KANGAR, 2 Julai - Mahkamah Pilihanraya di sini hari ini memutuskan tarikh Isnin, 7 Julai untuk mendengar penjelasan tentang penghujahan berkaitan petisyen pilihanraya Dun N.14 Simpang Empat.
Petisyen dikemukakan calon BN, Zahari Bakar berkaitan poster calon PAS dalam pilihanraya lalu yang tidak mempunyai nama pencetak dan menggunakan lambang kerajaan negeri Perlis.
Dalam pilihanraya lalu, Zahari tewas kepada calon PAS, Rus'sele Eizan dengan majoriti 53 undi.
18 Jun lalu, mahkamah membicarakan kes ini dengan Zahari selaku saksi tunggal dipanggil memberikan keterangan.
Hari ini, peguam yang mewakili Zahari, Abu Bakar As-Sidek baru mengemukakan penghujahan bertulis walaupun peguam yang mewakili Rus'sele bersedia untuk memberikan penghujahan lisan.
Hakim Pilihan Raya, Dato' Zainal Adzam Abdul Ghani kemudiannya memutuskan untuk mendengar penjelasan berkaitan penghujahan tersebut Isnin depan.
Rus'sele diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin dan Zulmi Sabri.
No comments:
Post a Comment