Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Saturday, July 15, 2006

Jangan akui negara Islam jika syariat diabaikan

Petikan Harakahdaily

BESERI, 13 Julai - Jangan mengaku Malaysia sebagai sebuah negara Islam tulin sekiranya syariatnya masih dipinggirkan daripada pemerintahan.

Kedudukan Islam yang tidak jelas di dalam perlembagaan juga membuka ruang yang luas terutamanya kepada orang-orang bukan Islam untuk mempertikaikannya, demikian tegas Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Riduan Mohamad Nor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah maghribnya di Sekolah Rendah Islam At-Taqwa dekat sini malam tadi.

Beliau mengulas tentang laporan media berkaitan sidang Dewan Rakyat semalam di mana Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) membangkitkan tentang status Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Dalam jawapannya, Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr Mashitah Ibrahim menjelaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam berdasarkan Perlembagaan Negara.

Antara hujahnya, Mashitah menyatakan bahawa perkataan agama telah disebut berulang kali dalam Perlembagaan Negara dan ini membuktikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Ustaz Riduan melihat penjelasan sebegini tidak tepat dengan realiti sebenar sebuah negara Islam.

Katanya, sebuah negara Islam perlu meletakkan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai perlembagaan tertinggi.

"Ini jelas bahawa Al-Quran tidak ada tempat langsung di dalam perlembagaan.Yang ada hanyalah Islam sebagai agama rasmi persekutuan," katanya.

Tambahnya lagi, dalam Perkara4 (1) Perlembagaan menyebut ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan sebarang undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu.

"Peruntukkan ini sekaligus menghalang kepada pelaksanaan Islam sebagai sistem yang mengatur urusan umat Islam," katanya lagi.

Menurutnya lagi, erti sebuah negara Islam menurut ulama-ulama feqah juga jauh tersasar. Ini jelas terbukti apabila perlaksanaan syariat Islam tidak dapat dilaksanakan sedangkan pelbagai masalah sosialdan maksiat yang ada.
"Negara dilanda tsunami maksiat, gejala sosial dan murtad.Sistem ekonomi juga tidak berlandaskan Islam.Malah dicampur-adukkan dengan sumberharam seperti perjudian dan sebagainya. Itu belum dikira premis judi yang berselerak di seluruh negara," tambah beliau.

No comments: