Oleh Pemberita SEDAR
KANGAR, 15 Julai - Isu-isu yang ditimbulkan oleh parti pembangkang di negara ini banyak memberikan kesan dan tekanan kepada parti pemerintah pimpinan Umno.
Ini terbukti apabila pimpinan mereka sering memberikan pelbagai komen bersifat "reverse psychology" bila timbul sesuatu isu besar yang membabitkan kepentingan rakyat.
Di samping itu, Umno juga dilihat bersifat tidak demokratik apabila pimpinan mereka sendiri sering menyeru ahli parti agar tidak mempertikaikan sebarang keputusan kerajaan mahupun parti mereka sendiri.
Terbaru, Ketua Wanita Umno, Dato' Seri Rafidah Aziz dalam satu majlis di sini mengingatkan ahli pergerakan itu supaya tidak bertindak seperti penyokong parti pembangkang yang sering mempersoalkan tindakan kerajaan apabila timbulnya sesuatu isu seperti kenaikan harga minyak dan kekurangan bekalan gula.
"Ini jelas membuktikan Umno tidak memberikan ruang bersuara kepada ahli mereka dalam membicarakan isu kepentingan rakyat," demikian kata Ketua Dewan Pemuda PAS Arau, Zulmi Sabri.
Menurut Zulmi, sepatutnya Umno juga harus mendengar komen atau pandangan dari ahli mereka khususnya di peringkat akar umbi berkaitan isu rakyat.
"Mereka kata pembangkang sering memberikan pandangan yang mengelirukan, tapi adakah mereka mahu dengar pandangan ahli mereka sendiri?," soalnya.
Katanya lagi, apabila pimpinan Umno sering memberikan ingatan sedemikian kepada ahli mereka ini jelas menunjukkan bahawa setiap pandangan atau komen dari parti pembangkang di negara ini tentang sesuatu isu amat berkesan.
"Mereka takut apa yang dikatakan pembangkang diterima orang ramai termasuk ahli Umno sendiri," kata Zulmi lagi.
Selain itu, beliau turut memberikan contoh di dalam PAS sendiri yang memberikan ruang demokrasi yang luas.
"Dalam Muktamar PAS, perwakilan boleh mengkritik pemimpin dan pimpinan pula menerimanya dengan hati yang terbuka. Dalam Umno kalau buat begini jawabnya kena cantaslah," katanya.
No comments:
Post a Comment