Petikan Berita Harian
YB Sanglang minta isu diteliti selepas diisytihar menang sejak September
KANGAR: Hashim Jasin (PAS-Sanglang) menggemparkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis semalam apabila mendakwa tidak menerima apa-apa bayaran, termasuk gaji daripada kerajaan negeri bagi jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang disandangnya sejak September lalu.
Malah, Hashim ketika sesi penggulungan hujah, semalam turut memberitahu DUN tunggakan pencen yang dikatakan akan dibayar kerajaan negeri kepadanya selepas ditandatangani baru-baru ini, juga tidak diterima sehingga menyukarkan beliau untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Adun.
"Saya tidak tahu di mana silapnya kerana mustahil kerajaan negeri terlalu miskin sehingga tidak mampu membayar gaji seorang Adun atau mungkin gaji yang sepatutnya saya terima masih dibayar kepada wakil rakyat terdahulu (Abdulllah Hassan), sedangkan terbukti kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu, tidak sah.
"Saya bukan pentingkan diri sendiri kerana wang gaji yang saya terima itu akhirnya akan disalurkan kepada rakyat juga. Malah, ada gaji atau tidak, saya tetap perlu jalankan amanah sebagai wakil rakyat seperti dipertanggungjawabkan.
"Justeru, saya minta kerajaan negeri melihat isu ini sebaik mungkin bagi membolehkan saya menjalankan tanggungjawab dengan sempurna," katanya.
Untuk rekod, kerusi DUN Sanglang dalam PRU ke-12 lalu diisytihar dimenangi Abdullah sebagai calon BN. Bagaimanapun, ia diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Tinggi Kangar, berikutan petisyen difailkan Hashim.
Kes itu kemudian dimajukan kepada Mahkamah Persekutuan untuk rayuan, sebelum mahkamah mengisytiharkan Hashim sebagai pemenang yang sah pada 16 September 2009 dan disusuli pelantikan beliau sebagai Adun Sanglang.
No comments:
Post a Comment