Terbaru: Malaysiakini melaporkan bahawa Setiausaha Politik Menteri Besar Perlis, Ameir Hassan mengesahkan akan bertanding mencabar pengerusi perhubungan Datuk Seri Shahidan Kassim untuk jawatan ketua bahagian Arau dalam pemilihan Umno nanti.
Ameir Hassan memberitahu, keputusan itu bagaimanapun tidak dipengaruhi oleh sesiapa, termasuk ketuanya Datuk Dr Md Isa Sabu.
"Saya akan lawan Shahidan dengan kekuatan saya sendiri, (dengan) cara saya sendiri," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
"Saya bukan disuruh oleh sesiapa, dan saya bukan proksi mana-mana (pemimpin).
"Saya bukan jaguh mewakili mana-mana kumpulan. Saya ada perjuangan saya sendiri."
Ameir berkata beliau tidak suka kepada gaya kepemimpinan bekas menteri besar itu yang didakwa mengamalkan "pecah dan perintah", dan juga mendorong orang ramai bergantung kepadanya.
Jumaat lepas, Malaysiakini melaporkan Shahidan dan adiknya Datuk Ismail Kassim akan dicabar masing-masing bagi dua jawatan teratas bahagian tersebut.
Ismail, ahli parlimen Arau, pula diramal dicabar oleh bekas pemimpin Pemuda bahagian Zainuddin Yom dan seorang lagi calon yang didakwa kumpulan pro-menteri besar, Khalid Ahmad.
Khalid kini pegawai khas menteri besar.
Ameir, bekas naib ketua bahagian itu, berkata gaya kepemimpinan pecah dan perintah boleh menyebabkan bahagian itu ketandusan pemimpin baru.
Beliau juga mendakwa, ahli-ahli akar umbi "sudah jemu" dengan budaya menabur sokongan kewangan bagi mengekalkan pengaruh.
"Saya tak mahu budaya orang Arau terus terbawa-bawa dengan peminta sedekah. Kita kuat bekerja, kenapa tidak bekerja?" katanya.
Kaedah menabur wang untuk terus disenangi ramai ibarat memberikan makanan kepada kera di zoo, tambahnya.
Katanya, beliau tidak menafikan Shahidan telah mempunyai banyak jasa kepada rakyat Perlis selama 13 tahun pentadbirannya sejak 1995.
"Cuma arus perubahan berlaku. Tak ada pemimpin yang kekal selama-lamanya.
"Ada pemimpin datang, ada yang pergi. Ada turun dan ada naik. Ia adalah lumrah kehidupan," katanya.
Sementara itu, menurutnya, BN belum menetapkan calon untuk bertanding dalam pilihanraya kecil di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang.
"Sekarang (calon-calon) tidak diputuskan lagi. Kita tunggu keputusan SPR," katanya.
Beliau juga tidak menafikan menteri besar mempunyai calon pilihannya sendiri. Bagaimanapun keputusan muktamad ditentukan oleh bahagian tersebut dan badan perhubungan Umno negeri yang dipengerusikan Shahidan.
"Bukan setakat Abdullah (Hassan) tetapi kita ada dua, tiga lagi, bakal calon. (Menteri besar berpendapat calon mestilah) yang muda, berpengaruh dan disukai oleh penduduk Sanglang," katanya.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut berhubung nama calon-calon tersebut.Dalam pilihanraya umum Mac lalu, kerusi itu diisytiharkan dimenangi oleh Abdullah dengan majoriti kecil, 45 undi - akibat kesilapan teknikal dalam penjumlahan undi.
Menurut Ameir lagi, Umno dan BN akan memastikan kerusi tersebut berjaya dirampas daripada PAS yang telah menguasainya selama dua penggal sejak 1999.
"Kita tidak mahu menteri besar dikatakan tidak mampu untuk mengambil balik Sanglang," katanya.Menurutnya, Umno bahagian tersebut telah menggerakkan jenteranya untuk memastikan kejayaan 100 peratus di Sanglang.
Pilihanraya kecil DUN itu, dalam bahagian Arau, akan diadakan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kangar pada 18 Jun yang mengosongkan kerusi itu selepas menerima bantahan dalam petisyen pilihanraya calon PAS, yang juga penyandang, Hashim Jasin.
Alamat Baru Kami
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment