Petikan Harakahdaily
KANGAR, 23 Julai (Hrkh) - Pimpinan PAS Perlis menyambut baik keputusan Mahkamah Pilihan raya berkaitan petisyen pilihanraya Dun N.14 Simpang Empat hari ini.
Pagi tadi, Hakim pilihan raya, Dato' Zainal Adzam Abdul Ghani memutuskan petisyen tersebut yang dikemukakan calon BN, Zahari Bakar ditolak dengan kos.
Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin melahirkan rasa syukur beliau dengan keputusan tersebut. Bagaimanapun katanya, perkara tersebut tidak sepatutnya dibawa sehingga ke mahkamah kerana hujah-hujah yang dibawa oleh pempetisyen adalah lemah.
"Kalau sebelum ini, alasan kesalahan Borang 14 pun ditolak, inikan pula berkaitan poster calon yang mana mereka (BN) tak mempunyai hujah yang kukuh.
"Saya lihat ini sebagai satu dendam kesumat BN yang tidak mahu menerima kemenangan PAS di Simpang Empat. Apapun, tahniah kepada Adun kita yang diakui sebagai mahkamah sebagai pemenang mutlak dan dia boleh kembali bertugas dan meneruskan usaha-usahanya untuk rakyat khususnya di DUn Simpang Empat," katanya.
Sementara itu, Adun Simpang Empat, Rus'sele Eizan turut melahirkan rasa syukurnya kerana dapat meneruskan tugas beliau sebagai wakil rakyat dengan senang hati.
Menurutnya, tumpuannya agak terjejas sejak calon BN memfailkan petisyen tersebut.
"Terima kasih kepada semua pimpinan PAS, barisan peguam serta semua ahli dan penyokong yang memberikan sokongan moral kepada saya selama ini.
"Sejak diumumkan untuk menjadi calon, hari penamaan calon, berkempen dan memenangi pilihanraya saya tak dapat tidur lena. Apatah lagi bila dipetisyen. Sekarang barulah saya dapat meneruskan tugas saya dengan baik dan senang hati," jelasnya.
Peguam yan mewakili Rus'sele, Mohamed Hanipa Maidin menyifatkan keputusan oleh hakim pagi tadi sebagai satu penghakiman yang baik dan sudah dijangka.
"Dari awal lagi kita sudah jangkakan petisyen ini akan ditolak kerana ternyata hujah-hujah yang dikemukakan tidak berasas," ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Perlis, Abdul Karim Md Rejab menyambut baik keputusan tersebut dan menyifatkan petisyen ini adalah suatu pembaziran yang tidak sepatutnya berlaku.
"Sudah jelas PAS menang di Simpang Empat dan hujah yang dikemukakan pempetisyen tidak kukuh. Ianya hanya membazirkan masa, tenaga dan wang ringgit. Apatah lagi mereka (BN) terpaksa pula membayar kos perbicaraan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
Alamat Baru Kami
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment