Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Thursday, July 12, 2007

Tambah anggota polis tidak jamin kadar jenayah turun

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 12 Julai (Hrkh) - Penambahan anggota pasukan polis di negara ini untuk menampung keperluan tidak menjamin penurunan kadar jenayah tanpa pelaksanaan syariat Islam, demikian kata Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Hashim Jasin.

Beliau mengulas cadangan kerajaan menambah dua lagi pusat latihan polis bagi menampung pertambahan anggota seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin.

Ustaz Hashim yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis melihat cadangan sedemikian tidak perlu jika undang-undang yang berlandaskan syariat Islam dilaksanakan di negara ini.

"Sebagai contoh, jika undang-undang jenayah Islam dapat dilaksanakan, dengan sendirinya hampir keseluruhan daripada masalah jenayah dan gejala sosial dapat diselesaikan," katanya.

Menurutnya lagi, apabila tiada pelaksanaan syariat Islam, kadar jenayah di negara ini berada pada tahap yang begitu membimbangkan.

"Kita menerima padahnya apabila syariat Islam ditolak," ujarnya.

Beliau berpandangan bahawa penambahan anggota polis dengan dibina pusat latihan tambahan ini tidak menjamin akan menurunkan kadar jenayah mahupun gejala sosial di negara ini.

"Ubatnya hanya satu jalan sahaja iaitu laksanakan undang-undang berasaskan syariat Islam," tegasnya.

Ditanya sama ada pelaksanaan syariat Islam ini akan mendatangkan kekeliruan bagi negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, Ustaz Hashim tidak melihat ini sebagai satu masalah.

Baginya, jika pelaksanaannya dibuat dengan penjelasan secara menyeluruh kepada rakyat, lama-kelamaan ianya akan dapat diterima umum.

"Saya yakin jika kita buat undang-undang Islam dan rakyat diberi penjelasan terlebih dahulu, mereka akan dapat menerimanya. Kita ambil contoh hukum bunuh untuk pengedar dadah, kini semua orang sudah faham dan dapat terima. Buat dulu baru tahu, selain dari itu, pahala pun dapat," jelasnya.

No comments: