Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Monday, February 13, 2006


Dato' Rosli Ibrahim dan 3 lagi sertai PAS
Oleh Wan Johari Omar
Petikan : Harakahdaily

IPOH, 12 Feb (Hrkh) - Bekas Setiausaha Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Ahmad Rosli Ibrahim bersama tiga lagi tokoh Umno Kelantan diisytiharkan menyertai PAS hari ini oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Persiytiharan itu dibuat oleh Presiden PAS selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di sebuah hotel dekat sini tengahari ini.

Tiga lagi adalah bekas calon Umno dalam pilihan raya 1999, Wan Ahmad Fuad Wan Abdullah, Asmari Che Ali dan Ibrahim Mamat.

Permohonan ke empat-empat mereka menyertai PAS diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat hari ini.

Usul mengenainya dibawa oleh Naib Presiden PAS yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Husam Musa.Penyertaan mereka disifatkan satu perkembangan yang sangat menarik tentang politik Kelantan ketika Umno dengan pelbagai usaha cuba untuk merampas negeri itu dari PAS.

Iktiraf kemenangan Hamas:

Dalam sidang media yang sama juga Presiden PAS sekali lagi mendesak kerajaan dan dunia mengiktiraf kemenangan gerakan Islam Hamas di Palestin.

Ini kerana, Hamas telah memenuhi segala syarat dunia untuk berpolitik secara aman dan melalui sistem demokrasi yang dianjurkan oleh Barat sendiri.

Hamas menang besar dalam pilihan raya Palestin baru-baru ini dengan mengalahkan Fatah, kumpulan yang dipimpin oleh Mahmud Abbas dan ditubuhkan oleh Yassir Arafat.

Kemenangan ini satu pencapaian besar gerakan Islam dunia selepas Ikhwanul Muslimin mendapat kerusi yang agak banyak dalam pilihan raya Mesir.

Kemenangan ini juga memberikan semangat baru kepada PAS dan juga gerakan Islam lain di Asia Tenggara.

PAS alu-alukan kenyataan Shahrizat:

Sidang media PAS hari ini juga mengalu-alukan kenyataan Menteri Pembangunan Keluarga dan Wanita, Dato' Shahrizat Jalil yang menyokong Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan yang kini ditahan dari dilaksanakan oleh kerajaan.

Sebelum ini, Shahrizat adalah antara pemimpin wanita yang lantang mengkritik undang-undang Islam .Shahrizat sebelum ini, dalam sidang medianya bersama Peguam Negara menyokong undang-undang itu dan memberi jaminan ia tidak akan menganiaya wanita.

Langkah ini berbeza dengan rakan-rakan beliau sebelum ini, Sister in Islam, yang menentang penuh rang undang-undang itu dengan menyifatkannya sebagai menekan wanita.

Sunday, February 12, 2006

Multi Level Marketing (MLM) Haram? Bhg 2
Kategori : Surat Pembaca
Oleh : Abu Ameer Mujahid


Inilah beberapa tafsir mengenai al-bai’ain fial-bai’ah (dua aqad jual beli dalam satu aqad jualbeli); atau yang dikenali sebagai al-‘aqdain fial-‘aqd, atau al-shafqatain fi al-shafqah. Salah satu penafsiran mengenai shafqatain fi shafqah adalah dikaitkannya jual beli dengan syarat-syarat tertentu yang boleh membatalkan sebuah transaksi jualbeli.

Oleh kerana itu, bila sesuatu transaksi jualbeli yang dikaitkan dengan syarat-syarat fasid, maka transaksi tersebut dikategorikan sebagai “dua aqaddalam sebuah aqad”. Transaksi sebegini dikategorikan sebagai transaksi yang diharamkan. Namun, jika suatu transaksi dikaitkan dengan syarat-syarat yang lazim,maka syarat ke atas transaksi tersebut bukanlah perkara yang haram.

Untuk itu, kita harus memahami terlebih dahulu syarat-syarat yang lazim dan syarat-syarat yang tidak lazim (syarat fasid), agar kita boleh membezakan samada syarat tersebut dikategorikan sebagai syarat yang boleh membatalkan jual beli atau tidak. Para fuqaha mengklasifikasi syarat-syarat jual beli(transaksi) kepada dua bahagian.

Pertama, syarat shahih lazim. Shahih lazim adalah transaksi yang sesuai dengan tuntutan aqad. Syarat lazim terbahagi kepada tiga:

1. Syarat yang menjadi tuntutan jual beli. Syarat ini wajib dipenuhi, dan menjadi syarat sahnya sebuah transaksi. Contohnya, sahnya pertukaran adalah adanya pertukaran barang dengan barang; syarat sahnya jualbeli adalah dengan adanya pertukaran barang dan pelunasan pembayaran. Suci dari najis merupakan syarat sahnya sholat, dan lain sebagainya.

2. Syarat yang berhubungan dengan kemashlahatan aqad.Misalnya, syarat penangguhan pembayaran ke atas transaksi tertentu. Jika seseorang mensyaratkan transaksi boleh berjalan jika pembayaran dilakukan secara kredit, maka syarat sebegini dibolehkan. Jika syarat-syarat tersebut dipenuhi, maka transaksi harusdijalankan. Namun jika syarat-syarat tersebut tidakdipenuhi, maka pembeli berhak membatalkan aqad, dengan alasan tidak memenuhi syarat.

3. Syarat yang manfaatnya diketahui oleh penjual dan pembeli. Misalnya, jika transaksi jual beli rumah terjadi, maka penjual rumah boleh menempati rumah tersebut selama 1 atau 2 bulan sebelum diserahkan kepada pembeli. Syarat semacam ini tidaklah membatalkan transaksi jual beli tersebut, dan tidakdikategorikan sebagai dua aqad dalam satu aqad.

Syarat Fasid. Syarat fasid pula ada beberapa kategori:

1. Syarat yang membatalkan aqad sejak daripada awalnya. Misalnya, seorang penjual berkata, “Aku jual kepadamu rumahku dengan syarat kamu harus menjual barangmu yang ini, atau kamu harus meminjami aku barang ini atau itu…” Syarat semacam ini dilarang,berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Tidak dihalalkan salaf (hutang) dengan penjualan, dan tidak pula ada dua syarat dalam satu jual beli.” [HR.at-Tirmidzi]. Contoh yang lain adalah, “Aku jual kepadamu barangku ini, dengan syarat engkau kawini anakku.”

2. Syarat yang meniadakan tuntutan aqad, tapi aqadnya tetap sah. Transaksi semacam ini batal, misalnya, jika disyaratkan pihak pembeli tidak boleh rugi pada saat menjual. Contoh lain adalah, penjual mensyaratkan kepada pembeli tidak boleh menjual barangnya, atau tidak boleh menghibahkannya; dan lain sebagainya.

3. Syarat yang tidak mengesahkan aqad. Syarat-syarat semacam ini biasanya dikaitkan dengan waktu yang akan datang. Misalnya, seorang penjual berkata, “Aku jual kepadamu barang ini, jika si fulan telah merelakannya,atau jika kamu menemuiku di tempat ini dan itu.”

4. Terdapatnya dua syarat dalam satu transaksi jualbeli. Misalnya, pihak pembeli mensyaratkan agar yang memotong dan membawa kayu adalah penjualnya sendiri.Syarat semacam ini batal, berdasarkan sabda RasulullahSAW: “Tidak dihalalkan salaf (hutang) dan penjualan; serta dua syarat dalam satu transaksi jual beli.” [HR.at-Tirmidzi].

Inilah syarat-syarat yang boleh membatalkan aqad dan yang tidak membatalkan aqad. Secara umum, jika seseorang masuk ke dalam jaringan MLM, maka dia diminta untuk mengisi borang(administratif), dan disyaratkan untuk melakukan pembelian dengan item dan harga tertentu.

Seterusnya dia disyaratkan melakukan penjualan dengan kaedah mencari downline sebanyak-banyaknya. Jika dia berjaya mendapat downline, maka dia akan mendapatkan komisyen diatas kejayaannya mendapatkan downline, serta komisyen atas pembelian (kegunaan peribadi) yang dilakukan oleh downlinenya atas barang yang diperjualbelikan dalam MLM tersebut.

Demikian seterusnya, jika downline mendapatkan lagi downline berikutnya, maka ia akan mendapatkan komisyen. Jika syarat-syarat ini dipenuhi, maka seseorang itu sah menjadi anggota MLM. Kebanyakan MLM, terdapat komisyen bagi upline dari pembelian yang dilakukan oleh downline-downlinenya hingga ke bawah; atau berasal dari penjualan yang dilakukan oleh upline.

Jika downline-downline tersebut tidak aktif; tidak melakukan pembelian ke atas barang atau melakukan penjualan barang, maka upline tidak akan mendapat komisyen lagi. Begitu pula jika seorang berada pada posisi downline terakhir (berada pada posisi paling akhir dari rangkaian MLM), tentunya ia tidak mendapatkan apa-apa kecuali jika dia sendiri melakukan membeli barang untuk diguna sendiri).

Kesimpulan dari fakta di atas bahawa di dalam MLM ada aktiviti mencari downline dengan komisyen tertentu,penjualan, dan penggunaan produk MLM. Fakta Dua Aqad Dalam Satu Transaksi Dalam transaksi penjualannya, kebanyakan MLM melakukan dua aktiviti berikut ini:

1. Penjualan oleh ahli syarikat MLM kepada orang lain yang tidak mahu terikat dengan syarat-syarat keahliaan tertentu (orang yang tidak ingin menjadi ahli MLM).Dalam kes ini, ahli hanya mendapatkan komisyen dari penjualan produk saja. Transaksi sebegini bukanlah sesuatu yang terlarang di dalam Islam.

2. Penjualan oleh ahli kepada seseorang yang diikat dengan syarat tertentu. Dalam kes ini, seorang ahli MLM disyaratkan untuk membeli sekaligus menjadi agen dalam mencari down line. Fakta pengkaitan dan pensyaratan jual beli dengan sistem ejen (samsarah) semacam ini terlihat tatkala perusahaan tersebut menjual barang pada seseorang yang telah menjadi ahlinya, maka pembeli tersebut disyaratkan menjadi agennya dalam urusan mencari downline-downline.

Pembeli yang sebenarnya juga ejen syarikat MLM ini akan mendapatkan komisyen dari transaksi jual beli dan sistem agen yang dilakukannya.Dengan kata lain, MLM ini sebenarnya sedang menjual barang kepada seseorang yang disyaratkan menjadi agennya.

Amalan sebegini telah menggabungkan di antara jualbeli dengan sistem agen; sehingga tergolong sebagai shafqatain fi shafqah yang diharamkan di dalam Islam.Rasulullah SAW bersabda: “Tidak dihalalkan salaf (hutang) dengan penjualan, dan tidak pula ada dua syarat dalam satu jual beli.” [HR.at-Tirmidzi].

Di dalam perniagaan MLM, transaksi akan terbatal tidak hanya berhubung kait dengan agen di atas agen dan shafqatain bi al-shafqah, akan tetapi kadang-kadang juga berhubung kait dengan harga jualan yang terlalu tinggi (ghabn al-fâkhîs). Kami cuba menjelaskan hukum mengenai MLM secara terperinci dan mendalam semoga umat Islam tidak berada di dalam transaksi yang HARAM!

Wallahu a'lam bi al-shawab

Terima kasih kepada pemgirim
Pemain-pemain bolasepak bendang sedang mempamerkan kehebatan masing-masing


Karnival Sukan Rakyat Musim Kemarau meriah
Oleh : Mat Teropong
Kategori : Berita

Simpang Empat 11hb Feb : Karnival Sukan Rakyat Musim Kemarau anjuran Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPP) yang berakhir hari ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari penduduk tempatan.

Karnival yang diadakan sempena musim kemarau adalah salah satu program DPPP untuk mendekatkan diri dengan penduduk setempat.Ianya telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Perlis Ustaz Hashim Jasin semalam.
Karnival selama dua hari itu telah diadakan di Kampung Tanjung Gelam, Jalan Sungai Berembang, Simpang Empat.

Menurut Encik Khairudin Mohammad iaitu Pengerusi Penganjuran karnival ini sukan rakyat ini akan diadakan sekali lagi di Bintong Barat pada 25hb Februari ini sempena sambutan 30 tahun PAS Kawasan Kangar.

Pertandingan bolasepak bendang lima sebelah adalah antara sukan yang dipertandingkan dan sebanyak 36 pasukan telah menyertainya.Turut diadakan ialah pertandingan wau.

Saturday, February 11, 2006

8,000 berhimpun, bantah penghinaan ke atas Nabi
Oleh Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Hrkh) - Lebih 8,000 orang berarak, menyertai perhimpunan aman di hadapan Kedutaan Denmark di sini hari ini, mendesak pihak akhbar dan kerajaan Denmark serta sekutunya memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam di atas kebiadapan akhbar Jyllands Posten yang memulakan penyiaran karikatur menghina Rasulullah s.a.w.

Demonstrasi aman yang diketuai Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bermula di Masjid Kampung Baru setelah selesai menunaikan solat Jumaat.

Ini merupakan demonstrasi kali kedua yang dibuat oleh PAS Pusat manakala kali pertama dilakukan oleh Pemuda PAS Pusat pada 5 Februari lalu.

Sepanjang perarakan itu mereka melaungkan takbir dan selawat kepada junjungan besar Rasulullah s.a.w. Mereka membawa sepanduk, antara lain bertulis `Boikot produk Denmark', Free-Dumb to insult?,Hancur Denmark dan slogan dalam bahasa Arab.

Turut serta dalam perarakan tersebut, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Naib Presiden, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar; Bendahari PAS, Dr Hatta Mohd Ramli; Ketua Penerangan, Ustaz Ahmad Awang; Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub; Timbalan Ketua Muslimat, Dr Lo'Lo' Mohamad Ghazali; Majlis Tertinggi PKR, Dr Badarulamin Baharom; Exco PAS Pusat, Negeri dan Kawasan.

Dalam perhimpunan di hadapan Wisma Denmark, Tuan Guru Abdul Hadi telah menyatakan bantahan kepada tindakan akhbar Denmark itu dan mengingatkan umat Islam supaya melahirkan kasih dan kecintaan kepada junjungan Besar Rasulullah s.a.w. dengan membuktikan segala kecintaan terhadap baginda hingga ke akhirat.
Katanya, umat Islam perlu meneruskan ketinggian martabat Nabi Muhammad s.a.w. dengan meneruskan segala ajaran dan perjuangannya.

Menurut beliau, walaupun akhbar mempunyai kebebasan tetapi kebebasan itu sudah pasti mempunyai hadnya dan umat Islam tetap menyanjung kebebasan.

"Ajaran Islam mewajibkan kita menjaga keselamatan kedutaan asing walaupun dengan negara yang bermusuh (berperang) kedutaan dan diplomat-diplomat tidak boleh diganggu.

"Ini mesti difahami dan ini merupakan satu gambaran yang sebenar dan hari ini kita menunjukkan gambaran yang sebenar mengenai Islam yang diperjuangkan oleh PAS," katanya.

Beliau berkata, Duta Denmark, Steen Petarson berjanji akan menyampaikan bantahan umat Islam kepada pihak kerajaan Denmark tetapi beliau menyatakan `dia tidak ada hak untuk meminat maaf yang berhak meminta maaf adalah kerajaan Denmark'.

Tuan Guru mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang menjaga keamanan dan dengan kerjasama itu, mereka boleh menjadi saksi di hadapan Allah di akhirat kelak kerana telah mengadakan bantahan terhadap penghinaan Rasulullah s.a.w.

Abdul Hadi bersama timbalannya di Kedutaan DenmarkMohamad Sabu turut menyatakan bantahan dengan mengingatkan umat Islam supaya tidak melayan segala provokosi yang dimulakan oleh puak jahiliah.
Beliau meminta umat Islam memboikot barangan Denmark serta negara sekutunya dengan segera.
Katanya, umat Islam dilarang sama sekali menghina semua nabi serta mana-mana agama sama ada Kristian,Buddha, Hindu dan sebagainya.

Laungan takbir `Allah-u Akbar' menghangatkan lagi perhimpunan aman petang tadi. Walaupun diiringi hujan renyai-renyai, mereka tidak sedikit pun berganjak sebaliknya perhimpunan tetap diteruskan.

Mohamad Sabu berharap pihak akhbar dan kerajaan Denmark perlu segera meminta maaf kepada seluruh umat Islam dan menjaga sensitiviti umat Islam seluruh dunia.

Beliau melahirkan kekesalan kerana sikap kurang ajar yang telah ditunjukkan oleh akhbar `Tribune Sarawak' yang turut menghina Rasulullah s.a.w.

"Jika kerajaan dan akhbar Denmark tidak menarik balik penghinaan itu kami umat Islam di sini akan meneruskan bantahan setiap minggu sehingga pihak terlibat meminta maaf secara terbuka kepada umat Islam," katanya disambut dengan laungan takbir.

Salahuddin Ayub turut menyatakan perhimpunan itu merupakan satu amaran awal dan umat Islam tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang terlibat menghina junjungan besar Rasulullah s.a.w.

Beliau menegaskan Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mesti bertegas mengarahkan negara anggotanya memboikot barang-barangan Denmark serta negara sekutunya.

"Jangan hanya bisu seribu bahasa, kami umat Islam sanggup mati kerana mempertahankan ketinggian martabat Rasulullah," katanya.

Orang ramai bertakbir apabila bendera Denmark diturunkan dan diganti pula dengan kibaran bendera lambang PAS.

Dr Lo'Lo' Mohamad Ghazali dengan penuh semangat mengingatkan suri rumah supaya memboikot barang Denmark.

Katanya, Muslimat PAS mewakili wanita seluruh dunia menyatakan bantahan tehadap penghinaan ke atas Nabi Muhammad.

Ustaz Nasharuddin Mat Isa terkilan dengan seketariat Kedutaan Denmark yang tidak membenarkan wakil delegasi seramai enam orang untuk bertemu dengan dutanya di pejabatnya tingkat 28.

Katanya, hanya tiga orang pimpinan PAS sahaja yang dibenarkan bertemu dan menyerahkan memorandum bantahan terhadap penghinaan Rasulullah iaitu Ustaz Abdul Hadi Awang, beliau sendiri dan Dato' Kamarudin Jaffar.

Sementara itu Ketua Polis Dang Wangi, ACP Kamal Bashar memuji demonstasi yang dipimpin oleh PAS itu berjalan secara aman tanpa sebarang provokosi daripada mana-mana pihak.

Katanya, pihak polis telah mengarahkan seramai 200 orang anggotanya untuk mengawal demonstrasi aman tersebut.

Pegawai di Kedutaan Denmark, Steen Hommel lega kerana demonstasi itu berlaku secara aman.

Beribu-ribu umat berarak membantah penghinaan terhadap Rasulullah di Kedutaan Denmark KL.Beliau berkata pegawai di Kedutaan Denmark berasa selamat dengan kawalan daripada pihak seketariat yang ketat.

Bagaimanapun Steen sedih dengan syor memboikot barangan Denmark kerana tindakan itu mengundang kurang rasa yakin negara Barat untuk mengadakan hubungan dagangan dengan negara ini.

Dato' Kamaruddin Jaffar pula melahirkan rasa gembira di atas sambutan 'luar jangka' umat Islam di negara ini terhadap piket bantahan yang dianjurkan.

Baginya, mesej yang disampaikan hari ini sudah cukup mengingatkan kepada bukan Islam dan negara Barat bahawa umat Islam pantang jika maruah agama mereka diinjak.

Justeru berdasarkan kepada memorandum dan solidariti yang ditunjukkan, PAS mendesak kerjaan Denmark dan negara terbabit membuat permohonan maaaf secara terbuka, katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Parti KeADILan Rakyat (PKR), Ustaz Badrol Amin Bahron pula menyeru seluruh umat Islam bersatu menentang siapa sahaja yang menghina Islam.

"Kita tentang akhbar Denmark, Perancis dan beberapa negara Eropah yang menyiarkan semula karikatur menghina Nabi Muhammad s.a.w. Malah kami menetang keras tindakan akhbar di negara ini yang turut menyiar gambar tersebut," katanya.

Baginya, akhbar itu perlu memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini mahupun di dunia.

Jika kerajaan melalui Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menahan beberapa individu Islam yang dikatakan mengugat keselamatan awam, PKR mahu kerajaan menjelaskan apa tindakan mereka dalam memastikan sensitiviti umat Islam tidak akan diusik selepas kejadian ini, katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin pula menyeru umat Islam di negara ini memboikot barangan keluaran Denmark, Perancis dan negara-negara yang turut serta terbabit menyiarkan karikatur.

Usaha ini perlu dipastikan berjaya bagi mengajar tindakan biadap negara tersebut mencetus kemarahan umat Islam, katanya.

Friday, February 10, 2006

Faezan janji beri khidmat terbaik
Petikan : Berita Harian

KANGAR: Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang baru, Faezan Omar, berazam untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan membantu kerajaan negeri mempromosikan sektor pelancongan.

Beliau yang mengangkat sumpah jawatan itu di depan Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim, pada satu majlis ringkas di sini kelmarin berkata, pelbagai langkah akan diambil bagi menggerakkan semua unit dalam MPK ke arah mencapai tujuan itu.

"MPK jentera untuk membangunkan negeri Perlis bersama-sama dengan kerajaan negeri. Kita tidak mahu hanya dikenali dengan imej mengutip cukai dan menguruskan tempat meletak kenderaan,” katanya selepas majlis angkat sumpah di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar.

Faezan, 53, yang sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) menggantikan Musa Hassan yang kini menjawat jawatan Pegawai Kewangan Negeri. Pelantikan itu berkuat kuasa 15 Januari lalu.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Perlis, Bakar Saad mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar yang baru, menggantikan Jamil Saad yang kini dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Rangkaian Putra, anak syarikat kerajaan negeri dan juga Penolong Pengurus Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).

Faezan berkata, selain memberi tumpuan pada pembangunan negeri dan juga sektor pelancongan, tugas teras MPK tetap terus diberikan perhatian khususnya dalam aspek pengindahan, kebersihan, pengurusan sisa pepejal dan kutipan cukai.

Sehubungan itu, katanya, Unit Pelancongan MPK juga akan diperluaskan fungsinya bagi menggerakkan usaha untuk memajukan kawasan pelancongan.MPK katanya, akan menyokong dan mengadakan kerjasama dengan agensi pelancongan lain termasuk Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) bagi memajukan industri itu.

"Tempat pelancongan seperti Gua Kelam diuruskan oleh agensi yang berkenaan termasuk Pejabat Hutan Negeri tetapi daripada segi pengurusan sepenuh masa tidak ada lagi," katanya.
15 murid SK Guar Nangka keracunan
Petikan : Berita Harian

KANGAR: Seramai 15 murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan Klinik Kesihatan Kampung Gial kerana cirit-birit, muntah dan loya dipercayai keracunan makanan, kira-kira jam 8 pagi semalam.

Kejadian itu kali kedua di sekolah berkenaan dalam tempoh tidak sampai sebulan. Pada 20 Januari lalu, 49 murid sekolah itu dikejarkan ke HTF apabila muntah dan cirit-birit selepas sarapan di kantin.

Semalam, kantin sekolah itu sekali lagi diarahkan tutup dua minggu berkuat kuasa jam 3 petang semalam sehingga 23 Februari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.Arahan itu dibuat selepas Pengarah Kesihatan negeri, Dr Azmi Hashim mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Pelajaran negeri dan pentadbiran sekolah selepas kejadian itu.

“Arahan penutupan itu bagi membolehkan Jabatan Kesihatan menjalankan siasatan terperinci bagaimana kejadian itu berulang,” katanya, semalam.

Lapan murid dikejarkan ke HTF, manakala tujuh lagi dirawat di klinik kesihatan.Semua mangsa mendapat rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang.Media tidak dibenar menghampiri murid berkenaan malah seorang guru mengarahkan mereka tidak ‘buka mulut’.

Semua 15 daripada 48 murid Tahun Enam yang mengalami keracunan makanan itu tinggal di asrama desa dan menyertai acara merentas desa, kelmarin.

Seorang pekerja kantin berkata, mereka menyediakan nasi putih, ikan kembung goreng, sambal tauhu, tembikai dan air kosong untuk makan malam jam 7 malam semalam manakala jam 9 malam murid berkenaan dihidangkan teh dan roti.

Dr Azmi berkata, pihaknya belum dapat memastikan punca keracunan makanan itu kerana ada sesetengah makanan yang dihidangkan kepada murid asrama tidak dimasak di kantin itu.

“Kemungkinan kejadian ini disebabkan bekalan air atau pembekalan makanan yang disediakan di tempat lain,” katanya.

Bantahan petisyen pilihan raya 13 Mac
Petikan : Berita Harian

KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam, menetapkan 13 hingga 15 Mac ini sebagai tarikh mendengar bantahan awal petisyen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir yang difailkan Pas Kelantan pada 4 Januari lalu.

Hakim Datuk Hassan Lah menetapkan tarikh itu bagi mendengar bantahan awal yang akan dikemukakan Barisan Nasional (BN) menerusi calonnya selaku responden pertama, Hanafi Mamat yang memenangi pilihan raya kecil berkenaan.

Ketika prosiding penetapan tarikh itu berlangsung semalam, BN diwakili panel tujuh peguam diketuai Tan Sri Zaki Tun Azmi, manakala Pas Kelantan diwakili 11 peguam yang diketuai Mohamad Ariff Yusof.Tiada bantahan dikemukakan kedua-dua pihak sebaik hakim menetapkan tarikh itu.

Sementara itu, Zaki berkata, pihaknya akan mengemukakan usul terhadap bantahan awal yang difailkan pada 26 Januari lalu supaya mahkamah membatalkan petisyen yang difailkan Pas tanpa perlu perbicaraan.Katanya, jika mahkamah menolak usul bantahan itu, perbicaraan petisyen dijangka diadakan April ini, tetapi jika usul mereka diterima petisyen Pas akan ditolak tanpa perbicaraan.

Dalam petisyen itu, Hanafi dinamakan sebagai responden pertama; Pegawai Pengurus Pilihan raya N12 Pengkalan Pasir, Abdul Halim Ahmad, selaku responden kedua, manakala Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), responden ketiga.

Pada 4 Januari lalu, Pas memfailkan petisyen di mahkamah itu bagi mendapatkan perisytiharan membatalkan keputusan pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir yang berlangsung pada 6 Disember tahun lalu.

Petisyen itu difailkan Setiausaha Dewan Pemuda Pas Kelantan yang juga Ketua Pemuda Pas Pasir Mas, Mohd Ridza Zain, selaku wakil calon Pas yang tewas dalam saingan tiga penjuru dalam pilihan raya itu, Hanifa Ahmad.
Ahli Pas bebas tuduhan tunjuk kemaluan
Petikan : Berita Harian

ALOR STAR: Mahkamah Majistret di sini, semalam membebaskan ahli Pas, Abdul Razak Abas daripada tuduhan menyelak kain dan menunjukkan kemaluan kepada ahli Pergerakan Puteri Umno ketika pilihan raya kecil Anak Bukit, lebih tiga tahun lalu.

Majistret Badrul Munir Mohd Hamdy membebaskan Abdul Razak, 62, daripada tuduhan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.Dalam alasan penghakimannya yang dibacakan selama kira-kira 15 minit, Badrul Munir antara lain berkata, keterangan saksi pendakwa pertama dan kedua bercanggah, sekali gus menjejaskan kes pendakwaan.

“Saksi pertama mengatakan tertuduh memanggil mereka datang ke rumah itu dua kali, manakala seorang lagi saksi memberitahu tertuduh memanggil sekali saja,” katanya.Selain itu, katanya, kegagalan saksi pendakwa kelapan untuk mengadakan kawad cam dengan alasan tidak perlu berbuat demikian turut menjejaskan kes pendakwaan.

Pendakwaan kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd Daud manakala Abdul Razak diwakili peguam Jagdeep Singh Deo.

Bekas calon pilihan raya Pas itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di rumah bernombor 147, Kampung Cegar, Anak Bukit, di sini pada 11 Julai 2002 ketika kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit.Dia didakwa melakukan perbuatan menyelak kain dan menunjukkan kemaluannya kepada ahli Puteri Umno, Yusnita Romli dan jika didapati bersalah boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau keduanya

Pada 26 Disember 2002, Majistret Mohd Redzuan Abdullah membebaskan tertuduh yang berasal dari Rantau Panjang, Kelantan daripada tuduhan berkenaan tanpa dipanggil membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan melampaui keraguan munasabah.Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi di sini mengetepikan keputusan itu selepas mendapati wujud kes prima facie terhadap tertuduh dan Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani mengarahkan kes itu dirujuk semula ke Mahkamah Majistret.

Sementara itu, Abdul Razak yang ditemani isterinya, Syarifah Harzan Syed Agil, 59, ketika ditemui selepas penghakiman itu berkata, dia bersyukur dengan keputusan itu.Katanya, walaupun dibebaskan daripada pertuduhan itu, dia tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa selepas ini.

"Saya tidak akan mengambil sebarang tindakan lanjut terhadap sesiapa. Saya juga tidak berdendam dengan sesiapa dan biarlah Allah yang menentukan sebarang pembalasan. Yang penting, nama dan maruah saya dan keluarga sudah dibersihkan," katanya.
MESEJ KEPADA KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA SEORANG PENAKUT ...
Kategori : Surat Pembaca
Oleh : Suzriman(perbatasan.net)

Kepala Batas :- Dunia hari ini menjadi kucar kacir gara-gara tindakan biadap akhbar Denmark Jyllands Posten mempersenda Islam dengan menerbitkan karikatur Nabi Muhammad saw (yang meundiannya turut diterbitkan oleh akhbar-akhbar Eropah yang lain termasuk di New Zealand kononnya kerana menyatakan solidariti terhadap akhbar Denmark itu).

Tetapi lain pulak dengan Malaysia suatu waktu dahulu Akhbar Harakah pernah menyiarkan kartun yang melampau (yang kononnya melampau) - menghina (bekas PM yang zalim) Tun Dr Mahathir menurut Laporan TV3 BULETIN Pagi TV3 pada pagi , 19 Jun 2003 yang memberi liputan meluas tentang karikator Zunar mengenai "Masalah SAR - Gara-gara Mahazir! Ekoran dari itu lesen Harakah di desak supaya di gantung ada laporan lain yang menyiarkan kenyataan Ketua Puteri UMNO sewaktu itu, menyaran supaya Bangunan Harakah di bakar. Kenyataan itu turut disokong oleh Dato Hishammuddin Tun Hussein dan ramai lagi kepimpinan UMNO.
Dalam satu kenyataan yang sumbernya dari PAS

Tidak cukup dengan gesaan Azalina yang mahukan bangunan Harakah dan akhbar PAS itu dibakar yang menampakkan unsur menghasut, ia turut ditokok tambah oleh Hishamuddin Tun Hussein.Dato' Abdul Hamid Zainal Abidin pula menyifatkannya amat jijik sementara Dr Mahathir mengambil kesempatan mencampur adukkan dengan isu-isu lain seperti Tuhan samseng dan mencarut bagi menggambarkan kekurangan PAS.Ketua Pengarah Jakim maju setapak lagi dengan mengharamkan terus perbuatan Zunar yang menjatuhkan maruah seorang pemimpin Umno. Pada keseluruhannya mereka kelihatan sangat mengambil kesempatan dan enggan menerima maaf yang telah dimajukan oleh PAS. Pantas sungguh reaksi 'orang agama' di Jakim apabila ia menyentuh parti PAS. Terus Haram!

Sewaktu itu memang semua anggota UMNO bangkit - membantah tindakan Harakah dan isu ini menjadi satu isu utama kami dalam menghentam PAS kerana perbuatan nakal Zunar.

Namun hari ini kata seorang ketua yang penakut iaitu Dato Hishammuddin Tun Hussein (yang responnya terhadap isu penghinaan terhadap Rasulullah saw melalui karikatur dalam akhbar Denmark dikira antara yang terlambat) hari ini berkata:”Kalau kita hantar memorandum jawapan dari kedutaan semestinya bahawa mereka tidak dapat menguasai akhbar mereka. Tambahan pula kita tahu penyerahan memorandum tidak akan ke mana dan keduanya kalau kita buat demontrasi ianya akan mengiyakan lagi tuduhan mereka bahawa Islam itu ganas.kita tidak perlu hantar memorandum - kita tidak perlu buat demonstrasi - kita tidak perlu bakar bangunan Serawak Tribune “ tidak perlu boikot barangan Denmark - (memang tidak akan kita buat pun)Lalu Pemuda Umno mengambil langkah yang berlainan iaitu dengan cara mendesak agar dikirimkan suara bantahan. Ianya dihantar samada menerusi telefon, surat, dan e-mail ke kedutaan Denmark agar ianya dapat disampaikan kepada akhbar berkenaan.Tetapi aneh senario penghinaan ke atas Nabi Muhammad tidak membangkitkan kemarahan sebagaimana kita marah sewaktu Zunar menghina Dr Mahahtir.

Ini jelas Dato Hishammuddin Tun Hussein dan seluruh ahli-ahli UMNO seorang penakut dan amat malang sekali mereka (UMNO) tidak merasa hina dan jijik serta membangkitkan kemarahan apabila penghinaan ke atas Nabi Muhammad saw .

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kepala Batas hari ini mencabar Dato Hishammuddin Tun Hussein dan seluruh ahli-ahli UMNO agar turun padang untuk menyertai perhimpunan yang bakal bermula di Masjid Kampung Baru Kuala Lumpur sebaik sahaja selesai Solat Jumaat itu dan berhimpun di perkarangan kedutaan itu di Wisma Denmark. Ini isu Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, bukan manusia biasa seperti Tun Mahathir.



Mesej oleh :-

Nor Suzriman bin Mohamad
-Ketua Penerangan-
Dewan PAS kawasan Kepala Batas

Terima kasih kepada pengirim
'Multi Level Marketing (MLM) HARAM? (Bhg 1)
Kategori : Surat Pembaca
Oleh : Abu Ameer Mujahid

Assalamu'alaikum semua, Sering kita dengar rungutan kolompok masyarakat kitayang tidak begitu suka dengan kaedah penjualanbarangan berasaskan sistem 'multi level marketing'tanpa sebab yang yang munasabah. Biasanya mereka yangtidak menyokong kaedah jualan begini hanya keranadesakan-desakan yang selalu dikenakan oleh 'up line'supaya 'down-line' nya membuat jualan yang banyakdalam tempoh masa promosi untuk meningkatkan jualankumpulan.

Mari kita lihat apa pendapat ulama atau pemikir Islam berkaitan hukum perniagaan MLM ini : Pada dasarnya, hukum MLM ditentukan oleh bentuk muamalatnya. Jika muamalat yang terkandung di dalamnya adalah muamalat yang tidak bertentangan dengan syariat Islam, maka absahlah MLM tersebut. Namun, jika muamalatnya bertentangan dengan syariat Islam, maka haramlah MLM tersebut.

Pada faktanya kebanyakan MLM melakukan dua muamalat yang diharamkan di dalam Islam; iaitu: (1) mengambil komisyen/bonus yang bukan haknya (agendi atas agen), dan (2) dua aqad dalam satu aqad.

Mengambil Komisyen Yang Bukan Haknya (agen di atas agen) Apa yang dimaksudkan dengan agen di atas agen adalah jika seorang agen mengambil komisyen keuntungan dari agen yang lain. Sebagai contoh, Amir adalah agen dari Ahmad untuk menjualkan sebuah rumah. Ahmad mengatakan,bahawa rumah tersebut dijual dengan harga 100 ribu,dan Amir sebagai agen akan memperoleh komisyen sebanyak 10% dari hasil penjualan. Kemudian, Amir bertemu dengan Amar sebagai agen yang lain. Amir berkata kepada Amar, Jika kamu boleh menjualkan rumah Ahmad, maka kamu mendapatkan komisyen 10%, dan saya mendapatkan komisyen 5% dari kamu.

Komisyen yang diambil Amir dari Amar sesungguhnya bukan komisyen yang dibenarkan oleh syariat. Ini disebabkan Amir bukanlah pemilik rumah, dan bukan juga pembeli rumah.Oleh kerana itu, ia tidak boleh menetapkan ketetapan apapun, atau membuat perjanjian apapun dengan agen yang lain, iaitu Amar.

Sesungguhnya, agen hanya berhubung dengan pemilik barang (shahib al-mâl), atau pembeli barang. Dia tidak boleh berhubung dengan agen yang lain dalam hal mendapat keuntungan, dan komisyen.Akan tetapi, jika Amir mengajak Amar untuk bekerjasama dalam menjual rumah, kemudian komisyen dari Ahmad sebanyak 10% dibahagi sesama mereka, maka amalan sebegini dibolehkan di dalam Islam.

Perihal agen di atas agen tersebut juga berlaku dalam MLM. Di dalam MLM, jika seorang berjaya mendapat downline, maka ia juga akan mendapatkan komisyen keuntungan dari penjualan ataupun pembelian yang dilakukan oleh downline tersebut hingga downline kebawahnya, dan seterusnya. Padahal orang tersebut tidak berhak mendapatkan komisyen dari downlinenya. Muamalat sebegini dikategorikan sebagai mengambil komisyen yang bukan menjadi haknya (agen di atas agen).

Amalan sebegini hukumnya adalah haram. Jika amalan sebegini menjadi perkara biasa dan menjadi sistem bagi MLM, maka kita boleh menyatakan bahawa semua MLM adalah haram. Ia disebabkan di dalamnya terdapat aktiviti pengambilan sesuatu yang bukan menjadi haknya. Padahal prinsip utama di dalam Islam adalah melarang pengambilan sesuatu yang bukan menjadihak atau bahagiannya. Tidak boleh dinyatakan sekiranya downline-downline tersebut redha, maka sahlah pengambilan komisyen tersebut.

Ini berdasarkan pada hujah bahawa sistem MLMlah yang menyebabkan komisyen diambil dari yang bukan menjadi hak seseorang. Dengan kata lain, sistem MLMlah yang menyebabkan seseorang boleh mengambil komisyen dari downlinenya melalui sebuah mekanisma yang telah ditetapkan oleh syarikat. Kenyataan ini diperkuat dengan adanya hujah bahawa kebanyakan downline tidak mengetahui siapa yang menjadi uplinenya hingga ke atas. Jika seorang anggota MLM berjaya menjual barang mahupun berjaya mendapat downline yang lain, maka secara automatik upline-upline nya berhak mendapatkan komisyen di atas penjualannya dan kejayaannya mendapat downline. Padahal komisyen yang diperolehi oleh upline dari downline termasuk dalam bentuk penyelewengan ke atas hak.

Jadi, isunya adalah sistem MLM yang telah memaksa siapa sahaja yang terlibat di dalamnya untuk melakukan pengambilan sesuatu yang bukan haknya, bukan dilihat berdasarkan kerelaan downline-downlinenya atas komisyen yang diambil syarikat yang kemudiannya diberikan kepada upline nya. Aqad samsarah (sistem agen) adalah aqad yang melibatkan seorang agen dengan pemilik barang (shahibal-mâl); atau pembeli barang. Jika pemilik barang meminta seseorang untuk menjualkan barangnya dengan komisyen tertentu, maka ini adalah mekanisma agen yang sah. Demikian pula jika seorang pembeli barang meminta seseorang untuk mencarikan barang tertentu dengan komisyen tertentu, maka mekanisma seperti ini juga sah menurut syara’.

Seseorang yang menjadi agen pihak pembeli tidak boleh menerima komisyen dari pihak penjual. Ini kerana dia adalah sebagai penghubung dari pihak pembeli sahaja.Jika seseorang menjadi agen dari pihak penjual, maka dia dilarang mengambil keuntungan dari perbezaan harga yang diberikan oleh pembeli. Ini kerana keuntungan tersebut adalah hak dari pihak penjual, bukan haknya,kecuali jika penjual mengizinkannya. Seorang agen dari pihak penjual tidak boleh menerima komisyen (bukan perbezaan harga penjualan) dari pihak pembeli dengan apa-apa bentuk meskipun pihak penjual merelakannya. Ini kerana dia adalah penghubung dari pihak penjual, bukan dari pihak pembeli.

Dalam kes MLM, seorang upline yang menjadi agen, akan mendapat komisyen di atas pembelian yang dilakukan oleh downlinenya (yang juga agen). Ini menunjukkan bahawa upline tersebut (yang juga agen) mendapat komisyen dari pembeli (iaitu downline yang sekaligus menjadi agen) pula. Amalan sebegini tentunya adalah amalan yang bertentangan dengan hukum syara’.

Dua Aqad Dalam Satu Aqad Dua aqad dalam satu aqad (‘aqdaain fi ‘aqd), atau“shafqatain bi shafqah” adalah dua aqad yang terkumpul menjadi satu dalam sesuatu muamalah. Rasulullah SAW telah melarang umat Islam melakukan dua aqad dalams atu transaksi. Ahmad Bin Hanbal meriwayatkan sebuah hadith dari Abdullah bin Mas’ud ra, bahawasanya ia berkata: “Rasulullah SAW melarang dua aqad dalam sebuah aqad jual beli” .

Para fuqaha menafsirkan dua aqad dalam sebuah jualbeli, atau dua harga dalam sebuah jual beli seperti berikut: Pertama, jika seseorang mengatakan kepada orang lain,“Aku jual baju ini kepadamu dengan harga sepuluh dirham jika tunai, dan dua puluh dirham jika hutang.”Kemudian kedua orang tersebut berpisah dan belum ada kesepakatan tentang salah satu model jual beli tersebut. Para ‘ulama menyatakan bahawa jual beli semacam ini adalah fasid (rosak). Ianya kerana kedua-duanya tidak mengetahui (belum jelas benar)harganya. Asy-Syaukani menyatakan, “Adapun ‘illat diharamkannya dua aqad dalam satu aqad jual beli adalah tidak disepakatinya salah satu (aqad) harga dari dua (aqad) harga tersebut.” (Asy-Syaukani, NailulAuthar, bab al-Bai’).

Akan tetapi, jika kedua orang tersebut bersepakat tentang salah satu aqad (harga)dari dua aqad (harga) jual beli tersebut; misalnya pembeli menerima harga baju tersebut 20 dirham secara kredit; sebelum keduanya berpisah, maka sahlah jualbeli tersebut. Sebab, harga baju itu telah ditetapkan,dan kedua belah pihak mengetahui dengan jelas harga dari baju tersebut serta bentuk transaksinya.

Kedua, Syafi’i sebagaimana diriwayatkan olehAt-Tirmidzi, menafsirkan dua aqad dalam sebuah aqad jual beli seperti berikut; jika seseorang berkata kepada orang lain, “Saya jual rumahku kepadamu dengan harga sekian, akan tetapi engkau harus menjual anak laki-lakimu kepadaku. Jika kamu menjual anak laki-lakimu, maka aku serahkan rumah ini kepadamu.”

Muamalat semacam ini berbeza dengan jual beli dengan harga yang tidak diketahui. Namun demikian, muamalat semacam ini adalah bathil. Sebab, ia termasuk dalam jual beli bersyarat. Sedangkan jual beli bersyarat boleh menyebabkan tiada jelasnya tentang harga. Adapun‘illat pengharaman transaksi seperti ini (jual belibersyarat), menurut Asy-Syaukani adalah dikaitkannya jual beli dengan syarat untuk masa depan.

Ketiga, penafsiran ketiga mengenai “shafqatain fishafqah” adalah jika seseorang melakukan pesanan barang sejumlah gandum dalam jangka waktu satu bulan,dengan harga 1 dinar. Ketika tempoh masa telah tiba,dan pemesan meminta gandum yang dipesannya, orang yang dipesani barang berkata, “Juallah gandum yang seharusnya saya berikan kepada anda, dengan dua takar gandum, tapi jangkanya ditambah dua bulan.” Jual beli semacam ini adalah fasid, sebab aqad yang kedua telah masuk pada aqad yang pertama (Mubarakfuri, Tuhfatal-Ahwadziy, bab al-bai’ain fi al-bai’ah).

Bersambung....

Terima kasih kepada pengirim

Malaysia tidak akan pulau barang Denmark kerana Danish Carlsberg Beer
Petikan : Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 9 Feb (Hrkh) - Kerajaan Malaysia tidak akan menyokong langkah memboikot barangan Denmark kerana antara barang yang paling banyak memberikan pulangan berupa keuntungan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia adalah Danish Carlsberg Beer.

Inilah perbincangan hangat yang berjalan di laman-laman perbincangan internet di Malaysia sekarang.

Antaranya komuniti Islam di laman http://groups.yahoo.com/group/islamiccommunitynet/message/9204.

Menurut perbincangan itu, Perdana Menteri tidak akan menyokong langkah itu kerana Danish Carsberg Beer yang kilangnya terdapat di negara ini adalah cash cow (penyumbang wang utama) kepada kerajaan.

Pada 7 Februari lepas media menyiarkan kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi yang berkata, Malaysia tidak akan mengharamkan produk Denmark kerana ia akan menyusahkan pihak lain dari akhbar berkenaan sendiri.

Menurut akhbar Star pada 27 Januari lalu, sekurang-kurangnya 36 syarikat yang bakal mengisytiharkan dividen yang tinggi tahun ini termasuklah Carlsberg Brewery Malaysia Bhd.
Sila rujuk berita berikut di laman berikut.
http://biz.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2006/1/27/business/13175034&sec=business

Carlsberg Nu, sebuah syarikat Denmark adalah pemilik majoriti syarikat Carlsberg Brewery Malaysia Bhd yang mengeluarkan arak Carlsberg di negara ini.
Edisi Utara: Hidupkan amalan memulau
Petikan : Harian Metro

KANGAR: Amalan memulau yang pernah dilakukan sesetengah kariah di Perlis, akan dihidup semula kepada individu tertentu yang gagal membayar zakat fitrah dan mengerjakan solat Jumaat.

Akibat dipulau itu, individu yang gagal menunaikan kewajiban agama itu akan terpinggir daripada masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Datuk Abu Bakar Ismail, berkata masyarakat sebelum ini amat prihatin dengan tuntutan agama dan mereka bertindak memulaukan individu tertentu jika tidak menunaikan kewajiban itu.

“Kami mungkin akan memperaktikkan semula tradisi masyarakat dahulu dan mana-mana individu yang tidak mengeluarkan zakat fitrah atau menunaikan solat Jumaat akan dipulaukan penduduk setempat.“Ini kerana ada umat Islam mengambil mudah soal zakat dan solat Jumaat hingga gagal menunaikan tanggungjawab berkenaan,” katanya, semalam.

Beliau berkata, masyarakat diminta tidak menghadiri majlis tertentu seperti pernikahan yang dianjurkan individu yang ingkar perintah agama Islam.

“Jawatankuasa kariah masjid seluruh negeri diminta memantau kariah masing-masing bagi mengenalpasti mereka yang mengabaikan tuntutan agama berkenaan dan jika perlu pulau mereka terbabit,” katanya.

Harian Metro sebelum ini memetik Abu Bakar berkata, lelaki di Perlis yang tidak menunaikan solat Jumaat tiga kali berturut-turut boleh didakwa mahkamah syariah.

“Kami mempunyai enakmen secukupnya untuk mendakwa lelaki terbabit dan mereka boleh dikenakan hukuman denda. Pihaknya bercadang mewujudkan nazir masjid memantau anak kariah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, lelaki tidak menjelaskan zakat dan menunaikan solat Jumaat itu terlebih dulu diberi khidmat kaunseling daripada pakar agama.

“Golongan ini akan dikumpulkan dalam satu perjumpaan sama ada peringkat negeri atau kariah untuk diberi bimbingan. Jika masih ingkar, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.
Pegawai polis, isteri orang dicekup khalwat
Petikan : Harian Metro

KANGAR: Seorang pegawai polis berusia 40-an dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis ditahan kerana disyaki berkhalwat dengan seorang wanita di Taman Seri Bakau, di sini, malam semalam.

Pegawai berpangkat Asisten Superintendan itu dipercayai ketua satu cawangan di IPK Perlis ditahan ketika berdua-duaan bersama wanita berusia 49 tahun itu yang juga isteri orang, kira-kira jam 11.30 malam.

Sumber berkata, tujuh pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) menyerbu rumah yang diduduki ASP itu selepas mendapat maklumat daripada orang ramai yang menyatakan ada pasangan bukan mahram di rumah terbabit.

“Ketika pemeriksaan, hanya mereka berdua berada di rumah berkenaan dan siasatan mendapati mereka bukan mahram.“Pegawai penguat kuasa terpaksa menunggu di luar rumah teres itu agak lama sebelum seorang lelaki bertindak membuka pintu. Keadaan di dalam rumah agak gelap.

“Penguat kuasa menemui seorang wanita yang berpakaian lengkap bersembunyi di dalam bilik air dan kain batik sarung yang baru dipakai turut ditemui di lantai tandas terbabit,”
katanya.

Beliau berkata, penguat kuasa agama mengambil keterangan peribadi pegawai polis itu dan pasangannya sebelum membebaskan mereka.

Wanita itu dikatakan bertugas di sebuah jabatan kerajaan di sini.

“Wanita terbabit yang gementar apabila melihat pegawai penguat kuasa agama mendakwa tidak membawa kad pengenalan dan butiran peribadi diambil berdasarkan pengakuan dia,” katanya.

Wednesday, February 08, 2006

Usah Sentuh Remaja Perempuan Sebelum Masanya - Shahidan
Petikan : BERNAMA


KANGAR, 6 Feb (Bernama) -- Bimbang dengan gejala tidak bermoral di kalangan remaja perempuan, kerajaan Perlis akan menganjurkan program perkhemahan khas setiap bulan dalam usaha menghindari mereka daripada terbabit dalam seks luar nikah.

"Kita tidak mahu remaja perempuan disentuh selagi belum sampai masanya (berkahwin)," kata Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Orang Ramai Sungai Baru Tengah, Simpang Empat di sini hari ini, beliau berkata program itu ditujukan kepada remaja perempuan kerana remaja lelaki tidak mengalami "kerosakan" secara fizikal akibat daripada perlakuan seks luar nikah."Bagi remaja perempuan, jika mereka terbabit dengan perlakuan seks luar nikah, ia boleh memberi kesan yang buruk," kata Shahidan.

Untuk program perkhemahan itu yang akan bermula tidak lama lagi, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan dan pihak sekolah bagi menyediakan pakar kaunseling.Shahidan berkata program perkhemahan seperti itu akan turut dianjurkan bagi wanita berkeluarga dalam usaha untuk memantapkan lagi institusi kekeluargaan.

ADUN Perlis ‘wajib’ ambil PMR Bahasa Arab
Petikan : Utusan Malaysia

Kangar 5 hb Februari : Selepas berjaya lulus dalam peperiksaan Bahasa Arab peringkat Penialian Menengah Rendah baru-baru ini, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini membuat satu lagi kejutan.

Selain mengumumkan hasratnya untuk mengambil semua peperiksaan bahasa tersebut pada tahun ini, beliau turut mewajibkan semua wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan di negeri ini terutama yang beragama Islam supaya mengikuti jejak langkahnya.

Bagi yang bukan beragama Islam pula, mereka akan digalakkan supaya mempelajari kaedah penulisan jawi terlebih dahulu sebelum mengambil peperiksaan pada tahun depan.

Alasan beliau berbuat demikian bukanlah untuk menyusahkan pihak terbabit tetapi mahu mereka menjadi contoh kepada masyarakat supaya menimba sesuatu ilmu walaupun usia telah meningkat.

“Bagaimanapun, ianya bukan wajib tetapi sukarela yang dimestikan.Kelas tuisyen yang dijalankan selama dua jam dalam sehari kepada mereka akan diberikan percuma bermula 15 Februari ini dan wakil rakyat serta ketua-ketua jabatan hanya perlu mengeluarkan wang untuk pendaftaran peperiksaan sahaja.

“Kita lihat banyak wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan hanya tahu duduk bersembang kosong di kedai-kedai kopi dan ini merugikan waktu sahaja.Saya sendiri akan belajar dan mengambil semula peperiksaan Bahasa Arab dan Bahasa Mandarin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis memeterai Memorandum Persefahaman ( MoU) antara Pergerakan Puteri Umno Perlis dengan Simor Creative (M) Sdn.Bhd. mengenai penganjuran Karnival Pendidikan dan Kerjaya Perlis 2006 di sini.

AIDS antara pembunuh utama di Perlis
Petikan : Utusan Malaysia

Kangar 5hb Februari : Kira-kira 30 kes kematian akibat AIDS dilaporkan di negeri ini pada setiap tahun dan ia merupakan antara pembunuh utama selain daripada penyakit kardiovaskular dan juga kemalangan jalan raya.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Azmi Hashim bagaimanapun berkata kadar kematian akibat AIDS di negeri ini yang berpunca daripada jangkitan virus HIV masih rendah berbanding dengan peratusan di peringkat nasional atau pun di negeri-negeri yang lain.

“Setiap tahun kita menerima antara 90 hingga 100 kes HIV yang baru dengan kira-kira 75 peratus daripadanya berkaitan dengan penyalahgunaan dadah,” katanya kepada para pemberita selepas majlis perasmian Hari Terbuka Klinik Kesihatan Kampung Gial dekat sini semalam.

Menurutnya kira-kira 20 peratus punca jangkitan HIV itu juga adalah akibat daripada aktiviti seks dan baki selebihnya akibat sebab-sebab lain termasuk jangkitan daripada pembawa HIV.

Azmi memberitahu, Pejabat Kesihatan Negeri turut membuat pemantauan terhadap mereka yang didapati positif HIV dengan memberi mereka rawatan perubatan dan khidmat kaunseling supaya mereka dapat menjalani kehidupan normal dan tidak menjangkiti orang lain.

“Mereka boleh diubati dan rawatan yang diberikan mungkin dapat memanjangkan tempoh usia mereka kerana mereka juga sebenarnya masih produktif,” ujarnya.

Beliau turut menyeru mereka yang positif HIV agar mendapatkan rawatan perubatan kerana sesetengahnya gagal dikesan oleh pihak hospital selepas membuat ujian pemeriksaan.

Dalam usaha menangani masalah AIDS dan HIV itu, katanya, Pejabat Kesihatan Negeri telah mengambil pelbagai langkah termasuk mengadakan kempen kesedaran dan program pendidikan khususnya golongan muda tentang bahayanya AIDS.

Selain itu Azmi berkata, langkah kerajaan negeri mewajibkan bakal pengantin menjalani ujian pemeriksaan darah dan pemeriksaan darah dikalangan ibu yang mengandung juga merupakan langkah yang baik dalam membendung masalah tersebut.

Menurutnya sejak ujian darah itu diwajibkan terhadap bakal pengantin beragama Islam mulai Disember tahun lalu, sebanyak 800 orang telah melakukannya dan kesemua mereka bebas daripada jangkitan HIV.

“Ujian ini bukan bertujuan menghalang mereka yang positif HIV daripada berkahwin tetapi untuk membantu mereka menjalani kehidupan lebih selamat dan tidak menyebarkan virus itu kepada pasangan mereka,” ujarnya.

Majlis perasmian Hari Terbuka itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Khairi Hassan yang ketika berucap menasihatkan orang ramai agar lebih prihatin terhadap kualiti makanan yang diambil bagi memastikan mereka sentiasa hidup sihat.

Laman Brasmana : Mampukah bertahan?
Petikan : Utusan Malaysia

Kangar 5 hb Februari : Pada Khamis lalu telah berlangsung majlis penyerahan kunci kepada 27 peniaga yang akan menjalankan pelbagai perniagaan di Laman Brasmana yang terletak di tepi laut di Kuala Perlis kira-kira 11 kilometer dari pusat Bandar ini.

Kos pembinaan Laman Brasmana menelan hampir 10 juta dan ia berfungsi sebagai tempat bersantai dan riadah untuk orang ramai khususnya pelancong luar.

Laman Brasmana yang dilihat gah daripada kacamata penduduk meliputi gerai makan, restoran konsep selera Malaysia, gerai kraf tangan, kiosk minuman dan kiosk pelbagai.

Melalui pembinaannya kerajaan negeri dibawah kepimpinan Datuk Seri Shahidan Kassim mempunyai satu matlamat yang cukup tinggi iaitu menarik kemasukan pelancong disamping menyediakan kemudahan rehat yang selesa.

Bagi golongan peniaga, Laman Brasmana adalah satu projek yang memperlihatkan keprihatinan kerajaan negeri dalammemberikan ruang perniagaan yang tersusun dan mempunyai reka bentuk yang cantik.Ramai yang mengakui bahawa Laman Brasmana sangat cantik dan strategik.

Ia sedikit sebanyak menaikkan imej Kuala Perlis yang menjadi pintu masuk utama negeri ini dari Pulau Langkawi dan Satun, Thailand.

Namun focus kali ini bukanlah mahu mengupas secara terperinci mengenai kehebatan pembinaan Laman Brasmana tetapi lebih kepada sejauh mana ia “mampu bertahan”

Mengapa mampu bertahan? Perlis merupakan negeri yang terkecil tetapi menawarkan banyak tempat-tempat menarik untuk dikunjungi.

Dari Padang Besar hingga ke Arau dan Kuala Perlis, negeri ini sememangnya unik terutama permandangan sawah padi, Tasik Melati, Empangan Timah Tasoh dan Gua Kelam.

Kemudahan untuk beristirehat dan tempat menjamu selera juga memang banyak. Namun begitu sekadar kemudahan yang banyak sahaja tidak mencukupi jika kemudahan-kemudahan berkenaan tanpa ada yang mengusahakannya.

Perkara sebegini dapat dilihat di Hentian Rehat dan Rawat (R&R), Dataran Terinai di Empangan Timah Tasoh, dekat Padang Besar yang saban hari peniaganya terpaksa gulung tikar.

Tidak cukup dengan itu perkara yang sama dapat dilihat di gerai-gerai ‘sangkar burung’ yang merata lokasinya di negeri ini selain Dataran Usahawan dan ‘rumah hantu’ Konkos di Kuala Perlis.

Pembinaan kemudahan-kemudahan menjamu selera itu satu ketika dulu memang cukup gah juga tetapi kini sepi, terbiar dan merugikan.

Apa punca ? Tiada siapa yang tahu.Siapa yang harus dipersoalkan ? Tidak tahu juga.Dataran Terinai yang menelan kos pembinaan sebanyak RM2.5 juta baru sahaja dibuka dan dikhuatiri akan menjadi rumah hantu seperti di Konkos Kuala Perlis.

Daripada 28 peniaga yang mula-mula mendapat kunci untuk menjalankan perniagaan kini Cuma tinggal empat orang sahaja manakala Konkos pula, terus tutup dan dipercayai menjadi sarang kegiatan tidak bermoral termasuk penagihan dadah.

Adalah tidak salah kerajaan negeri merancang untuk membina projek itu dan ini tetapi entah dimana silapnya pembinaan kemudahan-kemudahan terbabit seakan-akan ada penunggu yang mengacau sehingga tidak mampu bertahan lama.

Bangunan Konkos sepatutnya boleh dimajukan semula seperti dijadikan pusat penjualan kraftangan hasil sentuhan kreatif anak jati tempatan.

Ramai anak jati Perlis mempunyai bakat tersendiri, tetapi di negeri ini tiada tempat khas yang boleh dijadikan platform bagi mereka untuk memasarkannya.

Tidak seperti di Kelantan dan Melaka.Kedua-dua negeri ini mempunyai kawasan khas penjualan barangan kraftangan yang membolehkan rakyatnya memasarkan hasil seni kreatif.

Berbalik kepada Laman Brasmana, adakahia akan menjadi satu lagi projek yang senasib Dataran Terinai atau Konkos, tunggu dan lihat sahajalah.

Kalau maju ia sudah cukup bagus tetapi kalau tidak, kajian atau siasatan terperinci perlu dilakukan segera sebelum kerugian yang ditanggung semakin bertimbun tinggi.

Sunday, February 05, 2006


Cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC) hanya untuk membantu
Oleh : Mat Teropong
Kategori : Berita

Kangar 4hb Februari : Cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Dan Salah Laku Polis (IPCMC) hanyalah untuk membantu pihak polis memantau sahaja bukan mengambil alih terus tugas empat badan pemantau polis yang telah sedia ada.Demikian jelas Pesuruhjaya PAS Pahang Dato’
Tuan Ibrahim Tuan Man.

Suruhanjaya ini juga katanya akan mengembalikan rasa hormat rakyat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang pada ketika ini menurut pandangan beliau imej PDRM kelihatan agak sedikit tercalar.

Semalam didalam akhbar Utusan Malaysia, tiga persatuan polis menolak cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan alasan sudah ada empat badan seumpama itu bagi memantau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Empat badan yang turut memantau pasukan polis pada masa ini ialah bahagian tatatertib PDRM, Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Biro Pengaduan Awam (BPA).
Berikutan itu, tiga persatuan berkenaan telah menghantar memorandum berhubung penolakan penubuhan IPCMC kepada pihak pengurusan PDRM dan kerajaan.
Beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata rungutan orang ramai tidak akan ada sekiranya PDRM bertindak dengan betul.

“PDRM kena professional.Orang tak akan komplen jika dah betul,” kata beliau sambil memberikan contoh kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lama dahulu dan kes tahanan yang dibogelkan baru-baru ini yang kelihatan begitu menjejaskan imej PDRM.

Beliau juga berharap agar PDRM tidak melihat penubuhan IPCMC ini sebagai satu tindakan negatif sehingga tidak mahu lagi menggunakan budi bicara ketika menjalankan tugas.

Beliau yang jelas bersetuju dengan cadangan penubuhan IPCMC itu juga menyarankan agar penubuhan ini paling kurang direalisasikan sebagai satu percubaan yang diberi satu tempoh masa.Sekiranya segalanya berada didalam keadaan baik ketika tempoh percubaan itu, maka tidak perlu lagi kepada suruhanjaya itu.

Friday, February 03, 2006


Jangan Perbesarkan Isu Yang Remeh-temeh, Titah Pemangku Raja Perlis
Tuanku Syed Faizuddin Putra
Kategori : Petikan Berita

KANGAR, 2 Feb (Bernama) -- Pemangku Raja Perlis menggesa umat Islam tidak memperbesar dan mempertikaikan isu remeh-temeh tetapi berpeluk tubuh apabila berhadapan persoalan yang lebih besar seperti berkaitan dakwah dan penyelewengan akidah.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah sikap negatif dan mazmumah seperti hasad dengki, tamak dan syak wasangka yang boleh membibitkan api persengketaan perlu dihindari dan dikikis.

Saban tahun kita menanam azam baru namun pada masa yang sama masih perlahan dalam "penghijrahan" terutama aspek dakwah dan penyelewengan akidah, titah baginda pada sambutan Maal Hijrah 1427 peringkat negeri di Masjid Al-Raudhah, Sungai Batu Pahat di sini malam tadi.

Selain itu, titah baginda umat Islam mesti sentiasa berusaha meningkatkan ilmu dan jangan membiarkan anggota masyarakat terpinggir daripada aktiviti keilmuan.

Baginda bertitah umat Islam harus memberi keutamaan kepada kerjasama dan permuafakatan dalam setiap perbincangan serta tindakan bagi memastikan kesinambungan tanggungjawab dapat dijalankan dengan kemas dan teratur.

Pada majlis itu, Pemangku Raja Perlis menyampaikan Anugerah Maal Hijrah Negeri kepada bekas anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri Datuk Selamat Saad, anggota jawatankuasa fatwa Perlis Prof Madya Dr Mohamed Radhi Othman, pensyarah Universiti Sains Malaysia Dr Mohamed Asri Zainol Abidin, bekas pengarah kesihatan negeri Perlis Datuk Dr Faisol Ibrahim dan bekas anggota dewan undangan negeri Bintong Sofiah Ahmad.

Baginda turut menyampaikan Anugerah Didik Maal Hijrah kepada Ahmad Shahir Jamil dan Aisyah Aminuddin, kedua-duanya pelajar cemerlang yang memperoleh 10A1 pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dua tahun lepas.

Anugerah Masjid Terbaik disandang Masjid Ar-Rahman, Simpang Sanglang bagi parlimen Arau manakala Masjid Al-Hassan, Jejawi dan Masjid Al-Syakirin, Oran dipilih untuk parlimen Kangar dan Padang Besar.

Pada majlis itu, Pemangku Raja Perlis turut berkenan merasmikan Masjid Al-Raudhah, masjid ke-101 di Perlis, dan melancarkan pemeriksaan kesihatan HIV bakal pengantin peringkat negeri.Yang turut hadir ialah Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim.

Thursday, February 02, 2006


Inikah yang dikatakan Islam?
Oleh : Harumanis
Kategori : Penulis Jemputan

Beginilah sambutan yang diberikan oleh segelintir rakyat Terengganu terhadap salah sebuah
kontena hanyut di Seberang Takir baru-baru ini.

Assalamualaikum.Dah lama rasanya tak menulis.Rupa-rupanya bukan senang nak menulis. Saya tak tahulah macamana wartawan buat kerja mereka.Tapi mungkin juga mereka dah terlatih dan juga dah memang kerja mereka.Sepenuh masa,tiada komitmen lain.

Bagi saya yang buat kerja sambilan ni macam-macam halangan yang datang.Ada kalanya bila ada cerita masa pula tak ada.Bila masa dah terluang banyak idea pulak entah kemana.Nak tunggu dua-dua tu bertemu, payah sikitlah.Dan bila dah dapat bertemu kedua-duanya jadilah artikel tu panjang sedikit.Diharap anda semua dapat menghabiskan pembacaan anda.

Terus kita kepada apa yang hendak saya sampaikan.Saya mendapat sedikit idea penulisan ini selepas balik bercuti sempena eid adha ke Terengganu baru-baru ini.Balik lama sikit pasal anak tak sekolah lagi jadi cuti tak bersangkut dengan orang lain.Perjalanan balik ke Terengganu biasanya terasa semangat sikit pasal maklumlah balik kampung.Tahun ni keluarga buat korban seekor lembu pasal arwah emak pesan supaya diambil sedikit duitnya untuk korban seekor lembu.Tahun ni juga tahun pertama kami sekeluarga beraya tanpa kedua ibubapa.Semoga roh mereka dirahmati Allah.

Berkebetulan pula ketika saya pulang baru-baru ini Terengganu sedang kecoh dengan cerita kontena hanyut.Macam-macam cerita yang keluar dari mulut jurucakap tidak rasmi.Satu cerita yang saya dengan sendiri ketika berada di Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir ialah bagaimana seorang lelaki begitu bersemangat bercerita tentang kisah kontena hanyut itu.Dia juga turut menjelaskan prosedur perjalanan sesebuah kapal yang mana menurutnya lagi apabila sesebuah kapal dilanda ribut, maka kapten kapal akan membuang beberapa kontena untuk mengimbangi kapal itu.

Maka diapun mengeluarkan fatwanya sendiri bahawa segala barang yang ada di dalam kontena itu samada udang, rokok dan ada juga kata pakaian semuanya itu telah dihalalkan oleh kapten kapal.Begitu bersemangat dia bercakap dengan seorang makcik yang kelihatan mengangguk-angguk.Timbul pertanyaan dalam hati saya kapten kapal tu tauke barang atas kapal ke? Atau dia hanya ditugaskan untuk membawa sahaja.

Saya terus menelefon seorang rakan yang pernah beberapa tahun bekerja sebagai jurutera di atas kapal.Menurutnya tidak pernah ada prosedur sedemikian.Yang ada ialah kontena terjatuh.Dan menurut dia lagi macamana nak buang kontena nak pakai tolak aje ke? Eh,saya pulak yang kena.

Maka keesokan harinya keluarlah kenyataan dari Mufti Terengganu yang mengatakan bahawa “Mengambil barang orang lain adalah haram”.Saya terus terbayang akan wajah lelaki semalam.Mungkin diapun dah tertelan udang hanyut kot? Entahlah mungkin juga tidak.

Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah tidakkah seseorang muslim itu boleh berfikir yang apabila kita berjumpa dengan sesuatu barang yang bukan milik kita dan juga kita tidak mengetahui tuan punya kita kena mengiklankannya selama beberapa lama ataupun kita boleh terus menyerahkan kepada Baitulmal? Itu adalah perkara asas yang telah diketahui umum.Bukan perkara baru.

Yang lebih menyedihkan lagi menurut seorang jiran saya yang berniaga di Pasar Payang kelihatan yang bersongkok dan berkopiah juga turut membelinya (saya tidak bermaksud untuk menujukan kepada ahli PAS atau Umno) sedang dalam keadaan mereka tahu. Manakan tidak tahu apabila sudah riuh satu pasar yang ada jualan udang hanyut yang murah.Tapi begitulah orang kita asal nama murah saja semua berebut.Tak kira tertipu atau tidak. Kasihan saya kepada sebahagian rakyat Terengganu yang dikatakan sekarang ini tersangat maju dan kaya raya tetapi tidak dapat membezakan halal dan haram.Semoga Allah mengampuni mereka.

Berpaling kita dari cerita ini, saya timbulkan pula cerita tentang anak exco kerajaan Islam Hadhari Terengganu mendapat biasiswa sebanyak RM 20 ribu.Sebut pasal biasiswa kita akan merujuk kepada pelajar miskin atau pelajar pintar.Inilah antara kategori yang layak untuk menerima biasiswa dan memang itu tujuan pemberian biasiswa.Tetapi apabila disebutkan zakat, semua pelajar yang sedang belajar (kecuali belajar ilmu yang tidak dibenarkan Islam) boleh menerimanya tidak terkecuali samada yang kaya atau yang kurang pandai.Zakat bukan hak mutlak pelajar miskin sahaja.

Dan apakah maksudnya? maksudnya ialah biasiswa masih boleh lagi dipertikaikan ketelusan pembahagiannya.Mungkin seseorang itu tidaklah sepandai mana tetapi kerana sesuatu, maka diapun mendapatnya walaupun tidak layak.Ataupun dia adalah seorang yang kaya tetapi masih mendapat biasiswa atas alasan yang meragukan.Adilkah itu?

Selepas beberapa hari saya di Kuala Terengganu, saya ke Johor pula dan singgah sebentar di Dungun satu tempat yang juga banyak meninggalkan kenangan dalam hidup saya. Bertemu dengan seorang sahabat yang juga seorang yang agak kritis pemikirannya terhadap perkembangan semasa. Dia mendedahkan kepada saya tentang kekalutan yang berlaku dalam jemaah kita.Bukanlah hendak membuka pekung di dada tetapi untuk mencari jalan penyelesaiannya.

Bagaimana sudah banyak antara ahli jemaah kita seperti sudah tidak mahu patuh kepada ketua.Seperti ada jemaah dalam jemaah.Apabila hendak diberikan kerja, pelbagai alasan yang dikemukakan.Ada juga yang memberikan idea yang “tersangat bernas” sehingga satu kerjapun tak jalan.

Bahkan ada juga yang mempengerusikan mesyuarat di luar bilik mesyuarat.Ada sahaja bangkangan selepas mesyuarat.Tapi masa mesyuarat dengan pengerusi yang sah senyap pula.Ada juga yang tak hadir mesyuarat tetapi bercakap masya Allah.Ada juga yang suka bermain dengan pemikiran orang yang sedikit kurang ilmunya.Dia menanam pelbagai persoalan yang mengelirukan dalam pemikiran orang lain agar merasa ragu.Tetapi bila didepan ustaz yang ada ilmu dia diam sahaja.Padahal dia sepatutnya bertanya dengan ustaz tentang kekeliruan itu.Nampak seperti ada maksud yang tersirat.


Akhirnya sampai kepada kemuncak kekeliruan yang dialami oleh ummat Islam di Malaysia apabila saya terpandang satu gambar lama di dalam sebuah akhbar tempatan yang menunjukkan Datuk Seri Najib Tun Razak sedang menyalakan lpelita sempena Rumah Terbuka Deepavali sambil diperhatikan oleh Datuk Rais Yatim dan Datuk Seri S.Samy Vellu.Tidakkah Najib faham agama? Saya pasti dia memang tidak faham agama.

Contoh-contoh yang diberikan di dalam tulisan saya ini adalah untuk mengajak kita semua berfikir adakah kita semua memang betul-betul faham dan beramal secara bersungguh-sungguh dengan Islam atau kita sebenarnya masih terumbang-ambing dengan kefahaman Islam kita? Dan kemudiannya merekacipta hukum bagi membetulkan tindakan kita? Saya memang sengaja membawakan contoh dari kalangan orang PAS dan Umno supaya kita dapat memandang ini semua dari perspektif Islam bukan dari perspektif politik sahaja.

Kita sebenarnya masih gagal dalam mendidik diri dan pemikiran kita supaya berada di dalam kehendak Islam. Jauh dari itu kita semua seperti tidak mahu mengambil tanggung jawab dakwah terhadap sesama kita untuk kefahaman mereka.Untuk yang bukan Islam lagilah kita tak mahu mendekatinya.Islam itu adalah diibaratkan seperti barangan yang tersangat berkualiti dan kita semua sebagai pembungkusnya.Kita kena menjadi pembungkus yang cantik bagi menarik minat pelanggan untuk membelinya.Tetapi apa yang berlaku ialah kebanyakkan kita menjadi pembungkus yang teruk, kotor, busuk dan menyebabkan barangan yang berkualiti tinggi itu tidak laku dek kerana pembungkusnya.

Suka saya untuk memberikan sedikit kesimpulan diatas cerita-cerita yang telah saya bawakan ini.Untuk kes kontena udang itu menunjukkan bahawa kita masih boleh bertolak ansur dengan makanan haram yang mana rasulullah S.A.W secara jelas telah memberikan peringatan bahawa setiap daging yang tumbuh dari makanan yang haram maka nerakalah yang lebih layak untuknya.Lebih menyedihkan lagi perlakuan ini secara tidak langsung telah memberikan gambaran kepada bukan Islam bahawa ummat Islam amat mudah dibeli dengan kebendaan tak kira halal atau haram.Sebab itulah kita dilihat tersangat lemah oleh bukan Islam.

Kisah pemberian biasiswa kepada anak exco pula mengingatkan saya kepada pemberian zakat juga kepada anak exco kerajaan PAS yang telah disensasikan oleh Umno sedikit masa dahulu.Dengan kurangnya kefahaman tentang hukum feqah maka seluruh rakyat merasa marah termasuklah beberapa penyokong PAS sendiri sedangkan perkara itu tidak salah.Apabila sudah diberikan penerangan, rakyat bertanya pula kalau betulpun tidak salah dari segi hukum takkan dah tak ada orang yang lain? Kali ini pertanyaan itu kembali kepada mereka kalau iya pun anak exco tu cerdik takkan tak ada langsung pelajar yang cerdik atau miskin selain dari anak exco di Terengganu yang juga sepatutnya dapat? Bukankah Terengganu Bistari?

Berkenaan jemaah kita pula, ternyata kita gagal melahirkan pelapis yang berkaliber, yang memberikan wala’ sepenuhnya kepada pimpinan.Bagi saya jika ini berterusan, maka harapan untuk kita menjadi pembantu Allah akan tinggal menjadi angan sahaja. Bagi saya pemikiran seperti ini sepatutnya dihapuskan hingga ke akar umbi.Dan kalau kita tidak dapat menghapuskan pemikiran itu, hapuskan pembawanya.Apa gunanya jumlah ahli yang ramai tetapi derhaka kepada pimpinan.Saya mempercayai kualiti yang baik akan menjadikan sesuatu itu baik.Kualiti itu insya Allah akan mempengaruhi keadaan.Sebagaimana sahabat rasulullah yang sedikit, tetapi berjaya mempengaruhi bukan sahaja semenanjung arab bahkan hampir 2/3 dunia dengan kualiti yang mereka miliki.

Dan akhir sekali kemuncak kepada kekeliruan dan penyebab kepada segala fitnah iaitulah apabila aqidah diperdagangkan.Jika sudah kita sanggup untuk mengambil bahagian dalam upacara keagamaan yang selain dari Islam maka apa lagi yang tinggal? Bagi saya Najib telah meninggalkan satu fitnah yang maha besar kepada ummat Islam diatas perkara yang dia lakukan.Oleh itu saya tidak hairan apabila timbul kes M.Moorthy baru-baru ini, menteri-menteri bukan Islam dengan beraninya menghulurkan memo kepada Perdana Menteri untuk mengkaji perlembagaan 121 (1A).

Siapakah penyebabnya kalau bukan dari diri ummat Islam itu sendiri yang begitu jahil tentang agama dan kemudiannya mendabik dada dengan mengatakan bahawa dialah hero penyelamat agama melebihi ulamak yang faham tentang agama.Tidakkah itu secara terang menipu kita?

Dari apa yang telah saya kemukakan dan juga segala kesimpulan yang telah saya berikan, tidak lain hanyalah untuk anda semua berfikir tentang benarkah kita hidup didalam lingkup Islam yang sebenarnya? Ataupun kita tidak sedar yang kita telah menyimpang jauh dari kehendak Islam itu sendiri.Lebih malang lagi apabila kita dengan angkuhnya memperkatakan kesalahan orang lain tanpa menyedari akan kesalahan kita sendiri.

Kepada ahli PAS, amat malang bagi kita semua jika hati kita masih tidak mahu untuk memahami dan mengamalkan Islam tulin sedang dalam masa yang sama kita dikelilingi oleh ulamak dan cendikiawan Islam yang bersedia bila-bila masa untuk mengajarkan kita apa itu Islam yang sebenarnya.Jadilah kita semua ibarat ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan.

Akhir kalam saya menyeru diri saya dan saudaraku sekelian agar kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Janganlah kita mati melainkan dalam keadaan bertaqwa.Marilah kita semua memalingkan diri dari segala bentuk kejahilan kepada kefahaman yang tinggi beserta amalan yang ikhlas hanya kepada Allah Rabbul alamin.Semoga Allah merahmati kita semua.Amiin.Wallahua'lam