BESERI- Pemuda PAS diminta agar tidak duduk dalam keadaan selesa dalam keadaan imej Menteri Besar Perlis yang berbeza dari yang terdahulu.
Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman memberikan peringatan demikian dengan mengingatkan bahawa Umno tetap sama walaupun bertukar pimpinan dengan imej yang berbeza.
"Mereka tetap datang dari saluran yang sama, jadi kita janganlah tertipu. Jadi janganlah kita sekadar menjadi pemerhati atau duduk berteori sahaja tanpa melakukan apa-apa," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-13 Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Padang Besar di Sekolah Rendah Islam AT-Taqwa di sini 5 April lalu.
Justeru beliau meminta jentera Pemuda PAS agar bersedia untuk turun padang untuk mendekati masyarakat khususnya golongan muda.
"Sebagai pemuda gerakan Islam, kita perlulah bersedia mengambil kesempatan ini untuk bersama-sama mendekati golongan muda. Masih ramai dari mereka masih berada di dalam kejahilan.
"Jangan biarkan mereka terus lalai, berpeleseran dan bergelumang dengan mungkar dan maksiat. Sudah sampai masanya kita sama-sama menghulurkan tangan, menarik mereka keluar dari dari alam jahiliyah," serunya.
Mesyuarat Agung DPP Padang Besar pada tahun ini menyaksikan Sarudin Bakar kekal sebagai Ketua, manakala Naib Ketua sesi lalu, Md Rodzi Ismail kini mengisi jawatan Timbalan Ketua.
Sementara itu, Bendahari DPP Padang Besar sesi lalu, Shuhairi Shamsuddin pula dipilih sebagai Naib Ketua.
No comments:
Post a Comment