Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Wednesday, April 26, 2006


Adnan gagalkan Kempen Budi Bahasa
Oleh : Mat Teropong
Kategori : Berita

Kangar 25hb April : Kempen Budi Bahasa yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri sedikit masa dahulu telah digagalkan oleh Datuk Seri Adnan Yaakob Menteri Besar Pahang.Demikian menurut Ketua Pemuda PAS Kawasan Kangar Ustaz Yaakob Abu Seman.

Ustaz Yaakob yang jelas kesal dengan kejadian Adnan mengherdik wartawan dengan kata-kata “go to hell” (pergi jahanam) berkata itu bukan itu cara melepaskan kemarahan apatah lagi Adnan seorang Menteri Besar.

“Kalau media salah sekalipun banyak lagi cara lain untuk dia nak selesaikan bukan dengan menunjukkan perangai dia tu,”ujarnya

“Apatah lagi perkara itu dia lakukan di dalam dewan yang mulia yang bukan sahaja disaksikan oleh ahli dewan tetapi juga kakitangan kerajaan dan pelajar-pelajar,”tambah beliau lagi.

Beliau kemudiannya menyarankan kepada Pak Lah agar menerapkan budi bahasa kepada pimpinan Umno dahulu sebelum dianjurkan kepada orang ramai.

Sementara itu Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kangar Ustaz Yussainee pula berpendapat, kejadian itu jelas menunjukkan kepada umum bahawa pimpinan Umno tidak beradab.

“Jangan kita lupa yang Adnan pernah menunujukkan isyarat lucah kepada penyokong PAS ketika pilihanraya kecil Sanggang.Ini membayangkan bahawa memang perangai dia suka kepada perkara begitu,”kata beliau.

“Itupun dia masih mendapat kepercayaan Pak Lah dan rakyat,”ujarnya kesal.

Beliau kemudiannya memberikan contoh bagaimana PAS yang walaupun sentiasa dikhianati oleh media tetapi masih bersikap sabar dan memaafkan kerana itulah sikap muslim sejati yang diajar oleh rasulullah.

Tuesday, April 25, 2006

Roboh surau : Satu jenayah dalam Islam
Oleh : Nikon
Kategori : Berita

Kangar 24hb April : Tindakan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) merobohkan Surau Seksyen 2 , Bandar Puteri Jaya baru-baru ini amat dikesali.Ianya merupakan satu jenayah dalam Islam.Demikian menurut Ustaz Taib Azzamuddin.

“Banyak lagi cara yang sesuai dan berhemah yang boleh digunakan untuk menangani masalah ini.Tetapi mengapa kekerasan dipilih sebagai penyelesaian?,” Tanya beliau dengan kesal.

Difahamkan modal untuk mendirikan surau itu adalah sumbangan orang ramai dan beliau juga dimaklumkan bahawa pihak pemaju tiada halangan diatas pembinaan surau itu.

Beliau juga percaya yang penyumbang-penyumbang derma itu tidak akan menghalalkan dan redha diatas tindakan MPSP itu.

Mantan Imam Besar Masjid Negara itu juga hairan bagaimana begitu banyak kuil hindu yang ada di sekitar Sungai Petani tetapi satupun tidak dirobohkan oleh MPSP.

Baginya kalau kuil-kuil itu semuanya menepati piawaian MPSP mengapa tidak dibantu jemaah surau bagi mereka membuat surau yang menepati piawaian MPSP.

Dan amat malang sekiranya kuil-kuil itu tidak menepati piawaian tetapi tidak dirobohkan oleh MPSP sedangkan dalam masa yang sama surau yang tidak menepati piawaian MPSP,mereka begitu pantas bertindak.

“Kita jangan terlalu sangat nak jaga hati bukan Islam tapi dalam masa yang sama memijak sesama Islam.Ini bukan caranya.Keutamaan mestilah kepada Islam,”ujar beliau

Sunday, April 23, 2006

TAKZIAH
PEMUDA PAS KAWASAN KANGAR MENGUCAPKAN TAKZIAH
KEPADA KELUARGA ALLAHYARHAM TUN GHAFAR BABA
DIATAS PERMERGIAN ALLAHYARHAM PAGI TADI.
DPP KANGAR JUGA BERHARAP AGAR SELURUH KELUARGA
ALLAHYARHAM BERSABAR DIATAS UJIAN ALLAH INI.
KAMI MENDOAKAN SEMOGA ALLAH AKAN
MENTAKDIRKAN YANG TERBAIK KEATAS ALLAHYARHAM
DAN KELUARGA BELIAU
AMIIN

Friday, April 21, 2006

MEMANG SEPATUTNYA SHAHIDAN DI "CHECKMATE"!
Rakyat Sejati, negeri Perlis
Kategori : Surat Pembaca


Pendapat PEMUDA UMNO Perlis dalam halaman ini memang tepat. Shahidan patut di "Tendang" seberapa segera yang boleh. Sekian banyak kezaliman dan kekurang-ajaran dilakukan selama dia menjadi khalifah/MB menyebabkan negeri Perlis ketinggalan dalam serba-serbi.

Di antara sebab-sebabnya:

1. Rasuah dilakukan sewenang-wenagnya, sehingga Pak Lah sendiri, ketika melawat negeri Perlis mengatakan, "Bagaimana negeri Perlis nak maju, dia kenakan TOL jika ada projek-projek pembangunan".

Tol itu ertinya rasuah, 10 hingga 50 peratus. Dia dan kroninya yang kaya-raya, rakyat Perlis papa kedana! Jika PM sendiri mengakui perangai Shahidan begitu, apa ditunggu lagi, tendanglah Shahidan tu.

2.Dia dah jadi seperti firaun (dulu Mahadhir). Semua kena dengar cakap dia.Kalau dalam mesyuarat dia saja yang bercakap. Orang lain cuma dengar,angguk-angguk macam belatuk.

3. Dia buang Dato Zahidi Zainol Abidin jadi Exco sebab utama kerana selalu tentang dia. Sebab itu orang UMNO diam macam kera luku. Kalau tentang kena cantas, macam nasib Dato' Zahidi dan orang-orang yang dia tak setuju.

4. Negeri Perlis tak ada pembangunan terutama sekali kilang-kilang perusahaan. Siapa yang berani buka kilang sebab kena tol. Tak ada peluanglah rakyat perlis dapat kerja, macam negeri Kedah misalnya.

5. Dia dah jadi raja, kuasa Raja Perlis pun dia rampas misalnya anugerah pingat dan bintang, pemilihan Tokoh Maal Hijrah, dialah yang menentukannya.

6. Banyak sangat projek-projek yang terbengkalai. Bangunan flat di Kampung Bakau dah jadi gajah putih berapa lama. Rancangan nak buka kawasan industri di Sungai Cucuh, terbengkalai. Insdustri kecil dan sederhana, cuma tinggal nama.

Yang besar sekali pembangunan kampus KUKUM (Kolej Kerjuruteraan Utara Malaysia), sudah lima tahun tak siap-siap. Dia buat kampus di seluruh negeri Perlis. Banyak tempat-tempat itu dia yang kaut duit. Sebab itulah negeri Perlis tak maju. Kami rakyat Perlis amat malu.

7. Dia nak jadi ulamak, tapi kerja tak serupa bikin. Rasuah, bila mesyuarat tidak mahu terima pendapat orang, kehadiran dalam sesuatu majlis selalu lewat sehingga berjam-jam, ulamakkah orang macam itu?

8. Bandar Arau (bandar Diraja) dah mati, bandar Cangloon, Kodiang di negeri jiran pesat membangun (dekat dengan bandar Arau). Tak malukah Shahidan? Kami rakyat Perlis sungguh malu.

9. Idea atau pendapatnya pelek-pelek, jadikan negeri Perlis tempat berpoligami, ramaikah orang datang berkahwin di negeri ini? dia suruh orang ramai naik basikal, dia sendiri naik kereta mewah,

10. Dia bermusuh dengan pemimpin utama negeri Perlis seperti Dato' Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Dato Seri Azmi Khalid, takut mereka rampas kuasa.Macam mana negeri Perlis nak maju?

Sebenarnya lebih daripada 10 sebab itu, kerenah Shaidan selama dia jadi Khalifah.

Dia cadang nak jadi MB sampai tongkat langit. Dia ingat dalam negeri Peris tidak ada orang lain yang lebih pandai dan berkelibar untuk memimpin negeri ini?

Sebab itu, Pak Lah tolonglah rakyat dan negeri Perlis ini. Kami sudah tidak sanggup lagi berada di bawah kepimpinan yang MAHA ZALIM dan BERKUKU BESI itu.

Tolonglah!

Terima kasih kepada pengirim

Shahidan akan di "checkmate" tidak lama lagi!
Pemuda Perlis
Kategori : Surat Pembaca

Minggu lepas, Shahidan Kassim, khalifah bagi penduduk Perlis telah memecat Timbalannya Zahidi Zainol Abidin (Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis) dari jawatan Exco Kerajaan negeri.

Shahidan juga dengan bangganya mengatakan bahawa Zahidi yang meminta digugurkan kerana mahu menumpukan kepada perniagaan.Sesungguhnya ini adalah pembohongan besar yang dilakukan oleh Shahidan Kassim.

Shahidan ingat dia sudah selamat apabila memecat Zahidi. Ketahuilah Shahidan, kami Pemuda Umno seluruh Perlis berada di belakang Zahidi yang bakal dinobatkan sebagai Ketua Pemuda Umno Malaysia pada pemilihan Umno tahun hadapan.

Riwayat politik Shahidan Kassim akan di checkmate tidak lama lagi! Inilah janji kami semua. Sabarlah...

Terima kasih kepada pengirim
Ekonomi Perlis dalam bahaya
Oleh : BASHIR ISHAK
Kategori : Berita

Kangar - Penduduk Perlis diminta jangan cepat terperdaya dengan pelbagai janji-janji pembangunan oleh pihak kerajaan yang mana sebahagian daripadanya gagal dilaksanakan.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin berkata demikian ketika mengulas tentang pendedahan akhbar Utusan Malaysia berkenaan dengan kegagalan Taman Perindustrian Sungai Cuchoh, Padang Besar baru-baruini.

Pendedahan itu dibuat sehari selepas Perdana Menteri,Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan lawatan kerja sehari ke negeri Perlis.

Dalam lawatannya, beliau telah merasmikan Hab Halal yang terletak berberapa kilometer daripada Taman Perindustrian yang telah berlangsungnya majlis pecah tanah 10 tahun yang lalu oleh Perdana Menteri yang lepas, Dr Mahathir Mohamad.

Kini setelah bertukar Perdana Menteri, projek tersebut hanya tinggal nama. Bagaimana pula dengan status 21 memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani?

Turut dimuatkan dalam artikel tersebut ialah projek "gajah putih" Kawasan Industri Kecil dan Sederhana(IKS) di Batu Bertangkup, Chuping yang juga terbiar.

Menurut penduduk yang ditemubual oleh Utusan, mereka berharap agar projek Hab Halal tersebut akan menjadi kenyataan tidak seperti projek di Sungai Cuchoh yang terbengkalai.

Menurut Ustaz Hashim, Shahidan sejak mula menjadi Menteri Besar telah menandatangani begitu banyak MoUtetapi tidak satupun yang menjadi.

"Dia ni jenis suka menonjolkan diri tetapi hakikatnya beliau gagal membawa kejayaan dalam ekonomi negeri Perlis," katanya.

Baru-baru ini juga, seorang calon PhD dari sebuah unversiti di Belanda telah menulis dalam Malaysiakini (http://www.malaysiakini.com/opinionsfeatures/49589) tentang ekonomi Perlis yang sedang dalam keadaan tenat.

Dalam artikelnya, beliau mempertikaikan bagaimana Perlis boleh menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2015 dengan sumber-sumber yang terhad.

Walaupun Perlis dianggap sebagai sebuah negeri pertanian, namun sektor tersebut hanya menyumbang lebih kurang 23% daripada keluaran kasar dalam negeri sedangkan lebih 67% disumbangkan oleh sektor perkhidmatan.

Kajian tersebut juga menggariskan tiga masalah utama iaitu perbandingan yang yang tidak menguntungkan berbanding dengan negara jiran, sumber kewangan yang mendesak dan sumber tanah yang terhad.

Sumber kewangan negeri bergantung sepenuhnya kepada geran serta pinjaman daripada kerajaan pusat.

Sektor perkilangan juga dilihat tidak dapat berkembang maju. Untuk sektor ini, Sungai Petani di Kedah dan juga Pulau Pinang dilihat lebih sesuai dan strategik dari segi logistik dan kemudahan lain.

Sebuah kilang pakaian terpaksa memberhentikan operasi beberapa tahun lalu dan baru-baru ini sebuah kilang produk perubatan terpaksa mengurangkan tenaga kerja mereka.

Ustaz Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang melihat keadaan ini menunjukkan Perlis sebagai sebuah kerajaan yang tidak mampu berdikari.

"Rakyat cuba digula-gulakan dengan khabar-khabar pembangunan. Walaupun dilihat agresif dalam membawa pelbagai projek, namun tidak semua dapat dilakasanakan kerana terdapat pelbagai kekangan," katanya.

Menurut sumber daripada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) nisbah pendapatan perkapita Perlis berbanding dengan peringkat nasional juga menunjukkan trend menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Semua faktor ini menjadikan pelbagai pihak mulai melihat kewibawaan kerajaan negeri untuk membawa Perlis sebagai negeri maju menjelang tahun 2015 atau lima tahun lebih awal daripada Wawasan 2020 kerajaan pusat.

"Saya tetap meragui status negeri maju yang mereka laung-laungkan sekiranya keadaan begini berterusan,"kata Ustaz Hashim lagi.
Tokoh Maulidul Rasul bukan Islam hina Nbi SAW
Oleh : Bashir Ishak
Kategori : Berita

Padang Besar - Penganugerahan Tokoh Maulidul Rasul kepada individu bukan Islam adalah juga merupakan satu penghinaan kepada Nabi s.a.w, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Nor Azli Musa.

Menurutnya, orang-orang bukan Islam tidak pernah memberikan anugerah khas kepada mana-mana individuIslam di negara ini sempena dengan upacara perayaan atau sambutan keagamaan mereka.

Namun kerjaan Islam Hadhari hari ini memberikan anugerah sempena sambutan hari besar dalam Islam seperti maulidul Rasul atau Hijratul Rasul tanpa mengira agama.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan kuliah maghrib di Markas Tarbiyah PAS Kawasan Padang Besar di Santan dekat sini baru-baru ini.

Menurut Ustaz Nor Azli, kerajaan sepatutnya menumpukan untuk memberikan anugerah berdasarkan kriteria tertentu kepada individu yang banyak memberikan sumbangan kepada Islam.

"Sebagai contoh, kita boleh berikan anugerah kepada seorang yang memberikan contoh terbaik serta banyak mengikut sunnah Nabi s.a.w dan sebagainya," katanya.

Menurutnya lagi, penghinaan terhadap Nabi s.a.w bukan sahaja dengan melukis karikatur baginda sperti yang berlaku baru-baru ini sahaja malah ianya berlaku setiap hari khususnya di negara ini.

"Pengabaian undang-undang berasaskan syariat yang dibawa oleh Nabi s.a.w di samping maksiat yang berleluasa adalah juga merupakan penghinaan terhadap baginda," katanya lagi.
Sidang DUN Perlis tunda 4 kali
Oleh Bashir Ishak
Kategori : Berita

KANGAR, - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang sepatutnya bersidang pada 17 April baru-baru ini ditunda lagi atas sebab-sebab yang kurang jelas.

Ini merupakan kali keempat pesidangannya ditunda, demikian jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang, Ustaz Hashim Jasin.

"Pada awalnya DUN dijangka bersidang pada 25 April, minggu lalu dipindahkan ke hari Rabu (12 April). Beberapa hari sebelum itu dipindahkan ke hari Ahad 16 April pula," katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis menjelaskan bahawa dua hari sebelum sidang, beliau mendapat panggilan telefon bahawa ianya ditunda ke hari Isnin 17 April pula.

"Kemudiannya mereka telefon lagi untuk memberitahu bahawa tarikh DUN bersidang diubah kembali ke 25 April ini," jelasnya.

Ditanya tentang kertas-kertas dewan yang selalu dihantar lewat, Ustaz Hashim menjelaskan bahawa beliau sudah tidak kisah kerana perkara tersebut memang selalu berlaku.

"Saya dah tak mahu kata apa-apa lagi, memang macam tu setiap kali DUN akan bersidang," jawabnya.

Pada sidang yang lalu, Ustaz Hashim telah menegur pihak pengurusan DUN berkaitan dengan hal ini dan hujahnya turut disokong oleh Adun BN dari Santan, Sabry Ahmad.

"Dulu kita ada tiga orang Adun PAS. Sekarang tinggal saya seorang mudah la mereka buli macam ni," katanya berseloroh.

Friday, April 07, 2006


Golongan sekular suka mempersendakan agama
Oleh : Nikon
Kategori : Berita

Kangar 6hb April : Golongan sekular adalah golongan yang suka menggunakan agama demi kepentingan mereka.Demikian ulasan yang diberikan oleh Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis Ustaz Yussainee Yahya.

Kepentingan agama diketepikan sama sekali dalam semua bentuk pekerjaan kerana mereka bercakap tidak serupa dengan apa yang mereka amalkan.

Beliau mengulas laporan akhbar Berita Harian pada 3 April yang menyiarkan kenyataan dari Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyeru umat Islam agar tidak hanya menjadikan al-Quran sebagai perhiasan.

Shahidan juga dilaporkan menyeru agar al-Quran dijadikan panduan dan rujukan hidup dan benar-benar dihayati untuk memastikan kehidupan menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang.

Bagi Ustaz Yussainee kenyataan Shahidan itu tidak lebih dari gimik untuk menarik perhatian umum.

“Mengapa tidak melaksanakan kehendak agama dengan menyeluruh apabila kita ada kuasa? Bukankah amar makruf nahi mungkar itu ada dalam al-Quran,”soal beliau.

“Dia suruh kita baca dan amal tapi dia sendiri tidak mempraktikkannya.Tengok saja kedai-kedai judi dan pusat-pusat hiburan yang ada disekeliling.Adakah ini semua termasuk dalam apa yang disebut dalam al-Quran untuk diamalkan?,”tanya beliau lagi.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Kangar turut menuntut agar kerajaan menghapuskan dahulu semua bentuk hiburan yang melalaikan supaya selari dengan kehendak al-Quran.

Dan bagi beliau sekiranya itupun tidak mampu untuk dilaksanakan maka janganlah kerajaan hendak bercakap tentang perkara yang lebih besar lagi.

Tuesday, April 04, 2006

Kitab suci bukan untuk perhiasan
Petikan : Berita Harian

KANGAR: Umat Islam disaran menjadikan al-Quran sebagai panduan dan rujukan hidup serta benar-benar menghayatinya untuk memastikan kehidupan mereka cemerlang, gemilang dan terbilang.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata al-Quran tidak harus disimpan atau hanya dijadikan bahan bacaan saja.

Sebaliknya, kata beliau, umat Islam perlu menghayati dan menjadikan al-Quran sebagai sumber kekuatan yang dinamik yang diyakini mampu menangani pelbagai masalah yang dihadapi dalam masyarakat.

"Paling penting memastikan tidak wujud fenomena di mana umat Islam atau generasi akan datang menjadi masyarakat jumud dan lesu sebaliknya menjadi generasi al-Quran yang mantap keimanannya dan berjaya setanding dengan bangsa lain di dunia ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan dan penyampaian hadiah Majlis Menghafaz al-Quran peringkat negeri Perlis 1427/2006 di Dataran Jubli Emas, di sini, kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan Speaker Dewan Undangan, Sulaiman Che Shafie.

Seramai 21 peserta dari seluruh negeri menyertai majlis menghafaz al-Quran peringkat negeri itu bagi kategori juzuk satu hingga lima, juzuk satu hingga 15 dan juzuk satu hingga 30.
Kenyataan Media Angkatan Muda Keadilan Rakyat Bahagian Kangar

Merujuk kepada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) oleh perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi petang Jumaat kelmarin, Angkatan Muda Keadilan Bahagian Kangar (AMK Kangar) mengambil sikap menyokong usaha PM untuk memajukan lagi sektor pertanian selaras dengan hasrat kita semua bagi mencapai tahap pertanian sara diri kerana pertanian merupakan sektor strategik yang penting agar jaminan keselamatan negara terpelihara.

Sehubungan dengan itu, kami juga mencadangkan agar subsidi dalam bidang pertanian ini dapat dipertingkatkan lagi oleh kerajaan sebagaimana dasar kerajaan Jepun yang memperuntukkan satu jumlah subsidi yang besar untuk sektor pertanian walaupun negara tersebut merupakan sebuah negara perindustrian yang maju.

Peruntukan yang ditambah kepada RM200 bilion dalam RMK-9 berbanding hanya RM170 bilion dalam RMK-8 menjanjikan peluang projek yang lebih besar untuk diagihkan kepada kontraktor di seluruh negara. Kami ingin menegaskan agar tender terbuka dibuat bagi setiap projek dalam RMK-9. Sekiranya amalan tender tertutup seperti sekarang terus dilakukan, akhirnya ianya cuma diagih-agihkan kepada kroni tertentu pemimpin sahaja.

Amalan tender tertutup amat bertentangan dengan Pelan Integriti Nasional yang sedang digerakkan oleh kerajaan kononnya sebagai satu langkah untuk membenteras rasuah. Bagi membuktikan kerajaan benar-benar bertegas untuk membasmi rasuah, kami menggesa agar Badan Pencegah Rasuah dan institusi peguam negara mestilah diletakkan terus di bawah Parlimen, bukannya Jabatan Perdana Menteri lagi.

Rasuah adalah musuh nombor satu negara kerana amalan rasuah selama ini telah menyebabkan negara mengalami kerugian berbilion-bilion ringgit. Jerung-jerung rasuah yang masih berleluasa wajib segera dibawa ke muka pengadilan sebagai satu langkah berani khususnya oleh PM untuk membersihkan kerajaannya.

AMK Kangar juga ingin melahirkan rasa khuatir dengan jumlah peruntukan sebanyak RM 16.8 bilion untuk sektor pertahanan negara yang lebih besar berbanding dengan peruntukan untuk kesihatan rakyat yang hanya berjumlah 11.5 bilion sahaja. Dengan siapakah kita sedang berperang sekarang sehingga memerlukan peruntukan yang besar ini?
Rekod menunjukkan bahawa kita telah mengalami kerugian yang amat besar dalam perihal pembelian peralatan perang yang kebanyakannya kita beli barang terpakai (second hand), harga yang mahal dan akhirnya telah mengorbankan banyak nyawa akibat kejadian pesawat terhempas. Justeru, kami menuntut satu Kertas Putih dibentangkan di Parlimen tentang pembelian kelengkapan pertahanan negara!

Rakyat sedang dibebankan dengan kenaikan kadar inflasi akibat kenaikan harga bahan bakar. AMK Kangar menuntut supaya kadar kenaikan harganya sebanyak 30 sen dapat dikaji semula dan rakyat berhak untuk terus menikmati subsidi harga bahan bakar seperti sebelum 28 Februari kerana rakyat memiliki Petronas yang saban tahun mengaut keuntungan berpuluh-puluh bilion.

AMK Kangar juga menuntut kerajaan supaya membentangkan aliran kewangan Petronas terus kepada Parlimen. Rakyat sedang menunggu untuk mengetahui ke mana perginya lebih daripada RM 500 bilion wang Petronas sejak minyak ditemui di dalam negara.

Akhir sekali, AMK Kangar mengalu-alukan penyenaraian Perlis sebagai salah sebuah negeri koridor pembangunan utara dalam RMK-9. Justeru, kami mencadangkan agar kerajaan turut menyediakan peruntukan dalam RMK-9 untuk projek pelebaran jalan utama Kangar-Alor Setar bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri kami.


Oleh:
Zamri Bin Sapar
Ketua Angkatan Muda Keadilan Bahagian Kangar, Perlis
013-414 9841
amk_kangar@yahoo.com

Monday, April 03, 2006


Wakil Duta Amerika kunjungi Pesuruhjaya Perlis
Oleh Bashir Ishak
Petikan : Harakahdaily

KANGAR, 3 Apr (Hrkh) – Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin baru-baru ini menerima kunjungan hormat daripada wakil kedutaan Amerika Syarikat di pejabatnya dekat sini.

Rombongan dari pada kedutaan tersebut diketuai Setiausaha Pertamanya, Brian H. Phipps bersama tigapegawai kedutaan.

Turut serta dalam perjumpaan tersebut ialah Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perlis, Hisharuddin Hassan dan Ahli Badan Perhubungan, Haji Adnan Din.

Tujuan kunjungan adalah untuk mengeratkan hubungan antara kedutaan dan parti-parti politik yang ada dinegara ini di samping mengetahui tentang matlamat serta perkembangan mereka khususnya PAS.

Antara perkara yang menjadi topik perbincangan ialah bagaimana PAS berbeza dengan Barisan Nasional selaku parti pemerintah di negara ini.

Menurut Ustaz Hashim, dahulu PAS hanyalah dikenali sebagai parti yang diterajui oleh golongan agamasahaja namun kini ianya sudah mula disertai golongan profesional dan gabungan inilah yang lebihmemantapkan PAS.

Selain itu Ustaz Hashim turut menegaskan pendirian PAS terhadap pentingnya di negara ini mempunyai sistem demokrasi tulen khususnya dalam proses pilihan raya.

"Jika kami diberikan peluang untuk menunjukkan kebolehan kami untuk memerintah dengan ruang demokrasi yang baik, PAS telah menunjukkan kepada rakyat seperti yang berlaku di Kelantan dan Terengganu," katanya kepada perwakilan tersebut.

Salah seorang wakil kedutaan tersebut bersetuju dengan Ustaz Hashim bahawa perjalanan demokrasi di Malaysia adalah kurang memuaskan.

"Salah satu faktor yang terpenting dalam proses demokrasi ialah kebebasan media,"katanya.
Selain itu, isu-isu berkaitan Palestine, Hamas,Iran-Iraq, penghinaan terhadap Nabi s.a.w. serta isu tahanan di penjara Abu Gharib dan Guantanamo Bay turut dibincangkan.
‘Jangan jual peralatan bantuan’
Petikan : Berita Harian

KANGAR: Ada segelintir masyarakat miskin di Perlis yang menerima bantuan kerajaan bertindak menjual barangan yang diberi kerajaan untuk mendapatkan wang tunai dengan segera.

Perkara itu didedahkan Exco Pembangunan Luar Bandar dan Pertanian negeri, Khairi Hassan yang turut kesal dengan tindakan golongan miskin itu yang disifatkannya tidak sepatutnya berlaku.

Beliau berkata, ada penerima bantuan berupa peralatan untuk menjalankan sesuatu perniagaan atau perusahaan tetapi bertindak menjual alat berkenaan untuk mendapat keuntungan segera.

"Saya berharap perkara sebegini tidak berlaku lagi. Jika peralatan yang diberi tidak digunakan, adalah lebih baik ia dipindahkan kepada golongan yang memerlukannya dan janganlah dijual.

"Justeru, saya menggesa penduduk supaya memainkan peranan masing-masing. Kalau nampak bantuan ini tidak digunakan dengan baik atau sudah dijual, laporkan kepada pihak bertanggungjawab. Pegawai kerajaan bukannya ramai, jadi penduduk perlu bekerjasama dalam hal ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan peralatan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) di Kompleks Bilik Sejuk, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 27 penerima menerima peralatan di bawah SPKR seperti gerai mudah alih, mesin memproses tebu, ayam dan santan, motosikal tiga roda, peralatan membuat kuih baulu dan mesin memproses laksa.