Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Sunday, October 23, 2005

Kisah Kekuatan Iman Di Bulan Ramadhan
Oleh : Harumanis
Kategori : Penulis Jemputan


Bulan Ramadhan bulan yang banyak cabaran dan godaan.Walaupun iblis dikurung dan dirantai,namun harus diingat yang iblis berwajah manusia masih banyak terdapat di bulan Ramadhan ini.Tidak ramai yang sedar akan hakikat ini.Akan tetapi orang yang bencikan maksiat dapat menghidu perangkap yang dipasang oleh juak-juak ini.
Tidak dapat dipastikan bagaimana mereka berhubung sedangkan bos mereka sedang dirantai di tengah laut dan anak buah mereka ada di daratan.Mungkin teknologi 3G yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini menjadi pilihan mereka.Entahlah… atau mungkin ada cara lain yang lebih berkesan.
Saya ada melihat beberapa puak ini yang selamba makan disiang hari tanpa rasa malu dan segan.Mereka tidak ada rasa tanggungjawab untuk menjaga imej Islam yang sebenarnya dibawa oleh mereka tanpa mereka sedar.Kalau perilaku mereka ini dilihat oleh bukan Islam maka bukan Islam akan berkata “Tengok tu orang Islam tak puasa.Kata Islam tu bagus tapi dia orang sendiri tak puasa,”Secara tak langsung,imej Islam akan terjejas di mata mereka.
Malang bagi kita kerana hanya mampu untuk melihat sahaja dan tiada daya untuk mencegah mereka dari melakukan perkara terlarang itu.Saya tidak fikir ramai yang akan melarang mereka-mereka ini kerana lemahnya iman kita.Jadi mereka akan terus bebas melakukan perkara itu tanpa rasa segan kepada masyarakat.Ibarat mereka yang kencing di tengah jalan tapi kita pulak yang disergah kerana melihat mereka.Akhirnya yang malunya kita.
Dari sudut undang-undang juga tidak banyak membantu kita.Jangan cakaplah kalau pasal nak mencegah maksiat ni.Dulu Pasukan Badar di Selangor habis lingkup.Seorang ahli Pasukan mencegah maksiat di Kulim dahulu ditembak mati.Tinggallah menjanda isterinya dan yatim anaknya.Kes JAWI lawan The Zouk mungkin masih segar dalam kita semua.Pi mai pi mai kita jugak yang kalah.
Tetapi pujian harus di berikan kepada seorang imam di sebuah masjid di Kangar. Beliau baru-baru ini telah membuat satu perkara yang membanggakan dan diatas keberanian dan keimanannya beliau telah berjaya memberi tekanan kepada tauke kedai yang menjual makanan secara terbuka kepada orang ramai seawal 11pagi untuk tidak lagi menjual makanan pada awal pagi.Mungkin bagi sesetengah orang perkara ini tidaklah sebesar mana tetapi kalau ianya tidak didasarkan atas keberanian dan keimanan maka ianya mungkin tidak berjaya.Apatah lagi jika dilihat kuasa yang dia ada tidaklah seberapa.
Dikatakan pak imam kita ini bertindak berdasarkan aduan anak kariahnya yang tidak senang dengan perkara itu.Maka pak imam dengan rasa tanggungjawab iman telah membuat pengumuman di masjid pada hari Jumaat dan bertanya tentang bagaimana untuk mencegah perkara ini.Namun Nahi Mungkar mesti ada harganya.Beliau telah diserang oleh tauke kedai itu pada petang itu juga.Beliau telah dimarahi oleh tauke kedai itu dengan agak teruk juga.Tetapi hasilnya,keesokkan harinya kedai itu tidak lagi menjual makanan pada awal pagi.Alhamdulillah ma’ruf telah mengatasi mungkar.
Sebagai pengajaran kepada kita,setiap nahi mungkar itu akan ada kesakitannya. Tetapi siapa yang sanggup untuk membeli kesakitan itu semata-mata nahi mungkar?Pak imam kita itu sebagai contoh.Dia telah membeli kesakitan itu walaupun dia tahu yang si tauke kedai itu adalah seorang yang cengei (garang).Namun adakah lagi orang yang berjiwa seperti pak imam kita ini?Mungkin ada tapi persoalan lain pula ialah berapa ramai?Saya percaya hanya orang yang terpilih sahaja yang dapat melakukan tugas ini dan orang yang terpilih itu pastinya amat sikit bilangannya sebagaimana barangan terpilih dalam hidup kita tidak akan mencapai bilangan ratus.Mungkin satu,dua atau tiga.Bayangkan 73 jalan,hanya satu jalan yang diterima.Ya Allah masukkan kami sebagai hamba pilihanMu.Amin