Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Wednesday, July 05, 2006

Mahathir vs Pak Lah: Rakyat jangan terperangkap

Oleh Wartawan Harakahdaily

BESERI, 5 Julai - Rakyat hendaklah berhati-hati agar tidak diheret ke dalam isu perselisihan antara Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebaliknya memberikan penumpuan kepada isu-isu yang melibatkan kepentingan negara.

Perselisihan antara kedua-duanya adalah lebih merupakan sengketa kepentingan peribadi, keluarga dan kroni, demikian menurut Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mustaffa Kamil Ayub.

"Rakyat perlu memfokuskan isu yang berkaitan dengannya dan bukannya individu yang terlibat kerana ianya adalah melibatkan kepentingan rakyat," katanya.

Beliau ditemui oleh Harakahdaily selepas berceramah dalam satu majlis penerangan anjuran Barisan Alternatif Perlis di Markas PAS Beseri Dalam dekat sini baru-baru ini.

Mustaffa melihat perselisihan ini juga berpunca daripada pemerintahan Abdullah yang kini berada dalam keadaan yang paling lemah.

"Abdullah lemah tapi Mahathir pula tidak berkuasa. Islam Hadhari yang dicanangkan tetapi tidak ada apa-apa selain rasuah yang terus berleluasa," katanya.

Apabila ditanya tentang kehadiran orang tengah yang dikatakan boleh mendamaikan kedua-dua mereka, Mustaffa melihat penumpuan perlu diberikan kepada kepastian tentang kebenaran setiap isu yang diperkatakan.

"Rakyat perlu mengetahui dengan jelas tentang perkara ini untuk membuat keputusan yang bijak ke atas isu-isu yang telah dibangkitkan," jelasnya.

Bagi PKR pula, Mustaffa menegaskan bahawa Dr Mahathir berhak mempersoalkan apa yang beliau tidak bersetuju dalam setiap isu yang telah ditimbulkan dan ianya perlu dijawab segera oleh Abdullah," jelasnya lagi.

Namun begitu katanya lagi, sebahagian besar daripada isu-isu yang dibangkitkan dalam isu ini adalah warisan daripada kesilapan yang dibuat semasa pemerintahan beliau sendiri.

"Bagi PKR, rakyat perlu fokus kepada isu-isu utama pimpinan dan pentadbiran negara yang melibatkan kepentingan rakyat yang perlu menjuruskan kepada reformasi ke arah pentadbiran kerajaan yang benar-benar telus dan demokratik," katanya.

No comments: