Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Thursday, June 08, 2006

Timbalan dan Naib Presiden perlu ada agenda bantu Presiden

Oleh Bashir Ishak
ALOR SETAR, 7 Jun - Timbalan Presiden dan Naib Presiden perlu mengambil agenda besar masing-masing dalam membantu tugas Presiden PAS berdasarkan Fasal 23 Perlembagaan PAS.

Perwakilan negeri Perlis Zolkharnain Abidin menyatakan demikian ketika mengusulkan ucapan terima kasih kepada Ucapan Dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS kali ke 52 di Kompleks PAS Kedah sebentar tadi.

Dalam ucapannya, Zolkharnain mencadangkan usaha meningkatkan keberkesanan pasukan kepimpinan sedia ada dengan mengemukakan berberapa cadangan termasuk mengusulkan peranan khas kepada Timbalan dan Naib Presiden.

"Empat jawatan utama parti selepas Presiden ialah Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden yang mana fungsinya sama mengikut perlembagaan PAS iaitu membantu tugas presiden," katanya memetik perlembagaan PAS Fasa 23.

Namun begitu katanya, dua penjawat utama jawatan selepas Presiden parti kurang dilihat membantu tugas presiden.

Baginya, dalam usaha meningkatkan keberkesanan pasukan kepimpinan, Timbalan Presiden dan tiga penyandang jawatan Naib Presiden perlu diberikan peranan besar dalam membantu Presiden.

Perwakilan Perlis ini turut menggariskan dua perkara utama iaitu mempertahan dan memperkukuhkan kerajaan Kelantan dan memulihkan demokrasi yang mana peranannya diberikan khusus kepada dua orang Naib Presiden.

“Naib Presiden dari Kelantan perlu menjadikan agenda mempertahan dan memperkukuhkan kerajaan Kelantan sebagai agenda parti, Naib Presiden dari Pulau Pinang mesti merakyatkan agenda memulih demokrasi".

"Naib Presiden yang seorang lagi, dari negeri Selangor, kami sebenarnya belum nampak apa agenda besarnya dalam menjalankan tugasnya sebagai Naib Presiden iaitu membantu tugas-tugas Presiden," katanya.

Turut dicadangkan ialah agenda parti dalam hubungannya dengan bukan Muslim dengan mencadangkan PAS mempelopori secara serius dan tersusun apa yang diistilahkan sebagai ‘Dialog Antara Agama’.

"Agenda ini perlu ditangani oleh orang yang benar-benar berwibawa dan pada pandangan kami orang yang layak menangani agenda ini ialah Timbalan Presiden kerana sehingga kini kami juga belum nampak dengan ketara apa agenda besar Timbalan Presiden dalam menjalankan tugasnya membantu tugas-tugas Presiden," katanya lagi

No comments: