Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, July 25, 2008

Jubli Emas Gelaran DiRaja: PDRM perlu pulih imej

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 25 Julai (Hrkh) - Sempena Jubli Emas Gelaran DiRaja pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) menggesa pasukan itu mengambil usaha bersungguh-sungguh untuk memulihkan semula imej mereka yang tercalar sejak kebelakangan ini.

Dalam kenyataannya, Ketua DPPPs, Ustaz Ya'akub Abu Seman berkata, PDRM sudah 50 tahun berkhidmat dengan membawa panji-panji diraja dan tempoh itu sepatutnya lebih mematangkan mereka dan bersifat lebih professional dalam menjalankan tugas yang semakin mencabar.

Imej PDRM di mata umum kini katanya dilihat amat buruk berikutan tindakan serta pelbagai dakwaan yang melibatkan anggota dan pegawai tinggi mereka sendiri.

"Polis DiRaja Malaysia kini lebih popular dengan gelaran Polis Raja Di Malaysia akibat beberapa tindakan kekerasan terhadap orang awam. Begitu juga, banyak lagi perkara lain yang mencalar imej seperti perlakuan jenayah, tuduhan membunuh, rasuah dan sebagainya.

"Lebih mencalarkan imej polis bila Ketua Polis Negara sendiri juga tidak terlepas daripada pelbagai kontroversi. Untuk itu kami menyeru PDRM secara professionalnya memulihkan imej mereka.

"Apa gunanya lencana "Saya Anti Rasuah" yang gah dipakai sedangkan perlakuan sebenarnya ialah "Saya Nanti Rasuah"," ujarnya.

Selain itu katanya lagi, PDRM perlu memperkasakan unit agama mereka sama seperti yang dilakukan oleh Kor Agama Angkatan Tentera supaya anggota beragama Islam mempunyai persediaan dalaman sebelum bertugas.

"PDRM perlu menerima syor ini yang sudah banyak kali disebut. Mudah-mudahan pasukan polis akan muncul dengan lebih berketrampilan bukan sahaja dari aspek disiplin, malahan terdidik dari segi rohani.

"Apapun, DPPPs mengucapkan tahniah kepada PDRM yang sudah 50 tahun dengan gelaran DiRaja. Pulihkan imej yang tercalar, mudah-mudahan slogan Mesra, Cepat, Betul itu dapat diperkukuhkan sejajar dengan slogan terdahulu mereka iaitu Sedia Berkhidmat," katanya lagi.

Thursday, July 24, 2008

Umno Perlis masih kacau-bilau

ARAU - Umno Perlis masih menunjukkan tanda-tanda pergolakan mereka khususnya apabila Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri bukanlah orang yang sama.

Cakap-cakap berkenaan usaha menggantikan Pengerusi Perhubungan yang juga bekas Menteri Besar Dato' Seri Dr Shahidan Kassim kepada Menteri Besar yang baru Dato' Seri Dr Md Isa Sabu menjadi perbualan di serata negeri.

Sebahagian daripada ahli Umno Perlis mahu Shahidan secara "gentleman" menyerahkan jawatan tersebut kepada Md Isa sebagaimana yang dilakukan oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh yang menyerahkannya kepada Dato' Mohamad Said.

Semasa sidang Dewan Undangan Negeri Perlis baru-baru ini, gelagat Shahidan semasa berucap dan soalan-soalan dewan yang dikemukakan beliau jelas menunujukkan adanya bibit-bibit perpecahan di kalangan mereka.

Shahidan yang memegang jawatan Ketua Umno Bahagian Arau dikatakan akan dicabar oleh Setiausaha Politik Md Isa, Ameir Hassan dalam pemilihan tahun ini.

Begitu juga jawatan Timbalan Ketua yang disandang adiknya, Dato' Ismail Kassim dikatakan akan turut dicabar.

Terbaru, sumber memberitahu seorang individu yang bakal mencabar salah satu jawatan dalam Bahagian Arau tersebut telah menjadi mangsa mainan politik Shahidan dan konco-konconya.

Dalam mesyuarat agung cawangan baru-baru ini, individu terbabit hanya menang sebagai pemeriksa kira-kira.

Selain itu, Umno juga sudah berkira-kira untuk meletakkan calon di Dun Sanglang sekiranya berlaku pilihanraya kecil kelak.

Dalam pada itu, selain Shahidan yang telash mengorak langkah mengadakan program, beberapa orang Menteri Umno juga sudah datang menjenguk Dun Sanglang dalam program yang berselindung di sebalik nama program rasmi kerajaan.

Ramai yang berpendapat bahawa mereka itu datang bukan sekadar untuk porgram pra-pilihanraya kecil tapi juga datang untuk menunjukkan muka memandangkan tahun ini adalah tahun pemilihan parti.

Wednesday, July 23, 2008

Pimpinan PAS Perlis sambut baik keputusan mahkamah

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 23 Julai (Hrkh) - Pimpinan PAS Perlis menyambut baik keputusan Mahkamah Pilihan raya berkaitan petisyen pilihanraya Dun N.14 Simpang Empat hari ini.

Pagi tadi, Hakim pilihan raya, Dato' Zainal Adzam Abdul Ghani memutuskan petisyen tersebut yang dikemukakan calon BN, Zahari Bakar ditolak dengan kos.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin melahirkan rasa syukur beliau dengan keputusan tersebut. Bagaimanapun katanya, perkara tersebut tidak sepatutnya dibawa sehingga ke mahkamah kerana hujah-hujah yang dibawa oleh pempetisyen adalah lemah.

"Kalau sebelum ini, alasan kesalahan Borang 14 pun ditolak, inikan pula berkaitan poster calon yang mana mereka (BN) tak mempunyai hujah yang kukuh.

"Saya lihat ini sebagai satu dendam kesumat BN yang tidak mahu menerima kemenangan PAS di Simpang Empat. Apapun, tahniah kepada Adun kita yang diakui sebagai mahkamah sebagai pemenang mutlak dan dia boleh kembali bertugas dan meneruskan usaha-usahanya untuk rakyat khususnya di DUn Simpang Empat," katanya.

Sementara itu, Adun Simpang Empat, Rus'sele Eizan turut melahirkan rasa syukurnya kerana dapat meneruskan tugas beliau sebagai wakil rakyat dengan senang hati.

Menurutnya, tumpuannya agak terjejas sejak calon BN memfailkan petisyen tersebut.
"Terima kasih kepada semua pimpinan PAS, barisan peguam serta semua ahli dan penyokong yang memberikan sokongan moral kepada saya selama ini.

"Sejak diumumkan untuk menjadi calon, hari penamaan calon, berkempen dan memenangi pilihanraya saya tak dapat tidur lena. Apatah lagi bila dipetisyen. Sekarang barulah saya dapat meneruskan tugas saya dengan baik dan senang hati," jelasnya.

Peguam yan mewakili Rus'sele, Mohamed Hanipa Maidin menyifatkan keputusan oleh hakim pagi tadi sebagai satu penghakiman yang baik dan sudah dijangka.

"Dari awal lagi kita sudah jangkakan petisyen ini akan ditolak kerana ternyata hujah-hujah yang dikemukakan tidak berasas," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Perlis, Abdul Karim Md Rejab menyambut baik keputusan tersebut dan menyifatkan petisyen ini adalah suatu pembaziran yang tidak sepatutnya berlaku.

"Sudah jelas PAS menang di Simpang Empat dan hujah yang dikemukakan pempetisyen tidak kukuh. Ianya hanya membazirkan masa, tenaga dan wang ringgit. Apatah lagi mereka (BN) terpaksa pula membayar kos perbicaraan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Takbir!! Petisyen BN di DUN Simpang Empat ditolak!


Oleh Bashir Ishak
KANGAR, 23 Julai - PAS mengekalkan kerusi yang dimenanginya di Dun N.14 Simpang Empat apabila Mahkamah Pilihanraya di sini hari ini memutuskan menolak petisyen pilihanraya yang dikemukakan calon Barisan Nasional, Zahari Bakar.


Hakim pilihanraya, Dato' Zainal Adzam Abdul Ghani selepas membacakan penghakimannya memutuskan petisyen ini ditolak dengan kos.



Petisyen tersebut dikemukakan Zahari berkaitan dengan poster yang digunakan oleh calon PAS, Rus'sele Eizan dalam pilihan raya lalu yang tidak mempamerkan nama pencetak serta menggunakan jata (lambang) kerajaan negeri Perlis.



Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, Rus'sele memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 53 undi.

Antara lain penghakiman yang dibacakan Zainal Adzam, tuntutan pempetisyen berkaitan poster calon yang tidak mempunyai nama dan alamat pencetak adalah tidak adil dan memprejudis responden kerana keterangan yang diberikan tidak menyatakan dengan jelas siapa yang mencetak, menerbit, mengedar dan menampal poster tersebut.


Begitu juga menurutnya, penggunaan jata kerajaan negeri Perlis tidak boleh dijadikan asas penolakan keputusan pilihanraya kerana tidak melanggari Kata Kesalahan Pilihanraya walaupun melanggar peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri Perlis.


Rus'sele diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin dan Zulmi Sabri, manakala Zahari diwakili Abu Bakar As-Sidek.


Sebelum ini satu lagi petisyen Zahari ke atas Suruhanjaya Pilihanraya dan Pegawai Pengurus Pilihanraya berkaitan Borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi) telah ditolak oleh mahkamah.

Keputusan petisyen ini disambut dengan laungan takbir oleh kira-kira 50 orang ahli dan penyokong PAS yang hadir di mahkamah pagi tadi.

Monday, July 21, 2008

Isu Muzakarah UMNO – PAS, Ahli Di Akar Umbi Gelisah

Dari blog Suhaizan Kayat Ketua Penerangan DPP Pusat
Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia dengan banganya mendedahkan sudah ada 3 kali pertemuan yang melibatkan pimpinan tertinggi PAS dengan UMNO. Pendedahan ini boleh ditafsirkan oleh akar umbi dengan pelbagai maksud. Ada yang baik, banyak juga yang buruknya. Tafsiran positif adalah pertemuan ini adalah untuk menyampaikan mesej Islam, mengajak UMNO kembali kepangkal jalan iaitu Islam. Jihad yang paling besar adalah menyatakan zalim kepada pemerintah yang zalim.

Tafsiran yang negatif pun ada iaitu Pak Lah telah cuba jadi hero dikala keheroannya telah berada dimusim senja. Tiga kali pertemuan itu sudah cukup untuk membuktikan kehebatan Pak Lah menjinakkan PAS yang kelihatan begitu garang bila berdepan dengan UMNO. Pendedahan ini umpama pendedahan kemenangan tentera India terhadap pemberontakkan di Kashmir. Biasanya tentera India akan menunjukkan mayat-mayat pemberontak dihadapan wartawan seperti polis Malaysia menunjukkan banyaknya dadah yang telah dirampas. Apapun alasannya, akar umbi telah melihat PAS kalah 1-0 dengan UMNO.

Peringkat akar umbi begitu gelisah dengan perkembangan terbaharu ini. Antara kegelisahannya adalah :
1. Apakah munasabahnya tiga kali pertemuan itu?
2. Kemana arah Muzakarah ini hendak diadakan?
3. Apakah isu Muzakarah ini bukan suatu perangkap kepada PAS?
4. Mengapa PAS melayan sangat UMNO yang telah terbukti khianat kepada PAS ?
5. Apakah kesan kepada hubungan dalam Pakatan Rakyat?
6. Adakah Muzakarah ini sesuai pada masa ini?
7. Apakah Pakatan Rakyat tidak menganggap PAS telah menikamnya daripada belakang?
8. Apakah masalah-masalah dalam Pakatan Rakyat sehingga Presiden begitu vocal kenyataannya dalam Harakah ?
9.Mengapa seolah-olah ada perbezaan pendapat antara Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang?
10. Apakah masa depan negeri-negeri Pakatan Rakyat ?

Bagi menyelesaikan masalah-masalah yang terbuku dihati peringkat akar umbi ini maka pertemuan tertutup diantara pimpinan tertinggi PAS dengan Dewan Harian PAS negeri-negeri dan Dewan Harian Pemuda, Muslimat dan Ulama’ perlulah segera diadakan untuk menjelaskan apa yang sedang berlaku. Pimpinan tertinggi PAS sudah tentu akan dapat menjawap persoalan-persoalan yang telah dinyatakan diatas?

Atas agenda Melayu-Islam, jika muzakarah yang melibatkan dua parti utama boleh mendatangkan masalah kepada UMNO dan PAS mengapa tidak dicadangkan suatu Majlis Perundingan atau apa sahaja nama yang sesuai yang bertujuan menghimpunkan semua pertubuhan-pertubuhan Melayu-Islam dinegara ini. Majlis Perundingan ini di anggotai oleh semua wakil Melayu-Islam merentasi semua parti politik, NGOs dan lain-lain pertubuhan. Ia boleh dianggotai oleh UMNO, PAS, Keadilan(Melayu-Islam), Teras, JIM, ABIM, GAPENA dan lain-lain lagi pertubuhan yang memiliki atau matlamatnya kearah penyatuan Melayu-Islam di Malaysia. Keanggotaannya adalah tetap dan tidak terlalu ramai. Perbincangannya dibuat dengan penuh keikhlasan dan profesional. Majlis Perundingan ini perlu diperkasa dan tidak menuju kearah sesuatu aliran pemikiran sahaja. Resolusi akan dikeluarkan setelah kataputus telah diperolehi dalam perbincangan tersebut. Samaada BN atau PR yang memerintah dinegara ini tidak menjadi masalah kerana agenda Melayu-Islam tetap dipertahankan oleh kerajaan yang memerintah. Jika BN atau PR mengenepikan pandangan Majlis Perundingan maka tunggulah pilihanraya seterusnya pasti mereka akan kecundang. Pemerkasaan pihak ketiga yang dikenali sebagai Majlis Perundingan ini sekurang-kurangnya boleh meredakan kegelisahan akar umbi pada masa kini.

http://kentong-suhaizan.blogspot.com

Kes Sanglang: Pengerusi SPR perlu dinyahkan


Oleh Bashir Ishak

SANGLANG - Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sepatutnya mengambil tanggungjawab memperbetulkan kesilapan mereka ketika mengumumkan keputusan pilihanraya Dun Sanglang demikian menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub.

Menurutnya, kes Dun Sanglang yang melibatkan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin sebagai calon PAS yang sepatutunya menang jelas membuktikan SPR melakukan kesilapan apabila mahkamah pilihanraya sudah memutuskan demikian.

"Sepatutnya bila mahkamah dah beri keputusan tersebut, SPR kena ambil tanggungjawab untukmemperbetulkan kesilapan yang mana telah dilakukan oleh pegawai yang mereka lantik.

"SPR sepatutnya memberikan keputusan segera bahawa calon yang sepatutnya menang dalam pilihanraya 8 Mac lalu ialah Ustaz Hashim bila hakim dah putuskan berlakunya kesilapan tersebut.

"Kita dah katakan sebelum ini, ini jelas membuktikan bahawa SPR menjadi barua Umno/BN. Mengapa benda sebegini mudahpun mereka tak boleh buat. Mengapa perkara yang menjadi tanggungjawab merekapun tak mampu dilaksanakan," katanya ketika berceramah di Markas PAS Permatang Bongor dekat sini baru-baru ini.

Tegasnya lagi, tidak timbul masalah samada PAS bersedia memasuki pilihanraya semula atau tidak sekiranya diadakan kelak kerana itu adalah keputusan parti.

"Apa yang PAS atau peguam yang mewakili PAS buat bukannya mengemis atau memperjuangkan sesuatu yang menjadi hak kita tapi berdasarkan penghakiman yang dibuat jelas kemenangan itu berpihak kepada calon PAS.

"Kalau perkara sebegini kecil pun SPR tak berani buat keputusan, kita selagi lagi mencabar supaya Pengerusi SPR dinyahkan atau dipecat," ujarnya.

Monday, July 14, 2008

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS PERLIS

Dewan Pemuda PAS Perlis (DPP Perlis) ingin mengalu-alukan dan menyatakan sokongan sepenuhnya kepada kenyataan yang dibuat oleh YB Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS sebagaimana yang telah dimuatkan dalam Harakah keluaran 13-28 Rejab 1429/ 16-31 Julai 2008 dan dalam ceramahnya di Kedah baru-baru ini.

Kami berdiri teguh di belakang kepimpinan beliau yang memberikan penegasan tentang pendirian PAS dalam menangani isu semasa yang wujud di negara ini sejak kebelakangan ini.

Maka katanya, “wajib kepada kepimpinan PAS menyatakan hukum Islam, pendirian Islam, ajaran Islam dan bukannya memaksa orang kepada Islam.

"Supaya orang bukan Islam tahu apa itu Islam dan supaya mereka tahu apa yang diamalkan oleh Umno itu bukan ajaran Islam. Saya minta supaya pimpinan PAS yang berada dalam Kerajaan Pakatan Rakyat menunjukkan sifat-sifat Islam, akhlak Islam, cara-cara Islam untuk menjadi contoh dan teladan. Bahawa kita adalah pemimpin yang istiqamah, yang konsisten, yang adil dan baik. Insya-Allah kita akan sama-sama dapat memelihara kerajaan kita dan menambahkan kekuatan kita,".

DPP Perlis amat prihatin dengan isu negara yang berlaku dan sentiasa memastikan agar ianya memberi kesan yang baik untuk Islam dan ummahnya. Pemuda Perlis juga berkeyakinan bahawa masyarakat Malaysia pada hari ini menaruh harapan yang tinggi kepada PAS untuk menerajui negara, bahkan telah ramai yang ingin melihat wujudnya Negara Islam atau negara berkebajikan yang sebenar yang memberi jaminan keamanan dan kesejahteraan kepada semua kaum dalam negara.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PAS sememangnya menggambarkan bahawa perjuangan PAS adalah jelas iaitu menyeru manusia ke arah yang maaruf dan berusaha menjauhkan manusia dari kemungkaran dan kezaliman.

Semua ahli diajar bahawa Tahaluf Siyaasi adalah satu juzuk yang penting dalam politik Islam. Ia mesti diguna pakai oleh Jamaah Islam seperti PAS agar dasar yang diperjuangkan oleh PAS dapat dihayati dengan lebih dekat oleh rakan-rakan di dalam gagasan tahaluf siyaasi ini.

Perlu diingatkan kepada seluruh ahli PAS bermula dari ahli biasa sehinggalah kepada Pimpinan atasan, tujuan penubuhan PAS seperti dalam Perlembagaan PAS (Pindaan 2001), “ BAHAWA dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesame manusia, yang dijadikan bagi menegakkan ALAMRU BIL MA’RUF WAN NAHYU ‘ANIL MUNKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisytiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan “ PARTI ISLAM SEMALAYSIA”.
Selain itu, kehadiran PAS dalam Pakatan Rakyat adalah perlu difahami dalam konteksnya yang luas. Kerjasama yang dibuat oleh PAS amat jelas iaitu untuk menentang kezaliman dan menegakkan kebenaran dan keadilan (Islam).


Kerjasama dan pakatan yang boleh merealisasikan hasrat murni ini sudah pastinya akan terus dijulang oleh PAS. Begitu juga sebaliknya kalau pakatan yang merugikan Islam dan perjuangannya pasti akan ditolak.

PAS bukannya parti melukut di tepian yang boleh diletakkan di mana-mana atau dianggap seperti bola yang boleh ditendang kesana-kemari. Parti-parti lain yang turut mendukung cita-cita membentuk kerajaan baru di Malaysia pula perlu terlebih dahulu menjaga sensitiviti masyarakat Melayu dan Islam di Malaysia.

Isu-isu syiar agama yang menjadi tuntutan dan prinsip kepada orang yang beragama Islam perlu juga difahami tahap sensitivitinya.

Wujudnya tuntutan untuk memperlahankan suara azan sebagai contohnya menunjukkan segelintir masyarakat masih tidak memahami urusan penting bagi umat Islam. Perkara ini sepatutnya difahami oleh semua kaum di Malaysia.

Justeru kami menegaskan semula sokongan kami dan berdiri teguh di belakang kepimpinan Tuan Guru Presiden PAS.

Ustaz Ya'akub Abu Seman
Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis

Saturday, July 12, 2008

Syabas Untuk Tuan Guru Presiden

Oleh Ustaz Yussaine Yahya
Saya masih berada di Kuala Lumpur mengisi beberapa program anjuran sahabat-sahabat di sini. Dalam masa terluang sebelum bertolak ke Shah Alam sekejap lagi saya sempat menatap beberapa berita penting yang saya sendiri sebenarnya rasa tak sabar mahu melihat dan membacanya khususnya mengenai perkembangan terkini PAS & Pakatan Rakyat.

Sebenarnya semalam saya sendiri dihubungi beberapa teman rapat bertanya khabar dan berbincan serba sedikit tentang perkembangan mutakhir PAS.

Sebelum solat Jumaat tadi pun saya sempat menghubungi Ayahanda Ustaz Hj Hashim Jasin untuk berbincang satu dua perkara dan bertukar-tukar maklumat terkini jamaah yang kita dokong ini.

Dalam menatap temuramah khas Tuan Guru Hj Abd Hadi dengan HARAKAH, saya rasa saya membacanya dengan dada yang penuh debaran. Saya dapati dalam temuramah tersebut ada 3 perkara penting yang TG Presiden PAS telah nyatakan dengan jelas :

1. Menegaskan bahawa kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat adalah bukannya menumpang tuah mana-mana parti dalam PR. Sebaliknya PAS mempunyai sikap dan pendirian yang jelas dalam kebersamaanya dengan PR.

2. Bahawa isu-isu peribadi yang melibatkan Dato’ Seri Anuar Ibrahim tidak boleh menjejaskan PR dan bukannya isu Pakatan Rakyat. Bahkan TGHH bersedih dengan apa yang berlaku kepada DSAI telah sedikit sebanyak member impak buruk kepada PR. TGHH menegaskan bahawa isu liwat DSAI perlu diselesaikan di mahkamah yang adil.

3. Tidak ada sebab yang boleh menghalang PAS untuk membuka pintu pertemuan dan perbincangan dengan UMNO demi kepentingan Islam dan Melayu. Kalau PAS boleh bersama DAP dalam PR, adalah tidak mustahil untuk PAS menemui UMNO bagi mengajak UMNO kepada landasan yang benar. Sikap politik kekampungan ditolak sama sekali oleh TGHH dalam hal ini.

Saya secara peribadi, amat berharap sikap yang tegas dalam mempertahankan prinsip dan uslub dakwah seperti yang ditunjukkan oleh TGHH akan berterusan selamanya. PAS tetap akan menjadi sebuah gerakan Islam yang berjuang untuk mempertahankan aqidah dan agama serta memperteguhkan bangsa dengan keduanya.

Sejak kepimpinan ulama’ diperkenalkan, PAS telah mengubah cara dan uslub pergerakannya daripada parti politik yang menggunakan wajah Islam dalam bergerak kepada sebuah gerakan Islam yang tidak pernah jemu mengajak manusia taat kepada Allah dengan menjadikan politik sebagai cabang kecil aktivitinya.

Syura dalam PAS adalah asas yang paling teguh. Keanggotaan Majlis Syura dalam PAS adalah sedaya upaya diikhtiarkan menepati syarat yang diletakkan oleh para ulama’. Majlis syura adalah penjaga kepada asolah dan ketulinan perjuangan PAS. Majlis Syura adalah penentu dasar PAS. Saya amat mengharapkan agar, Majlis Syura benar-benar memainkan peranan dalam memantau setiap pergerakan dalam PAS.

Jangan biarkan pihak-pihak tertentu mempermainkan dan memperbudakkan sebarang ketetapan dan keputusan yang dikeluarkan oleh Majlis Syura. Saya amat yakin percaya bahawa perjuangan PAS akan terus terpelihara dengan berkat menyerahkan keputusan perjalanan PAS kepada syura Ulama’. Inilah Sunnah Rasul dalam perjuangan. Kita tidak akan sampai membenarkan tunjuk punggung dalam program yang kita ketuai jika apa yang kita susun dirujuk kepada syura ulama’.

Inilah adab dalam sebuah gerakan Islam. Jika ini tidak berlaku maka sahlah PAS bukan gerakan Islam. Tidak mustahilkan PAS ditinggalkan?

(Penulis adalah Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis)


Monday, July 07, 2008

CERAMAH GEMPUR SANGLANG!!!




Keputusan Petisyen Simpang Empat 23 Julai ini

Oleh Bashir Ishak
KANGAR, 7 Julai - Mahkamah Pilihanraya di sini menetapkan tarikh 23 Julai ini untuk memberikan keputusan petisyen pilihanraya Dun N.14 Simpang Empat.

Petisyen tersebut dikemukakan oleh calon BN, Zahari Bakar berkaitan dengan poster yang digunakan oleh calon PAS, Rus'sele Eizan dalam pilihan raya lalu yang tidak mempamerkan nama pencetak serta menggunakan jata (lambang) kerajaan negeri Perlis.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, Rus'sele memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 53 undi.

Mahkamah pilihanraya telah membicarakan kes ini 18 Julai lalu di hadapan Hakim Dato' Zainal Adzam Abdul Ghani dan Zahari selaku saksi tunggal telah dipanggil memberikan keterangan.

Hari ini peguam yang mewakili Rus'sele mengemukakan penghujahan balas bertulis ke atas penghujahan yan dikemukakan peguam Zahari pada 2 Julai lalu.

Zainal Adzam kemudiannya memutuskan tarikh 23 Julai depan untuk beliau memberikan keputusan.

Rus'sele diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin dan Zulmi Sabri, manakala Zahari diwakili Abu Bakar As-Sidek.

Mohamed Hanipa yang ditemui kemudiannya menjelaskan antara penghujahan yang telah disediakan pihaknya menyentuh tentang kegagalan pihak pempetisyen mengemukakan bukti yang jelas iaitu poster calon yang terbabit.

"Bahan bukti ini perlu ditunjukkan dalam bentuk exhibit dan yang ada hanyalah keterangan bukti yang dinyatakan sebagai ID2," jelasnya.

Begitu juga katanya, pihak pempetisyen tidak melaporkan kesalahan yang didakwa berlaku dalam tempoh yang ditetapkan mengikut Akta Kesalahan Pilihanraya.

"Kesalahan dikesan dan dilaporkan pada hari membuang undi sedangkan mengikut akta adalah semasa tempoh berkempen," katanya lagi.

Sunday, July 06, 2008

Mufti Perlis cadang Nik Aziz jadi orang tengah

Petikan Malaysiakini
Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan Mursyidul Am Pas menjadi orang tengah yang akan membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan untuk "mubahalah" atau 'bersumpah' sebagai jalan penyelesaian isu liwat yang kini menjadi tumpuan nasional.

Katanya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga menteri besar Kelantan mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat terutama di kalangan para penyokong PAS dan sudah semestinya, beliau layak untuk menjadi orang tengah itu.

Ketika dihubungi Bernama di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini, Dr Mohd Asri berkata, beliau sebolehnya tidak mahu terbabit dalam sebarang isu politik tetapi terpaksa mengeluarkan pandangan apabila menyentuh perkara yang berkaitan agama.

"Saya percaya dengan pengaruhnya, Nik Aziz berupaya menjadi orang tengah," katanya yang baru selesai menjalani pembedahan kecil di IJN dan dibenarkan keluar dari institut itu hari ini.

Dr Mohd Asri sebelum ini mencadangkan supaya isu liwat yang mengaibkan itu diselesaikan secara mubahalah atau "sumpah" sekiranya ia tidak dapat diselesaikan secara perundangan dunia.

Semalam, Pergerakan Pemuda Umno Terengganu meminta Mufti Perlis tampil sebagai orang tengah bagi membawa mereka yang terbabit dalam mubahalah dengan alasan Dr Mohd Asri tidak dipengaruhi mana-mana badan politik.

Tidak perlu modal

Bagaimanapun, Dr Mohd Asri berkata, apa yang lebih penting ialah tokoh yang menjadi orang tengah itu mempunyai pengetahuan agama yang tinggi dan diterima masyarakat meskipun beliau merupakan pemimpin politik.

Beliau turut menegur kesilapan fakta berhubung mubahalah yang dikaitkan sebagai kaedah "menjunjung al-Quran" sedangkan menurutnya dalam mubahalah, setiap orang akan memohon kelaknatan Allah ke atas dirinya jika berada di pihak yang salah.

Mufti Perlis itu percaya mubahalah yang tidak memerlukan wang atau modal akan menghapuskan prasangka dan hukumannya adalah adil.

Dalam mubahalah, seseorang yang dikaitkan perlu menyebut "Ya Allah! Jika aku lakukan apa yang dituduh ke atasku, maka laknatilah aku" manakala satu pihak lagi perlu menyebut " Ya Allah! Jika dia tidak lakukan apa yang aku tuduh itu, maka laknatilah aku."

Katanya, dalam isu yang melanda negara kini, seeloknya bermubahalah agar orang ramai tidak berbalah dan bertelingkah.

"Selepas bermubahalah, kita serah keputusan kepada Allah," katanya.

Saturday, July 05, 2008

Bila pemimpin Umno/BN bercakap...... Jangan percaya dulu!!

Sekadar peringatan.....Mudah-mudahan menjadi teladan untuk semua. Ini adalah kenyataan oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS Perlis menjelang pilihanraya umum yang lalu. Lihat apa dah jadi???

KANGAR-Betulkah jaminan Timbalan Perdana menteri untuk tidak menaikkan harga minyak selepas pilihanraya umum 8 Mac ini?

Menurut Setiausaha Dewan Pemuda PAS Perlis, Azmal Zaid Ahmad Azmi, setiap kenyataan pemimpin negara kini perlu diteliti dengan baik kerana mereka mempunyai sejarah yang gemilang tentang membohongi rakyat.

"Contoh terdekat Perdana Menteri sendiri hidup-hidup menipu rakyat menyatakan parlimen tak akan dibubar, esoknya dia bubar parlimen. Jadi kita kena hati-hati dengan setiap kenyataan mereka.

"Yang jelas setiap kenyataan yang dibuat adalah untuk memujuk rakyat untuk terus menyokong mereka. Tengoklah, sepanjang tempoh kempen pilihanraya ini macam-macam janji mereka akan buat dengan segera kerana "rating" BN kini semakin menurun di mata rakyat," katanya.
Sekarang apa dah jadi??? PROTES SAMPAI TURUN!!!

Dakwaan liwat: Mufti Perlis minta Anwar, Saiful bersumpah

PETALING JAYA: Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini kali kedua berhadapan dengan isu dakwaan meliwat dan bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan supaya ‘mubahalah’ (bersumpah).
“Daripada bertengkar tidak tentu arah, saya syorkan mubahalah agar dapat menyelesaikan kekalutan isu liwat ini. Disebabkan isu yang semakin kalut ini, rakyat menjadi celaru,” kata beliau dalam Kuliah Hadith lewat malam semalam di Masjid Alwi, Kangar Perlis.

(Rakaman ucapan Mufti Perlis boleh diakses di laman web beliau www.drmaza.com).

Wednesday, July 02, 2008

Ameir Hassan cabar Shahidan

Terbaru: Malaysiakini melaporkan bahawa Setiausaha Politik Menteri Besar Perlis, Ameir Hassan mengesahkan akan bertanding mencabar pengerusi perhubungan Datuk Seri Shahidan Kassim untuk jawatan ketua bahagian Arau dalam pemilihan Umno nanti.

Ameir Hassan memberitahu, keputusan itu bagaimanapun tidak dipengaruhi oleh sesiapa, termasuk ketuanya Datuk Dr Md Isa Sabu.

"Saya akan lawan Shahidan dengan kekuatan saya sendiri, (dengan) cara saya sendiri," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

"Saya bukan disuruh oleh sesiapa, dan saya bukan proksi mana-mana (pemimpin).

"Saya bukan jaguh mewakili mana-mana kumpulan. Saya ada perjuangan saya sendiri."

Ameir berkata beliau tidak suka kepada gaya kepemimpinan bekas menteri besar itu yang didakwa mengamalkan "pecah dan perintah", dan juga mendorong orang ramai bergantung kepadanya.

Jumaat lepas, Malaysiakini melaporkan Shahidan dan adiknya Datuk Ismail Kassim akan dicabar masing-masing bagi dua jawatan teratas bahagian tersebut.

Ismail, ahli parlimen Arau, pula diramal dicabar oleh bekas pemimpin Pemuda bahagian Zainuddin Yom dan seorang lagi calon yang didakwa kumpulan pro-menteri besar, Khalid Ahmad.

Khalid kini pegawai khas menteri besar.

Ameir, bekas naib ketua bahagian itu, berkata gaya kepemimpinan pecah dan perintah boleh menyebabkan bahagian itu ketandusan pemimpin baru.

Beliau juga mendakwa, ahli-ahli akar umbi "sudah jemu" dengan budaya menabur sokongan kewangan bagi mengekalkan pengaruh.

"Saya tak mahu budaya orang Arau terus terbawa-bawa dengan peminta sedekah. Kita kuat bekerja, kenapa tidak bekerja?" katanya.

Kaedah menabur wang untuk terus disenangi ramai ibarat memberikan makanan kepada kera di zoo, tambahnya.

Katanya, beliau tidak menafikan Shahidan telah mempunyai banyak jasa kepada rakyat Perlis selama 13 tahun pentadbirannya sejak 1995.

"Cuma arus perubahan berlaku. Tak ada pemimpin yang kekal selama-lamanya.

"Ada pemimpin datang, ada yang pergi. Ada turun dan ada naik. Ia adalah lumrah kehidupan," katanya.

Sementara itu, menurutnya, BN belum menetapkan calon untuk bertanding dalam pilihanraya kecil di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang.

"Sekarang (calon-calon) tidak diputuskan lagi. Kita tunggu keputusan SPR," katanya.

Beliau juga tidak menafikan menteri besar mempunyai calon pilihannya sendiri. Bagaimanapun keputusan muktamad ditentukan oleh bahagian tersebut dan badan perhubungan Umno negeri yang dipengerusikan Shahidan.

"Bukan setakat Abdullah (Hassan) tetapi kita ada dua, tiga lagi, bakal calon. (Menteri besar berpendapat calon mestilah) yang muda, berpengaruh dan disukai oleh penduduk Sanglang," katanya.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut berhubung nama calon-calon tersebut.Dalam pilihanraya umum Mac lalu, kerusi itu diisytiharkan dimenangi oleh Abdullah dengan majoriti kecil, 45 undi - akibat kesilapan teknikal dalam penjumlahan undi.

Menurut Ameir lagi, Umno dan BN akan memastikan kerusi tersebut berjaya dirampas daripada PAS yang telah menguasainya selama dua penggal sejak 1999.

"Kita tidak mahu menteri besar dikatakan tidak mampu untuk mengambil balik Sanglang," katanya.Menurutnya, Umno bahagian tersebut telah menggerakkan jenteranya untuk memastikan kejayaan 100 peratus di Sanglang.

Pilihanraya kecil DUN itu, dalam bahagian Arau, akan diadakan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kangar pada 18 Jun yang mengosongkan kerusi itu selepas menerima bantahan dalam petisyen pilihanraya calon PAS, yang juga penyandang, Hashim Jasin.

Rakyat yakin penjelasan Anwar berbanding siasatan polis - Hashim Jasin


KANGAR- Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin melihat, rakyat sebenarnya lebih yakin dengan penjelasan Ketua Umum Parti Keadilan (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim berbanding siasatan pihak polis dalam kes dakwaan liwat yang terbaru.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan liwat terbaru ke atas Anwar yang dibuat oleh seorang pembantu khas Anwar, Saiful Bukhari Azlan menggemparkan negara baru-baru ini.

Jelasnya lagi, dalam suasana yang ada sekarang rakyat akan lebih yakin dengan penjelasan yang diberikan oleh Anwar yang menyatakan dakwaan tersebut bertujuan untuk menyekat karier politik beliau.

"Apapun dakwaannya, saya nampak rakyat akan lebih merujuk kepada penjelasan Anwar mengatasi apa yang dijelaskan pihak kerajaan," ujarnya lagi.

Beliau berpendirian bahawa reputasi pasukan polis bakal sekali lagi tercabar berikutan dakwaan perlakuan liwat itu jika siasatan tidak dijalankan dengan adil.

Beliau melihat pengalaman lalu (tragedi 1998) telah membuktikan bahawa integriti pasukan polis dalam menjalankan siasatan ke atas kes Anwar terus dipertikaikan oleh pelbagai pihak.

"Pengalaman 10 tahun lalu menyebabkan tercalarnya reputasi mereka tapi rakyat tidak yakin dengan apa yang didakwa itu.
"Pimpinan kerajaan menyeru rakyat untuk meyakini integriti pasukan polis sedangkan dakwaan terbaru terhadap Anwar ini menimbulkan tanda tanya kepada rakyat apakah peristiwa tahun 1998 lalu akan berulang," katanya.

Petisyen Dun Simpang ditunda ke 7 Julai

KANGAR, 2 Julai - Mahkamah Pilihanraya di sini hari ini memutuskan tarikh Isnin, 7 Julai untuk mendengar penjelasan tentang penghujahan berkaitan petisyen pilihanraya Dun N.14 Simpang Empat.

Petisyen dikemukakan calon BN, Zahari Bakar berkaitan poster calon PAS dalam pilihanraya lalu yang tidak mempunyai nama pencetak dan menggunakan lambang kerajaan negeri Perlis.

Dalam pilihanraya lalu, Zahari tewas kepada calon PAS, Rus'sele Eizan dengan majoriti 53 undi.
18 Jun lalu, mahkamah membicarakan kes ini dengan Zahari selaku saksi tunggal dipanggil memberikan keterangan.

Hari ini, peguam yang mewakili Zahari, Abu Bakar As-Sidek baru mengemukakan penghujahan bertulis walaupun peguam yang mewakili Rus'sele bersedia untuk memberikan penghujahan lisan.

Hakim Pilihan Raya, Dato' Zainal Adzam Abdul Ghani kemudiannya memutuskan untuk mendengar penjelasan berkaitan penghujahan tersebut Isnin depan.

Rus'sele diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin dan Zulmi Sabri.