Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, May 09, 2008

Raja Muda Bimbang Penyalahgunaan IT

KANGAR, 9 Mei (Bernama) -- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Syed Sirajuddin Jamalullail hari ini melahirkan rasa bimbang terhadap penyalahgunaan teknologi maklumat (IT) menerusi penyebaran maklumat palsu.

Menurut baginda, meskipun IT membawa banyak kebaikan, ia juga telah digunakan oleh pihak tertentu untuk menyebar maklumat palsu dan fitnah ke seluruh negara dan kepada masyarakat.

Ketika menutup minggu kesedaran IT Kolej Komuniti Arau, baginda bimbang masyarakat akan mudah terpengaruh dengan penyebaran fitnah termasuk melalui blog tertentu.

Blog adalah alat yang boleh digunakan secara dwifungsi iaitu untuk kebaikan atau untuk perkara-perkara yang tidak baik secara halus, titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin berharap rakyat menguasai IT supaya tidak ketinggalan dalam arus globalisasi.

-- BERNAMA

Wahabi tidak pernah difatwakan sesat - Menteri

DARI PARLIMEN

Petikan Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 8 Mei (Hrkh) - Kerajaaan mahupun Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengeluarkan sebarang fatwa atau memutuskan bahawa fahaman Wahabi yang dipakai sebilangan umat Islam di negara ini sebagai sesat.

Demikian jawapan yang diberikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato' Zahid Hamidi (BN-Bagan Datok) kepada soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Zulkifli Noordin (KeADILan- Kulim Bandar Baru) berhubung dengan fatwa terhadap golongan Wahabi.

Sungguhpun begitu beliau telah menyenaraikan beberapa nama tokoh ulama di negara yang terdiri daripada golongan Wahabi antaranya Ustaz Abdullah Yassin dan Ustaz Hussein Yee Abdullah.

Semenjak tahun 1985 sehingga 1998 sebanyak enam kali Muzakarah Kebangsaan mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu golongan Wahabi beserta 'pemuka-pemuka golongan' itu dan kali terakhir ialah pada 30 Ogos 2007 di Putra Palace bertempat di Perlis bersama dengan Mufti Perlis Dato' Dr Asri Zainul Abidin.

Mengemukakan soalan tambahan, Zulkifli berkata jika tidak pernah difatwakan sesat mengapa golongan Wahabi ini sentiasa diberi tekanan seperti dilarang memberi ceramah, mengadakan kuliah agama dan ada yang turut ditahan oleh pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Negeri.

"Ustaz Abdullah Yassin pernah dua kali ditahan malah ada kes-kes mahkamah yang melibatkan golongan Wahabi ini. Atas alasan apa dikenakan tindakan sedemikian jika golongan ini tidak pernah difatwakan sesat?" soal Zulkifli.

Menjawab soalan, Zahid menyatakan tindakan tersebut adalah disebabkan golongan tersebut tidak turut serta dan 'memasuki' mana-mana mahzab dan sentiasa menjadikan persoalan 'bidaah' sebagai satu polemik yang mengundang rasa tidak senang pihak lain khususnya majoriti masyarakat Islam yang bermahzab Syafie.

Ahli Parlimen (PAS Baling Taib Azzamuddin mencelah dengan berpendapat bahawa mana-mana Mufti yang dilantik oleh Majlis Fatwa mahupun Jabatan Perdana Menteri mestilah menyelidiki latar belakang Mufti tersebut terlebih dahului memandangkan masyarakat umat Islam di sini merupakan umat Islam yang berfahaman mahzab Syafie.

Bagaimanapun Zahid yang bersetuju dengan pandangan Taib meminta pihak yang ingin membincangkan isu golongan Wahabi mahupun masalah kilafiyah ini membawa isu di platform yang lain dan bukannya di Parlimen.

Wednesday, May 07, 2008

PAS Perlis ziarah keluarga mangsa bunuh



Petikan Harakahdaily
KANGAR -Penderitaan keluarga Hatib Leman, buruh yang mati dibunuh di Kampung Belakang Kilang Ais dekat sini mendapat simpati daripada PAS Perlis.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Abdul Karim Md Rejab (gambar - menghulur bantuan) bersama-sama Ketua Penerangan, Hairy Hashim meluangkan masa menziarahi keluarga mangsa tengahari semalam.

Dalam kejadian malam Ahad lalu, Hatib mati dibelasah sekumpulan 20 orang penduduk yang tersilap menyangka beliau mengintai anak jirannya.

Isteri Hatib, Fazilah Muhammad 31, kini tinggal bersama-sama lima orang anaknya yang berusia antara dua bulan hingga 17 tahun di sebuah rumah yang begitu daif yang disewa dengan kadar RM80.00 sebulan.

Fazilah kini hilang tempat bergantung akibat kematian suaminya itu, apatah lagi beliau kini masih di dalam pantang. Mereka kini bergantung hidup kepada dua orang anaknya, Hayati, 17 yang bekerja di sebuah restoran dan anak kedua, Mohd Asri, 16, yang bekerja sebagai seorang nelayan.

Bagaimanapun semasa meziarahi rumahnya, Fazilah tidak berada di rumah kerana dipanggil ke balai polis berdekatan.

Kebetulan pula, pada masa itu rombongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis, Mat Hassan bersama-sama dengan Baitul Mal Perlis turut menziarahi keluarga tersebut.

Abdul Karim yang juga Pengarah Jabatan Khidmat Masyarakat PAS Perlis kemudiannya menyampaikan sumbangan kepada Mohd Asri selaku wakil kepada keluarga tersebut.

Sunday, May 04, 2008

PENGUMUMAN PROGRAM

CERAMAH PERDANA



TUAN HAJI MOHAMAD SABU
(Naib Presiden PAS)
Y.B. DR ISMAIL SALLEH
(Exco Kerajaan Negeri Kedah)
CIKGU KHOO YANG CHONG
(Aktivis Masyarakat)
TARIKH: 8 MEI 2008 (KHAMIS)
TEMPAT: BELAKANG AGRO BANK SIMPANG EMPAT
(Dulu Bank Pertanian)
MASA: 9.00 MALAM
SELURUH LAPISAN MASYARAKAT DIJEMPUT HADIR

Bantah Jom Heboh, Pemuda Perlis serah memo kepada kerajaan Perlis

Ustaz Ya'akub (kanan) menyerahkan memorandum kepada Ahmad Bakri (tengah) sambil diperhatikan AJK Pemuda PAS Perlis, Fakhrul Anwar


KANGAR, 3 Mei 2008 (Hrkh)- Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) menghantar memorandum kepada kerajaan negeri Perlis membantah Konsert Jom Heboh yang bakal diadakan hari ini di Stadium Utama Negeri.


Memorandum tersebut diserahkan kepada Exco Pelancongan dan Kesihatan Negeri Perlis, Ahmad Bakri Ali oleh Ketua DPPPs, Ustaz Ya'akub Abu Seman di Dewan 2020 dekat sini pagi semalam.


Memorandum tersebut menyatakan kebimbangan masyarakat Malaysia yang prihatin akan situasi dan tahap keruntuhan akhlak dan gejala sosial yang ada di Malaysia dewasa ini.


Realiti yang ada bukan sahaja memperlihatkan kegagalan penguasa yang diamanahkan rakyat gagal menanganinya, malahan mereka pula yang bersifat ?pemangkin aktif? serta penyumbang terhadap pelbagai kemungkaran dan kerosakan nilai dan jati diri generasi muda harapan negara pada hari ini.


Begitu juga, pembinaan modal insan yang dicitakan, nampaknya serba tidak menjadi apabila kepimpinan umat Islam pada hari ini, seolah-olah sudah kehilangan "kompas?" dan arah tuju, sehinga tidak tahu apa bentuk progam yang perlu diutamakan kepada generasi muda supaya mereka benar-benar menjadi aset berharga kepada negara an bukannya liabiliti negara.


Justeru, memorandum tersebut dikemukakan sebagai medium untuk menyuarakan kebimbangan rakyat di negeri Perlis khususnya masyarakat Melayu Islam yang prihatin, bagi membantah dan menentang usaha sogokan hiburan melampau dewasa ini.


Apatah lagi yang bersifat tidak terkawal kepada rakyat di negeri Perlis khususnya melalui Konsert Jom Heboh yang akan diadakan pada 4 Mei 2008 nanti.


Asas-asas yang digunakan dalam memorandum tersebut ialah:



1.Bercanggah dengan ajaran Islam dan tuntutan sunnah yang sebenarnya.

2.Dikenalpasti antara penyumbang utama keruntuhan akhlak muda-mudi di Malaysia.

3.Membantutkan usaha membangunkan iman dan minda generasi muda pada hari ini.

4.Pemimpin sewajarnya membimbing rakyat ke jalan kebaikan bukannya menjerumuskan mereka ke lembah dosa dan maksiat.

5. Negeri Perlis sewajarnya menjadi contoh kepada negeri lain sesuai dengan kedudukannya sebagai ?Negeri Darul Sunnah?, dan ?Negeri Perlis Negeri Ilmu?.

6.Masih banyak alternatif hiburan halal yang dapat disajikan kepada rakyat, selain konsert hiburan para artis yang merosakkan, yang tidak punya nilai dan visi di dalam mendidik masyarakat.

Friday, May 02, 2008

Mufti Perlis kritik program hiburan melampau 'ala zoo' dalam khutbah

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 2 Mei (Hrkh)- Jika sebuah pemerintahan negara itu boleh diubah dengan perasaan dan kemarahan rakyat, mengapa tidak sebuah program hiburan yang tidak berprinsip juga diubah dengan kuasa rakyat, demikian intipati khutbah Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini.

Katanya, artis membawa budaya yang melampau, bercanggah serta merosakkan bangsa dan budaya Melayu, juga sering mengakibatkan penonton-penonton menjerit-jerit seperti dalam zoo adalah bertentangan dengan agama.

Semasa berkhutbah di Masjid Alwi dekat sini tengahari tadi, Asri menyentuh tentang program Jom Heboh di Perlis yang sibuk diperkatakan apatah lagi beliau sendiri menyatakan bantahan sekiranya program tersebut melanggar peraturan yang ditetapkan.

"Islam bukanlah agama yang mengongkok sehingga menyusahkan manusia untuk hidup atau mengharamkan semua perkara untuk manusia. Demikian juga berhubung dengan hiburan. Islam tidak menghalang hiburan, tapi meletakkan batas dan mesti mengikut peraturan serta mempunyai garis panduan yang jelas.

"Festival Jom Heboh ini telah dibantah oleh beberapa buah negeri akibat pelbagai kontroversi yang timbul, sehingga ianya melangkah jauh beberapa negeri dan ia hinggap ke negeri ini. Kita bukan anti hiburan dengan mengatakan golongan muda, remaja hatta yang tuapun tak boleh berhibur, tapi mesti berperaturan.

"Kereta kita sendiri, harta sendiri yang dibeli dengan wang sendiri tapi apabila digunakan di jalanraya mestilah mengikut peraturan," katanya memberikan perumpamaan.

Katanya, setiap perkara mesti ada peraturannya dan Islam tidak pernah mengenal istilah hiburan tanpa batas atau hiburan tanpa had.

"Semua semua perkara ada 'rights and limits', ada hak dan hadnya maka apabila ia datang mestilah mengikut peraturan. Kita terkejut bila diiklankan ada artis yang dikenali bermasalah akan datang. Kita menegur bukan kerana beliau membuka baju tapi gelagatnya yang berterusan. Kita mahu ada misi ada kejelasan.

"Kita tak mau apabila orang melihat hiburan bagikan pergi ke zoo, dengan melompat-lompat dan menjerit-jerit tanpa batasan dan tak tahu identiti.

Tapi dalam masa yang sama kita bercakap tentang memajukan Islam, memajukan umat Islam, mahukan minda kelas pertama tapi dalam masa yg sama kita menyogokkan kepada remaja dengan hiburan yang memperbodohkan mereka, dengan hiburan yang tidak membangunkan minda mereka," tegasnya.

Asri juga melihat betapa buruknya apabila hiburan yang dicontohi dari barat dibawa ke dalam minda anak-anak muda di negara ini.

"Artis di Barat menjerit-jerit dan melompat-lompat, jeritan dan lompatan itu menghasil wang yang banyak untuk menyara mereka dan jadikan manusia seperti kita menjadi pengikut, maka kita menjadi hamba kepada media.

"Tetapi jeritan artis dan remaja kita hanya yang didengar ialah tentang isu, cerita keruntuhan moral, penyalahgunaan dadah dan seumpamanya.

"Kita bercakap tentang kemajuan, adakah remaja kita tidak maju kerana tidak tahu melompat atau menjerit? Maka kita tak dapat menerima artis rock di negeri ini, hiburan kita berperaturan kita tak dapat terima unsur khurafat, campur gaul yang melampaui batasan, pendedahan tubuh dan tidak menghormati sensitiviti orang Islam dengan tidak dapat membezakan waktu solat. Sebelum ini kedengaran muzik dan bunyi-bunyian mengatasi suara azan. Kita telah banyak dicandukan dengan hiburan seperti ini setiap kali ada pesta hiburan yang meruntuhkan moral anak-anak kita," ujarnya.

Selain itu, beliau turut menyentuh tentang pembabitan anak-anak orang Melayu/Islam yang ramai setiap kali berlangsungnya pesta hiburan.

"Anak siapakah yang pergi ke hiburan itu? Kebanyakannya anak orang-orang Melayu yang mengaku Islam. Tapi apabila ada pesta buku, pesta ilmu atau pertandingan yang membangun minda yang kering-kontang adalah anak-anak orang Melayu yang mengaku Islam.

"Keruntuhan moral, keciciran dalam pelajaran dan pelbagai-bagai lagi disebut sedangkan negara ini semakin hari semakin dikutip dan direbut oleh orang lain. Alangkah buruk dan bodohnya generasi ini jika mereka terus dibiarkan tenggelam dalam hal yang sedemikian.

"Kita bukan ekstrimis agama atau anti hiburan tapi kita mahu melihat generasi ini maju ke hadapan dan demikian tanggungjawab kepimpinan orang Islam mestilah berfikir untuk memajukan umat mereka," serunya.


Asri turut menyeru ibu-bapa supaya mengambil tanggungjawab memastikan anak-anak agar tidak terbabit dalam Festival Jom Heboh di Perlis sekiranya ianya gagal mengikuti peraturan yang ditetapkan.

"Jika tidak menurut peraturan, ibu bapa mesti memastikan anak-anak mereka tidak terlibat sama. Allah Taala mengingatkan 'Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, nanti kamu akan disentuh oleh api neraka'.

"Jika mematuhi aturan, bolehlah pergi melawat pameran atau hiburan yang tidak melampau. Tapi jika tidak patuh, kitalah ibu bapa yang bertanggungjawab memastikan unsur-unsur ini tidak meyusup masuk ke jiwa anak-anak.

"Jangan fikir kita sebagai ibu bapa siapalah kita untuk menghalang suatu program yang besar, tetapi hendaklah fikir kitalah yang bertanggungjawab dan memikul amanah.

"Jika pilihanraya yang membabitkan mengubah pemerintahan negara boleh dibubah dengan perasaan dan kemarahan rakyat apabila setiap orang merubahnya, demikianlah juga hiburan, apabila ianya tidak berprinsip, ianya boleh diubah dengan kuasa rakyat," katanya lagi.

KENYATAAN MEDIA JABATAN MUFTI PERLIS MENGENAI JOM HEBOH

KEPADA SESIAPA YANG BERKENAAN

Assalamualaikum wr. Wbth.,

Tuan

KENYATAAN MEDIA JABATAN MUFTI PERLIS MENGENAI JOM
HEBOH


Pada dasarnya, Jabatan Mufti Perlis tidak mengharamkan Program Jom
Heboh anjuran Stesyen TV3, akan tetapi pihak Jabatan Mufti dukacita
dengan nilai-nilai negatif yang terselit bersama dengan program Jom
Heboh tersebut.

2. Pihak Jabatan Mufti mencadangkan garis panduan berikut
sebagai panduan pelaksanaan program Jom Heboh di Negeri Perlis:

i. Program Jom Heboh tanpa konsert adalah satu keutamaan
sekiranya hendak dilaksanakan di Negeri Perlis

ii. Jika disertai dengan program konsert, ia hendaklah
terkawal dan berdisiplin

iii. Artis-artis yang menimbulkan contoh-contoh yang buruk
seperti Faizal Tahir atau aliran artis lain dari aliran rock,
dangdut dan seumpamanya yang mempromosikan
gelagat-gelagat liar dan ala kebudak-budakan yang
menghapuskan nilai-nilai kematangan hidup tidak boleh
dibenarkan

iv. Maka artis-artis yang hendak dibawa masuk hendaklah
artis yang telah dirujuk persetujuan dari Jabatan Mufti,
secara umumnya dicadangkan artis-artis puisi seperti
Kopratasa, Ramli Sarip dan Suhaimi Mior Hassan ataupun
kumpulan-kumpulan nasyid di tanahair.

v. Sebarang aktiviti-aktiviti yang memperlihatkan nilai-nilai
kebodohan yang seakan-akan memperlekehkan akal dan
pemikiran rakyat adalah tidak boleh dibenarkan

vi. Unsur-unsur khurafat seperti penampilan kepercayaankepercayaan
misteri dan karut tidak dibenarkan. Demikian
juga jualan barang-barangan khurafat dan tahyul seperti
kayu koka tidak dibenarkan

vii. Penganjur Jom Heboh hendaklah menghormati sensitiviti
orang-orang Islam seperti tidak menguatkan bunyianbunyian
pada waktu solat sehingga kelihatan seperti tidak
menghormati agama.

Sekian , terima kasih.

“BERKHIDMAT UNTUK AGAMA DAN NEGARA”

Saya yang menjalankan tugas,
( DR. MOHD. ASRI BIN ZAINUL ABIDIN )
Mufti,
Kerajaan Negeri Perlis.

Pandangan Mufti Mengenai Program Jom Heboh Perlu Diberi Perhatian

KANGAR, 1 Mei (Bernama) -- Pandangan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai program Jom Heboh perlu dilihat secara positif, kata Menteri Besar Perlis Datuk Dr Md Isa Sabu.Beliau berkata mufti berkenaan telah bertemu beliau semalam untuk memberi pandangannya mengenai program tersebut yang diwar-war akan diadakan di Perlis selama dua hari pada hujung minggu ini di Stadium Utama.

"Pandangan mufti akan dibangkitkan pada mesyuarat bersama TV3 selaku penganjur program itu di sini esok," katanya.

Antara pandangan Dr Mohd Asri ialah program itu perlu dihentikan seketika ketika masuk waktu untuk bersembahyang serta tidak menampilkan artis yang tidak boleh menjadi contoh kepada orang ramai.

Semalam mufti tersebut turut memberi contoh nama penyanyi yang disifatkan sebagai tidak berdisiplin dan tidak patut mengambil bahagian dalam program hiburan berkenaan.

Dr Md Isa berkata pandangan Mufti Perlis itu akan menjadi garis panduan kepada program hiburan yang bakal diadakan di Perlis di masa depan.

"Pandangan mufti perlu diambil kira kerana program Jom Heboh itu juga terletak tidak jauh dari Masjid Putra dan Masjid Behor Empiang," katanya.-- BERNAMA

Mufti tidak benar Faizal Tahir ke Perlis

Petikan Berita Harian
KANGAR: Bintang One In A Million, Faizal Tahir yang baru 14 hari mengecapi kebebasan selepas tiga bulan digantung kemunculan di kaca televisyen, sekali lagi berdepan masalah apabila kehadirannya melalui Konsert Jom Heboh 2008 di Perlis ditentang Mufti negeri itu, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Walaupun turut mempertikai Konsert Jom Heboh 2008 anjuran TV3 itu di Perlis, Dr Asri secara peribadi menyebut nama Faizal antara artis yang tidak patut dibenarkan membuat persembahan di Perlis, selain artis aliran rock dan dangdut.

Dr Asri berkata, kemunculan artis aliran sedemikian terutama dengan imej rambut panjang dan tingkah laku yang sering meraung serta melompat-lompat menunjukkan imej yang tidak matang dan tidak sesuai sekali untuk dipertontonkan kepada rakyat Perlis.

Mengenai Faizal, katanya, beliau sendiri sudah mengajukan surat kepada Pejabat Menteri Besar Perlis, meminta penganjur Jom Heboh 2008 menilai semula atau menghalang artis terbabit ke negeri ini, yang dianggap tidak sesuai dengan imej Perlis selain mampu membawa pengaruh buruk kepada rakyat.

"Saya tidak anti-manusia bernama Faizal Tahir, tetapi keperibadian dan tingkah laku liar serta tidak matang artis itu setiap kali melakukan persembahan, jelas membayangkan imej kebudak-budakan.

"Bagi saya, perbuatan seperti melompat-lompat dan meraung seperti yang sering dipertontonkan artis itu, terutama insiden membuka baju ketika melakukan persembahan tidak boleh diterima di Perlis. "Paling teruk, dia (Faizal) dilihat masih berada pada tahap krisis identiti kerana tidak tahu hala tuju sendiri. Malah, dia sendiri tidak tahu siapa dirinya yang sebenar kerana kejap mahu jadi manusia, kejap mahu jadi Superman," katanya di sini, semalam.

Faizal yang baru memenangi anugerah Artis Lelaki Paling Popular dan Artis Baru Lelaki Terbaik dalam Anugerah Planet Muzik 2008, digantung persembahannya di kaca televisyen sebelum ini, berikutan tindakannya membuka baju ketika melakukan persembahan sempena ulang tahun ke-4 8TV, Januari lalu.

Sementara itu, mengenai Jom Heboh ke negeri ini, Dr Asri berkata Jabatan Mufti Perlis tidak pernah mengeluarkan fatwa mengharamkannya, tetapi dukacita dengan nilai negatif yang terselit bersama program terbabit.

"Saya sudah mengajukan surat kepada Menteri Besar Perlis, Datuk Dr Md Isa Sabu dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Ahmad Bakri Ali, minggu lalu meminta kerajaan negeri menetapkan garis panduan, sesuai dengan negeri ini sekiranya Jom Heboh 2008 dibenarkan dibawa masuk ke Perlis.

"Jom Heboh tanpa konsert adalah satu keutamaan jika dibenarkan di Perlis. Bagaimanapun jika disertai konsert, ia haruslah terkawal dan berdisiplin," katanya.

"Ini termasuk menghormati sensitiviti orang Islam seperti tidak menguatkan bunyi pada waktu solat, selain mengelak sebarang unsur khurafat dan tahyul seperti penampilan kepercayaan misteri dan karut, serta penjualan barangan berunsur sedemikian. "Islam tidak pernah menghalang hiburan atau menghadkannya kepada nasyid semata-mata, tetapi ia perlu berada dalam garis panduan yang ditetapkan.

"Kenapa kita mahu bawa artis yang tidak membangun minda rakyat, sedangkan ramai lagi yang berimej bersih terutama artis berunsur puisi seperti Kopratasa, Ramli Sarip, Suhaimi Mior Hassan dan M Nasir," katanya.

Perlis menjadi destinasi kedua Jom Heboh 2008 yang kini masuk edisi keenam, pada 3 dan 4 Mei ini. Kemuncak program itu adalah konsert membabitkan artis seperti Faizal Tahir, Jay Jay, The Lima, Fazli Zainal, Ramlah Ram, Farawahida, Mila dan Ayu OIAM

Wednesday, April 30, 2008

YB Bang Din angkat sumpah sebagai Adun

KANGAR - Semua wakil rakyat yang terpilih dalam pilihan raya umum yang lalu mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perlis Isnin lalu.

Majlis mengangkat sumpah diadakan di hadapan Speaker yang baru, Dato' Yazid Mat.

Terdahulu Yazid mengangkat sumpah sebagai speaker setelah namanya dicadangkan oleh Menteri Besar, Dato' Dr Md Isa Sabu dan disokong oleh Adun Pauh, Dato' Seri DiRaja Syed Razlan Putra Jamalullail.

Md Isa kemudiannya mendahului semua Adun mengangkat sumpah.

Wakil PAS, Rus'sele Eizan turut mengangkat sumpah sebagai Adun Simpang Empat. Beliau memenangi kerusi tersebut selepas mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Zahari Bakar dengan majoriti 53 undi.

Begitu juga majlis tersebut turut menyaksikan bekas Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan mengangkat sumpah sebagai Adun Tambun Tulang.

Abdullah Hassan (BN-Sanglang) turut mengangkat sumpah walaupun belum pasti kesahihannya sebagai Adun kerana kemenangannya dipertikaikan berikutan kesilapan Suruhanjaya Pilihan raya mengumumkan pemenang bagi kerusi Dun tersebut.

Kes tersebut sudahpun difailkan petisyennya oleh calon PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.

Ustaz Hashim fail petisyen Dun Sanglang

KANGAR - Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin baru-baru ini memfailkan petisyen pilihan raya bagi mengisytiharkan beliau sebagai pemenang pilihan raya umum (PRU) ke 12 yang lalu di Dun N.15 Sanglang.

Petisyen tersebut difailkan melalui Tetuan Zuljaafar Ibrahim & Co di Mahkamah Tinggi Kangar jam 3.15 petang 23 April lalu.

Petisyen dan Notis Petisyen Pilihanraya tersebut diserahkan oleh peguam Zulmi Sabri dan diterima oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar, Badrul Munir Mohd Hamdy.

Menurut Zulmi, petisyen ini difailkan dalam tempoh 21 hari selepas keputusan PRU diwartakan dan pihak pempetisyen akan menyerahkannya kepada defendan, Abdullah Hassan (Calon BN), Mohammad Daud Abdul Hamid (Pegawai Pengurus Pilihanraya Parlimen Arau) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa 15 hari.

Keputusan PRU ke 12 diwartakan pada 8 April lalu dan tarikh akhir mengemukakan petisyen ialah pada 29 April ini.

Dalam PRU 8 Mac lalu, Ustaz Hashim yang bertanding mempertahankan kerusi Dun tersebut diisytiharkan kalah kepada pencabarnya, Abdullah dengan majoriti 149 undi.

Bagaimanapun berlaku kesilapan semasa mengisi nama calon pada borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi) yang mana Ustaz Hashim sepatutnya menang dengan majoriti 47 undi.

Pada 3 April lalu, Mahkamah Tinggi Kangar telah menolak permohonan Saman Pemula yang dikemukakan oleh Ustaz Hashim bagi tujuan yang sama dengan alasan mereka tidak mempunyai peruntukan untuk mendengar kes tersebut.

Sebaliknya, pihak plaintif diminta untuk memfailkan petisyen pilihan raya. Saman pemula yang dikemukakan itu menuntut untuk mendapatkan perintah deklarasi bahawa Defendan Kedua (Mohammad Daud) dan Defendan Ketiga (SPR) telah melakukan kesilapan mengisytiharkan Defendan Pertama (Abdullah) sebagai calon yang menang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam PRU ke 12 bagi bahagian N.15 Sanglang.

Plaintif juga memohon deklarasi bahawa beliau adalah calon yang menang dan sewajarnya dipilih sebagai Adun. Begitu juga, plaintif memohon perintah mengarahkan SPR selaku defendan ketiga mewartakan keputusan PRU ke-12 bagi Dun N.15 Sanglang dimenanginya dan dipilih sebagai Adun.

Thursday, March 27, 2008

BN kian rapuh, tidak relevan lagi

Petikan Harakahdaily

KANGAR, 26 Mac (Hrkh) - Kejayaan besar Barisan Rakyat yang didokong oleh PAS, KeADILan dan DAP dalam pilihan raya umum (PRU) ke-12 lalu membuktikan bahawa pakatan Barisan Nasional kini semakin rapuh, kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohd Anuar Tahir.

Menurutnya, formula yang diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra pada tahun 1955 dulu melalui pakatan Perikatan yang merangkumi Umno, MCA dan MIC kini mula dilihat sedang menuju titik akhirnya.

"Sebagai contoh, MIC dilihat sudah tak relevan kepada masyarakat India kecuali semua parti politik India perlu bersatu.

"Jadi, kini kena ada satu formula baru untuk memerintah negara ini dan pakatan Barisan Rakyat sudah bersedia menggantikan pemerintah yang sedia ada," katanya.

Dalam pada itu, sebagai penggerak Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih), Mohd Anuar melihat PRU kali ini tetap berlangsung dengan proses yang buruk.

Katanya, tuntutan Bersih yang dibuat kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sehingga kini masih belum dipenuhi.

"Kita lihat di Wangsa Maju umpamanya, terdapat ribuan pengundi pos, Mohamad Sabu kalah dengan undi pos, sebab itu Bersih menuntut supaya dihapuskan undi pos.

"Selain itu kita juga telah mengesan banyak penipuan yang berlaku. Umpamanya undian yang berulang di mana seorang pengundi itu didaftarkan sebagai pengundi pos dan pengundi biasa.

"Dalam keadaan macam ni pun kita masih mampu menang di lima buah negeri termasuk menguasai hampir semua parlimen di Wilayah Persekutuan," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada satu majlis minum petang anjuran Majlis Tindakan Dun (MTD) Bintong di Pasti Teluk Kacang dekat sini semalam.

Hadir dalam majlis yang diadakan tersebut ialah pimpinan dan petugas MTD serta beberapa orang wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Mohd Anuar yang bertanding di Dun N06 Bintong dalam PRU yang lalu kemudiannya mengambil kesempatan menziarahi beberapa buah rumah di Kampung Behor Janggus dan Wang Ulu yang menjadi mangsa ribut pada 22 Mac lalu.

Eratkan semula hubungan istana, pemimpin dan rakyat saran PAS Perlis

Petikan Harakahdaily

KANGAR, 18 Mac (Hrkh) - PAS Perlis berharap kepimpinan baru negeri yang diterajui oleh Dato' Dr Md Isa Sabu dapat mengeratkan semula hubungan antara institusi istana, pemimipin dan rakyat.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin membuat gesaan demikian kepada Md Isa yang dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baru semalam.

"Sebelum ini mungkin berlaku sedikit keretakan antara tiga elemen penting ini dan diharap hubungan dapat dieratkan semula agar dapat kita bina negeri Perlis ini dengan lebih baik dan teratur," katanya.

Ustaz Hashim juga menggesa kepimpinan baru yang bakal dibentuk Md Isa melayan rakyat tanpa sebarang diskriminasi.

"Rakyat negeri terdiri dari pelbagai fahaman politik dan mereka harus diberikan layanan sama rata sama ada dari segi pembangunan atau pemberian projek. Tumpukan kepada kepentingan umum bukannya golongan tertentu sahaja," gesanya.

Mengulas tentang pembentukan kabinet negeri yang bakal dibuat dalam masa terdekat ini, Ustaz Hashim menyeru agar Md Isa memberi lebih ruang kepada barisan Exco dan wakil rakyat untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

"Kita dah ada Exco dan wakil rakyat, jadi agihkan tugas mengikut portfolio masing-masing, jangan macam dulu walaupun ada Exco dan wakil rakyat tapi nampak jelas dibolot segalanya oleh seorang sahaja.

"Kepimpinan baru juga diminta untuk memberikan penumpuan dalam memperbaiki segala kelemahan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan agensi berkaitan. Kepincangan dalam kewangan negeri, Majlis Perbandaran Kangar dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis antara yang perlu dberikan perhatian," serunya.

Dalam pada itu, Ustaz Hashim menasihatkan Md Isa agar tidak terikut dengan cara Menteri Besar dulu yang banyak menaburkan sumbangan kepada rakyat sekiranya tidak mampu.

Sebaliknya kata beliau, Md Isa perlu beralih kepada memberikan sesuatu yang lebih bernilai daripada pemberian yang sedia ada.

"Mungkin YAB Menteri Besar tak mampu nak ikut bagi sumbangan macam MB dulu, tapi ini bukannya satu perkara yang perlu dirisaukan. Rakyat akan lebih faham dan menghendaki sesuatu yang lebih bernilai daripada yang dulu. Ada perkara lain yang lebih utama untuk beliau beri perhatian," katanya lagi.

Semalam Md Isa dipilih secara rasmi sebagai Menteri Besar Perlis keenam menggantikan Dato' Seri Shahidan Kassim.

Majlis angkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baru diadakan di Istana Arau petang semalam di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Sunday, March 16, 2008

Konflik berebut jawatan MB Perlis masih berlarutan

Petikan Harakahdaily

KANGAR, 15 Mac (Hrkh) - Siapa Menteri Besar kami? Mungkin itu yang sedang berlegar di fikiran rakyat Perlis sehingga hari ini.

Ini berikutan situasi terkini apabila wujudnya dua nama yang bakal mengisi jawatan panas tersebut.

Semalam, umum mengetahui pihak Istana Perlis telah memperkenankan perlantikan Dato' Dr Md Isa Sabu sebagai Menteri Besar sedangkan penyandang, Dato' Seri Shahidan Kassim pula membawa watikah perlantikan daripada Perdana Menteri.

Sekali imbas ianya dilihat seperti wujudnya konflik antara Istana Perlis dan Putrajaya dan siapakah yang lebih berkuasa di atas perlantikan ini?

Md Isa dilantik berdasarkan peruntukan yang termaktub di dalam undang-undang di mana Raja Perlis berhak melantik seorang Menteri Besar sedangkan Shahidan pula mempertahankan beliau membawa mandat partinya, Barisan Nasional.

Drama perlantikan Menteri besar Perlis ini adalah rentetan pelbagai episod yang berlaku sejak dua bulan lalu.

Seperti yang diketahui umum, baru-baru ini, Setiausaha Agung Umno, Dato' Radzi Sheikh Ahmad secara terbuka menyatakan Menteri Besar Perlis perlu ditukar.

Kemyataannya itu sekali gus membuka pekung Umno Perlis yang mempunyai masalah kepimpinan di peringkat tertinggi dan dilihat berpuak-puak.

Menjelang penamaan calon untuk pilihan raya umum (PRU) yang lalu, sekali lagi berlaku kekecohan apabila dikatakan nama Shahidan terkeluar daripada senarai calon.

Berlaku kekecohan di Perlis sehinggakan ada pihak yang meletakkan jawatan beramai-ramai, bendera parti diturunkan, bilik gerakan ditutup dan sebagainya.

Lebih teruk, ada ura-ura mengatakan protes besar-besaran akan dibuat sehingga melibatkan pihak istana.

Hanya sehari menjelang penamaan calon barulah senarai calon BN Perlis dapat diumumkan. Itupun masih wujud kontroversi bila awalnya Dato' Mastika Junaidah Hussin diumumkan sebagai calon Parlimen Arau tetapi kemudiannya digantikan dengan adik Shahidan, Ismail Kassim.

Pada malam pengumuman kemenangan calon-calon yang bertanding dalam PRU di Dewan Sivik Arau, secara terang-terangan dilihat masih wujud perselisihan di kalangan pimpinan Umno Perlis apabila calon Dun Pauh, Dato' Seri Utama Syed Razlan Putra Jamalullail diumumkan sebagai pemenang.

Pada masa itu hanya penyokongnya sahaja yang bertepuk-sorak meraikan kemenangan sedangkan pemyokong-penyokong Shahidan yang turut berada di dalam dewan tersebut hanya berdiam diri.

Selepas tamatnya PRU dan BN berjaya menguasai Perlis, kedudukan Shahidan masih menjadi tanda tanya sedangkan hampir semua negeri telah menyelesaikan perlantikan Menteri Besar masing-masing.

Desas-desus menyatakan beliau tidak disenangi oleh pihak Istana Perlis bertiup kencang dan beberpa nama disebut-sebut sebagai pengganti.

Para pemerhati politik kini sedang meramalkan apakah tindakan Shahidan selanjutnya untuk terus kekal sebagai Menteri Besar Perlis?

Apakah dengan watikah dari Perdana Menteri itu beliau sanggup menebalkan mukanya untuk mengadap Tuanku Raja Perlis sedangkan baginda sendiri telah memperkenankan Md Isa sebagai Menteri Besar?

Tinjauan Harakahdaily malam tadi mendapati para penyokong Shahidan mula memenuhi perkarangan kediaman rasmi Menteri Besar untuk mengetahui perkembangan terkini.

Sementara di kediaman Md Isa di Taman Guru Jaya dekat sini terdapat beberapa orang penyokongnya yang sedang berkumpul di samping terdapat sebuah trak polis yang sedang berkawal.

Polis juga mengadakan kawalan di hadapan Istana Arau dan juga Istana Raja Muda di Jalan Raja Muda dekat sini.


Keputusan PRU Dun Sanglang - PAS Perlis akan buat petisyen

KANGAR, 10 Mac (Hrkh)- PAS Perlis akan mengemukakan petisyen membantah keputusan pilihan raya umum (PRU) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri, N15 Sanglang.

Keputusan yang diumumkan di pusat penjumlahan undi di Dewan Sivik Arau lewat malam 8 Mac lalu menyaksikan calon BN, Abdullah Hassan memenangi kerusi tersebut dengan menewasakan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin dengan majoriti 149 undi.

Abdullah memperolehi 3384 undi manakala Ustaz Hashim mendapat 3235 undi dan terdapat sebanyak 92 undi rosak .

"Walaupun diisytiharkan Sanglang kalah, kita mempunyai bukti yang kukuh untuk membuat petisyen," kata Ustaz Hashim ketika ditemui Harakahdaily tengahari tadi.

Buat masa ini kes ini sedang disemak oleh peguam yang diilantik dan petisyen akan dikemukakan dalam masa 21 hari selepas keputusan PRU digazetkan.

Dalam pada itu, peguam yang dilantik juga sedang menyemak kemungkinan untuk membuat petisyen bagi Parlimen P.003 Arau.

Parlimen Arau ditandingi Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din yang melawan Ismail Kassim yang juga merupakan adik Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim.

Keputusan yang diumumkan, Ismail menang dengan majoriti tipis 300 undi.

BN menang tapi perselisihan tetap wujud dalam Umno Perlis

Petikan Harakahdaily
ARAU, 9 Mac (Hrkh)- Masih terdapat perselisihan dalam Umno Perlis yang jelas dilihat semasa pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 yang diadakan di Dewan Sivik Arau malam semalam tadi

Semasa keputusan Dun N11 Pauh diumukan, tepukan dan sorakan kemenangan hanya datang dari segelintir penyokong Dato' Seri DiRaja Syed Razlan Jamalulail.

Beliau yang menang kerusi tersebut menewaskan calon PAS, Abu Bakar Ali dengan majoriti 2572 undi dilihat duduk bersama lebih kurang 20 orang penyokongnya.

Berbeza dengan keputusan kemenangan DUn lain seperti Tambun TUlang, Guar Sanji, Sanglang serta Parlimen Arau, para penyokong Umno/BN memberikan tepukan gemuruh. Ini termasuk pekikan penyokong mereka yang berada di luar kawasan dewan tersebut.

Begitu juga, hanya beberapa kerat penyokong Umno/BN yang duduk di bahagian lain di dewan tersebut yang tampil memberikan ucapan tahniah.

Krisis Umno Perlis mula diketahui umum bila Setiausaha Agung Umno, Dato' Seri Radzi Sheikh Ahmad menyatakan bahawa Menteri Besar Perlis perlu ditukar.

Sekaligus kenyataan ini melihat wujudnya beberapa kem dalam Umno Perlis, termasuk beberapa calon yang dikatakan akan menggantikan Menteri besar, Dato' Seri Shahidan Kassim.

Keadaan ini berlarutan sehingga sehari sebelum penamaan calon, 24 Februari lalu.

PAS tetap ada wakil di Dun Perlis

ARAU, 10 Mac (Hrkh)- PAS Perlis berjaya memenangi satu kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke 12, namun kehilangan kerusi di kubu kuatnya di Dun Sanglang. Kersui yang dimenangi PAS ialah di Dun N14 Simpang Empat di mana Rus'sele Eizan menewaskan penyandang yang juga Exco Kerajaan Negeri, Zahari Bakar dengan majoriti tipis 53 undi.

Pengumuman dibuat di Dewan Sivik Arau pada hampir jam 1.00 pagi semalam dengan Rus'sele memperolehi 2878 undi berbanding Zahari yang mendapat 2825 undi, manakalaterdapat sebanyak 82 undi rosak.

Peratus keluar mengundi pula adalah 82.98 peratus.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin gagal mempertahankan kerusi Dun N15 Sanglang yang dimenanginya sejak tahun 1999.

Beliau tewas kepada muka baru Abdullah Hassan dengan majoriti 149 undi. Ustaz Hashim memperolehi 3235 undi berbanding Abdullah yang mendapat 3384 dengan undi rosak sebanyak 92 undi. Peratus mengundi ialah sebanyak 84.6 peratus.

Satu lagi kerusi yang ditunggu-tunggu orang ramai ialah Parlimen P.003 Arau yang ditandingi Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din yang melawan Ismail Kassim yang juga merupakan adik Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim dengan majoriti 300 undi.

Dr Haron mendapat 16,151 undi berbanding Ismail yang memperolehi 16,451 dengan undi rosak sebanyak 586. Peratus mengundi pula adalah sebanyak 83 peratus.

Sementara itu, PAS gagal memenangi 12 lagi kerusi yang ditandinginya. Parti KeADILan Perlis juga gagal memenangi sebarang kerusi daripada empat yang ditandinginya.

Friday, March 07, 2008

Akibat terdesak, BN edarkan VCD burukkan Anwar di Perlis


KANGAR, 6 Mac (Hrkh) - Tidak cukup dengan menyerang dan menghentam beliau di media arus perdana, kini VCD meburukkan Ketua umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mula disebarkan di seluruh negeri Perlis.

Malam tadi, Harakahdaily menerima aduan bahawa VCD bertajuk "Islam Dipersenda, Bangsa Dihina, Negara Diperkuda" itu disebarkan di kawasan Dun Santan.

Bagaimanapun kaedah pengedarannya ternyata kurang berkesan apabila kebanyakan VCD tersebut ditinggalakan di kawasan berhampiran markas PAS.


Puluhan VCD berjaya dikutip oleh para petugas PAS yang sedang bekerja memasang poster di kawasan tersebut.


Menurut Ketua Pemuda Dun Santan, Mohd Asri Din, taktik penyebaran ini memang didalangi oleh Barisan Nasional yang cuba untuk memporak-perandakan hubungan PAS dan KeADILan.
Bagaimanapun katanya, kaedah yang diambil itu kurang bijak kerana ia disebarkan di kawasan markas PAS dan di sekitar Santan yang merupakan kubu kuat PAS.


"Orang PAS tak akan termakan debgan dakyah mereka ini. Apatah lagi ianya disebarkan di kubu PAS yang mana fikrah ahli sudah jelas tentang hubungan PAS-KeADILan.


"Kalau depa pi sebar kat tempat lain pun saya yakin tak ada orang termakan dengan benda ni sebab "mood" rakyat sekarang mahukan perubahan dan mahukan BN ditumbangkan," katanya.

Pembatalan penggunaan dakwat memalukan negara - Haron Din

KANGAR, 6 Mac (Hrkh) - Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din menyifatkan pembatalan penggunaan dakwat kekal semasa proses mengundi oleh Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) sebagai satu yang memalukan dan tamparan kepada demokrasi di negara ini.

Katanya, segala alasan yang diberikan oleh SPR seperti dakwaan adanya pihak yang merancang mencalit pada kuku pengundi terlebih dahulu untuk menimbulkan kekeliruan di pusat mengundi adalah satu dakwaan yang amat bodoh.

"Adakah bodoh sangat pengundi sehingga boleh ditipu sedemikian?" soalnya.

Beliau juga melahirkan kekesalan kerana pembatalan itu dilakukan selepas desakan-desakan yang dibuat dan SPR sendiri sudah meyakinkan untuk melaksanakannya tetapi tiba-tiba dibatalkan.

"Alasan yang diberikan amat rapuh dan sekali gus memperbodohkan rakyat dan para pengundi dengan hujah yang bodoh," katanya.

Menurutnya, semua ini adalah sandiwara yang dimainkan oleh SPR dan kerajaan untuk mempermain-mainkan rakyat dan juga menguji tahap kesabaran parti-parti pembangkang.

"Apakah cara ini bijak untuk diamalkan di sebuah negara yang mengaku mengamalkan demokrasi seolah-olah parti pembangkang dan seluruh rakyat tiada harga dan mudah dipermainkan sebegitu?

"Lebih teruk sandiwara yang dimainkan oleh pemimpin Umno/BN bila semua pemimpin mereka menyatakan langkah SPR ini adalah tepat dan tak seorang pun memberikan komen yang positif.

"Ertinya, rakyat faham pemansuhan penggunaan dakwat kekal ini akan menguntungkan BN. Di manakah keadilan dan ketelusan SPR? Ini semua bohong," katanya ketika ditemui Harakahdaily tengah hari tadi.

Mufti Perlis beri amaran, berpolitik bukan untuk cari kekayaan

KANGAR, 5 Mac (Hrkh) - Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin memberi peringatan bahawa berpolitik bukanlah landasan untuk mencari kekayaan atau membalas dendam melainkan semata-semata untuk menunaikan amanah Allah s.w.t. dan mencari keredaanNya demi memaslahatan masyarakat, bukannya untuk kepentingan peribadi.

Dalam satu hadis riwayat Imam Al-Bukahri beliau mengungkapkan,"Kamu begitu inginkan kepada jawatan kepimpinan dan ianya merupakan penyesalan pada hari kiamat, ianya senikmat-nikmat permulaan dan merupakan seburuk-buruk kesudahan yakni nikmat di dunia dan buruk kesudahannya pada hari kiamat" melainkan mereka yang mendapat jawatan itu bertujuan untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah Allah," ujarnya.

Katanya, jika perkara ini tidak dijadikan asas, maka dalam masyarakat akan berterusan poiltik permusuhan di antara satu sama lain yang tidak berkesudahan. Beliau menegur setiap individu yang melibatkan diri dalam politik yang sering.

"Bukan setiap orang sanggup fikir apa yang dia akan jawab di depan Allah s.w.t. pada hari kiamat. Setiap di kalangan mereka yang terbabit dalam politik, hendaklah bertanya kepada dirinya sebelum ditanya Allah apakah tujuan dia berpolitik?

"Apakah sebagai seorang penggemar politik itu sebagimana seorang kaki pancing yang menjadikan kegemaran memancing sebagai kegemaran di masa lapang, ataupun sebenarnya dia menjadikan politik saluran membina kekayaan atau kemewahan serta mencari harta atau sebenaranya dia ingin memenuhi perasaan tamak dan ingin membalas dendam di dalam politik, atau sebenarnya dia ingin tunduk kepada Allah dan menjadikan jawatan sebagai kesempatan unutk membawa ketaqwaan dan kesolehan di dalam masyarakat.

"Orang-orang yang kami beri kedudukan di atas bumi, mereka itu mendirkan solat, mengelurkan zakat, mereka itu menyuruh kepada kemakrufan dan mencegah kemunkaran dan bagi Allah s.w.t itu kesudahan segala urusan," katanya.

Dengan mengungkap sebuah kisah, Mohd Asri menyebut sebuah kisah ketika khalifah Harun al-Rasyid yang sedang bersa'i ditegur seorang ulama dan berkata kepadanya, "Wahai Harun dari atas bukit safa ini kau lihat orang sedang bertawaf di Kaabah, mereka itu akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak tentang dosa yang mereka lakukan, adapun engkau pula akan ditanya tentang dosa engkau, dosa mereka semua dan dosa semua umat yang berada di bawah pemerintahanmu.
Beliau menyeru semua agar takutkan Allah akan jawatan kepimpinan agar tidak dijadikan ianya satu sandiwara dan tempat untuk bersuka-suka.


"Jadikalah ini satu amaran yang amat menggerunkan dan menakutkan bukan tempat untuk mengumpul kekayaan atau sumber untuk memuaskan nafsu politik," serunya dalam khutbah Jumaat yang disampaikan di Masjid Alwi, Kangar Jumaat lalu.