Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Monday, June 23, 2008

Mufti Perlis disaran sertai politik - Nik Aziz

Oleh Intan Abdullah
KUALA LUMPUR, 23 Jun (Hrkh) - Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin disaran agar memasuki parti politik jika beliau benar-benar ingin melaksanakan usaha menyeru kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata individu yang ingin melaksanakan Islam hendaklah memiliki kuasa yakni kerajaan sebagai platform bagi memastikan Islam itu diterjemahkan ke dalam kehidupan.

"Jika kita mahu melihat Islam berdaulat, maka hendaklah memiliki kerajaan yakni ianya melibatkan parti.

"Sekarang kita lihat, demokrasi ada kerajaan, sosialis ada kerajaan, mana boleh Islam tiada kerajaan, kenapa tidak mahu terlibat dengan parti?," ujarnya dalam sidang Media selepas merasmikan Pusat Gadaian Islam Ar-Rahn di cawangan Jalan Raja Laut Kuala Lumpur.

Jelasnya, sekiranya mana-mana pihak hendak menganjurkan sesuatu tetapi tidak memiliki sebarang kuasa, ianya tidak berguna atau tidak berkesan seumpama omongan kosong.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohd Asri yang tidak mahu memasuki mana-mana parti semalam.

"Harapnya Mufti Perlis dapat mempertimbangkan untuk memasuki mana-mana parti,walaupun pegawai kerajaan di Malaysia ini tidak dibenarkan untuk melibatkan diri dengan mana-mana parti.

"Tetapi pembangkang sahaja yang tidak dibenarkan, pegawai kerajaan saya lihat boleh terlibat," katanya.

Malah tegas Menteri Besar Kelantan itu, para pelajar tidak dibenarkan terlibat dengan politik tetapi di luar negara ditubuhkan Kelab Umno di kalangan pelajar.

Dalam pada itu, beliau berkata jika demokrasi dijaga dengan betul tiada sebab Umno boleh menang dalam pilihan raya di Sanglang.

"Kalau Umno menggunakan demokrasi yang betul, sudah lama Umno tumbang.

"Bukan kita tidak tahu cara Umno yang menggunakan duit, ISA, tetapi kesemuanya perkara yang tidak betul ini akan diketahui orang tahu juga nanti," katanya lagi.

No comments: