Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, April 21, 2006

Ekonomi Perlis dalam bahaya
Oleh : BASHIR ISHAK
Kategori : Berita

Kangar - Penduduk Perlis diminta jangan cepat terperdaya dengan pelbagai janji-janji pembangunan oleh pihak kerajaan yang mana sebahagian daripadanya gagal dilaksanakan.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin berkata demikian ketika mengulas tentang pendedahan akhbar Utusan Malaysia berkenaan dengan kegagalan Taman Perindustrian Sungai Cuchoh, Padang Besar baru-baruini.

Pendedahan itu dibuat sehari selepas Perdana Menteri,Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan lawatan kerja sehari ke negeri Perlis.

Dalam lawatannya, beliau telah merasmikan Hab Halal yang terletak berberapa kilometer daripada Taman Perindustrian yang telah berlangsungnya majlis pecah tanah 10 tahun yang lalu oleh Perdana Menteri yang lepas, Dr Mahathir Mohamad.

Kini setelah bertukar Perdana Menteri, projek tersebut hanya tinggal nama. Bagaimana pula dengan status 21 memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani?

Turut dimuatkan dalam artikel tersebut ialah projek "gajah putih" Kawasan Industri Kecil dan Sederhana(IKS) di Batu Bertangkup, Chuping yang juga terbiar.

Menurut penduduk yang ditemubual oleh Utusan, mereka berharap agar projek Hab Halal tersebut akan menjadi kenyataan tidak seperti projek di Sungai Cuchoh yang terbengkalai.

Menurut Ustaz Hashim, Shahidan sejak mula menjadi Menteri Besar telah menandatangani begitu banyak MoUtetapi tidak satupun yang menjadi.

"Dia ni jenis suka menonjolkan diri tetapi hakikatnya beliau gagal membawa kejayaan dalam ekonomi negeri Perlis," katanya.

Baru-baru ini juga, seorang calon PhD dari sebuah unversiti di Belanda telah menulis dalam Malaysiakini (http://www.malaysiakini.com/opinionsfeatures/49589) tentang ekonomi Perlis yang sedang dalam keadaan tenat.

Dalam artikelnya, beliau mempertikaikan bagaimana Perlis boleh menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2015 dengan sumber-sumber yang terhad.

Walaupun Perlis dianggap sebagai sebuah negeri pertanian, namun sektor tersebut hanya menyumbang lebih kurang 23% daripada keluaran kasar dalam negeri sedangkan lebih 67% disumbangkan oleh sektor perkhidmatan.

Kajian tersebut juga menggariskan tiga masalah utama iaitu perbandingan yang yang tidak menguntungkan berbanding dengan negara jiran, sumber kewangan yang mendesak dan sumber tanah yang terhad.

Sumber kewangan negeri bergantung sepenuhnya kepada geran serta pinjaman daripada kerajaan pusat.

Sektor perkilangan juga dilihat tidak dapat berkembang maju. Untuk sektor ini, Sungai Petani di Kedah dan juga Pulau Pinang dilihat lebih sesuai dan strategik dari segi logistik dan kemudahan lain.

Sebuah kilang pakaian terpaksa memberhentikan operasi beberapa tahun lalu dan baru-baru ini sebuah kilang produk perubatan terpaksa mengurangkan tenaga kerja mereka.

Ustaz Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang melihat keadaan ini menunjukkan Perlis sebagai sebuah kerajaan yang tidak mampu berdikari.

"Rakyat cuba digula-gulakan dengan khabar-khabar pembangunan. Walaupun dilihat agresif dalam membawa pelbagai projek, namun tidak semua dapat dilakasanakan kerana terdapat pelbagai kekangan," katanya.

Menurut sumber daripada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) nisbah pendapatan perkapita Perlis berbanding dengan peringkat nasional juga menunjukkan trend menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Semua faktor ini menjadikan pelbagai pihak mulai melihat kewibawaan kerajaan negeri untuk membawa Perlis sebagai negeri maju menjelang tahun 2015 atau lima tahun lebih awal daripada Wawasan 2020 kerajaan pusat.

"Saya tetap meragui status negeri maju yang mereka laung-laungkan sekiranya keadaan begini berterusan,"kata Ustaz Hashim lagi.