip, Suhaimi Mior Hassan dan M Nasir," katanya.

Perlis menjadi destinasi kedua Jom Heboh 2008 yang kini masuk edisi keenam, pada 3 dan 4 Mei ini. Kemuncak program itu adalah konsert membabitkan artis seperti Faizal Tahir, Jay Jay, The Lima, Fazli Zainal, Ramlah Ram, Farawahida, Mila dan Ayu OIAM

Wednesday, April 30, 2008

YB Bang Din angkat sumpah sebagai Adun

KANGAR - Semua wakil rakyat yang terpilih dalam pilihan raya umum yang lalu mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perlis Isnin lalu.

Majlis mengangkat sumpah diadakan di hadapan Speaker yang baru, Dato' Yazid Mat.

Terdahulu Yazid mengangkat sumpah sebagai speaker setelah namanya dicadangkan oleh Menteri Besar, Dato' Dr Md Isa Sabu dan disokong oleh Adun Pauh, Dato' Seri DiRaja Syed Razlan Putra Jamalullail.

Md Isa kemudiannya mendahului semua Adun mengangkat sumpah.

Wakil PAS, Rus'sele Eizan turut mengangkat sumpah sebagai Adun Simpang Empat. Beliau memenangi kerusi tersebut selepas mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Zahari Bakar dengan majoriti 53 undi.

Begitu juga majlis tersebut turut menyaksikan bekas Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan mengangkat sumpah sebagai Adun Tambun Tulang.

Abdullah Hassan (BN-Sanglang) turut mengangkat sumpah walaupun belum pasti kesahihannya sebagai Adun kerana kemenangannya dipertikaikan berikutan kesilapan Suruhanjaya Pilihan raya mengumumkan pemenang bagi kerusi Dun tersebut.

Kes tersebut sudahpun difailkan petisyennya oleh calon PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.

Ustaz Hashim fail petisyen Dun Sanglang

KANGAR - Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin baru-baru ini memfailkan petisyen pilihan raya bagi mengisytiharkan beliau sebagai pemenang pilihan raya umum (PRU) ke 12 yang lalu di Dun N.15 Sanglang.

Petisyen tersebut difailkan melalui Tetuan Zuljaafar Ibrahim & Co di Mahkamah Tinggi Kangar jam 3.15 petang 23 April lalu.

Petisyen dan Notis Petisyen Pilihanraya tersebut diserahkan oleh peguam Zulmi Sabri dan diterima oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar, Badrul Munir Mohd Hamdy.

Menurut Zulmi, petisyen ini difailkan dalam tempoh 21 hari selepas keputusan PRU diwartakan dan pihak pempetisyen akan menyerahkannya kepada defendan, Abdullah Hassan (Calon BN), Mohammad Daud Abdul Hamid (Pegawai Pengurus Pilihanraya Parlimen Arau) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa 15 hari.

Keputusan PRU ke 12 diwartakan pada 8 April lalu dan tarikh akhir mengemukakan petisyen ialah pada 29 April ini.

Dalam PRU 8 Mac lalu, Ustaz Hashim yang bertanding mempertahankan kerusi Dun tersebut diisytiharkan kalah kepada pencabarnya, Abdullah dengan majoriti 149 undi.

Bagaimanapun berlaku kesilapan semasa mengisi nama calon pada borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi) yang mana Ustaz Hashim sepatutnya menang dengan majoriti 47 undi.

Pada 3 April lalu, Mahkamah Tinggi Kangar telah menolak permohonan Saman Pemula yang dikemukakan oleh Ustaz Hashim bagi tujuan yang sama dengan alasan mereka tidak mempunyai peruntukan untuk mendengar kes tersebut.

Sebaliknya, pihak plaintif diminta untuk memfailkan petisyen pilihan raya. Saman pemula yang dikemukakan itu menuntut untuk mendapatkan perintah deklarasi bahawa Defendan Kedua (Mohammad Daud) dan Defendan Ketiga (SPR) telah melakukan kesilapan mengisytiharkan Defendan Pertama (Abdullah) sebagai calon yang menang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam PRU ke 12 bagi bahagian N.15 Sanglang.

Plaintif juga memohon deklarasi bahawa beliau adalah calon yang menang dan sewajarnya dipilih sebagai Adun. Begitu juga, plaintif memohon perintah mengarahkan SPR selaku defendan ketiga mewartakan keputusan PRU ke-12 bagi Dun N.15 Sanglang dimenanginya dan dipilih sebagai Adun.

Thursday, March 27, 2008

BN kian rapuh, tidak relevan lagi

Petikan Harakahdaily

KANGAR, 26 Mac (Hrkh) - Kejayaan besar Barisan Rakyat yang didokong oleh PAS, KeADILan dan DAP dalam pilihan raya umum (PRU) ke-12 lalu membuktikan bahawa pakatan Barisan Nasional kini semakin rapuh, kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohd Anuar Tahir.

Menurutnya, formula yang diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra pada tahun 1955 dulu melalui pakatan Perikatan yang merangkumi Umno, MCA dan MIC kini mula dilihat sedang menuju titik akhirnya.

"Sebagai contoh, MIC dilihat sudah tak relevan kepada masyarakat India kecuali semua parti politik India perlu bersatu.

"Jadi, kini kena ada satu formula baru untuk memerintah negara ini dan pakatan Barisan Rakyat sudah bersedia menggantikan pemerintah yang sedia ada," katanya.

Dalam pada itu, sebagai penggerak Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih), Mohd Anuar melihat PRU kali ini tetap berlangsung dengan proses yang buruk.

Katanya, tuntutan Bersih yang dibuat kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sehingga kini masih belum dipenuhi.

"Kita lihat di Wangsa Maju umpamanya, terdapat ribuan pengundi pos, Mohamad Sabu kalah dengan undi pos, sebab itu Bersih menuntut supaya dihapuskan undi pos.

"Selain itu kita juga telah mengesan banyak penipuan yang berlaku. Umpamanya undian yang berulang di mana seorang pengundi itu didaftarkan sebagai pengundi pos dan pengundi biasa.

"Dalam keadaan macam ni pun kita masih mampu menang di lima buah negeri termasuk menguasai hampir semua parlimen di Wilayah Persekutuan," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada satu majlis minum petang anjuran Majlis Tindakan Dun (MTD) Bintong di Pasti Teluk Kacang dekat sini semalam.

Hadir dalam majlis yang diadakan tersebut ialah pimpinan dan petugas MTD serta beberapa orang wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Mohd Anuar yang bertanding di Dun N06 Bintong dalam PRU yang lalu kemudiannya mengambil kesempatan menziarahi beberapa buah rumah di Kampung Behor Janggus dan Wang Ulu yang menjadi mangsa ribut pada 22 Mac lalu.

Eratkan semula hubungan istana, pemimpin dan rakyat saran PAS Perlis

Petikan Harakahdaily

KANGAR, 18 Mac (Hrkh) - PAS Perlis berharap kepimpinan baru negeri yang diterajui oleh Dato' Dr Md Isa Sabu dapat mengeratkan semula hubungan antara institusi istana, pemimipin dan rakyat.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin membuat gesaan demikian kepada Md Isa yang dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baru semalam.

"Sebelum ini mungkin berlaku sedikit keretakan antara tiga elemen penting ini dan diharap hubungan dapat dieratkan semula agar dapat kita bina negeri Perlis ini dengan lebih baik dan teratur," katanya.

Ustaz Hashim juga menggesa kepimpinan baru yang bakal dibentuk Md Isa melayan rakyat tanpa sebarang diskriminasi.

"Rakyat negeri terdiri dari pelbagai fahaman politik dan mereka harus diberikan layanan sama rata sama ada dari segi pembangunan atau pemberian projek. Tumpukan kepada kepentingan umum bukannya golongan tertentu sahaja," gesanya.

Mengulas tentang pembentukan kabinet negeri yang bakal dibuat dalam masa terdekat ini, Ustaz Hashim menyeru agar Md Isa memberi lebih ruang kepada barisan Exco dan wakil rakyat untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

"Kita dah ada Exco dan wakil rakyat, jadi agihkan tugas mengikut portfolio masing-masing, jangan macam dulu walaupun ada Exco dan wakil rakyat tapi nampak jelas dibolot segalanya oleh seorang sahaja.

"Kepimpinan baru juga diminta untuk memberikan penumpuan dalam memperbaiki segala kelemahan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan agensi berkaitan. Kepincangan dalam kewangan negeri, Majlis Perbandaran Kangar dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis antara yang perlu dberikan perhatian," serunya.

Dalam pada itu, Ustaz Hashim menasihatkan Md Isa agar tidak terikut dengan cara Menteri Besar dulu yang banyak menaburkan sumbangan kepada rakyat sekiranya tidak mampu.

Sebaliknya kata beliau, Md Isa perlu beralih kepada memberikan sesuatu yang lebih bernilai daripada pemberian yang sedia ada.

"Mungkin YAB Menteri Besar tak mampu nak ikut bagi sumbangan macam MB dulu, tapi ini bukannya satu perkara yang perlu dirisaukan. Rakyat akan lebih faham dan menghendaki sesuatu yang lebih bernilai daripada yang dulu. Ada perkara lain yang lebih utama untuk beliau beri perhatian," katanya lagi.

Semalam Md Isa dipilih secara rasmi sebagai Menteri Besar Perlis keenam menggantikan Dato' Seri Shahidan Kassim.

Majlis angkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baru diadakan di Istana Arau petang semalam di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Sunday, March 16, 2008

Konflik berebut jawatan MB Perlis masih berlarutan

Petikan Harakahdaily

KANGAR, 15 Mac (Hrkh) - Siapa Menteri Besar kami? Mungkin itu yang sedang berlegar di fikiran rakyat Perlis sehingga hari ini.

Ini berikutan situasi terkini apabila wujudnya dua nama yang bakal mengisi jawatan panas tersebut.

Semalam, umum mengetahui pihak Istana Perlis telah memperkenankan perlantikan Dato' Dr Md Isa Sabu sebagai Menteri Besar sedangkan penyandang, Dato' Seri Shahidan Kassim pula membawa watikah perlantikan daripada Perdana Menteri.

Sekali imbas ianya dilihat seperti wujudnya konflik antara Istana Perlis dan Putrajaya dan siapakah yang lebih berkuasa di atas perlantikan ini?

Md Isa dilantik berdasarkan peruntukan yang termaktub di dalam undang-undang di mana Raja Perlis berhak melantik seorang Menteri Besar sedangkan Shahidan pula mempertahankan beliau membawa mandat partinya, Barisan Nasional.

Drama perlantikan Menteri besar Perlis ini adalah rentetan pelbagai episod yang berlaku sejak dua bulan lalu.

Seperti yang diketahui umum, baru-baru ini, Setiausaha Agung Umno, Dato' Radzi Sheikh Ahmad secara terbuka menyatakan Menteri Besar Perlis perlu ditukar.

Kemyataannya itu sekali gus membuka pekung Umno Perlis yang mempunyai masalah kepimpinan di peringkat tertinggi dan dilihat berpuak-puak.

Menjelang penamaan calon untuk pilihan raya umum (PRU) yang lalu, sekali lagi berlaku kekecohan apabila dikatakan nama Shahidan terkeluar daripada senarai calon.

Berlaku kekecohan di Perlis sehinggakan ada pihak yang meletakkan jawatan beramai-ramai, bendera parti diturunkan, bilik gerakan ditutup dan sebagainya.

Lebih teruk, ada ura-ura mengatakan protes besar-besaran akan dibuat sehingga melibatkan pihak istana.

Hanya sehari menjelang penamaan calon barulah senarai calon BN Perlis dapat diumumkan. Itupun masih wujud kontroversi bila awalnya Dato' Mastika Junaidah Hussin diumumkan sebagai calon Parlimen Arau tetapi kemudiannya digantikan dengan adik Shahidan, Ismail Kassim.

Pada malam pengumuman kemenangan calon-calon yang bertanding dalam PRU di Dewan Sivik Arau, secara terang-terangan dilihat masih wujud perselisihan di kalangan pimpinan Umno Perlis apabila calon Dun Pauh, Dato' Seri Utama Syed Razlan Putra Jamalullail diumumkan sebagai pemenang.

Pada masa itu hanya penyokongnya sahaja yang bertepuk-sorak meraikan kemenangan sedangkan pemyokong-penyokong Shahidan yang turut berada di dalam dewan tersebut hanya berdiam diri.

Selepas tamatnya PRU dan BN berjaya menguasai Perlis, kedudukan Shahidan masih menjadi tanda tanya sedangkan hampir semua negeri telah menyelesaikan perlantikan Menteri Besar masing-masing.

Desas-desus menyatakan beliau tidak disenangi oleh pihak Istana Perlis bertiup kencang dan beberpa nama disebut-sebut sebagai pengganti.

Para pemerhati politik kini sedang meramalkan apakah tindakan Shahidan selanjutnya untuk terus kekal sebagai Menteri Besar Perlis?

Apakah dengan watikah dari Perdana Menteri itu beliau sanggup menebalkan mukanya untuk mengadap Tuanku Raja Perlis sedangkan baginda sendiri telah memperkenankan Md Isa sebagai Menteri Besar?

Tinjauan Harakahdaily malam tadi mendapati para penyokong Shahidan mula memenuhi perkarangan kediaman rasmi Menteri Besar untuk mengetahui perkembangan terkini.

Sementara di kediaman Md Isa di Taman Guru Jaya dekat sini terdapat beberapa orang penyokongnya yang sedang berkumpul di samping terdapat sebuah trak polis yang sedang berkawal.

Polis juga mengadakan kawalan di hadapan Istana Arau dan juga Istana Raja Muda di Jalan Raja Muda dekat sini.


Keputusan PRU Dun Sanglang - PAS Perlis akan buat petisyen

KANGAR, 10 Mac (Hrkh)- PAS Perlis akan mengemukakan petisyen membantah keputusan pilihan raya umum (PRU) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri, N15 Sanglang.

Keputusan yang diumumkan di pusat penjumlahan undi di Dewan Sivik Arau lewat malam 8 Mac lalu menyaksikan calon BN, Abdullah Hassan memenangi kerusi tersebut dengan menewasakan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin dengan majoriti 149 undi.

Abdullah memperolehi 3384 undi manakala Ustaz Hashim mendapat 3235 undi dan terdapat sebanyak 92 undi rosak .

"Walaupun diisytiharkan Sanglang kalah, kita mempunyai bukti yang kukuh untuk membuat petisyen," kata Ustaz Hashim ketika ditemui Harakahdaily tengahari tadi.

Buat masa ini kes ini sedang disemak oleh peguam yang diilantik dan petisyen akan dikemukakan dalam masa 21 hari selepas keputusan PRU digazetkan.

Dalam pada itu, peguam yang dilantik juga sedang menyemak kemungkinan untuk membuat petisyen bagi Parlimen P.003 Arau.

Parlimen Arau ditandingi Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din yang melawan Ismail Kassim yang juga merupakan adik Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim.

Keputusan yang diumumkan, Ismail menang dengan majoriti tipis 300 undi.

BN menang tapi perselisihan tetap wujud dalam Umno Perlis

Petikan Harakahdaily
ARAU, 9 Mac (Hrkh)- Masih terdapat perselisihan dalam Umno Perlis yang jelas dilihat semasa pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 yang diadakan di Dewan Sivik Arau malam semalam tadi

Semasa keputusan Dun N11 Pauh diumukan, tepukan dan sorakan kemenangan hanya datang dari segelintir penyokong Dato' Seri DiRaja Syed Razlan Jamalulail.

Beliau yang menang kerusi tersebut menewaskan calon PAS, Abu Bakar Ali dengan majoriti 2572 undi dilihat duduk bersama lebih kurang 20 orang penyokongnya.

Berbeza dengan keputusan kemenangan DUn lain seperti Tambun TUlang, Guar Sanji, Sanglang serta Parlimen Arau, para penyokong Umno/BN memberikan tepukan gemuruh. Ini termasuk pekikan penyokong mereka yang berada di luar kawasan dewan tersebut.

Begitu juga, hanya beberapa kerat penyokong Umno/BN yang duduk di bahagian lain di dewan tersebut yang tampil memberikan ucapan tahniah.

Krisis Umno Perlis mula diketahui umum bila Setiausaha Agung Umno, Dato' Seri Radzi Sheikh Ahmad menyatakan bahawa Menteri Besar Perlis perlu ditukar.

Sekaligus kenyataan ini melihat wujudnya beberapa kem dalam Umno Perlis, termasuk beberapa calon yang dikatakan akan menggantikan Menteri besar, Dato' Seri Shahidan Kassim.

Keadaan ini berlarutan sehingga sehari sebelum penamaan calon, 24 Februari lalu.

PAS tetap ada wakil di Dun Perlis

ARAU, 10 Mac (Hrkh)- PAS Perlis berjaya memenangi satu kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke 12, namun kehilangan kerusi di kubu kuatnya di Dun Sanglang. Kersui yang dimenangi PAS ialah di Dun N14 Simpang Empat di mana Rus'sele Eizan menewaskan penyandang yang juga Exco Kerajaan Negeri, Zahari Bakar dengan majoriti tipis 53 undi.

Pengumuman dibuat di Dewan Sivik Arau pada hampir jam 1.00 pagi semalam dengan Rus'sele memperolehi 2878 undi berbanding Zahari yang mendapat 2825 undi, manakalaterdapat sebanyak 82 undi rosak.

Peratus keluar mengundi pula adalah 82.98 peratus.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin gagal mempertahankan kerusi Dun N15 Sanglang yang dimenanginya sejak tahun 1999.

Beliau tewas kepada muka baru Abdullah Hassan dengan majoriti 149 undi. Ustaz Hashim memperolehi 3235 undi berbanding Abdullah yang mendapat 3384 dengan undi rosak sebanyak 92 undi. Peratus mengundi ialah sebanyak 84.6 peratus.

Satu lagi kerusi yang ditunggu-tunggu orang ramai ialah Parlimen P.003 Arau yang ditandingi Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din yang melawan Ismail Kassim yang juga merupakan adik Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim dengan majoriti 300 undi.

Dr Haron mendapat 16,151 undi berbanding Ismail yang memperolehi 16,451 dengan undi rosak sebanyak 586. Peratus mengundi pula adalah sebanyak 83 peratus.

Sementara itu, PAS gagal memenangi 12 lagi kerusi yang ditandinginya. Parti KeADILan Perlis juga gagal memenangi sebarang kerusi daripada empat yang ditandinginya.

Friday, March 07, 2008

Akibat terdesak, BN edarkan VCD burukkan Anwar di Perlis


KANGAR, 6 Mac (Hrkh) - Tidak cukup dengan menyerang dan menghentam beliau di media arus perdana, kini VCD meburukkan Ketua umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mula disebarkan di seluruh negeri Perlis.

Malam tadi, Harakahdaily menerima aduan bahawa VCD bertajuk "Islam Dipersenda, Bangsa Dihina, Negara Diperkuda" itu disebarkan di kawasan Dun Santan.

Bagaimanapun kaedah pengedarannya ternyata kurang berkesan apabila kebanyakan VCD tersebut ditinggalakan di kawasan berhampiran markas PAS.


Puluhan VCD berjaya dikutip oleh para petugas PAS yang sedang bekerja memasang poster di kawasan tersebut.


Menurut Ketua Pemuda Dun Santan, Mohd Asri Din, taktik penyebaran ini memang didalangi oleh Barisan Nasional yang cuba untuk memporak-perandakan hubungan PAS dan KeADILan.
Bagaimanapun katanya, kaedah yang diambil itu kurang bijak kerana ia disebarkan di kawasan markas PAS dan di sekitar Santan yang merupakan kubu kuat PAS.


"Orang PAS tak akan termakan debgan dakyah mereka ini. Apatah lagi ianya disebarkan di kubu PAS yang mana fikrah ahli sudah jelas tentang hubungan PAS-KeADILan.


"Kalau depa pi sebar kat tempat lain pun saya yakin tak ada orang termakan dengan benda ni sebab "mood" rakyat sekarang mahukan perubahan dan mahukan BN ditumbangkan," katanya.

Pembatalan penggunaan dakwat memalukan negara - Haron Din

KANGAR, 6 Mac (Hrkh) - Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din menyifatkan pembatalan penggunaan dakwat kekal semasa proses mengundi oleh Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) sebagai satu yang memalukan dan tamparan kepada demokrasi di negara ini.

Katanya, segala alasan yang diberikan oleh SPR seperti dakwaan adanya pihak yang merancang mencalit pada kuku pengundi terlebih dahulu untuk menimbulkan kekeliruan di pusat mengundi adalah satu dakwaan yang amat bodoh.

"Adakah bodoh sangat pengundi sehingga boleh ditipu sedemikian?" soalnya.

Beliau juga melahirkan kekesalan kerana pembatalan itu dilakukan selepas desakan-desakan yang dibuat dan SPR sendiri sudah meyakinkan untuk melaksanakannya tetapi tiba-tiba dibatalkan.

"Alasan yang diberikan amat rapuh dan sekali gus memperbodohkan rakyat dan para pengundi dengan hujah yang bodoh," katanya.

Menurutnya, semua ini adalah sandiwara yang dimainkan oleh SPR dan kerajaan untuk mempermain-mainkan rakyat dan juga menguji tahap kesabaran parti-parti pembangkang.

"Apakah cara ini bijak untuk diamalkan di sebuah negara yang mengaku mengamalkan demokrasi seolah-olah parti pembangkang dan seluruh rakyat tiada harga dan mudah dipermainkan sebegitu?

"Lebih teruk sandiwara yang dimainkan oleh pemimpin Umno/BN bila semua pemimpin mereka menyatakan langkah SPR ini adalah tepat dan tak seorang pun memberikan komen yang positif.

"Ertinya, rakyat faham pemansuhan penggunaan dakwat kekal ini akan menguntungkan BN. Di manakah keadilan dan ketelusan SPR? Ini semua bohong," katanya ketika ditemui Harakahdaily tengah hari tadi.

Mufti Perlis beri amaran, berpolitik bukan untuk cari kekayaan

KANGAR, 5 Mac (Hrkh) - Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin memberi peringatan bahawa berpolitik bukanlah landasan untuk mencari kekayaan atau membalas dendam melainkan semata-semata untuk menunaikan amanah Allah s.w.t. dan mencari keredaanNya demi memaslahatan masyarakat, bukannya untuk kepentingan peribadi.

Dalam satu hadis riwayat Imam Al-Bukahri beliau mengungkapkan,"Kamu begitu inginkan kepada jawatan kepimpinan dan ianya merupakan penyesalan pada hari kiamat, ianya senikmat-nikmat permulaan dan merupakan seburuk-buruk kesudahan yakni nikmat di dunia dan buruk kesudahannya pada hari kiamat" melainkan mereka yang mendapat jawatan itu bertujuan untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah Allah," ujarnya.

Katanya, jika perkara ini tidak dijadikan asas, maka dalam masyarakat akan berterusan poiltik permusuhan di antara satu sama lain yang tidak berkesudahan. Beliau menegur setiap individu yang melibatkan diri dalam politik yang sering.

"Bukan setiap orang sanggup fikir apa yang dia akan jawab di depan Allah s.w.t. pada hari kiamat. Setiap di kalangan mereka yang terbabit dalam politik, hendaklah bertanya kepada dirinya sebelum ditanya Allah apakah tujuan dia berpolitik?

"Apakah sebagai seorang penggemar politik itu sebagimana seorang kaki pancing yang menjadikan kegemaran memancing sebagai kegemaran di masa lapang, ataupun sebenarnya dia menjadikan politik saluran membina kekayaan atau kemewahan serta mencari harta atau sebenaranya dia ingin memenuhi perasaan tamak dan ingin membalas dendam di dalam politik, atau sebenarnya dia ingin tunduk kepada Allah dan menjadikan jawatan sebagai kesempatan unutk membawa ketaqwaan dan kesolehan di dalam masyarakat.

"Orang-orang yang kami beri kedudukan di atas bumi, mereka itu mendirkan solat, mengelurkan zakat, mereka itu menyuruh kepada kemakrufan dan mencegah kemunkaran dan bagi Allah s.w.t itu kesudahan segala urusan," katanya.

Dengan mengungkap sebuah kisah, Mohd Asri menyebut sebuah kisah ketika khalifah Harun al-Rasyid yang sedang bersa'i ditegur seorang ulama dan berkata kepadanya, "Wahai Harun dari atas bukit safa ini kau lihat orang sedang bertawaf di Kaabah, mereka itu akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak tentang dosa yang mereka lakukan, adapun engkau pula akan ditanya tentang dosa engkau, dosa mereka semua dan dosa semua umat yang berada di bawah pemerintahanmu.
Beliau menyeru semua agar takutkan Allah akan jawatan kepimpinan agar tidak dijadikan ianya satu sandiwara dan tempat untuk bersuka-suka.


"Jadikalah ini satu amaran yang amat menggerunkan dan menakutkan bukan tempat untuk mengumpul kekayaan atau sumber untuk memuaskan nafsu politik," serunya dalam khutbah Jumaat yang disampaikan di Masjid Alwi, Kangar Jumaat lalu.

Siapa bakal MB Perlis?

KANGAR, 5 Mac (Hrkh) - Suasana pilihan raya di Perlis walaupun meriah dengan perang poster, sepanduk dan bendera tetapi perang di dalam Umno Perlis masih lagi belum menemui gencatan senjata.

Umum mengetahui episod pergolakan Umno Perlis yang diberitakan media beberapa bulan sebelum ini berlanjutan sehingga sehari sebelum penamaan calon baru-baru ini.

Kesannya, suasana di kem mereka agak suram dan kempen yang dijalankan dilihat kurang agresif dan pemumpuan lebih diberikan kepada merayu pengundi.

Terkini, maklumat yang diterima Harakah mendapati beberapa orang calon mula menggunakan kaedah memancing undi yang baru iaitu mengaku mereka sebagai bakal Menteri Besar Perlis sekiranya BN berjaya mengekalkan kuasa di Perlis.

Dibertakan bahawa terdapat empat atau lima orang calon sedang berbuat demikian. Taktik ini dilihat sebagai satu cara untuk mengekalkan undi di kalangan penyokong masing-masing dari kalangan ahli Umno sendiri.

Begitupun, sumber memberitahu gelora di peringkat akar umbi masih belum reda dan suara yang inginkan perubahan kedengaran di merata tempat.

Umpamanya di Parlimen Padang Besar, beberapa orang pimpinan Umno dilihat mendekati para pengundi secara senyap berkempen untuk menjatuhkan orang-orang tertentu dan meminta agar dipecahkan antara undi bagi calon dun dan parlimen.

Keadaan yang sama juga terjadi di Kangar dan Arau di mana pendokong "pimpinan tertinggi" negeri sedang bergerak untuk memastikan bos masing-masing kekal dan lawannya tersingkir.

Keadaan ini sekali gus menafikan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim baru-baru ini bahawa Umno Perlis telah menyelesaikan permasalahan mereka.

Seperti yang diketahui umum, suara-suara mahukan perubahan di Perlis sudah bergelora sejak beberapa bulan yang lalu. Ditambah pula dengan kenyataan Setiausaha Agung Umno, Dato' Seri Radzi Sheikh Ahmad yang secara terbuka menyebut Menteri Besar Perlis perlu ditukar.

Bagi penyokong PAS/BA Perlis, sasaran untuk menghantar lebih banyak suara pembangkang ke Dewan Undangan Negeri Perlis nampak lebih jelas dengan keadaan yang ada sekarang.

Bagi Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din yang bertanding melawan Adik Shahidan, Ismail Kassimn di Parlimen Arau, beliau nampak peluang di Perlis agak cerah dengan PAS/BA mampu menawan lebih banyak kerusi kali ini dan mempertahankan kerusi Dun Sanglang yang dimenangi pada tahun 2004.

Mungkinkah selepas 8 Mac ini, BN akan bertukar menjadi menjadi pembangkang di Perlis?

Pengundi Padang Besar mula tunjuk perubahan

PADANG BESAR, 4 Mac (Hrkh) - Sambutan masyarakat khususnya bukan Melayu kepada PAS dan Barisan Alternatif (BA) semakin meningkat menjelang pilihan raya umum (PRU) 8 Mac ini.

Calon Parlimen (P003) Padang Besar, Ustaz Zolkharnain Abidin menyatakan sepanjang beliau berkempen, golongan bukan Melayu mula menunujukkan reaksi yang positif kepada calon PAS/BA.

Beliau yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat memberikan contoh di mana orang-orang Cina di Pekan Padang Besar memberikan respon bila beliau menemui mereka, menyerahkan profil calon, risalah dan merayu undi.

"Ada yang menarik saya masuk ke rumah mereka, dia panggil saya Encik Ustaz dan menerangkan masalah mereka berkaitan masalah tanah. Ini bulan punya orang kita mesti pangkah punya," jelasnya.

Katanya, permasalahan utama masyarakat yang ditemuinya di Parlimen Padang Besar ialah isu permohonan tanah yang belum selesai.

Katanya, ramai yang mengadu sudah berpuluh tahun memohon geran tanah tapi belum selesai.
"Umpamanya lelaki Cina yang saya sebutkan tadi sudah memohon tanah sejak tahun 1974 tetapi tidak dilayan pihak kerajaan. Dia kata pada saya ini kerajaan bukan mahu bela rakyat tapi mahu bunuh rakyat.

"Di Dun Chuping sendiri terdapat ratusan kes berkaitan permohonan tanah yang belum selesai. Ada yang sampai 60 tahun menduduki tanah tapi belum mendapat geran," jelasnya.
Selain itu katanya, masalah permohonan tanah ini sering dijadikan modal oleh BN setiap kali menjelang PRU.

"Bila mai pilihan raya depa mula isi serah borang permohonan tanah. Mai PRU sekali lagi ada orang ukur tanah, pengundi memangkah BN, lepas PRU depa hilang, datang PRU sekali lagi ulang balik janji yang sama," ujarnya.

Dari pengamatan beliau, rakyat kini tidak kira kaum sama ada Melayu, Cina atau India sudah mula mahu melakukan perubahan.

"Orang Cina sudah tak percaya pada MCA dan India pula sudah hilang kepercayaan kepada MIC untuk menjaga bangsa masing-masing kerana tidak boleh menjamin masa depan mereka," katanya.

Pengundi dinasihat lapor BPR, polis jika terima wang sogokan

KANGAR, 4 Mac (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang mengingatkan para pengundi agar tidak terpengaruh dengan sebarang sogokan dari Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum (PRU) 8 Mac ini.

Katanya, sebarang bentuk sogokan seperti wang ianya akan dikira sebagai rasuah sekiranya para pengundi mengambilnya.

Sebaliknya, beliau mengingatkan pengundi langkah terbaik ialah melaporkannya kepada pihak berkuasa seperti polis atau Badan Pencegah rasuah (BPR).

"Kalau ambil duit dan disuruh pangkah BN, itu rasuah.

"Lebih baik kita ambil nombor kad pengenalan dan rekodkan nombor siri duit tu dan lapor kepada BPR," katanya ketika berceramah di Dun Mata Ayer dekat sini malam tadi.

Beliau turut mengingatkan pengundi agar tidak bersumpah untuk mengundi BN sekiranya diberikan wang.

Ini katanya sumpah yang tidak boleh dipakai kerana menjurus kepada seorang itu cenderung kepada kezaliman.

"Kalau dia suruh sumpah jangan buat sebab sumpah ini mendorong kepada maksiat. Kalau tak sumpah kita dapat pahala sebab menjauhkan diri dari maksiat. Jangan kita cenderung kepada kezaliman," serunya.

Ditemui selepas ceramah, Ustaz Ahmad mengingatkan petugas PAS tentang provokasi yang bakal dibuat oleh BN dua-tiga hari sebelum hari pembuangan undi.

"Mereka akan gunakan Mat Rempit untuk menunggang motosikal membawa bendera PAS atau KeADILan sambil membuat kecoh. Juga ingat, mereka akan membuat provokasi sehingga tercetusnya ketegangan. Ini semua bertujuan menjejaskan imej PAS di mata orang ramai," jelasnya.

Ustaz Ahmad berada di Perlis sehari suntuk dalam rangka lawatannya membantu PAS Perlis berkempen sempena PRU kali ini. Dalam lawatannya beliau sempat menghadiri lima program bertemu orang ramai, menyampaikan kuliah maghrib dan berceramah

Saturday, March 01, 2008

Mufti Perlis ingatkan pengundi pilih pemimpin yang beriman

KANGAR, 28 Feb (Hrkh) - Sempena pilihan raya umum 8 Mac ini, Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyeru umat Islam memilih pemimpin yang mempunyai kewibawaan, kemampuan untuk melaksanakan tanggung jawab kepimpinan dan seorang yang menunaikan solat.

Dalam khutbahnya di Masjid Alwi Jumaat lalu, beliau mengingatkan dalam pemilihan menentukan kepimpinan, seseorang hendaklah tahu bahawasanya, pemilihan yang akan dilakukan olehnya mempunyai kaitan dengan nilai perasaan roh dan jiwa.

Kerana seorang insan yang soleh akan mencari rakan yang soleh, dan seorang yang tidak soleh akan mencari orang yang tidak soleh.

Jika wajahnya tidak kelihatan di masjid, bukan orang yang menghadiri solat berjemaah bersama makmum, tidak ruku’ bersama orang-orang yang ruku’, tidak dikenali sebagai ahli solat, orang yang mendekatkan diri dengan Allah, maka dia tidak layak menjadi kepimpinan Umat Islam. Hendaklah pemimpin umat Islam, pemimpin yang mendirikan solat, katanya.

"Allah s.w.t memerintah kamu supaya kamu menunaikan amanah, kamu memberikan amanah kepada ahlinya yakni kepada sesiapa yang layak dan memerintahkan kamu agar apabila kamu berhukum, menjatuhkan hukuman di kalangan manusia, hendaklah kamu berhukum dengan adil. Allah memberi kurniaNya dengan Dia menasihatkan kamu sesungguhnya Allah s.w.t Maha Mendengar lagi mengetahui," katanya memetik ayat AlQuran dari Surah AN-Nisa' ayat 58.

Memetik sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim katanya, "sesungguhnya roh, roh insan, roh kita ini, berbagai-bagai jenis. Apa yang dia kenal di antara satu sama lain, maka dia akan cenderung kepadanya. Apa yang dia tidak kenal, maka dia akan berselisih pendapat. Roh orang-orang yang beriman akan cenderung kepada orang-orang beriman. Roh orang-orang yang fasik akan cenderung kepada orang-orang yang fasik. Roh orang-orang yang ingin kebaikan akan cenderung kepada orang yang inginkan kebaikan. Roh orang-orang yang inginkan kejahatan, akan cenderung kepada orang-orang yg inginkan kejahatan.

Justeru beliau mengingatkan seorang yang ingin dipilih sebagai pemimpin itu haruslah seorang yang sentiasa dilihat bersama-sama mendirikan solat berjemaah.

"Sesungguhnya yang menjadi pemimpin kamu ialah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman yang menunaikan solat, yang mengeluarkan zakat, dan mereka itu rukuk bersama dengan orang-orang yang rukuk," ujarnya memetik sepotong ayat al-Quran dalam surah Al Maidah.

Tambahnya, tidak boleh seorang pemimpin itu hanya hadir ke masjid untuk tujuan tertentu sahaja.

"Apabila pemimpin tidak kelihatan wajahnya di masjid, hanya wajahnya menjelang apabila ditampal posternya atau menjelang penamaan pemilihan namanya, maka dia bukan pemimpin orang-orang yang beriman. Mestilah rukuk bersama orang-orang yang rukuk. Kelihatan pada solat fajar bersama jemaah, kelihatan pada solat isyak bersama jemaah, mempunyai kaitan perasaan dengan masjid, bukan hanya hadir ke masjid apabila ada program rasmi sahaja, menunaikan zakat, membelanjakan harta untuk perjuangan pada jalan Allah, membelanjakan harta untuk kebaikan umat Islam.

"Ramai orang boleh membelanjakan ribuan, ratusan ribu hartanya untuk politiknya. Tak ramai yang boleh membelanjakan hartanya semata-mata kerana Allah Azza Wajalla, untuk kepentingan agama, tanpa dicampur-adukkan dengan kepentingan diri. Jika ciri itu dimiliki dia adalah pemimpin orang beriman," ujarnya.

Beliau turut memberikan peringatan bahawa seorang pemimpin juga perlu terdiri dari kalangan orang yang berilmu.

"Hendaklah kamu faqih mempelajari agama, mempelajari hukum-hakam, mempelajari ilmu sebelum kamu dilantik menjadi pemerintah. Tidak boleh orang jahil menjadi pemerintah, tidak boleh orang jahil menjadi pemimpin. Mestilah kita umat Islam pandai dalam membuat pemilihan.

"Sesiapa yang selalu menghadirkan diri dalam pengajian di masjid dan mendengar pengajian yang benar, mendekatkan diri kepada Allah, dia layak menjadi pemimpin kita kerana dia telah menjadikan dirinya memahami agama. Bukan sekadar menganjurkan majlis agama tetapi dia mesti memahami agama, mesti memahami syariat Allah, mesti memahami hukum-hakam syarak, hadir memahami agama. Jangan akhirnya dia bercakap sesuatu yang bercanggah dengan agama.

"Maka jika dia tahu agama, zahir pada dirinya ciri-ciri kesolehan dan dari segi penampilannya, tanda-tanda orang yang tunduk dan ruku’ kepada Allah, pakaiannya, pakaiannya anak isterinya melambangkan dia faham hukum-hakam Allah. Maka jika itu berlaku, itulah yang disebut oleh Allah s.w.t, yang disebut Rasulullah s.a.w yang ditegaskan oleh Khulafa Ar-Rasyidin," serunya sambil memetik hadis dar Umar Ibnu Al Khattab r.a yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

Dr Mohd Asri sekali lagi mengingatkan pemilihan pemimpin harus berlandaskan akal dan iman.

"Mimbar ini tidak berkempen untuk sesiapa, bukan kepentingan kita untuk berkempen, kita menyeru umat Islam menggunakan akal dan imannya, apabila mereka menentukan kepimpinan untuk dirinya. Janganlah ketaksuban kepada puak golongan parti menyebabkan kita membutakan mata dalam menentukan keputusan yang diredhai oleh Allah dan Rasulullah s.a.w.

"Allah s.w.t menyebut dalam al-Quran, Jadilah orang-orang yang menegakkan kebenaran, saksi yang adil kerana Allah, janganlah kamu jadikan kebencianmu kepada sesuatu puak menyebabkan kamu tidak adil. Adillah, sesungguhnya adil itu dekat kepada taqwa. Takutlah kamu akan Allah, sesungguhnya Allah s.w.t mengetahui apa yang kamu lakukan.

"Marilah kita bertaqwa, beristikharah kepada Allah di dalam memilih sesiapa sahaja di kalangan kita supaya pemilihan itu mendapat keredhaan dari Allah," serunya lagi.

Haron Din bidas kenyataan menteri mengenai isu bankrap


Petikan Harakahdaily

KANGAR, 27 Feb (Hrkh) - Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din hairan mengapa para menteri kabinet memberikan respons negatif hampir saban hari terhadap janji PAS/Barisan ALternatif (BA) untuk menurunkan harga minyak sebanyak 30 sen sekiranya diberi mandat oleh rakyat memerintah negara ini.

Katanya, setiap hari media menyiarkan kenyataan mereka yan menyebut negara akan muflis sekiranya harga minyak diturunkan sedangkan selama ini rakyat dicurahkan pelbagai maklumat yang hebat berkaitan ekonomi negara.

"Kita dihujani maklumat tentang ekonomi negara yang kukuh, rizab negara di luar yang meningkat, fundemental yang kukuh, ekspot bertambah tapi bila PAS/BA mahu turunkan harga minyak negara boleh bankrap.

"Penurunan 30 sen harga minyak itu hanyalah sekitar 15 peratus daripada harga semasa, adakah dengan susutnya pendapatan dari hasil minyak akan menjadikan negara bankrap sedangkan pendapatan daripada hasil minyak adalah sekitar 30 peratus pendapatan negara.

"Kalau kering minyak di Malaysia sekalipun, tanpa hasil minyak kita masih mempunyai 70 peratus sumber lain," katanya.

Dr Haron melihat kenyataan yang dibuat itu sama ada dakwaan mereka adalah tepat dan menunjukkan keadaan ekonomi negara yang teruk atau sebaliknya hanyalah satu pembohongan untuk mengabui mata rakyat tentang kebenaran manifesti PAS/BA.

"Jika benar apa yang mereka kata, memang jelas ekonomi negara dalam keadaan teruk hasil pemerintahan Umno/BN dan kelemahan pemimpin negara.

"Ataupun sebaliknya, kalau tak benar dakwaan mereka dan saya yakin ini merupakan satu pembohongan pemimpin Umno/BN. Ini kerana mereka suka mengikut jejak pemimpin tertinggi mereka yang suka berbohong. Contoh paling jelas baru-baru ini beliau berbohong mengatakan parlimen tak akan dibubar tapi besoknya beliau mengumumkan parlimen dibubar," ujarnya.
Dalam pilihan raya umum 8 Mac ini Dr Haron akan bertanding di Parlimen P.003 Arau menentang Dato' Ismail Kassim yang juga adik Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim.

Pengundi diajak bijak, matang pilih calon


BESERI, 24 Feb (Hrkh) - Exco Dewan Pemuda PAS, Ustaz Zulkharnain Abidin yang bertanding dalam Pilihan raya Umum 8 Mac ini merebut kerusi Parlimen Padang Besar mengajak para pengundi memikir dengan bijak untuk membuat pemilihan calon kelak.

Beliau yang akan melawan penyandang, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato' Azmi Khalid melihat peluang yang ada adalah terbuka luas memandangkan pengundi kini semakin bijak dan matang.


"Rakyat yang matang dan berfikiran luas perlu berfikir untuk memilih PAS dalam pilihan raya kali ini. Dengan itu, PAS mampu untuk melaksanakan manifesto Negara Berkebajikan di peringkat pusat,"katanya.

Selain itu, menyentuh tentang tempoh berkempen kali ini yang agak lama iaitu selama 13 hari, beliau melihat kemunasabahan di sebalik apa yang ditetapkan SPR itu memandangkan ianya adalah sebahagian tuntutan yang dibuat oleh pelbagai parti politik di negara ini.

Bagaimanapun katanya, sekiranya semua parti yang bertanding mempunyai akses yang adil terhadap media, maka rakyat berpeluang mendapat maklumat dengan lebih jelas.

"Sekarang ni media arus perdana dikawal oleh kerajaan. Kita tak dapat menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat. Rakyat hanya mendengar daripada sebelah pihak," katanya ketika ditemui selepas penamaan calon di Dewan Tuanku Syed Putra, Maktab Rendah Sains Mara, Beseri dekat sini tengahari tadi. -

Penamaan calon di Perlis lancar

BESERI, 24 Feb (Hrkh) - Di Parlimen Padang Besar, PAS membariskan empat orang calon manakala KeADILan membariskan dua orang calon pada hari penamaan calon untuk pilihan raya umum 8 Mac ini yang diadakan di Dewan Tuanku Syed Putra, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Beseri.

Di Parlimen P.001 Padang Besar, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Zolkharnain Abidin akan menentang penyandang, Dato' Azmi Khalid dalam pertandingan satu lawan satu.

Azmi bersama-sama calon BN terlebih dahulu memasuki kawasan MRSM sebaik sahaja pintu pagar dibuka. Manakala calon-calon dari Barisan Alternatif menyusul beberapa minit kemudian.

Dun N.01 Titi Tinggi menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN-MCA, KeADILan dan calon bebas. BN-MCA diwakili Yip Sun Onn, KeADILan oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri, Keria Senawi dan calon bebas diwakili aktivis masyarakat, Mohd Razi Mustaffa.

KeADILan juga meletakkan calon di Dun N.02 Beseri iaitu Dzulkifli Mat De yang akan menentang muka baru BN, Mat Rawi Kassim.

Sementara itu, di Dun N.03 Chuping, Bendahari PAS Perlis, Mohd Ali Puteh sekali lagi akan mencabar penyandang, Mansor Jusoh. Mereka pernah bertemu dalam pilihan raya umum 2004.
Di Dun N.04 Mata Ayer, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Padang Besar, Wan Kharizal Wan Khazim akan bertanding menentang penyandang kerusi tersebut dari BN yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri, Khairi Hasan.

Ketua Dewan Ulama PAS Perlis, Ustaz Abd Rashid Abd Rahman pula akan bertanding di Dun N.05 Santan menentang penyandang, Sabry Ahmad.

Pada jam 10.00 pagi, pegawai pilihan raya P.001, Azmi Salim mengumumkan masa semakan dan bantahan dibuka.

Sebanyak empat bantahan dikemukakan iaitu ke atas Azmi, Mat Rawi, Mansor dan Khairi, namun semuanya ditolak atas alasan teknikal dan tidak relevan.

Perarakan calon BA bermula dari rumah adik Dato' Dr Haron Din, Ustazah Rokiah menuju ke MRSM dengan diiringi kira-kira 1,500 orang penyokong.

Sementara itu, di Kangar PAS bertanding di empat kerusi iaitu Dun Bintong, Sena, Kuala Perlis dan Kayang, manakala KeADILan bertanding di Parliemn Kangar dan Dun Indera Kayangan.

Di Parlimen P.002 Kangar, Tunku Abdul Rahman Tunku Ismail dari KeADILan akan menentang penyandang yang juga Setiausaha Agung Umno, Dato' Seri Mohd Radzi Skeikh Ahmad.

Di N.03 Bintong, AJK PAS Pusat, Mohd Anuar Tahir akan menentang Mat Isa Sabu dari BN yang membuat penampilan semula. Di N.07 Sena, AJK PAS Kangar, Ustaz Osman Abdullah akan menentang bekas Ketua Pemuda Umno Perlis, Jamil Saad.

Di N.08 Indera Kayangan, KeADILan meletakkan calon wanita tunggal di Perlis iaitu, Timbalan Ketua Wanita KeADILan Negeri Perlis Poziyah Hamzah yang akan menentang pendatang baru dari MCA, Poh Chu Chor.

Di N.09 Kuala Perlis, Pengerusi Badan Kebajikan PAS Perlis akan menentang muka baru BN iaitu Mat Hassan. Manakala Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman akan menentang seorang lagi bekas Ketua Pemuda Umno Perlis, Bakri Ali.

Lebih seribu orang mengiringi calon-calon dalam perarakan yang bermula dari Pejabat Perhubungan PAS Perlis di Jalan Sekolah Derma menuju ke Dewan Warisan.

PRU-12: Abdullah 'hidup-hidup' tipu rakyat

Petikan Harakahdaily
KANGAR - PAS Perlis sudah bersedia menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-12 walaupun pengumuman pembubaran parlimen dibuat secara mengejut oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Menurut Ketua Penerangan PAS Perlis, Hairy Hashim, PAS Perlis sudah lama membuat pelbagai persediaan PRU dan apabila parlimen dibubarkan, gerakerja jentera parti akan dipertingkatkan ke tahap maksima.

"Saat yang dinantikan dah tiba, jadi jentera kita di setiap peringkat perlu menukar pacuan ke gear lima mulai hari ini," jelasnya.

Bagaimanapun, mengulas pembubaran tersebut, Hairy melihat Abdullah secara terang-terang mempersendakan seluruh rakyat Malaysia apabila semalam beliau menyatakan tiada pembubaran parlimen akan berlaku hari ini.

"Pak Lah ni hidup-hidup menipu rakyat, sehinggakan ramai yang tercengang mendengar maklumat pembubaran parlimen ini. Secara jelas beliau bukan lagi seorang yang boleh dipercayai. "Inikah yang cuba ditonjolkan oleh halifah Islam Hadhari? Sudahlah sistem pilihan raya di Malaysia masih dipertikaikan dan tarikh pilihan raya menjadi bahan sendaan di seluruh dunia kerana tidak diberitahu awal kepada umum. Memanglah sesuai kalau disebut negara jakun," katanya.

Di laman web SPR tersenarai pengundi berusia 117 tahun

Petikan Harakahdaily
BESERI, 21 Feb (Hrkh) - Jika dilihat pada buku daftar pemilih mungkin ramai yang menganggap pengundi ini belum cukup umur untuk mengundi dalam pilihan raya akan datang kerana beliau dilahirkan pada tahun 1990 dan umurnya baru mencecah 17 tahun lebih.

Bagaimanapun, semakan di lawan web SPR mendapati beliau dilahirkan pada tahun 1890. Yang lebih menghairankan, sebelum ini namanya tidak tersenarai sebagai pemilih dan hanya dikesan dimasukkan dalam rang daftar tambahan tahun lalu.

Beliau adalah Nor Aishah Bt. Ahmad yang mengundi di Lokaliti Batas Tinggi di Daerah mengundi Paya dalam Dun Santan di Parlimen Padang Besar.
Pengundi tersebut kini sudah berusia 117 tahun lebih dan sekiranya masih hidup beliau mungkin salah seorang penduduk tertua di negeri Perlis. Hasil tinjauan Harakah di lokaliti terbabit iaitu Kampung Paya Batas Tinggi dan sekitarnya mendapati tiada siapapun mengenali pengundi tersebut

Saturday, January 19, 2008

Ke mana hendak dipacu pembangunan Perlis?

Asrul Nizam Abd Jalil

Pejam celik, pejam celik Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang dilancarkan Perdana Menteri pada 30 Julai lalu sudah pun berlalu selama enam bulan. Namun demikian, ia belum menampakkan sebarang petanda bahawa ekonomi rakyat negeri Perlis khususnya akan berubah ke suatu tahap lebih baik.

Apa yang rakyat Perlis tempohi sekarang hanyalah perih derita menanggung kenaikan harga barang keperluan harian bermula kenaikan harga petrol sebanyak 30 sen seliter.

Kos yang semakin meningkat akibat kenaikan harga bahan bakar menyebabkan rakyat menanggung beban kenaikan harga bawang, tepung gandum, susu, milo, lampin bayi, minyak masak, ayam dan sebagainya.

Adalah sesuatu yang tidak dapat dibayangkan bagaimana rakyat mampu meneruskan kehidupan mereka sekiranya harga petrol dinaikkan sehingga 70 sen lagi selepas pilihan raya umum tidak lama lagi.

Statistik menunjukkan kadar kemiskinan di Perlis lebih tinggi berbanding kadar purata kemiskinan bagi seluruh negara. Apakah perancangan molok pihak pemerintah hanya sekadar untuk mengelabui mata rakyat bahawa kewujudan NCER bakal mengeluarkan rakyat Perlis daripada paras kemiskinan?

Sedangkan rekod sebelum ini menunjukkan bahawa wang Baitulmal negeri Perlis yang salah satu tujuannya untuk membantu rakyat Perlis yang miskin tegar pun sanggup digunakan oleh pihak pemerintah untuk membawa rombongan penyokong mereka melancong ke Medan.

Perkara ini bukan satu fitnah, sebaliknya telah dijawab oleh Menteri Besar Perlis sendiri untuk mempertahankan tindakan melancong menggunakan wang Baitulmal.

Pemberian RM100 kepada rakyat terpilih oleh Menteri Besar ketika perayaan utama khususnya hari raya Aidilfitri tidak mampu mengeluarkan penerimanya (sekiranya dari kalangan miskin tegar) daripada kategori miskin.

Terdapat pengadu yang telah mendakwa kepada Parti KeADILan Rakyat Perlis bahawa skim pinjaman perniagaan di bawah Tekun telah disalahgunakan untuk kepentingan politik sempit apabila pemohon skim ini disyaratkan secara tidak rasmi mestilah terdiri daripada ahli parti pemerintah sekiranya berhajat untuk mendapatkannya.

Menteri Besar yang memegang teraju kepimpinan Perlis sejak tahun 1995 didapati gagal mengemukakan perancangan ekonomi bersepadu untuk rakyat Perlis.

Beliau hanya memfokuskan kepada apa yang dinamakan sebagai program memperkukuhkan kedudukannya daripada merancang untuk membangunkan Perlis yang mempunyai potensi kerana terletak di sempadan negara. Program-program untuk menunjukkan kehebatan beliau digerakkan seperti program pengagihan wang tunai dan barangan elektrik.

Ketika beliau menjadi MB juga, banyak anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Ekonomi Perlis (PKENPs) yang gulung tikar. Contoh ketara ialah terdapat sebuah syarikat bas yang maju di Perlis iaitu PPMP pun boleh ditutup.

Sebuah anak syarikat PKENPs iaitu Perlis Essential Oils Sdn Bhd telah ditubuhkan lebih daripada sepuluh tahun yang lalu bertujuan untuk terlibat dalam pengeluaran dan pemprosesan minyak kelapa dara sampai sekarang masih tidak beroperasi.

MB pernah popular sebagai MB yang banyak menghasilkan majlis perjanjian persefahaman (MoU) dan majlis pecah tanah projek, namun demikian, hampir tiada projek yang berjaya direalisasikan kewujudannya untuk faedah rakyat Perlis.

MB pernah berkata bahawa Perlis merupakan negeri yang paling strategik untuk pembangunan serantau. Dengan demikian, beliau mengalu-alukan kemasukan pelabur luar untuk melabur di negeri ini.

Tetapi sebaliknya, terdapat pelabur yang ingin melabur di sini tetapi mengubah haluan pelaburan mereka ke tempat lain setelah tidak berpuas hati dengan syarat-syarat tertentu yang dikenakan oleh MB.

Sebagai contoh, dalam beberapa tahun yang lepas, Perlis pernah didatangi oleh seorang pelabur yang ingin membuka kilang memasang motosikal di negeri ini. Jika pelaburan ini berjaya, ianya dijangka akan memberikan lebih seribu peluang pekerjaan kepada anak-anak Perlis.

Tetapi sebaliknya, pihak pelabur kecewa dengan syarat untuk diberikan 'bayaran tol' kepada pemimpin tertentu sehinggakan pelabur mengubah lokasinya ke selatan Thailand. Sekiranya kita melalui jalan utama ke Hatyai, kita akan melihat kilang besar pemasangan motosikal tersergam megah di tepi jalan yang sedang memberi manfaat pekerjaan kepada lebih seribu anak-anak Thailand.

Pengerusi MABEM, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik boleh mengesahkan perkara ini kerana beliaulah yang mengangkat cadangan pelaburan tersebut ke Perlis!

Terdapat berita di Perlis yang mendakwa bahawa sebuah kilang utama di negeri ini iaitu Shorubber di Jejawi Perlis yang menyediakan pekerjaan kepada beribu-ribu orang anak Perlis juga akan ditutup tidak lama lagi untuk berpindah pelaburan mereka ke Vietnam yang lebih kompetitif.

Persediaan ke arah itu telahpun dibuat oleh Shorubber dengan membawa masuk buruh asing dari Vietnam untuk menimba pengalaman.

Telah terbukti bahawa pihak pemerintah gagal menyediakan peluang pekerjaan yang secukupnya kepada anak-anak Perlis sehingga mereka terpaksa merantau ke pelusuk negara untuk mencari peluang pekerjaan.

Sekiranya rakyat memberi peluang kepada BA untuk memerintah Perlis, antara langkah pertama yang akan diambil oleh BA ialah membuka seluas-luasnya peluang pelaburan ke negeri ini dengan mengenakan insentif cukai yang paling minima kepada pelabur.

Tiada lagi sebarang 'bayaran tol' yang akan dikenakan kepada mana-mana pelabur yang berminat untuk melabur di Perlis.

Pelaburan luar merupakan paksi utama dalam menjana ekonomi Perlis yang bermatlamat murni untuk menyediakan pelbagai peluang pekerjaan kepada anak-anak Perlis.

Justeru, anak-anak Perlis di perantauan yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang boleh kembali ke Perlis untuk memenuhi pasaran kerja yang seterusnya dapat sama-sama menyumbangkan tenaga dan kepakaran bagi membangunkan negeri ini.

Rakyat Perlis yang mengusahakan tanah-tanah kerajaan lebih daripada sepuluh tahun contohnya seperti tanah dusun di Sungai Batu Pahat akan dianugerahkan geran kekal kepada mereka sebagai satu penghargaan di atas daya usaha mereka untuk menyuburkan tanah.

Dasar perumahan Perlis akan dimantapkan lagi dengan membuka peluang kepada anak-anak Perlis yang sudah berkahwin untuk memiliki tanah bagi didirikan rumah kediaman.

Penduduk Perlis yang terdiri daripada keturunan Burma yang ramai menetap di Kuala Perlis juga akan menikmati faedah yang sama kerana mereka juga adalah rakyat Perlis.

Bekalan air yang menjadi nadi untuk rakyat Perlis tidak akan diswastakan sama sekali kerana ia merupakan tanggungjawab sosial kerajaan.

Ini adalah merupakan sebahagian daripada janji kami untuk kesejahteraan rakyat Perlis sekiranya kami diberi mandat untuk rakyat. Kerajaan adalah dari rakyat untuk rakyat!

UBAH SEBELUM PARAH, UBAH DEMI MARUAH!

*Penulis adalah Setiausaha Perhubungan KeADILan Perlis.

Mohamad Sabu dakwa SPR yang ancam keselamatan negara, bukannya rakyat

Petikan Harakahdaily
SIMPANG EMPAT, 19 Jan (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu mendakwa tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan perjalanan pilihan raya di negara ini dalam keadaan 'pincang' hanya akan menyebabkan ancaman kepada keselamatan negara.

Beliau melahirkan kebimbangnya terhadap masa depan negara sekiranya sistem demokrasi dan pemilihan kerajaan memerintah melalui pilihan raya di negara ini tidak dapat dipulihkan.

Katanya, sejarah pilihan raya umum ke 11 pada tahun 2004 telah membuktikan bahawa SPR bukanlah lagi sebuah badan yang benar-benar bebas.

Begitu juga katanya, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sendiri yang jelas membuktikan beliau bercakap mewakili parti pemerintah.

"Mulai tahun2004 kita sudah mulai ragu peranan SPR yang bukan lagi menjadi orang tengah atau hakim bahkan menjadi pemain untuk menyebelahi parti lawan kita (Barisan Nasional).

"Ini merupakan suatu yang merbahaya dan mengancam keamanan negara. Sebenarnya SPR yang mengancam keselamatan negara dan bukannya rakyat," katanya.

Katanya lagi, pilihan raya yang disertai oleh parti-parti di negara ini adalah suatu medan perperangan merebut kuasa melalui proses demokrasi.

Sekiranya pengendali proses pilihan raya ini pincang, dikhuatiri rakyat tidak boleh menerima keputusan pilihan raya dan masa depan negara ini akan terancam, kata Mohamad Sabu.

"Yang buat ancaman itu bukannya rakyat tapi SPR. Sebab itu polis yang berperanan menjaga keamanan negara sepatutnya bertindak ke atas Pengerusi SPR.

"Kita tak mahu jadi seperti di negara luar di mana rakyat mula memberontak apabila proses pilihanraya yang tidak telus. Sebab itu kita bergerak dan berusaha untuk memulihkan SPR sebagai sebuah badan yang berwibawa," katanya ketika menyampaikan ceramah di Markas PAS Simpang Empat dekat sini 17 Januari lalu.

Bidaahkah membaca doa awal tahun?

BESERI - Sesetengah pihak di negeri ini menganggap amalan membaca doa akhir tahun dan awal tahun hijriah sebagai suatu amalan bidaah kerana tidak pernah dibuat oleh Rasulllah s.a.w.
Penyataan tentang perkara ini turut disebut oleh para khatib di negeri ini dalam khutbah Jumaat pada minggu lalu.

"Kita bukannya nak pertikai fahaman pihak-phak tertentu dalam masalah sebegini. Memanglah perkara sebegini tak dibuat oleh Nabi s.a.w. dulu, tapi salahkah kita memulakan tahun baru Islam dengan berdoa?

"Allah Taala pun berfirman dalam al-Quran yang bermaksud berdoalah kamu kepadaKu, nescaya Aku pekenankannya," kata Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Zolkharnain Abidin Al-Hafiz.

Menurutnya, perkara-perkara sebegini yang tidak melibatkan ibadat khusus seperti solat tidak sepatutnya diperbesarkan sehingga boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

Katanya lagi, lebih banyak perkara besar yang perlu diberikan penumpuan seperti krisis keruntuhan akhlak dan gejala kegoncangan aqidah yang sedang melanda umat Islam khususnya di negara ini.

"Kalau nak sebut tentang perkara bidaah, tahun hijrah pun tak ada zaman Nabi dulu. Ianya mula dikira pada zaman Saiyidina Umar memerintah.

"Sepatutnya khutbah Jumaat lah tempat paling sesuai digunakan bagi menerangkan ancaman-ancaman yang melanda umat Islam hari ini kerana pada hari itu ramai orang berhimpun," ujarnya selepas menyampaikan kuliah maghrib mingguannya di sebuah surau dekat sini malam semalam.

Pemuda PAS Perlis edar poster cari Sharlinie

PADANG BESAR, 14 Jan - Sebagai tanda prihatin dengan kes kehilangan adik Sharlinie Mohd. Nashar, 5, Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) turut mengedarkan poster beliau di pekan Padang Besar semalam.

Poster berkenaan diedarkan di sekitar Arked Niaga Padang Besar, Kompleks Bebas Cukai dan kawasan pekan.

Sebanyak seribu keping poster Sharlinie berjaya diedarkan oleh kumpulan yang disertai Exco DPPPs, AJK Pemuda Padang Besar dan Pemuda Dun Titi Tinggi.

"Seperti yang disebut dalam media, kanak-kanak yang diculik juga mungkin dibawa lari ke negara jiran. Jadi sebagai tanda prihatin kita turut mengedarkan poster beliau di kawasan berhampiran sempadan ini," kata Ketua DPPPs, Ustaz Ya'akub.

Bagi pihak DPPPs, Ya'akub juga meminta seluruh rakyat mendoakan keselamatan Sharlinie semoga beliau dapat pulang ke pangkuan keluarganya dengan selamat.

"Semoga ibu bapa Sharlinie dan seluruh keluarganya bersabar menghadapi dugaan Allah, mudah-mudahan dengan berkat doa semua, beliau akan kembali ke pangkuan keluarga," katanya lagi.

Sharlinie diberitakan hilang pada hari Rabu, 9 Januari lalu ketika sedang bermain di taman permainan berhampiran rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya.

Thursday, January 03, 2008

Krisis Shahidan vs musuh - Nanah bisul Umno Perlis sudah pecah


Petikan Harakahdaily
KANGAR-Jika diamati, negeri Perlis yang saiznya hampir sama luas dengan daerah Kubang Pasu di Kedah tidak mempunyai banyak permasalahan politik, baik di pihak Umno-BN mahupun parti pembangkang.

Dengan berslogankan 'Permai lagi Mempersonakan', segala perjalanan politik dan pentadbiran negeri nampak seperti rutin di kaca mata rakyat.

Ada parti pemerintah, ada seorang pembangkang di Dewan Undangan Negeri (Dun), semuanya nampak seperti biasa sehinggalah Sabtu lalu bila Setiausaha Agung Umno yang juga Ahli Parlimen Kangar, Dato' Seri Radzi Sheikh Ahmad mengeluarkan satu kenyataan bahawa Menteri Besar Perlis perlu ditukar.

Selain itu, beliau juga menyatakan Umno Perlis kini berada dalam keadaan kucar-kacir dan tidak bersatu.

Kenyataan beliau ini walaupun dilandaskan atas dasar beliau sebagai Setiausaha Agung parti, namun implikasinya terhadap politik Perlis adalah besar.

Tidak kira apa juga respon daripada pimpinan Umno terhadap kenyataan Radzi itu, yang pastinya ada sesuatu yang tidak kena sehinggakan beliau sanggup berkata demikian.

Masalah perbalahan dan perebutan kuasa merupakan perkara biasa dalam Umno dan boleh didengar di mana-manapun hatta di Perlis yang hanya mempunyai tiga kawasan parlimen dan 15 Dun.

Sepatutnya dalam situasi begini, Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim tidak menghadapi banyak masalah mentadbir negeri yang mempunyai biangan penduduk tidak sampai 300 ribu orang ini.

Apapun sejak beliau menjadi Menteri Besar pada tahun 1995 banyak perkara yang timbul apatah lagi mejleang setiap kali pilihan raya umum (PRU).

Menjelang PRU tahun 1999, beliau dikatakan bermasalah dengan Ahli Parimen Padang Besar, Dato' Azmi Khalid yang dilihat sebagai saingannya untuk jawatan Menteri Besar.

Pada tahun 2004, timbul pula Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beseri, Dato' Zahidi Zainul Abidin yang pada masa itu dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri.

Shahidan pula pada mulanya sudah terkeluar daripada senarai calon Menteri Besar.

Menjelang PRU ke 12 pula, timbul pula cakap-cakap bahawa Radzi akan baik menjadi Menteri Besar. Selain itu, satu lagi nama yang disebut-sebut ialah Ahli Parlimen Arau, Dato' Seri Utama Syed Razlan Jamalullail.

Keadaan ini meresahkan Shahidan, apatah lagi dengan kenyataan Radzi yang dibuat selepas melancarkan Gerak Kerja Pilihan Raya Umno Bahagian Padang Besar Sabtu lalu.

Ironinya, kenyataan Radzi yang meletuskan satu ledakan besar itu cuba ditenangkan oleh dua orang pemimpin Umno lain yang turut berada di Perlis minggu lalu.

Mereka ialah Ketua Menteri Melaka, Dato' Mohd Ali Rustam dan Timbalan Menteri Penerang, Dato' Ahmad Zahid Hamidi yang hadir hadir ke Perlis dalam perhimpuanan Agung Tahunan Pergerakan Belia 4B Malaysia.

Ali dan Zahid senada menyebut Radzi tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu dan permasalahan dalaman parti perlu dibincangkan oleh pucuk pimpinan parti.

Apapun, rakyat Perlis sudah tentu mahu Shahidan menunaikan hasratnya pada tahun 2003 lalu yang mahu kekal sebagai Menteri Besar sepenggal lagi.

Begitu juga umum mahu melihat beliau beundur bersama-sama barisan Exco kerajaan negeri apabila tidak diperlukan oleh pucuk pimpinan seperti yang pernah disebutkannya pada rahun yang sama dahulu.

Umno Perlis berpuak-puak,ramai orang tak suka sikap Shahidan

Apabila naik memegang tampuk kerajaan Perlis sekali lagi, Shahidan terus berada dalam keadaan yang kukuh, lebih-lebih lagi beliau dilihat sebagai Menteri Besar paling pemurah di Malaysia.

Apa tidaknya, beliau begitu mudah menganjurkan majlis-majlis sumbangan kewangan kepada pelbagai pihak khususnya pada setiap malam di bulan Ramadan.

"Mana ada MB lain boleh buat macam tu. Tiap-tiap malam tabur duit, bagi barang letrik dan hamper, banyak duit Shahidan ni," kata seorang pemimpin Umno Bahagian Kangar.

Seperti kata Radzi yang menyebut Umno Perlis tidak bersatu. Itulah kenyataannya dan keadaan ini sudah disebut-sebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sebagai contoh, pada tahun 2005 wujudnya budaya surat layang di kalangan orang-orang Umno Perlis sendiri.

Antaranya adalah berkaitan seruan untuk merubah pimpinan Umno negeri kepada satu "team" baru yang diketuai oleh Syed Razlan. Turut tersenarai dalam "team" tersebut adalah beberapa orang pimpinan Umno negeri termasuk seorang Adun dalam parlimen Arau.

Adun tersebut pernah ditegur secara sinis oleh Shahidan pada sidang Dun Perlis. Ketika itu, Adun tersebut mencadangkan agar ditubuhkan syarikat-syarikat tertentu dengan menggunakan kepakaran dari kakitangan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri.

Shahidan menjawab,"elok juga cadangan Yang Berhormat tadi. Sebagai contoh satu syarikat percetakan, boleh cetak surat layang banyak-banyak".

Cara beliau bercakap sebeginilah yang tidak disukai orang ramai. Begitu juga dengan sikapnya yang suka menunjuk-nunjuk dan menonjolkan diri.

Dalam sidang Dun Perlis juga beliau pernah memperli seorang wakil rakyat dari MCA yang baru pulang dari menghadiri perhimpuan agung tahunan parti itu.

"Yang Berhormat ni saya lihat mungkin penggal terakhir duduk dalam dewan ni sebab hari tu dalam pemilihan parti, dia berada dalam kem lain," kata Shahidan.

Semasa beliau mula menjadi Menteri Besar dahulu, bagitu banyak memorandum persefahaman yang ditandatangani ununtuk membawa pelabur-pelabur ke negari Perlis, tetapi hanya berapa kerat sahaja yang dapat direalisasikan.

Ketika sedang kecoh berkaitan isu royalti minyak Petronas, beliau juga mahu negeri Perlis diberikan royalti. Keyataan beliau ditempelak ramai pihak dengan menyatakan Perlis hanya layak diberikan royalti minyak gamat.

Semasa menyertai program Bersama Menteri di RTM1, Shahidan pernah menerima panggilan yang mengucapkan tahniah kepadanya kerana memperolehi PhD. Responnya cukup membuatkan orang menyampah. Katanya beliau hairan bagaimana pemanggil tersebut tahu tentang perkara tersebut dan dia tak mahu diheboh-hebohkan sangat.

"Kalau boleh saya nak dapat dua-tiga lagi ijazah. Lepas tu nak panggil apa kat saya pun tak apa," katanya.

Begitu juga ketika memberikan respon selepas memenangi jawatan presiden sebuah persatuan sukan, Shahidan berkata yang dia kalau boleh mahu memegang dua atau tiga lagi persatuan sukan.

Selain dari tiga orang Ahli Parlimen yang disebutkan di atas dan Zahidi, Shahidan juga dilihat suka bermusuhan dengan ramai orang dari kalangan pimpinan Umno Perlis sendiri.

Beliau mendakwa pernah menjadi bahan tohmahan beberapa orang pimpinan Umno Perlis yang mahu menjatuhkannya.

Antaranya, Baharudin Ahmad (bekas YDP Majlis Perbandaran Kangar yang didakwa atas tuduhan rasuah), Zainudin Yom, Bahari Ali, Azmi Suboh dan Ammar Hassan.

Tidak cukup dengan itu, beliau dikatakan sering mensabotaj program-program yang dihadiri oleh ketiga-tiga ahli parlimen dari Perlis.

Berita yang sering didengar hanpir sama iaitu "Shahidan tak bagi JKKK dan pegawai kerjaan hadir dalam program Radzi" atau "Shahidan arahkan guru-guru supaya jangan hadir program Syed Razlan".

Shahidan vs Radzi

Dengan Radzi pula timbul "perang mulut" beberapa bulan lalu berkaitan isu pengambilan pekerja asing di Perlis.

Shahidan menyatakan bahawa Perlis tidak akan menerima sebarang kemasukan pekerja asing sedangkan Radzi pula menyatakan bahawa negeri-negeri tidak ada hak untuk menolak pekerja asing.

Bagaimanapun,Radzi selaku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri mendedahkan jumlah pekerja asing yang berdaftar di Perlis adalah seramai 5,480 orang termasuk lima orang pembantu rumah warga Indonesia yang bekerja di rumah Shahidan sendiri.

Walaupun percaturan ini membabitkan masalah pentabiran, tetapi umum melihat wujudnya konflik peribadi di situ.

Mendengar kenyataannya Sabtu lalu, seorang sahabat lama seakan-akan tidak percaya kenyataan itu datangnya dari Radzi.

"Saya kenal dia dari masa sekolah dulu. Radzi bukan jenis macam tu, dia ni jenis sayang kat parti, bukannya jenis keluar "statement" terbuka macam hari tu.

"Ini sudah tentu ada benda besar yang sedang bergelombang dalam Umno Perlis hari ini," jelasnya.

Pembangunan di Perlis

Perlis sebagai sebuah negeri kecil dengan hasil yang sedikit juga tidak terlepas dari aspek pembangunan semasa Shahidan menjadi Menteri Besar.

Banyak projek besar dibawa masuk khususnya untuk merealisasikan Perlis sebagai negeri pendidikan (UniMap, Politeknik), penubuhan sebuah stesen janakuasa elektrik di Sungai Baru serta pembinaaan bangunan-bangunan besar.

Bagaimanapun, Perlis masih lagi dilihat sebagai negeri yang terkebelakang dari aspek pembangunan dan kemajuan.

Pendapatan per kapita negerii menunjukkan trend penurunan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak projek yang dibuat gagala dimanfaakan rakyat, ada beberapa projek rumah kos murah belum dapat diduduki rakyat dan banyak lagi projek yang membazirkan wang rakyat.

Begitu juga, banyak projek-projek besar di Perlis dibolot oleh kroni beliau khususnya Bintong Construction dan Gapura Sdn Bhd.

Cakap-cakap bab penyelewengan dan salahguna kuasa juga kedengaran.

"Apa sudah jadi dengan Perlis, wang Baitul Mal pun depa gauan bawa JKKK pi Medan?," soal seorang veteran Umno.

Rakyat mahu perubahan?

Selain itu, banyak topik menarik tentang politik di negeri Perlis kini dibincangkan pada ruangan Forum di lamanweb AnakPerlis.com. Antara tajuk yang paling hangat ialah "Siapa yang layak ganti Shahidan", "Perubahan Politik di Perlis", "Berapa lama lagi Shahidan boleh bertahan" , "Kalau Shahidan bukan MB Perlis" dan banyak lagi.

Forum sebegini juga membuktikan rakyat Perlis dama ada yang tinggal di dalam mahupun luar Perlis turut berminat mengikuti suasan politik di negeri ini secara serius.

Begitu juga sudah dua kali laman web ini membuat undian online berkaitan kepimpinan negeri. Pertamanya undian atas tajuk "Setujukah anda jika Shahidan terus menjadi MB Perlis?".

Ternyata 70 peratus responden mengatakan bersetuju. Manakala undian terbaru ialah "Perubahan politik yang bagaimanakah yang anda perlukan untuk negeri Perlis ?" Setakat hari ini lebih 47 peratus responden mahukan perubahan daripada Parti pemerintah kepada PAS dan KeADILan.

Pun begitu ramai yang masih beranggapan Shahidan sukar untuk digugat di Perlis. Sifat "pemurahnya" disukai orang ramai yang mengagihkan sumbangannya.

Beliau juga dikepung oleh pimpinan umno negeri yang seperti beberapa orang wakil rakyat, pimpinan pemuda, wanita termasuk adiknya sendiri, Senator Ismail Kassim.

Apapun Umno Perlis tetap berkocak. Riak yang kecil tentang kepimpinan Umno negeri semakin lama-semakin kuat sehingga menimbulkan gelombang yang kuat.

Dari masalah perebutan jawatan, masalah penyelewengan sampai ke masalah peribadi dan akhlak semuanya menjadi rencah yang menyeliputi Umno Perlis.

Ibarat kudis kecil yang membengkak, semakin lama semakin besar menjadi bisul.

Akhirnya bisul Umno Perlis yang membengkak selama ini pecah juga dengan kenyataan Radzi Sabtu lalu. Nanahnya mengalir keluar dan dapat dihidu orang ke sekuruh pelusuk tanahair.