Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, May 25, 2007

ELAK BUDAYA POLITIKING DALAM PEMILIHAN PARTI

KENYATAAN MEDI RASMI ANGKATAN MUDA KEADILAN
BAHAGIAN PADANG BESAR

Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat Bahagian Padang Besar ingin menyatakan kebimbangan di atas politiking yang berlaku di dalam pemilihan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang bakal berlangsung Jumaat ini.

Kami membantah sekeras-kerasnya sebarang bentuk campurtangan kepimpinan parti di dalam pemilihan AMK. Biarlah perwakilan AMK sendiri yang menentukan siapa yang berhak dipilih oleh mereka tanpa perlu tunjuk ajar oleh sesiapapun.

AMK Bahagian Padang Besar menyeru agar semua pihak dalam AMK khususnya dan induk amnya supaya tidak menyemai bibit-bibit permusuhan antara satu sama lain yang berasaskan kumpulan atau bangsa atau ideologi masing-masing. Marilah kita berkongres dengan penuh semangat persaudaraan dan memfokuskan kepada agenda untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum yang dijangkakan akan diadakan dalam tahun ini juga.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah milik semua ahli dan pendokong keadilan dan kebenaran. PKR bukan milik mana-mana individu atau dinasti! PKR adalah parti yang memperjuangkan rakyat, bukannya sebuah parti yang ditubuh untuk memperjuangkan agenda peribadi sesiapapun.

Fokus kita wajib terarah kepada penggubalan satu polisi untuk kesejahteraan rakyat bukannya memperjuangkan agenda peribadi. Rakyat yang hari ini semakin dihimpit dengan kenaikan kadar inflasi dan kos hidup yang semakin tinggi amat memerlukan sebuah parti yang benar-benar ikhlas, telus dan amanah untuk menyelesaikan permasalahan mereka.

Di samping menjurus kepada memperjuangkan rakyat, kita juga wajib menyediakan pelan bertindak seberapa segera untuk memastikan pilihanraya umum kali ini benar-benar bebas dan adil.

AMK Bahagian Padang Besar menyokong sebarang agenda pilihanraya atau pilihan jalanraya demi menjatuhkan penguasa yang korup dan mementingkan ‘tauke’.

AMK Bahagian Padang Besar ingin mengucapkan selamat berkongres kepada seluruh perwakilan yang akan berkampung di Seremban pada hujung minggu ini. Kami mendoakan agar semangat kongres ini dapat diterjemahkan dengan kemenangan besar PKR dan rakan-rakan pembangkang dalam pilihanraya umum nanti.

Selamat berkongres.


AMK BAHAGIAN PADANG BESAR

No comments: