Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Saturday, October 28, 2006


Exco berjoget dikesali
Oleh : Mat Teropong
Kategori : Berita

Kangar 27hb Okt : Sambutan hari raya Eidul Fitri semalam dicemari dengan satu adegan yang memalukan oleh Exco Alam Sekitar Perlis Azihani Dato’ Ali apabila turut berjoget dengan beberapa artis.

Dalam sebuah rancangan hari raya terbitan TV3 beliau, diakhir rancangan telah menyertai acara joget beramai-ramai yang bercampur lelaki perempuan yang terdiri daripada artis dan orang kampung.

Antara artis yang terbabit ialah Rita Rudaini serta dua orang pengacara TV3, Aidil dan Feitri.Turut sama kelihatan ialah beberapa ahli Puteri Umno Perlis

Rancangan itu yang menampilkan kehidupan dan juga kebudayaan negeri Perlis berjalan dengan bagus sekali tetapi tercemar apabila exco kerajaan Perlis Darul Sunnah itu membuat perkara mungkar.

Mengulas tentang perkara tersebut Exco Pemuda PAS Pusat Ustaz Zolkharnain Abidin melahirkan rasa kesal beliau diatas apa yang berlaku.

Bagi beliau ini membuktikan bahawa pemikiran pimpinan Umno masih tebal dengan fahaman sekular.Mereka mengambil Islam pada satu masa dan kemudian meninggalkannya pada masa lain.

“Bagaimana dia nak pimpin masyarakat kalau dia sendiripun rosak cara berfikir?,”soal beliau.

“Sepatutnya dalam bulan Syawal ini, dia hidupkan roh takbir dalam diri masyarakat.Tapi dia telah memadamkannya roh itu dari jiwa mereka dengan mempromosi cara hidup yang lari dari Islam,”ujarnya lagi

Bagi Ustaz Zolkharnain, sekalipun kerajaan negeri hendak menarik pelancong, tidak perlu mengenepikan nilai-nilai Islam.

Sementara itu Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis Ustaz Adnan Fadhil menyatakan yang sunnah yang diuar-uarkan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Shahidan Kassim tidak kemana perginya.

“Kemana perginya tokoh ulamak sunnah Perlis?,”Tanya beliau

Tegas beliau ini membuktikan yang mereka hanya mengambil sunnah dalam ibadah sahaja.Manakala untuk kehidupan biasa mereka tidak kisah walaupun kemungkaran ada di depan mata mereka.

Sunday, October 22, 2006

Perutusan Eidul Fitri
Daripada Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis
Ustaz Ahmad Adnan Fadhil


Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Walillahil Hamd

Alhamdulillah syukur saya kepada Allah yang telah memberikan kekuatan untuk saya mengucapkan Selamat Eidul Fitri dalam ruangan ini.Semoga Ramadhan yang berlalu akan memberikan kita ketaqwaan yang kita cari-cari selama ini.

Sempena Eidul Fitri ini saya ingin mengajak para pembaca untuk merenung sejenak tentang sambutan perayaan yang bakal kita sediakan.

Suka saya mengingatkan diri saya dan para pembaca sekelian agar menyambut perayaan kita ini berdasarkan syariat yang dibenarkan Islam.Sebagai Muslim kita mempunyai cara tersendiri untuk merayakannya.

Rasulullah berpesan kepada kita semua agar menghiasi hari raya dengan bertasbih, bertakbir dan juga bertahmid dan juga membesarkan Allah.

Hari raya ini adalah hari kemenangan bagi orang yang berjaya mengharungi cabaran pada bulan Ramadhan.Mereka berusaha mendidik nafsu mereka demi agama dan Allah.

Dari sudut Islam perayaan ini adalah perayaan agama dan tidak boleh sewenang-wenangnya kita menggabungkannya dengan perayaan lain-lain agama.

Ini adalah jelas dengan maksud firman Allah didalam al-Quran iaitu “Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam”.

Agama adalah keyakinan kita terhadap Allah Taala yang ada didalam diri kita.Maka sangatlah dituntut agar kita mempertahankannya.

Akhirnya saya mewakili Dewan Pemuda PAS Perlis dengan rasa syukur ingin mengucapkan sekali lagi Selamat Menyambut Eidul Fitri kepada seluruh muslimin dan muslimat.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Walillahil Hamd

Friday, October 20, 2006

PAS Perlis ziarah hospital sempena Aidilfitri

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin sedang menyampaikan hamper kepada seorang pesakit

Oleh Wartawan SEDAR
KANGAR, 19 Okt - Dalam agenda mendekatkan diridengan masyarakat, PAS Perlis semalam telahmengadakan program ziarah ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar sempena menyambut kedatangan Aidilfitri.

Program disertai Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin; Timbalan Pesuruhjaya, Ustaz Ahmad Ali dan Haji Abdul Karim Mat Rejab serta Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda dan Muslimat Negeri Perlis.

Dalam program ini, semua wad di hospital ini telahdilawati. Para pesakit dan petugas di wad telah diberikan hadiah hamper serta kuih raya sebagai cenderahati daripada PAS Perlis.

Selain mendekati para pesakit, pimpinan PAS Perlis yang hadir juga dapat beramah mesra dan bertanya khabar tentang sebarang masalah yang dihadapi olehpara petugas di wad termasuk para doktor dan jururawat.

Program ziarah pada tahun ini berjalan lancar dan mendapat sambutan yang baik dari seluruh kakitangan wad yang dikunjungi.

Thursday, October 19, 2006


MTD Sanglang hulur bantuan Aidilfitri
Oleh : Nikon
Kategori : Berita


Sanglang 18 Okt : Seramai 120 orang fakir miskin di sekitar DUN Sanglang menerima bantuan Aidilfitri daripada MTD Sanglang dalam satu majlis yang adakan di rumah Pesuruhjaya PAS Ustaz Hashim Jasin semalam.

Menurut Ustaz Hashim, majlis seumpama ini diadakan untuk setiap MTD di Perlis sebagai sebahagian daripada tanggungjawab PAS Perlis kepada rakyat yang kurang mampu .

Dalam ucapan alu-aluannya, beliau berterima kasih kepada para penderma terutamanya dari Kuala Lumpur yang menurutnya telah begitu banyak memberikan sumbangan.

“Semoga Allah memberkati usaha mereka ini dan ianya menjadi bekal bagi kita semua untuk bertemu Allah nanti,”ujarnya.

Beliau juga memohon kemaafan daripada rakyat sekiranya ada salah dan silap mewakili PAS Perlis keseluruhannya.

Ustaz Hashim juga menyeru kepada anak-anak yatim agar dapat menyambut Aidilfitri dengan sabar diatas ujian yang mereka lalui dan semoga Allah akan memberkati mereka diatas kesabaran itu.

Dalam majlis yang sama, wakil Kawasan Arau, Haji Jaafar menegaskan bahawa kerja amal ini memerlukan satu pasukan yang kuat.Ianya bukan kerja perseorangan.

“Walaupun kemiskinan adalah sunnatullah iaitu perkara yang tidak boleh dihapuskan tetapi kerja untuk membantu fakir miskin ini kena berterusan,”katanya.

Sementara itu, MTD Sanglang akan mengadakan rumah terbuka anjuran bersama Dewan Pemuda PAS Perlis pada 11hb November nanti bermula pukul dua petang hingga enam petang.Orang ramai dijemput hadir .

Wednesday, October 18, 2006

Rumah terbuka Aidilfitri PAS Perlis

KANGAR, 16 Okt - Badan Perhubungan PAS Perlis akan menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri pada 5 November (Ahad) akan datang.

Majlis akan berlangsung di pekarangan Pejabat Badan Perhubungan PAS Perlis di No 7 Jalan Sekolah Derma dekat sini.

Sehubungan dengan itu, Pesuruhjaya dan seluruh Ahli Badan Perhubungan PAS Perlis menjemput orang ramai untuk menghadiri majlis yang akan bermula pada jam 2.00 petang.

Selain itu, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin akan turut mengadakan rumah terbuka Aidilfitri pada hari Sabtu, 11 November ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang akan mengadakan majlis tersebut di kediamannya di Batu 8 3/4 Jalan Sanglang.

Sehubungan itu, beliau juga menjemput semua lapisan masyarakat ke majlis yang dijangka bermula pada jam 2.30 petang.

Pimpinan PAS beraya di Perlis


Petikan Harakahdaily
ARAU, 15 Okt - Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din akan balik kampung pada tahun ini untuk bersama-sama merayakan Aidilfitri dengan rakyat Perlis.

Beliau dijangka akan bersolat sunat dan menyampaikan khutbah Aidilfitri di Balai Islam MADI, Jejawi Dalam dekat sini.

Dijangkakan hampir tiga ribu orang termasuk pimpinan dan ahli PAS Perlis serta orang ramai akan memenuhi Balai Islam MADI pada hari raya tahun ini.

Selain itu, beliau juga akan berada di Perlis pada 19 Oktober ini untuk majlis sumbangan Aidilfitri dan berbuka puasa anjuran Badan Perhubungan PAS Perlis.

Majlis akan diadakan di pekarangan pejabat Perhubungan PAS Perlis.

Sementara itu, pada hari raya kedua pula, Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu juga akan berada di Perlis.

Beliau yang akan pulang berhari raya di rumah mertuanya di Kampung Jejawi akan bertemu orang ramai dalam majlis ceramah yang akan berlangsung di Dataran MADI, Jejawi Dalam pada jam 9.30 malam

Pertingkatkan amalan di bulan Ramadan - Pj Perlis

Petikan Harakahdaily
ARAU, 14 Okt - Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin menyeru umat Islam khususnya pejuang Islam untuk mempertingkat amalan di bulan Ramadan ini.

Katanya, bukan sekadar puasa, solat dan membaca al-Quran tetapi banyak lagi amalan yang boleh dibuat termasuk bersedekah dan membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Beliau berkata demikian di Majlis Sumbangan Aidilfitri DUN Pauh yang berlangsung di Markas MTD Pauh, Kubang Paya dekat sini petang semalam.

"Majlis seperti ini dibuat supaya sedikit amalan dan sumbangan yang kita berikan sama ada wang ringgit, barangan mahupun bubur lambuk akan melepaskan kita dari tergolong di kalangan mereka yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga," katanya.

Seramai hampir 100 orang fakir miskin, orang kurang upaya dan anak-anak yatim menerima sumbangan berupa wang dan barangan keperluan.

Sunday, October 15, 2006

Mat Rempit: Hanya Islam sebagai jalan keluar


Petikan Harakahdaily
KANGAR, 14 Okt - Pemahaman Islam secara mendalam adalah jalan keluar yang terbaik kepada pelbagai isu sosial termasuk masalah Mat Rempit yang semakin menjadi-jadi.

"Punca utama gejala Mat Rempit yang kini hangat diperkatakan adalah kerana jiwa mereka yang kosong tanpa pengisian roh agama," demikian jelas Ketua Penerangan PAS Perlis, Ustaz Yaakub Abu Seman.

Katanya, golongan ini yang rata-ratanya terdiri dari kalangan remaja dan belia memilih cara yang silap untuk berhibur sehinggakan mereka kemudiannya terikut-ikut dengan tindak-tanduk kawan-kawan.

"Nak berseronok tak kena tempat. Inilah puncanya bila didikan agama tidak diberikan penumpuan serius," katanya.

Menurutnya, program-program kerajaan untuk para remaja dan belia kebanyakannya tidak berkesan untuk mengisi jiwa mereka dengan roh Islam.

"Sebaliknya, program yang dijalankan lebih banyak bersifat santai dan berhibur dengan adanya percampuran jantina. Jelas kerajaan gagal untuk membentuk golongan belia yang dekat dengan agama," tegasnya.

Justeru katanya, penekanan tentang ajaran Islam perlu diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak sejak kecil agar tidak terjebak dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat di kemudian hari.

Menyentuh tentang program Putera Umno bersama Mat Rempit, Yaakub melihat ianya adalah satu pendekatan yang silap dan boleh menjadi pembakar semangat untuk Mat Rempit terus bermaharajalela.

"Program di Perak baru-baru ini pun kecoh. Ini nak himpun ramai-ramai, lagi la puak ni seronok. Mereka ada orang besar di belakang mereka.Nampak sangat satu gimik politik," katanya.

Dalam pada itu, Yaakub sangat bersetuju dengan pandangan seorang bekas anggota polis trafik yang menulis di dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia hari ini berkaitan Mat Rempit.

Dalam tulisannya, Sidiny dari Seremban menyatakan bahawa salah satu punca kegagalan polis trafik menangani gejala mat rempit berpunca daripada campurtangan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan ahli politik.

Menurutnya, pihak NGO begitu lantang bersuara agar polis membanteras Mat Rempit tetapi dalam masa yang sama mereka akan melatah terlebih dahulu apabila berlaku kekasaran oleh pihak polis dalam operasi mereka.

Baginya, pihak polis perlu mengambil tindakan kepada Mat Rempit, namun jika berlaku kekasaran, ahli politik dan NGO inilah yang menyokong ibu bapa untuk menyaman polis.

Realiti yang digambarkan penulis tersebut menyatakan Mat Rempit ini bukanlah budak kecil yang menangis bila dijerkah polis tetapi akan bertindak melanggar polis dalam sekatan jalan raya

Saturday, October 14, 2006

PM digesa kaji semula dasar pendidikan

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 12 Okt - Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi digesa mengkaji kembali beberapa isu, berkaitan dasar pendidikan bagi mempertingkatkan kualiti pelajar-pelajar, khususnya di luar bandar yang sering terpinggir.

Isu pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan moral pelajar perlu diberikan perhatian selain pembangunan fizikal, demikian kata Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.

Baru-baru ini Abdullah mengumumkan tujuh langkah untuk mengurangkan jurang prestasi antara sekolah bandar dan luar bandar.

Semua langkah tersebut melibatkan pembangunan fizikal sekolah, penambahan peralatan serta pemberian insentif tambahan kepada guru.

Ustaz Hashim menegaskan bahawa yang lebih penting ialah pembangunan rohani para pelajar tidak kira sama ada di bandar mahupun di luar bandar.

"Kita tidak menafikan perlunya pembangunan dan pembaharuan di sekolah tetapi sistem pendidikan itu sendiri perlu menjurus kepada satu perubahan untuk pelajar mengenal diri dan kenal Allah".

"Dengan mengenal diri dan Allah, mereka akan menjadi pelajar yang tahu tanggungjawab dan akan menjadi insan yang berkualiti. Mereka ini akan membawa kebaikan kepada manusia yang lain pula," katanya.

Beliau turut menyeru agar bantuan perkapita kepada SAR yang ditarik balik oleh kerajaan beberapa tahun lalu dipulangkan semula.

Menurutnya, isu tersebut seperti telah dilupakan dan jika benar Abdullah mahu mengurangkan jurang pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar, maka bantuan perkapita ini perlu diberi semula.

"Boleh dikatakan hampir kebanyakan SAR duduk di luar bandar, jadi penumpuan juga perlu diberikan kepada SAR. Bukan itu sahaja, kerajaan juga perlu memperbanyakkan sekolah agama berasrama penuh," serunya.

Selain itu, melihat isu pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris juga merupakan punca berlakunya jurang prestasi antara sekolah bandar dan luar bandar, katanya.

"Perkara ini sudah terbukti bahawa penguasaan pelajar amat lemah dan kita sudah sebut beberapa kali hal ini termasuk dalam sidang Dewan Undangan Negeri. Bagi pelajar luar bandar keadaannya lebih membimbangkan," jelasnya

Penduduk resah bil air tiada sehingga 4 bulan

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 12 Okt - Penduduk di beberapa kawasan di negeri ini berasa gusar kerana sudah agak lama tidak menerima bil air bagi rumah kediaman dan juga premis perniagaan mereka kerana kelibat pembaca meter yang sudah lama tidak kelihatan.

Kampung Paya, Jalan Dato' Kayaman serta Kubang Gajah adalah di antara kawasan yang dikenalpasti sudah empat bulan tidak menerima bil air.

Rata-rata penduduk di kawasan terlibat merungut kerana Jabatan Kerja Raya (JKR) dahulunya berjanji untuk memeriksa meter air dua bulan sekali.

Namun, kelewatan sebegini akan membebankan orang ramai kerana sudah tentu jumlah bil air adalah tinggi bagi beberapa bulan penggunaaan.

Seorang pesara, yang ditemui Harakahdaily hari ini menunjukkan empat pasang bil elektrik dan telefon rumahnya yang telah dibayar untuk empat bulan yang lalu beserta bila air yang dibayarnya bulan Mei lalu.

"Ini semua bil letrik dan telefon untuk empat bulan, tak adapun bil air, yang ada pun bulan Mei lepas. Dulu janji nak periksa meter dua bulan sekali, tapi dah empat bulan tak datang. Bila datang nanti dah tentu bilnya tinggi," rungut beliau.

Sementara itu, seorang suri rumah, Hasmah Hamid turut merasakan kesannya kerana baginya kelewatan sebegini akan menjejaskan bajet perbelanjaan keluarganya.

"Dulu dah jadi sekali, jenuh kita nak bayar sebab guna airpun banyak. Keluarga kita besar. Sekali bil datang banyak juga nak kena habis duit. Bil letrik, telefon lagi. Tu tak campur belanja lain yang makin meningkat," katanya.

JKR yang dihubungi Harakahdaily hari ini menjelaskan bahawa kelewatan ini berpunca dari kekurangan pembaca meter yang sedang mereka hadapi.

Kata jurucakap mereka, beberapa orang pembaca meter sudah pencen dan kini pengganti mereka sedang dilatih untuk meneruskan kerja tersebut, namun masih belum dapat dihantar keluar

Friday, October 13, 2006

Mercun: Penguatkuasaan terlalu longgar

Oleh Wartawan SEDAR
KANGAR, 12 Okt - Setiap kali masuknya bulan Ramadan kita akan mendengar ada sahaja berita tentang mangsa yang cedera akibat mercun atau meriam buatan sendiri.

Perkara ini seolah-olah menjadi satu budaya di dalam masyarakat Melayu-Islam yang tidak berkesudahan.

Walaupun telah banyak kali diberikan amaran namun, dentuman meriam buluh dan mercun seolah-olah tidak dapat dipisahkan ketika umat Islam menyambut bulan mulia ini, dengan alasan untuk memeriahkan suasana.

"Pihak berwajib perlu memberikan kesedaran secara menyeluruh kepada masyarakat dengan kempen yang lebih proaktif. Tidak ada apa yang meriahnya selain mengganggu ketenteraman awam," demikian tegas Ketua Dewan Pemuda PAS Kangar, Ustaz Yaakub Abu Seman.

Katanya, beliau hairan bagaimana mercun boleh dimainkan secara berleluasa sepanjang Ramadan sedangkan pelbagai amaran telah diberikan.

"Tidak kira siang atau malam ada saja bunyi mercun. Hinggakan di Pasar Ramadan Kangarpun ada budak-budak main mercun secara terbuka," jelasnya.

Yaakub melihat perkara ini juga berpunca daripada penguatkuasaan yang terlalu longgar oleh pihak berkuasa sehinggakan mercun dapat dibeli oleh dengan bebas oleh orang ramai.

"Pemantauan yang lebih jitu perlu dibuat oleh pihak berwajib bagi mempastikan tiadanya penjualan mercun secara bebas walaupun secara sembunyi-sembunyi," serunya.

Selain itu, Yaakub menasihatkan ibu-bapa agar tidak sewenang-wenangnya membelanjakan wang mereka untuk membeli mercun untk anak-anak kerana wang yang yang dibazirkan itu lebih baik digunakan untuk tujuan yang lebih berfaedah.

Monday, October 09, 2006

Pemuda PAS Padang Besar anjur majlis berbuka di Tasik Melati
Oleh Bashir Ishak
Petikan Harakahdaily

Tazkirah oleh Ustaz Adnan

Pulun bang, jangan sampai tak boleh sembahyang sudah...

BESERI, 9 Okt - Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Padang Besar malam tadi mengadakan majlis berbuka puasa dalam suasana yang agak berbeza dari kebiasaan.

Kebiasaannya majlis berbuka puasa diadakan di premis milik PAS seperti markas tarbiyah,surau atau pejabat PAS.

Namun lokasi yang dipilih kali ini ialah Taman Rekreasi Tasik Melati dekat sini.

Keheningan senja dan kedamaian kawasan Tasik Melati menjadi pilihan untuk mengadakan majlis berbuka puasa dalam suasanan yang tenang.

Selain itu, pihak DPP juga dapat menarik para pemuda yang sesetengahnya malu untuk diajak ke markas PAS.

Majlis dihadiri Ahli Jawatankuasa Kerja DPP Padang Besar, DPP Perlis, PAS Kawasan Padang Besar serta ahli-ahli cawangan berdekatan.

Selepas berbuka,surau taman rekreasi berkenaan yang selalunya sunyi sepi itu telah diimarahkan dengan ibadah solat berjemaah dan tazkirah.

Selain Maghrib dan Isyak, solat terawih berjemaah menjadi pengisian majlis yang diadakan malam tadi.

Ketua DPP Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil pula dijemput khas untuk menyampaikan tazkirah Ramadan.

Sunday, October 08, 2006

Terima Kasih Dari Kami
Warga Peghelih La…
Alhamdulillah segala puji kami panjatkan kepada Allah tuhan pencipta alam.Kerana dengan limpah kurnia dan rahmat yang telah diturunkanNya maka dapat saya mencoretkan sepatah dua kata penghargaan ini.

Dalam tidak sedar masa berlalu begitu pantas memintas kita.Apa yang dirasakan baru berlaku rupa-rupanya telah setahun berlalu.Begitulah kehendak Allah dalam menentukan segala kejadian.

Kini web blog kami telah menjangkau usia setahun pada 30hb September lalu.Diam tak diam blog kami telah mencecah lebih 11 ribu hits sehingga kini.

Angka ini bukanlah satu angka yang membanggakan jika dibandingkan dengan blog-blog yang lain.Tetapi bagi kami ianya penuh makna kerana kami telah mempunyai sekurang-kurangnya 30 pembaca tetap pada setiap hari.

Pada mula penerbitan kami antara perkara yang terlintas didalam benak fikiran kami ialah berapa lamakah kami akan bertahan sebelum tersungkur

Syukur sekali lagi lagi kerana dengan sokongan itu maka kami masih menggagahkan diri untuk mencari berita untuk para pembaca kami.

Kini kami merasa agak lega kerana telah ada sokongan dari kalangan sahabat untuk memastikan kesinambungan hayat web blog kami ini.Maka lebih banyak berita yang dapat kami siarkan.

Terima kasih kepada Encik Zul (Tranungkite) yang telah memberikan tunjuk ajar kepada kami walaupun secara tidak langsung.Juga DPP Kawasan Seremban yang telah memberikan beberapa tips yang bernilai untuk kami.

Terima kasih juga kepada pimpinan PAS samada diperingkat DUN, Kawasan mahupun Pusat yang telah memberikan kerjasama kepada kami untuk kami menerbitkan berita-berita dan juga komen-komen serta pendapat mereka terhadap situasi politik tanahair.

InsyaAllah dimasa akan datang kami akan cuba membuat laman web untuk PAS Perlis agar berita-berita dapat disiarkan dalam bentuk yang lebih menarik lagi.Maklumlah kami masih lagi kekurangan tenaga untuk membuat perkara yang lebih besar buat masa ini.

Akhir kata terima kasih sekali lagi dari kami warga Peghelih La…atas segala kebaikan yang telah anda berikan kepada kami.Kami menghargainya dan berdoa agar Allah membalasnya.

Wallahua’lam

Saturday, October 07, 2006

Gerai disewa pada warga asing
Oleh Bashir Ishak
Petikan Harakahdaily
PADANG BESAR, 6 Okt - Isu Arked Niaga Padang Besar yang dimonopoli oleh peniaga dari negara jiran bukanlah baru sebaliknya telah berlarutan sejak sekian lamanya.

Arked Niaga ini memang popular dengan barangan yang dibawa masuk dari negara jiran dan dijual dengan harga yang murah, sekaligus menjadi satu tarikan pelancongan di negeri ini.

Namun begitu, suasana membeli-belah di sana sama sahaja seperti membeli belah di Pekan Siam di seberang sempadan.

Masalah yang timbul berikutan pemilik lesen niaga yang terdiri dari penduduk tempatan mengambil jalan mudah menyewakan gerai mereka kepada warga asing khususnya yang datang dari seberang sempadan Thailand.

Pemilik lesen dikatakan mendapat untung berlipat kali ganda dengan menyewakan gerai pada harga yang lebih tinggi.

Telah beberapa kali isu ini disebut oleh media dan hari ini sebuah akhbar harian edisi utara pula menyiarkannya.

Tidak berapa lama dulu isu ini juga pernah didedahkan oleh sebuah stesen televisyen swasta.

"Sikap mahu mengambil untung dengan cepat dan mudah adalah punca perkara ini terjadi," demikian komen seorang pegawai kerajaan yang ditemui Harakahdaily hari ini.

Katanya lagi, orang tempatan juga malas untuk berusaha sendiri dan mengkhianati amanah yang diberikan untuk mereka berusaha meningkatkan ekonomi.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin juga pernah menyuarakan masalah ini dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perlis tahun lalu.

Dalam ucapannya, beliau menyifatkan orang yang diberikan lesen niaga tetapi menyewakannya pula kepada orang luar adalah mereka yang yang mempunyai jiwa yang belum merdeka.

Ustaz Hashim turut menyeru kerajaan agar mengkaji balik syarat-syarat pemberian lesen untuk berniaga di Arked Niaga tersebut agar tidak disalahgunakan.

"Bukannya tidak ada orang kita yang betul-betul mahu berniaga, tetapi mungkin tidak diberikan peluang," katanya.

Monday, October 02, 2006

Shahidan digesa selesai masalah hutang negeri sebelum aktif KOAM

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 2 Okt - Menteri Besar Perlis Dato' Seri Shahidan Kassim diminta menumpukan kepada usaha penambahbaikan pentadbiran kerajaan negeri Perlis khususnya dari segi ekonomi, daripada melibatkan diri dalam aktiviti lain yang kurang utama.
Shahidan perlu memberi lebih penumpuan terhadap mengatasi kelemahan yang disebutkan terutamanya selepas mendapat teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.

"Banyak perkara yang masih perlu diperbaiki khususnya kelemahan kewangan kerajaan negeri dan agensi-agensinya seperti Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dan Yayasan Islam Perlis (YIPS)," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil.

"PKENPs banyak berhutang, hutang YIPs terpaksa ditukar jadi geran dan MPK pula kena sita, jadi banyak yang beliau kena baiki. Kalau banyak sangat jawatan luar nanti akan memberi kesan kepada Perlis pula," ujarnya.

Adnan berkata demikian ketika diminta memberikan komen tentang kemenangan Shahidan dalam merebut jawatan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) hujung minggu lalu.

Shahidan memenangi jawatan tersebut dalam pemilihan yang menyaksikan beliau menewaskan Dato' Danyal Balagopal Abdullah.

Kemenangan ini sekali gus membolehkan beliau menerajui persatuan sukan yang ketiga di peringkat nasional selain Persatuan Renang Amatur Malaysia dan Persatuan Kabaddi Malaysia.

Beliau juga turut menerajui enam persatuan sukan lain di Perlis termasuk Persatuan Bolasepak Perlis.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perlis baru-baru ini, Dato' Zahidi Zainul Abidin (BN-Beseri) mencadangkan agar Shahidan bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepk Malaysia (FAM) memandangkan beliau berjaya membawa kejayaan bolasepak di Perlis.

Ruangan iM Komen Harian Metro Sabtu lalu pula disiarkan komen dari seorang yang dikenali sebagai Yobmonaco; "Kepada MB Perlis berilah tumpuan tugas sebagai MB, jangan jadi Presiden KOAM, nanti tak mampu nak buat kerja asyik ulang-alik Perlis-KL."

Menyentuh tentang penglibatan ahli politik dalam persatuan sukan, Adnan berpendapat bahawa ia akan menimbulkan banyak aspek negatif.

Katanya, persatuan sukan seharusnya diuruskan oleh golongan yang professional dalam bidang sukan tersebut dan penglibatan orang politik hanya dilihat untuk menabahkan pengaruh sahaja.
"Bukan tidak ada yang baik yang mereka buat, tetapi mereka sepatutnya lebih menumpukan bidang mereka dan berilah sukan ditadbir oleh orang yang lebih faham tentang sukan," ujarnya.

DUN Perlis: PAS desak utama institusi pendidikan agama

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 2 Okt - Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin (PAS-Sanglang) terus mendesak agar institusi pendidikan agama diberikan penekanan oleh kerajaan negeri.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis baru-baru ini, beliau menggesa agar salah satu daripada dua sekolah asarama penuh yang diperuntukkan oleh kerajaan pusat kepada negeri Perlis dijadikan sekolah agama berasrama penuh.

"Sidang Dewan dulu dimaklukan bahawa pusat telah peruntukkan dua buah sekolah asrama penuh untuk Perlis. Jadi saya sekali lagi minta agar satu daripadanya dijadikan sekolah agama berasrama penuh," katanya.

Katanya, antara faktor yang menyebabkan perlu diberikan penekanan terhadap pendidikan agama ialah gejala sosial yang terus berleluasa.

Ustaz Hashim turut meminta Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menyediakan satu khemah khas bagi para peniaga di Pasar Ramadan bersolat.

Katanya, para peniaga berniaga sehingga masuk waktu berbuka puasa dan ramai yang tidak solat selepas berbuka.

"Jadi dengan adanya khemah khas ini para peniaga dan pengunjung Pasar Ramadan boleh menunaikan kewajipan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Pemangku Raja di sidang DUN Perlis baru-baru ini.