PADANG BESAR, 17 Julai - Penderitaan mangsa gempa bumi di Yogyakarta dan Jawa Tengah, Indonesia baru-baru ini turut mendapat perhatian Yayasan Pembangunan Umnah (YPU).
Gempa bumi tersebut bukan sekadar meragut nyawa, memusnahkan kediaman tetapi turut memusnahkan banyak masjid dan musolla.
Dalam kunjungan ke sana baru-baru ini, YPU bersama dengan Yayasan Al-Qolam Indonesia mengambil inisiatif membangunkan semula masjid dan musolla yang telah musnah.
Statistik menunjukkan 434 buah masjid dan musolla telah roboh manakala 445 buah pula rosak. Jumlah yang menjangkau hampir 900 buah ini amat mendesak kepada umat Islam di sana khususnya menjelang bulan Ramadhan yang akan tiba tidak lama lagi.
Menurut Pengerusi YPU, Mohd Anuar Tahir, dalam kunjungan ke sana 11 Julai lalu, dua buah "masjid darurat" telah berjaya dibangunkan dalam masa tiga hari dengan bantuan permulaan yang mereka sampaikan.
"Di Indonesia, masjid dan musolla dibina oleh rakyat sendiri. Akibat musibah ini mereka tidak mampu lagi membinanya," jelasnya.
"Masjid darurat" tersebut dibina menggunakan rangka buluh, "dinding gedhek kulitan" (dinding anyaman), berlantaikan simen atau papan dan beratap asbestos.
Kos pembinaannya adalah sekitar RM4200. 00bagi lantai simen dan RM4305. 00 bagi lantai papan.
"Masjid darurat" yang mampu bertahan untuk tiga hingga empat tahun itu adalah pembinaan segera sehingga ekonomi masyarakat di sana benar-benar pulih dan mampu membangunkan sendiri masjid atau musolla yang rosak," kata Anuar.
Beliau ditemui Harakahdaily selepas menyampaikan ucapan di majlis penerangan anjuran Lajnah Penerangan PAS Kawasan Padang Besar malam tadi.
Sehubungan itu, YPU merayu sumbangan orang ramai untuk disalurkan bagi membina lebih banyak "masjid darurat" di sana.
Sebarang sumbangan berbentuk wang tunai atau cek boleh disalurkan kepada YAYASAN PEMBANGUNAN UMMAH, no. akaun Bank Islam: 20 0200 7010 1204 atau menghubungi YPU di talian 03 -7954600.
Bantuan selanjutnya dijangka akan disalurkan pada kunjungan susulan YPU awal bulan depan.
No comments:
Post a Comment