KANGAR, 19 Jun (Hrkh) - Mahkamah pilihan raya di sini memulakan perbicaraan petisyen pilhan raya Dun N.14 Simpang Empat semalam dengan memanggil saksi tunggal untuk memberikan keterangan.
Beliau adalah pempetisyen sendiri iaitu calon BN, Zahari Bakar.
Pada awalnya Zahari menjawab pertanyaan peguam beliau, Abu Bakar As-Sidek tentang bukti-bukti berkaitan petisyen beliau terhadap calon PAS, Rus'sele Eizan berkaitan poster pilihan raya.
Petisyen tersebut mempertikaikan poster calon PAS yang tidak mempunyai nama dan alamat pencetak serta menggunakan logo negeri Perlis.
Peguam yang mewakili Rus'sele, Mohamed Hanipa Maidin kemudiannya mengemukakan beberapa soalan yang membuat Zahari sedikit resah.
Hanipa: Adakah awak nampak semua proses, mencetak, menerbit atau menampal poster?Zahari: Tidak
Hanipa: Ada awak mengambil gambar?
Zahari: Tidak
Hanipa: Apabila awak tidak ambil gambar maknanya awak tak ada apa-apa bukti untuk membuat perbandingan dengan ID2 (barang bukti).
Zahari: Diam
Hanipa: Ada awak ambil poster tersebut?
Zahari: Ya. Saya ambil pada hari pengundian 8 Mac 2008.
Hanipa: Awak kata ada membuat laporan kepada penguat kuasa SPR secara lisan. Adakah awak tahu siapa yang menerima laporan tersebut?
Zahari: Saya tak pasti nama dia.
Hanipa: Bila awak buat laporan?
Zahari: Hari pembuangan undi.
Hanipa: Masa dan tempat?
Zahari: Di Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Baru, lebih kurang pukul 1.00 tengah hari.
Hanipa: Adakah sebarang laporan bertulis dibuat kerana kita tidak tahu apakah laporan yang awak buat?
Zahari: Laporan dibuat secara lisan
Hanipa kemudiannya meminta Zahari membacakan bantahan yang dibuatnya berkaitan petisyen pilihan raya tersebut.
Zahari membacakan bantahannya yang antara lainnya tidak berpuas hati dengan keputusan pengundian dan menuntut pengiraan semula.
Hanipa: Encik Zahari, bantahan yang awak kemukakan ini tidak ada kena mengenapun dengan poster, adakah awak bersetuju?
Zahari: Tak setuju
Hanipa: Awak faham atau tidak apa yang awak bantah ini?
Zahari: Faham
Hanipa: Bantahan adalah berkaitan keputusan pengundian. Jadi, apa ada kena mengena dengan minta untuk pengiraan semula?
Zahari: Tak ada kaitan
Hanipa kemudiannya bertanyakan soalan tentang logo yang dibenarkan oleh SPR untuk digunakan oleh parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya.
Hanipa: Kalau dilihat pada simbol-simbol ini, ini adalah simbol parti politik. Adakah awak setuju?Zahari: Setuju
Hanipa: Maknanya mana-mana parti politik yang bertanding, inilah simbol yang boleh digunakan parti berdaftar?
Zahari: Setuju
Hanipa: Awak setuju lambang negeri Perlis ini bukan lambang parti politik dan tiada parti politik yang menggunakan lambang ini?
Zahari: Setuju
Hanipa: Jadi tak timbul isu orang nak guna lambang Perlis ini.
Zahari: Tak setuju. Kena dapat kebenaran SPR kalau nak guna.
Abu Bakar kemudiannya bangun bertanyakan berapa kalikah bantahan dikemukakan kepada penguat kuasa SPR yang mana Zahari menjawab hanya sekali iaitu secara lisan.
Perbicaraan ini ditangguhkan dan Hakim Pilihan Raya, Dato' Zainal Adzam Abdul Ghani menetapkan tarikh 2 Julai akan datang untuk mendengar penghujahan daripada para peguam.
Selain Hanipa, Rus'sele turut diwakili Zulmi Sabri dan Aqbal Shiffudin Adnan Sallehudin.
Alamat Baru Kami
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment