Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Tuesday, June 03, 2008

Unit Amal Perlis hantar 30 orang ke Jambori Amal Kebangsaan

KANGAR - Unit Amal Perlis telah menghantar kontinjen seramai 30 orang ahli ke Jambori Amal Kebangsaan kali ke 16 demikian jelas Pengarah Unit Amal Perlis, Ustaz Rosmadi Ramli.

Jambori tersebut diadakan dari 31 Mei hingga 1 Jun lalu di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar , Perak.

Rombongan Perlis berlepas dari Al-Madrasah Ad-Dinniah Al Islamiyah (MADI), Jejawi.

GUNA KESEMPATAN PERGOLAKAN UMNO UNTUK LEBAR PENGARUH - KETUA PEMUDA

BESERI -Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ya’akub Abu Seman menyeru setiap ahli PAS menggunakan kesempatan pergolakan yang berlaku di dalam Umno untuk melebarkan pengaruh di kalangan masyarakat.

Katanya, suasana yang ada sekarang memberikan kelebihan kepada parti-parti pembangkang khususnya PAS untuk mendampigni masyarakat dan memberitahu mereka bahawa Umno bukan lagi parti yang relevan untuk memerintah negara ini.

“Rakyat perlu tahu Umno sebagia parti yang menunjangi Barisan Nasional sedang menghadapi krisis di peringkat nasional mahupun di negeri Perlis ini sendiri. Di Perlis sendiripun Umno tak bersatu. Mereka masih bercelaru apabila selepas piihanraya baru-baru ini berlaku pertukaran Menteri Besar yang kini masih tercari-cari pengaruhnya.

“Mana tidaknya, dia bukan ada jawatan di Umno pusat, Ketua Bahagian Umno pun tidak bahkan dia juga tak pegang Pengerusi Perhubungan Umno negeri yang kini masih disandang Shahidan Kassim,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Padang Besar kali ke 12 di Sekolah Rendah Islam At-Taqwa dekat sini baru-baru ini.

Justeru katanya, peluang yang ada ini perlu dipergunakan dengan sebaiknya dan setiap pendokong PAS tidak boleh duduk diam memerhatikan sahaja keadaan yang berlaku.
“Inilah masanya untuk kita bekerja. Jangan duduk saja. Peluang sebegini bukannya datang selalu, payah kita nak jumpa keadaan macam ni.

“Para pemuda PAS juga harus bekerja terus menarik sokongan golongan muda kepada PAS. Kekalkan momentum sokongan orang muda terhadap PAS seperti dalam pilihanraya baru-baru ini

BERITA BERGAMBAR

PERSIDANGAN SETIAUSAHA-SETIAUSAHA DI LANGKAWI


Setiausaha DPPPs (baju putih) mengetuai kontinjen Perlis ke persidangan Setiausaha-setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat di Langkawi Boutique Resort, Pantai Chenang, Langkawi baru-baru ini. Turut serta Setiausaha Kerja DPPPs dan Setiausaha DPP Kawasan Padang, Kangar dan Arau.



ZIARAH MANGSA KEBAKARAN
Gambar-gambar Ustaz Ya'akub menziarahi mangsa kebakaran di Kuala Sanglang 20 Mei lalu


Bertemu mangsa kebakaran


MESYUARAT AGUNG DPP PADANG BESAR
Ustaz Ya'akub berucap merasmikan Mesyuarat Agung Ke 12 Dewan Pemuda PAS Padang Besar 18 Mei lalu





Saturday, May 31, 2008

AMK Perlis tak terjejas dengan kemasukan bekas ketua ke dalam Umno

Kenyataan Media Angkatan Muda KeADILan Perlis
KANGAR - Saya sebagai mewakili barisan AJK Angkatan Muda KeADILan Negeri Perlis serta ahli dan aktivis AMK di seluruh negeri Perlis ingin menegaskan bahawa kemasukan Ahmad Daud Che Abdul Ghani, bekas Ketua AMK Negeri ke dalam Umno tidak memberi sebarang kesan kepada perkembangan positif pergerakan AMK di negeri ini.

Bahkan tiada seorang pun di kalangan ahli AMK di Perlis yang turut mengikut jejak langkah beliau memandangkan ketika beliau diberi tanggungjawab sebagai Ketua AMK Perlis sehingga tahun 2004 pun, beliau gagal membentuk jawatankuasa AMK Negeri Perlis. Dengan kata lain, beliau tidak mempunyai pengikut!

AMK Negeri sedang menerima kemasukan ramai ahli baru sejak pilihanraya umum 8 Mac yang lepas di mana keahliannya merangkumi ketiga-tiga bahagian di Perlis dan terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India dan keturunan Thai.

Di samping itu, Daud juga telah lama meninggalkan KeADILan kerana mengikut Ezam Mohd Nor dan dengan itu kami mengucapkan semoga beliau berjaya dalam Umno yang semakin nazak sekarang.

Sekian, terima kasih.

"HARAPAN BARU UNTUK PERLIS"

(ZAMRI SAPAR)
Ketua AMK Negeri Perlis

Thursday, May 29, 2008

Petisyen Dun Sanglang: Peguam SPR akui berlaku kesilapan

Harakahdaily
KANGAR, 29 Mei (Hrkh) - Timbalan Ketua Bahagian Guaman Jabatan Peguam Negara, Dato' Kamaluddin Md Said yang mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Mohammad Daud Abdul Hamid (Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Arau) mengakui bahawa SPR membuat kesilapan semasa mengumumkan keputusan pilihan raya 8 Mac lalu.
Beliau berkata demikian ketika membuat ulasan ke atas bantahan awal yang dikemukakan calon BN, Abdullah Hassan ke atas petisyen pilihan raya Dun N.15 Sanglang yang dikemukakan oleh calon PAS, Ustaz Hashim Jasin di mahkamah pilihan raya yang bersidang di sini semalam.

"Kami mengakui bahawa berlakunya kesilapan. Berdasarkan Akta Peraturan dan Perjalanan Pilihan raya, sepatutnya calon yang memperolehi undi yang lebih diisytiharkan menang.
Sebaliknya yang memperolehi undi yang kurang diisytiharkan menang," katanya ketika diminta oleh hakim pilihan raya, Dato' Zainal Adzam Abdul Ghani untuk memberikan komen berkaitan bantahan awal tersebut.

Kamaluddin turut menyatakan bahawa pihak responden pertama (SPR) dan responden kedua (Mohammad Daud) tidak pernah mengarahkan peguam yang mewakili responden ketiga untuk mengetepikan mereka daripada petisyen tersebut.

Peguam yang mewakili responden ketiga, Jega Karuppiah semasa penghujahannya telah menyebut bahawa pihak pempetisyen tidak boleh meletakkan SPR dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya sebagai responden dalam petisyen tersebut.

Dalam petisyen ini, responden pertama dan kedua tidak mengemukakan sebarang bantahan.
"Saya berpendapat bahawa kes ini perlu dibicarakan," kata Kamaluddin.

Terdahulu, Zainal Adzam menolak bantahan yang dikemukakan Ustaz Hashim ke atas bantahan awal Abdullah.

Jega kemudiannya mengemukakan penghujahan panjang ke atas bantahan awal tersebut disusuli Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Ustaz Hashim.

Mohamed Hanipa antara lainnya menyebut bantahan awal yang dikemukakan itu bersifat teknikal dan mengguna pakai peraturan lama yang telah dibuat pindaan serta memohon agar kes tersebut dibicarakan.

Zainal Adzam kemudiannya menangguhkan persidangan mahkamah dengan memutuskan tarikh 4 Jun ini untuk beliau memberikan keputusan sama ada menerima bantahan awal tersebut atau meneruskan dengan perbicaraan.

Selain Mohamed Hanipa, Ustaz Hashim turut diwakili oleh Zulmi Sabri dan Aqbal Shiffudin Adnan Sallehuddin.

Kamaluddin pula dibantu oleh Peguam Kanan Persekutuan, Rozi Bainon dan Wan Roslan Wan Ismail manakala Jega pula dibantu oleh A. Albert Antonie.

Petisyen ini difailkan oleh oleh Ustaz Hashim untuk mengisytiharkan beliau sebagai pemenang dalam PRU pada 8 Mac lalu.

Beliau yang bertanding mempertahankan kerusi Dun tersebut diisytiharkan kalah kepada Abdullah dengan majoriti 149 undi.

Bagaimanapun berlaku kesilapan semasa mengisi nama calon pada borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi) yang mana Ustaz Hashim sepatutnya menang dengan majoriti 47 undi.

Jom Pi Dengar Ceramah


Wednesday, May 28, 2008

Petisyen Dun Simpang Empat: Keputusan tolak petisyen 2 Jun

KANGAR, 27 Mei (Hrkh) - Mahkamah Pilihan Raya hari ini menetapkan tarikh 2 Jun ini untuk mengumumkan keputusan bagi notis usul bantahan awal yang dikemukakan bagi menolak petisyen pilihan raya Dewan Undangan Negeri Simpang Empat yang dikemukakan calon BN Zahari Bakar.

Notis usul itu dikemukakan oleh calon PAS, Rus�sele Eizan selaku responden pertama dengan alasan petisyen tersebut gagal mendedahkan secara spesifik dakwaan ke atas beliau tentang pelanggaran akta kesalahan pilihan raya berkaitan dengan poster calon.

Beliau diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin dan Zulmi Sabri dan Aqbal Shiffudin Adnan Sallehuddin, manakala Zahari pula diwakili peguam Abu Bakar As-Sidek.

Selepas mendengar hujah daripada pihak pempetisyen dan responden, hakim Mahkamah Pilihan Raya, Dato' Zainal Adzam Abdul Ghani menetapkan tarikh tersebut untuk memberikan keputusan tersebut.

Keputusan yang bakal dibuat itu akan menentukan sama ada menolak terus petisyen tersebut atau meneruskan dengan perbicaraan.

Semalam Zainal Adzam menerima bantahan awal yang dikemukakan oleh responden kedua, Mohammad Daud Abdul Hamid (Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Arau) dan responden ketiga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan alasan petisyen yang dikemukakan ke atas mereka adalah remeh dan menyusahkan.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu Rus'sele menewaskan Zahari dengan majoriti 53 undi.
Mohamed Hanipa yang ditemui kemudiannya memberitahu petisyen yang dikemukakan tersebut tidak menyatakan secara spesifik dakwaan ke atas kesalahan calon PAS berkaitan poster.

"Apa yang didakwa itu adalah secara umum mengikut perkara 11C Akta Kesalahan Pilihan raya. Dia tak dakwa secara jelas dan tepat kesalahannya. Kalau tentang poster dia tak sebut contohnya, siapa yang cetak, siapa yang tampal," jelasnya.

Tuesday, May 27, 2008

Selangor haramkan Islam Hadhari - Dr Hassan Ali

Harakahdaily
SHAH ALAM, 27 Mei (Hrkh) - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang pertama selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac menyaksikan kerajaan Pakatan Rakyat mengumumkan langkah mengharamkan sebarang program yang ada kaitan dengan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di negeri itu.
"Kita haramkan Islam Hadhari di Selangor ini kerana Islam yang kita amalkan dulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup.

"Oleh yang demikian, kita mahu sandarkan ajaran Islam sebenar untuk memerintah Selangor ini dan bukannya Islam Hadhari," kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dato' Dr Hassan Mohamed Ali semasa menggulung perbahasan di hari akhir sidang DUN itu di Shah Alam Isnin.

Pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata semua masjid dan surau tidak dibenarkan mengadakan program, termasuk khutbah yang menyentuh atau ada hubung kait dengan Islam Hadhari.

Beliau mencabar mana-mana pihak supaya tampil memberikan bukti yang menunjukkan ada pemimpin PAS, termasuk dirinya yang membuat janji itu kepada rakyat pada pilihan raya.

"Jika ada yang mendakwa saya atau pemimpin PAS yang membuat dasar janji ini, sila tunjukkan bukti, " katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia itu berkata, PAS yang bergabung dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk membentuk Pakatan Rakyat mahu mentadbir Selangor dengan menegakkan prinsip sama rata dan keadilan.

"Kita tidak mahu mengamalkan pentadbiran 30 peratus komisen, 50 peratus komisen atau memberi tender kepada kroni. "Malah kita ubah tender yang diberi secara runding terus kepada tender terbuka kerana tidak mahu membuat dosa," katanya seperti dilapor Agendadaily. - mr

Monday, May 26, 2008

Petisyen Dun Simpang Empat: Dua bantahan awal responden diterima

Oleh Bashir Ishak
KANGAR, 26 Mei - Mahkamah Pilihan raya hari ini akan memutuskan menerima bantahan awal oleh responden kedua dan ketiga terhadap petisyen pilihanraya Dun Simpang Empat yang dikemukakan calon BN Zahari Bakar.

Bantahan awal dikemukakan pada 21 Mei lalu oleh responden kedua, Mohammad Daud Abdul Hamid (Pegawai Pengurus Pilihan raya Parlimen Arau) dan responden ketiga, Suruhanjaya Pilihan raya (SPR).

Petisyen pilihan raya tersebut telah difailkan oleh Zahari yang tewas dalam pilihan raya umum yang lalu kepada calon PAS, Rus'sele Eizan dengan majoriti 53 undi.

Selain Mohamad Daud dan SPR, Zahari turut menamakan Rus'sele sebagi responden pertama. Hakim Mahkamah Pilihanraya, Dato' Zainal Adzam Abdul Ghani semasa membaca penghakimannya menegaskan bahawa petisyen tersebut tidak membangkitkan apa-apa perkara yang boleh menyentuh keputusan pilihanraya.

Antara perkara yang dihujahkan ialah tentang kekeliruan yang melibatkan Borang 14 di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Behor dan terdapat kertas undi yang mempunyai nombor siri yang sama di Sekolah Kebangsaan Sungai Berembang.

"Berkaitan borang 14, selepas diisi dan ditandatangani kesemua pihak, maka dengan sendirinya hak memohon untuk pengiraan semula terbatal. Begitu juga di semua saluran majoriti undi yang diperolehi calon adalh melebihi empat peratus, maka tidak perlu kiraan semula.

"Bagi kes kertas undi yag mempunyai nombor siri yang sama, hanya satu sahaja kes yang berkenaan yang tidakpun menjejaskan jumlah majoriti yang dimenangi," ujarnya.

Selain itu menurut Zainal Adzam lagi, beliau menerima hujah peguam responden kedua dan ketiga bahawa petisyen tersebut adalah remeh dan menyusahkan serta melibatkan mereka mengambil masa dan tenaga.

"Dengan ini petisyen bagi responden kedua dan ketiga dibatalkan," katanya.

Dalam pada itu terdapat satu lagi bantahan awal dari pihak responden pertama yang dikemukakan ke atas petisyen yang membangkitkan tentang poster pilihanraya.

Bagaimanapun bantahan tersebut akan didengar esok sama ada untuk diteruskan atau pihak pempetisyen akan menarik diri.

Responden kedua dan ketiga diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Rozi Bainon dengan dibantu oleh Wan Roslan Wan Ismail.

Manakala Rus'sele sebagai responden pertama diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin, Zulmi Sabri dan Aqbal Shiffudin Adnan Sallehudin.

Dalam perkembangan yang lain, mahkamah pilihnraya akan mula mendengar petisyen pilihanraya bagi Dun Sanglang mulai 28 Mei ini. Petisyen telah difailkan oleh calon PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.

Saturday, May 24, 2008

BLOG BARU - PEMUDA PADANG BESAR

KANGAR - Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Besar telah memulakan blog mereka sendiri:

http://dpppadangbesar.wordpress.com

Ini adalah satu langkah untuk menambahkan laman-laman blog pro Pakatan Rakyat sebagai satu lagi sumber maklumat alternatif.

PENGUMUMAN PROGRAM


KULIAH MAGHRIB BULANAN

USTAZ ABDUL MUTALIB MAAROF

TARIKH:
27 MEI 2008

HARI:
SELASA

TEMPAT:
MARKAS PAS KG. BONGKOK
JLN SANTAN, PDG LATI, PERLIS

MUSLIMIN/MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR

Friday, May 23, 2008

TEGURLAH Wahai Bloggers! Agar PAKATAN RAKYAT Telus dan Adil - Ir. NIZAR

Oleh Tarmizi Mohd Jam

KEBERANIAN MB Perak, Ir. Nizar Jamaluddin menyuntik motivasi agar para bloggers di negara ini terus memainkan peranannya sebagai pengkritik, tidak dihentikan kepada kerajaan Pakatan Rakyat, patut dipuji.Saya ucapkan tahniah atas sikap telus dan berterus-terangnya. Sekalipun, Presiden PAS, TG Abdul Hadi Awang ketika menggulung jawapan untuk beberapa soalan para bloggers meminta agar mereka (bloggers) tidak terus mengkritik kerajaan Pakatan Rakyat jika kritikan itu boleh membawa rebah.

Agak sukar untuk menilai "membawa rebah" jika persepsi asas di ketepikan. Andainya, memang wajar dikritik untuk kepentingan umum sekalipun rebah, itulah natijah yang patut dibayar jika amanah dipersenda.

Apapun yang nak diperkatakan kepada bloggers, realitinya mereka tidak bersekongkol dengan kebatilan. Apa yang dihadapkan kepada BN, maka itulah juga yang disajikan kepada Pakatan Rakyat.

Saya antara bloggers yang diundang pada malam itu meraikan Program Rakan Media PAS anjuran Lajnah Penerangan PAS Pusat di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, melihat dan membaca perwatakan kedua pemimpin PAS tersebut.

Gaya Ir. Nizar agak baru untuk PAS sekalipun dilihat dalam banyak perkara terlalu berhati-hati. Seorang rakan bloggers bertanya saya, apa sebenar sikap MB Perak itu dengan Karpal Singh dan isu pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak yang dipertahan Sultan?

Saya sendiri gagal untuk mengintai sikap PAS dalam perkara ini, sekalipun secara tersiratnya faham mengapa PAS bersikap demikian. Tetapi, tanpa kenyataan bertulis yang terang dan bersuluh dalam isu ini, umum melihat PAS sebenarnya tersepit.

Sikap berhati-hati ini ada pada Ir. Nizar. Dia melihat kenyataan Karpal itu hanya sekadar hak peribadi tokoh DAP tersebut. Sama seperti komennya terhadap tindakan Tun Mahathir keluar Umno. Itu haknya!

Tetapi, dalam saranannya agar bloggers meneruskan kerja-kerja mengkritik kerajaan Pakatan Rakyat, kelihatan Ir. Nizar berdiri sendiri sambil mempamerkan sikap telusnya.

Saya sendiri kurang bersetuju jika bloggers terpaksa mengurangkan sengatnya kepada Pakatan Rakyat semata-mata kerana Pakatan Rakyat yang dianggap proksi bloggers sudah membina kerajaan sendiri.

Dunia bloggers rasanya tidak begitu. Ia memburu keadilan dan ketelusan tanpa mengira "siapa kamu". BN dipukul dan dipalu kerana ia menjalankan amanah rakyat dan memegang serambi kuasa.

Malah usaha PAS untuk menyelaras atau lebih tepat lagi untuk "menguasai" para bloggers agar menjadi rangkaian mata rantai kepada Pakatan Rakyat atau PAS sendiri, rasanya (pada pendapat saya) sukar diaplikasikan.

Itulah yang diwar-warkan oleh Ketua Penerangannya, Mahfuz Omar ketika menjawab wakil TVPAS.Com yang mahu agar semua bahan berita dan video yang bertaburan, bercambah di Youtube diselaraskan oleh PAS untuk kepentingan bersama.

Realitinya, tiada bloggers yang bersedia untuk diawasi melalui penyelarasan atau pemantauan atau penguasaan dalam apa jua bentukpun. Dunia mereka berbeza dengan media mainstream lain.

Saranan Ir. Nizar jauh lebih tepat dari untuk "mengongkong" dengan berasa bersalah para bloggers dengan pihak yang "menyelaras" seperti cadangan Lajnah Penerangan PAS Pusat itu.
Sudah tentulah, mengizinkan bloggers melakukan "check and balance" terhadap kerajaan Pakatan Rakyat lebih serasi dengan jiwa dan keadilan sejagat.

MB Perak itu melihat dan cukup nampak, ramai bloggers yang menunjuk arah dan membantu kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya lalu sehingga beroleh kemenangan besar yang luar biasa.

Dari sinilah Ir. Nizar merasakan bloggers patut meneruskan tugas menegur kesilapan bagi mempastikan kerajaan Pakatan Rakyat sentiasa telus dalam mentadbir.

"Saya minta teruskan peranan sebagai pengkritik jika melihat ada yang tidak betul dalam pentadbiran kami," ujar Ir. Nizar ketika memberikan respon kepada beberapa soalan dan pandangan para bloggers dalam program itu.

Antara tetamu selain TG Abdul Hadi dan Ir. Nizar, Ronnie Liu wakil MB Selangor dan Dr. Ismail Salleh wakil MB Kedah turut menyertai bual bicara tersebut.

Ramai juga rakan-rakan bloggers yang hadir dan sempat saya temui. Kepada Raja Petra Kamaruddin, sempat saya hulurkan salam tahniah dan berbual dari hal isu dalam penjara.

Begitu juga Sang Kelembai, yang memulakan pertanyaan pada sesi bual bicara. SMS Sdra kepada saya agar menghubungi Sdra. belum saya ambil tindakan lagi. Insya-Allah saya akan call Sdra. dalam masa terdekat.

Apapun, galakan MB Perak itu benar-benar meyakinkan untuk kami para bloggers yang berselimut dengan pelbagai faham politik, fikrah dan banyak juga pandangan-pandangan kedua yang menyimpang arus mainstream; untuk mara menulis, mengkritik, menyaran dan menegur pada sesawang blog ini.

DR MAHATHIR BOLEH SERTAI PAS

Kenyataan Media DPP Pusat
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang positif keputusan berani bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed keluar daripada Umno semalam. Tindakan ini bukan sekadar satu tekanan terhadap kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tetapi juga merupakan satu isyarat kepada rakyat bahawa parti perkauman itu tidak relevan lagi dalam politik Negara ini.

Ini adalah kali keempat seorang presiden Umno keluar parti selepas Dato’ Onn Jaafar melakukannya pada 1951, diikuti oleh Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn pada 1988. Secara jelas menunjukkan bahawa Umno adalah parti yang tidak baik pada pandangan bekas presidennya sendiri.

Tun Dr Mahathir sebagai seorang negarawan yang terkenal dengan idea-idea pembaharuan untuk membangunkan negara adalah seorang tokoh yang masih relevan di Negara ini. PAS memang semenjak dahulu berselisih pandangan dengan beliau, tetapi bukan dalam soal idea-idea pembangunannya, sebalik desakkan PAS untuk beliau menerima Islam sebagai asas pembangunan negara.

Oleh kerana Dr Mahathir telah melihat dan menyedari kepincangan Umno pada hari ini dan beliau mengakui dasar-dasar pembangunan PAS di Kelantan adalah lebih baik, maka idealisme perjuangan PAS patut dicantum dengan kebijaksanaan pemikiran pembangunan Dr Mahathir. Caranya ialah dengan tokoh negarawan itu menyertai PAS.

DPP Pusat dengan berbesar hati menyokong seruan Mursyidul Am PAS supaya Dr Mahathir menyertai parti ini. DPP Pusat juga ingin mengajak Dr Mahathir untuk kembali kepada fitrah manusia dengan menerima Islam sebagai asas perjuangan dalam seluruh kehidupan.

DPP Pusat percaya bahawa selama ini Dr Mahathir mempunyai keyakinan terhadap kebolehan Islam, tetapi beliau menerima nasihat yang salah daripada ulamak kerajaan sehingga gagasan Islam tidak selari dengan kehendak al-Quran dan Sunnah. Jika Dr Mahathir sudi menyertai PAS, kesilapan-kesilapan ini masih boleh diperbetulkan dan beliau berpeluang untuk melihat Islam dalam konteks yang lebih menyeluruh seperti mana yang diperjuangkan oleh Rasulullah SAW.

DPP Pusat dengan ini mengajak Dr Mahathir dan ahli-ahli Umno yang sedar akan penyelewengan Umno untuk membina kekuatan baru bangsa Melayu berasaskan Islam dengan menyertai PAS.
SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Thursday, May 22, 2008

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN IMAN

Petikan blog Ustaz Ahmad Adnan Fadzil (Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis ) http://ilmudanulamak.blogspot.com/

Soalan: Apakah kaedah yang ringkas dan mudah untuk saya menilai perkara-perkara yang boleh membatalkan aqidah atau iman, yakni menjadikan seorang muslim itu murtad atau kafir?
Jawapan: Imam Abu Jaafar at-Thahawi(الطحاوي) dalam kitabnya matan al-‘Aqidah at-Thahawiyyahnya mengungkapkan;
لاَ يَخْرُجُ الْعَبْدُ مِنَ الإِيْمَانِ إِلاَّ بِجُحُوْدِ مَا أَدْخَلَهُ فِيْهِ
“Seseorang hamba tidak terkeluar dari lingkungan iman melainkan dengan mengingkari (yakni menolak) perkara yang memasukkannya ke dalam iman”. (Lihat; Syarh al-‘Aqidah at-Thahawiyyah, oleh Ibnu Abil-‘Izzi al-Hanafi, hlm. 331)
Ungkapan di atas menerangkan satu kaedah umum kepada kita iaitu seseorang itu akan menjadi kafir (yakni batal imannya) apabila ia menolak perkara yang memasukkannya ke dalam iman. Apakah perkara yang memasukkan seseorang ke dalam iman? Dan apa pula yang dimaksudkan dengan menolaknya?
Iman bermaksud at-Tasdiq iaitu membenarkan. Maksud membenarkan di sini ialah membenarkan Nabi Muhammad s.a.w., yakni meyakini dengan sepenuh hati segala ilmu dan ajaran agama yang disampaikan oleh beliau. Jadi perkara yang memasukkan seseorang ke dalam iman ialah keyakinannya kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan kepada ajaran yang dibawanya. Apabila ia menolak keyakinan tersebut, akan berubahlah ia menjadi seorang kafir atau murtad. Penolakan itu berlaku apabila ia mengambil sikap mentakzib Nabi Muhammad s.a.w., iaitu mendustakannya dengan tidak lagi meyakini beliau dan ajaran yang beliau bawa.
Jelasnya, iman dan aqidah seseorang itu dianggap terbatal apabila ia mengingkari Nabi Muhammad s.a.w. iaitu tidak lagi percaya dan yakin kepada khabar-berita dan ketetapan-ketepan hukum yang datang dari baginda sama ada yang bersangkutan dengan aqidah (kepercayaan), ajaran atau syari’at (yakni hukum-hakam dan peraturan). Keingkaran itu lahir sama ada dari pengakuannya sendiri atau dari sebarang ucapan, tindakan dan sikapnya yang jelas menunjukkan penolakannya terhadap ajaran yang dibawa oleh baginda seperti bercakap menghina Allah dan Rasul, memperolok-olokkan al-Quran atau as-Sunnah, memijak al-Quran, sujud kepada berhala, engkar kewajipan solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya.Demikianlah kaedah asas untuk memahami perkara-perkara yang membatalkan aqidah atau iman. Penyenaraian yang dibuat oleh para ulamak terhadap perkara-perkara yang membatalkan aqidah – ada yang menyenaraikan 10 perkara, ada yang 20 perkara dan sebagainya- adalah bertitik tolak dari kaedah asas ini.
Wallahu A’lam.

Rujukan;
1. Syarh al-‘Aqidah at-Thahawiyyah, oleh Ibnu Abil-‘Izzi al-Hanafi, hlm. 316-325 dan juga hlm. 331.
2. Mutiara ‘Aqidah Islam, Bah. 2, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil.

Antara Kesempitan Perkauman Dengan Keluasan Prinsip Islam

Dari lamanweb http://drmaza.com
"Sejak kebelakangan ini tepikan slogan membela bangsa kedengaran hebat sekali. Soal warisan bangsa, semangat dulu kala dan cerita datuk nenek lama dibangkitkan semula. Keris yang disimpan mungkin ada yang ingin kembali menciumnya, sirih pinang mungkin ada yang ingin kembali mengunyahnya, zapin dan joget mungkin ada yang ingin kembali ditarikannya"
Terpulanglah, namun apa yang perlu diingat, perjuangan bangsa itu jauh lebih sempit dari perjuangan membela prinsip Islam yang bersifat sejagat lagi adil untuk semua. Tidak salah perjuangan ingin menolang bangsa sendiri. Namun adalah salah jika ia bertukar menjadi semangat perkauman yang boleh membawa kepada dizalimi pihak yang lain.

Nabi s.a.w sendiri memuji sikap tolong menolong sesama kaum. Baginda s.a.w pernah bersabda: “Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Namun baginda juga memberikan amaran kepada sikap ‘asabiyyah iaitu perkauman atau berpuak yang membawa kepada kezaliman. Baginda bersabda: “Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Riwayat Muslim).

Rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban.

Apakah bezanya antara keluasan prinsip Islam dengan kesempitan perkauman? Jawapannya secara umum; seseorang yang dilahirkan berbangsa melayu, tidak mampu menukar dirinya menjadi arab. Seorang yang dilahirkan berbangsa cina tidak mungkin dapat menjadi melayu. Seseorang yang dilahirkan berbangsa india tidak mungkin mampu menukar dirinya menjadi cina.

Walaupun mungkin dia boleh menyamar, atau membuat tafsiran yang berbagai dalam menukar identiti dirinya, namun hakikat diri dari segi nasab keturunan tidak mungkin dapat diubah. Hal ini berbeza dengan soal pegangan akidah Islam. Di mana, seseorang walaupun apa bangsanya, boleh menjadi muslim lagi mukmin. Bahkan dia boleh mejadi muslim yang terbaik, walaupun dia daripada bangsa paling hina pada pandangan masyarakat, tetapi Islam tidak mendiskriminasikannya.

Maka, Bilal bin Rabah r.a. seorang yang berkulit hitam, berasal dari status hamba abdi yang dihina telah menduduki tempat yang tinggi dalam Islam. Sehingga setiap muslim apabila menyebut sahaja azan untuk solat akan teringat sejarah Bilal yang bertugas sebagai muazzin (tukan azan) Nabi s.a.w. Sehingga orang melayu memanggil ‘tok bilal’ kepada tukang azan.
Sabda Nabi s.a.w: “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuailah! Tiada kelebihan orang arab ke atas a’jam (yang bukan arab), atau a’jam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Maka perjuangan yang hanya terhad untuk membela sesuatu bangsa cuma, amatlah sempit dan terbatas. Ia perjuangan yang tidak dapat dikongsi kebaikannya oleh kaum yang lain sekalipun keadaan mereka sama.

Umpamanya, perjuangan untuk membela fakir miskin bangsa tertentu tidak dikongsi kebaikannya oleh bangsa yang lain, sekalipun kemiskinan mereka itu sama. Bahkan kadang-kala ia boleh bertukar menjadi perkauman yang amat sempit dan mengorbankan berbagai pihak atas sentimen kepuakan.

Namun jika kemiskinan cuba dilangsaikan atas nama prinsip Islam, sesiapa saja yang miskin ada hak yang boleh diperolehi sedekah Islam –temasuk dari zakat wajib dan wang baitul mal- walau siapapun keturunannya, bahkan walaupun berbeza agama, selagi dia seorang miskin.

Di sudut ikatan nasab pula, seorang cina atau melayu atau india tidak boleh menjadi arab, tetapi mereka boleh menjadi Islam. Apatah lagi, prinsip-prinsip Islam itu mementingkan keadilan tanpa pernah mengenal batasan warna kulit, rupa dan kedudukan.

Firman Allah (maksudnya): Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah al-Hujurat: 13).

Maka, orang melayu jika mereka hendak mulia, bukanlah dengan inang dan zapin, atau mak yong dan joket, tidak juga institusi raja atau adat, tetapi menegakkan prinsip-prinsip Islam yang tulen.

Bukan bererti saya menyeru agar dihapuskan identiti kaum, adat dan budaya mereka. Tidak! Sama sekali tidak! Jika adat dan budaya tidak bertentangan dengan Islam boleh diteruskan. Namun, kemuliaan insan yang hakiki tidak dapat dicapai hanya di atas semangat puak atau bangsa, sebaliknya dengan menjunjung prinsip-prinsip Islam.

Persis seperti apa yang Allah ingatkan suku Aus dan Kharaj di Madinah. Firman Allah: (maksudnya) “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam). Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Ali ‘Imran ayat 103).

Kata al-Imam Qatadah al-Sadusi (meninggal 118H) lebih seribu tiga ratus yang lalu kepada orang arab: “Dahulunya bangsa arab ini manusia yang paling hina, paling buruk kehidupannya, paling sesat, paling kurang pakaian dan paling lapar. Dicengkam antara dua singa; Parsi dan Rum.

Demi Allah! Tiada di tanahair arab apa yang memboleh orang lain iri hati kepada mereka. Sesiapa yang hidup di kalangan mereka, hidup dalam keburukan dan yang mati pula, binasa dan dibuang ke dalam api. Mereka dimakan, mereka tidak memakan.

Demi Allah! Kita tidak tahu adanya bangsa di bumi ini pada masa itu yang paling rendah dan lekeh daripada mereka. Sehinggalah Allah membawa Islam kepada kamu (wahai orang arab!). Allah bekalkan kepada kamu al-Quran, Dia membuka kepada kamu bumi jihad, Dia meluaskan untuk kamu rezeki, Dia jadikan kamu memerintah manusia.

Dengan Islamlah Allah berikan kepada kamu apa yang sedang kamu lihat. Bersyukurlah terhadap nikmat-nikmatNya kerana tuhan kamu pemberi nikmat yang sukakan mereka yang bersyukur. Mereka yang bersyukur pula sentiasa mendapat tambahan”. ( Al-Tabari, Tafsir al-Tabari –tahziban- 2/349, Damsyik: Dar al-Qalam).

Sebelum itu, saya selalu ulangi apa yang ‘Umar bin al-Khattab ucap ketika membuka Baitul Muqdis, setelah umat Islam berjaya membebaskan kota suci itu: “Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah”. Riwayat ini sanadnya dikatakan sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi (Al-Hakim, al-Mustadrak, 1/237, Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Maaf jika saya sebutkan, apalah sangat yang hendak dibanggakan dengan bangsa melayu jika dilihat pada realiti hari ini secara perbandingan? Kita bukan yang paling berjaya dalam ekonomi, tidak juga dalam pelajaran akademik. Bahkan politik melayu pun dalam banyak keadaan telah mengorban bangsa sendiri.

Orang lain berpolitik secara seni yang akhir mengaut untung untuk dibahagi sesama mereka. Sementara kita bertarung bermati-matian sesama sendiri sekalipun sehingga tergadai negeri dan kota. Kedengkian sesama sendiri, melebihi cemburu kita kepada ‘orang lain’.

Ada pula yang diberi amanah, negara dijadikan modal untuk kocek sendiri, anak menantu dan juga segala macam kroni. Sementara yang hendak membaiki, ada pula yang sanggup menanggalkan prinsip perjuangan kerana melihat ‘kerusi idaman’.

Begitulah kita seadanya. Silap hari bulan, ‘yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran’. Mungkin kita mempunyai kejayaan menjadi bangsa yang memliki ‘penagih dadah yang teramai’, ‘pengidap HIV AIDS yang terbanyak, berjaya memenuhi semua jawatan mat rempit dan mat lepak dan segala macam kedudukan yang bangsa lain dalam negara ini kosongkan agar dapat kita penuhi tanpa persaingan. Itulah realitinya, suka atau tidak!

Kalau muncul sesiapa yang kononnya pejuang bangsa, kita pun tidak pasti, adakah dia ikhlas, atau untuk merebut kerusi pilhanraya? Sebabnya, yang bercakap tentang kepentingan bangsa itulah juga yang melonggokkan keseronokan kepada anak muda melayu sehingga mereka hanyut dan menjadi pemuja orang politik yang telah memberi kebebasan yang ‘seronok giler’ kepada mereka.

Mereka juga kadang-kala yang menindas sesama bangsa kerana kepentingan kocek sendiri, kemudian apabila datang muncul berkempen mereka berlagak menjadi pejuang bangsa, bahkan agama. Siapa yang menjadi “ali baba?”, ”siapa yang menjual tanah melayu?” siapa yang mendiskriminasi sesama melayu? Sebahagiannya, mereka inilah.

Sementara melayu yang menggunakan nama Islam pula, ada yang hanya menjadikannya modal kempen. Hari ini prinsip-prinsipnya pun sudah mula luntur. Dulu ada yang bukan main ekstrim sehingga saya pun diserang dan dituduh longgar. Hari ini ada di kalangan penceramah yang sedemikian yang kelihatan bukan sahaja longgar, tapi mungkin boleh terlondeh. Ada juga di kalangan semua itu yang benar-benar jujur, saya tidak nafikan.

Saya katakan; masa depan orang melayu tidak akan dapat dijamin oleh semua slogan dan kempen-kempen bermusim ini. Penyelesaian yang sebenar adalah semua pihak di kalangan umat Islam tanpa mengira bangsa di negara ini hendaklah kembali kepada prinsip-prinsip Islam dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Penafsiran terhadap Islam ini hendaklah bebas dari kepentingan kerusi, parti, bangsa, puak, mazhab, aliran dan segalanya. Hanya Islam yang tulen, seperti mana hari ia diturunkan oleh Allah. Itulah penyelamat arab zaman dahulu, dan itulah penyelamat melayu!

Bukan Islam ala melayu yang mewajibkan Marwan bin Ah Seng mengubah nama bapa kerana bapanya cina dan Ah Seng bukan nama arab. Tetapi dapat pula menerima Marwan bin Awang, kerana Awang bangsa melayu sekalipun Awang bukan nama arab.

Bukan yang sibuk dengan orang lain hendak menggunakan nama Allah –pada hal Allah mengizinkan-, tetapi tidak pula sibuk membaiki penerangan akidah.
Bukan yang hanya meletakkan nama Islam untuk politik, tetapi gagal mengislamkan lidah ketika berkempen politik.

Bukan hanya yang menggunakan nama Islam untuk mengutip zakat, tetapi melupai amanah Islam dalam membahagikan zakat.

Begitulah seterusnya. Islam tulen, seperti zaman salaf dalam akidah dan ibadah, dan melihat keluasan agama dalam urusan umum kehidupan. Islam yang akan menjadikan kita umat dakwah dan pembawa risalah keagungan agama, bukan yang hanya memikir pembinaan bangunan tetapi membiarkan keruntuhan akidah dan akhlak.

Seperti kata al-Nadwi yang selalu saya ulangi: “Hendaklah orang Arab ketahui bahawa mereka tidak memasuki (pentas) sejarah kecuali dengan jalan risalah Islam dan dakwah islamiyyah. Allah tidak menumbuhkan kecintaan (orang lain) kepada mereka dalam jiwa dan hati, tidak tersebar bahasa mereka dengan sebegini luas, ia tidak kekal dan abadi, tidak ditulis dengannya ilmu yang banyak, tidak terbentuk dengannya perpustakaan yang begitu besar yang mana ulama bukan Arab mendapat habuannya lebih dari orang Arab sendiri, kecuali dengan sebab kelebihan al-Quran dan syariat Islam. Orang Arab tidak akan kembali kepada kedudukan mereka yang awal dan tidak akan memasuki (pentas) sejarah sekali lagi melainkan melalui pintu yang mereka masuk pada awalnya”. (Al-Nadwi, Kaif Dakhal al-‘Arab al-Tarikh, m.s 26, cetakan: Al-Majma’ al-Islami al-‘Ilmi, Lacknow, India).

Seperti orang arab pada hari ini menjadi lemah dan hina kerana meninggalkan Islam tulen, demikian nasib kita akhirnya jika tidak kembali kepada sumber agung Islam; al-Quran dan al-Sunnah.

39 Sebab Kenapa Mahathir Keluar Umno!


1. Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, Presiden UMNO, Pengerusi Barisan Nasional dan Perdana Menteri telah menyalahkan semua orang kecuali dirinya sebagai penyebab prestasi Barisan Nasional yang buruk pada Pilihanraya Umum ke-12.
2. Dia menyalahkan pengundi kerana kononnya tidak mahukan dia menang dua-pertiga majoriti; ahli Barisan Nasional kerana sabotaj, ahli UMNO di Kedah dan Perak juga kerana sabotaj, Tengku Razaleigh Hamzah kerana kekalahan Barisan Nasional di Kelantan dan saya sendiri kerana lantang mengkritik dirinya dan Kerajaan pimpinannya.
3. Apa yang dikatakan olehnya bukanlah semuanya salah. Ada banyak kebenaran di dalam apa yang dikatakan. Saya tahu ramai ahli UMNO yang mengundi pembangkang. Saya akui apa yang saya katakan mungkin pengaruhi sesetengah daripada mereka untuk lakukan apa yang tidak pernah terfikir oleh mereka.

4. Tetapi soalnya, kenapakah mereka berbuat demikian? Ahli UMNO selalunya amat setia terhadap parti mereka. Mereka tidak akan mengundi pembangkang, terutamanya PAS dan DAP. Tetapi di dalam Pilihanraya Umum 2008, mereka buat demikian. Bagaimana pembangkang boleh menang jika mereka tidak mendapat undi penyokong Barisan Nasional? Kekurangan jumlah undi pada calon Barisan Nasional hampir sama jumlahnya denganpeningkatan undi untuk parti pembangkang.5. Selama 50 tahun dan 11 Pilihanraya Umum, ahli UMNO dan rakyat Malaysia secara purata tidak pernah gagal menyokong UMNO mahupun Perikatan/Barisan Nasional. Kecuali pada tahun 1969 apabila orang Cina tidak memberi sokongan mereka, Perikatan dan Barisan Nasional menang dua-pertiga majoriti tiap kali.


6. Tunku Abdul Rahman (kecuali Pilihanraya Umum tahun 1969), Tun Razak, Tun Hussein Onn, dan saya sendiri tidak pernah gagal menang lebih dua-pertiga majoriti. Sudah tentu kami tidak pernah menyalahkan ahli parti kerana sabotaj. Tetapi Dato Seri Abdullah mengakui bahawa dirinya telah disabotaj oleh ahli UMNO.


7. Ahli UMNO tidak mahu parti mereka kalah. Tetapi mereka rasakan perlu untuk hantar mesej kepada Dato Seri Abdullah dan konco-konconya yang hanya berminat untuk mengiakan setiap apa yang dia katakan. Mereka (ahli UMNO) tidak boleh meluahkan perasaan mereka kerana semua jalan telahpun tertutup. Perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO dipilih kerana mereka tidak akan mengkritik Presiden. Anak saya Mukhriz apabila menyatakan tidak ada benda baru yang disampaikan presiden parti dalam ucapan 2006 telah dipanggil oleh Jawatankuasa Pemuda, dimarahi dan diarah untuk memilih antara bapanya dan Presiden.


8. Majlis Tertinggi UMNO dan Kabinet dipenuhi "Yes-Men" yang tidak pernah menyuarakan ketidakpuasan hati ahli UMNO di peringkat akar umbi. Ahli UMNO diugut tindakan disiplin jika mendengar ucapan sesiapa yang tidak mendapat restu atau kelulusan Presiden. Ini termasuk saya. Polis dan UMNO Negeri akan memanggil pihak yang menjemput saya dan diarah menarik balik jemputan mereka.


9. Apabila ahli UMNO tidak dapat menyuarakan pendapat sebenar mereka berkenaan Kerajaan, hanya terdapat satu cara sahaja bagi mereka untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka, iaitu dengan undi mereka dalam Pilihanraya Umum. Undi secara dasarnya adalah rahsia. Begitu takutnya pengundi UMNO ini akan orang lain mengetahui tentang niat mereka, maka mereka tidak mendedah kepada sesiapapun niat mereka untuk mengundi pembangkang. Begitulah sehinggakan tiada siapa dapat meramal dengan tepat peralihan sokongan yang besar yang berpihak kepada pembangkang.


10. Sesetengah ahli UMNO masih tidak sanggup mengundi pembangkang. Oleh itu mereka sengaja rosakkan undi mereka. Terdapat 300,000 undi rosak, satu angka yang mungkin terbesar dalam sejarah pilihanraya. Tak mungkin setelah 50 tahun dan 11 Pilihanraya Umum pengundi masih lagi tidak tahu bagaimana nak mengundi.


11. Mungkin kerana saya pengundi UMNO berbuat demikian. Saya telah menyeru ahli UMNO untuk mengundi calon yang terbaik dan bukan hanya parti. UMNO boleh meletakkan calon yang benar-benar baik tetapi walaupun Presiden memberi jaminan yang semua calon bersih dan berkelayakan, mereka kalah. Ini kerana calon tidak baik dan ini mengganti calon yang berjaya atau "giant killers" yang telah berjaya pada pilihanraya lalu. Kebanyakan calon payung terjun muda dan ahli UMNO marah kerana mereka syak calon muda ini dipilih oleh orang tertentu. Buatlah satu kajian untuk tentukan berapa ramai calon baru ini yang kalah.


12. Kepimpinan parti percaya yang ahli UMNO akan undi siapa sahaja yang dipilih oleh kepimpinan parti. Kepimpinan salah apabila memiliki pendapat ini.


13. Pengundi UMNO begitu sekali marah hinggakan mereka sanggup undi calon pembangkang yang bukan sahaja tidak layak dari segi akademik, tetapi tidakpun berpengalaman.


14. Kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional, terutamanya Dato Seri Abdullah patut terima kenyataan. Pengundi tidak menolak atau sabotaj Barisan Nasional tanpa sebab. Pada tahun 2004 pengundi belum lagi dapat menilai kepimpinan Dato Seri Abdullah. Jadi tidak ada sabotaj. Tetapi pada 2008 mereka telah dapat melihat siapa sebenarnya Dato Seri Abdullah. Dan mereka tidak suka apa yang mereka lihat.


15. Perkara pertama yang dilakukan selepas menjadi Perdana Menteri ialah untuk membawa masuk ahli keluarganya secara tidak rasmi ke dalam pentadbiran Kerajaan. Beliau boleh menafikannya tetapi orang ramai tahu akan kegiatan Khairy Jamaluddin dan Kamaluddin Abdullah serta konco-konconya termasuk budak-budak Tingkat Empat. Mereka sering turut serta dalam mesyuarat rasmi Kerajaan dan apabila Perdana Menteri mengadakan perjumpaan.


16. Kemenangan Khairy Jamaluddin sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO menaikkan kebencian ramai. Jika veteran parti dengan rekod perkhidmatan yang lama yang menang tanpa bertanding tidak ada sesiapa yang akan membantah. Tetapi Khairy berada dalam UMNO kurang dari lima tahun dan tidak pun mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang di dalam UMNO. Bagaimana dia boleh menang tanpa bertanding?


17. Pengambilalihan Scomi oleh Kamaluddin timbulkan tandatanya. Seorang pemegang saham terbesar Scomi ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Dia masih lagi ditahan. Pada waktu yang sama Scomi menang banyak kontrak yang melibatkan kelulusan Petronas.


18. Scomi juga telah mengambil-alih M-Trans baru-baru ini kerana sistem monorel telah dicadangkan untuk Pulau Pinang. Keputusan juga dijangka dibuat untuk meneruskan projek monorel Putrajaya.


19. Setelah berjanji ketelusan dan pengagihan kontrak melalui tender terbuka, Kerajaan terus memberi kontrak yang besar kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), dan selalunya sebelum Unit Perancang Ekonomi dapat membuat penilaian dan perancangan. Tidak ada tender. GLC ini tidak punyai kemampuan untuk menjalankan projek-projek ini. Ianya kemudian akan di sub-kontrak kepada kontraktor-kontraktor yang tiada sesiapa pun tahu. Dipercayai bahawa harga kontrak ditingkatkan melebihi harga jangkaan asal.


20. Kalimullah Masheerul Hassan dan ECM-Libra tiba-tiba menjadi begitu terkenal. Kalimullah mempunyai pengaruh yang kuat ke atas Kerajaan. Sebuah syarikat Kerajaan yang besar, Avenue Assets digabungkan dengan ECM-Libra yang rendah nilai sahamnya. Tetapi nilai saham Avenue Assets sengaja diturunkan supaya ECM-Libra dapat menguasai syarikat gabungan ini.


21. Kalimullah juga berpengaruh kerana dianya adalah timbalan pengerusi eksekutif New Straits Times Press dan mempunyai suara yang besar di dalam bilik berita New Straits Times. Oleh itu Dato Seri Abdullah sentiasa dipaparkan dalam keadaan yang amat baik. Cerita yang menonjolkan Abdullah akan mendapat kelulusan untuk disebar meluas.


22. Malang bagi Abdullah, dia mula mempercayai cerita-cerita ini dan menyangka yang dia benar-benar popular. Oleh sebab itu dia telah mengadakan pilihanaya awal menyangkakan yang dia akan sapu bersih. Dia tidak menjangkakan yang pengundi menolak kepimpinannya. Tetapi dia masih lagi bertegas bahawa dia menang.


23. Di awal pemerintahannya dia memutuskan untuk tidak meneruskan apa yang dikatakan "mega project" yang saya sendiri telah mulakan. Itu haknya. Yang tidak betul dan apa yang membuatkan orang berfikir yang dia sebenarnya berdendam adalah cadangan yang mengatakan saya membuang duit ke atas banyak "pet" projek saya sehinggakan Kerajaan sudah tidak mempunyai wang untuk meneruskannya. Sebenarnya orang tahu bahawa projek-projek berkenaan amat diperlukan. Bayangkan Malaysia tanpa KLIA, Stesen Sentral, Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Utara-Selatan, projek rel-keretapi berkembar dan elektrik, LRT, monorel Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya, lebuhraya bertol, Pelabuhan Barat, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Litar lumba Formula 1, Menara KL dan lain-lain


24. Saya tidak akan sebutkan berkenaan perkara-perkara yang dilakukannya yang menyentuh diri saya dan umumnya tidak diketahui orang ramai. Ini kerana pengundi tidak mungkin dipengaruhi perkara ini.


25. Tetapi apa yang diketahui ialah reaksinya terhadap kritikan saya berkenaan APs (Approved Permits) dan keputusan untuk tidak membina jambatan bengkok di Johor. Dia dan menteri-menterinya menghina saya di khalayak ramai dan di satu ketika hendak melucutkan saya daripada keahlian parti. Datuk Seri Nazri Aziz terutamanya, amat biadap.


26. Rakyat juga tahu bahawa dia dan rakan-rakan Kabinetnya, yang kebanyakannya adalah lantikan saya amat tidak mengenang budi. Rakyat juga tahu bahawa jika bukan kerana saya Abdullah tidak akan jadi Perdana Menteri hari ini. Begitu juga kebanyakan yang lain yang dilantik Menteri oleh saya. Mereka dahulunya merupakan penyokong kuat saya, cium tangan saya dan menangis apabila saya meletakkan jawatan. Sekarang mereka menentang saya dan menghina saya dengan cara yang amat tidak sopan. Saya tidak tersinggung kerana ini tetapi saya fikir orang ramai anggap perangai sebegini amat buruk.


27. Ketakutan yang Abdullah semaikan dalam diri Menteri-Menterinya, ahli Majlis Tertinggi UMNO dan kepimpinan UMNO yang lain begitu hebat sekali sehinggakan tiada yang sanggup berdiri mempertahankan saya ataupun untuk mempertikaikan apa yang Abdullah dan rakan-rakannya kata.


28. Jika Singapura tidak bersetuju untuk membina jambatan lurus melainkan pasir dijual kepadanya, kita sepatutnya boleh teruskan pembinaan jambatan bengkok kerana ianya tidak ada kena-mengena dengan Singapura. Tetapi kerana marahkan penolakan rakyat Johor terhadap usaha menjual pasir dan kebenaran bagi jet pejuang Singapura melintasi ruang udara Johor, Abdullah telah batalkan pembinaan jambatan bengkok. Kenapa?


29. Saya percaya ianya kerana 1 billion meter persegi pasir yang dia mahu jual kepada Singapura tetapi dibantah Johor. Ada orang yang akan mendapat untung hingaa satu bilion Ringgit dalam masa 20 tahun dari penjualan pasir. Singapura bersedia membeli pasir pada harga yang lebih tinggi daripada pasaran kerana tanah yang ditambak akan dijual pada harga antara 3,000-5,000 dolar Singapura satu kaki persegi.


30. Bantahan Johor adalah kerana perlombongan pasir dasar laut akan menyebabkan hakisan pantai, kemusnahan kawasan pembiakan ikan dan akan menyebabkan nelayan Johor kehilangan kawasan menangkap ikan. Royalti yang akan dikutip Johor juga tidak terbanding dengan keuntungan yang diraih Singapura dengan mejual tanah tambak.


31. Terdapat beberapa perkara lain yang dilakukan Abdullah yang orang tidak suka. Ini termasuk isu pengeluaran AP, penjualan MV Agusta, masalah bangunan CIQ Johor Baru, pembatalan projek landasan berkembar dari Johor Baru ke Padang Besar, masjid kristal di Terengganu, Monsoon Cup, koridor-koridor serta pengubahsuaian Seri Perdana.


32. Banyak juga perkara yang tidak popular yang dilakukan Dato Seri Abdullah yang telah menyisihkan ahli serta pengundi UMNO dan Barisan Nasional secara umumnya. Jika ada sesiapa yang patut dipersalahkan kerana prestasi buruk UMNO dan Barisan Nasional, dianya adalah Dato Seri Abdullah sendiri. Ini adalah pendapat majoriti kebanyakan rakyat Malaysia. Jika mereka diberi kebebasan bercakap, inilah yang akan mereka katakan.


33. Walau bagaimana pun beliau menolak yang beliau adalah punca segala-galanya. Walau betapa ramai orang yang beliau salahkan, beliau tidak boleh menerangkan kenapa malapetaka yang melanda UMNO, MCA, MIC dan Gerakan dan Barisan Nasional ini tidak pernah berlaku dibawah empat Perdana Menteri yang terdahulu, tetapi hanya berlaku dibawah pentadbirannya. Dia tidak boleh menerangkan kenapa berlaku sabotaj oleh ahli UMNO dan parti komponen pada tahun 2008 sedangkan sebelum ini mereka amat setia dan tidak pernah gagal memberi Perikatan dan Barisan Nasional kemenangan dua-pertiga majoriti di Parlimen dan kemenangan di hampir semua negeri-negeri.


34. Jika Dato Seri Abdullah berdegil tidak mahu mengundur diri dan jika dia cuba untuk mengenepikan usaha peralihan kuasa sebelum Pilihanraya Umum akan datang, pengundi serta ahli parti yang meluat dengannya akan tentukan Barisan Nasional dikalahkan di peringkat Pusat dan Negeri sebagai satu cara untuk menyingkir beliau dan mengakhiri tempohnya sebagai Perdana Menteri.


35. DAP dan PAS akan tentukan Dato Seri Abdullah terus jadi Perdana Menteri hingga Pilihanraya Umum seterusnya kerana serupa seperti 2008, pengundi Barisan Nasional yang menyampah dengan BN akan meyokong pembangkang. Kemarahan Karpal Singh terhadap serangan saya ke atas Dato Seri Abdullah ialah kerana saya mungkin menyebabkan Dato Seri Abdullah undur diri. Dengan ini DAP dan parti pembangkang yang lain akan kehilangan satu orang yang tentunya akan menolong mereka menang. Ini akan menjadi realiti sekiranya PAS dan DAP berjaya mediri Kerajaan yang baik bagi Negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka.


36. Apabila ini terjadi maka tidak akan ada apa-apa lagi harapan bagi UMNO untuk kembali berkuasa.


37. Seperti yang saya katakan, saya mengaku bertanggungjawab terhadap kemerosotan prestasi UMNO dan Barisan Nasional. Sebabnya ialah jika Dato Seri Abdullah menang besar beliau akan terus mengabaikan objektifnya untuk UMNO dan untuk kesejahteraan Malaysia.


38. Saya akan anggap diri saya sebagai pengkhianat bangsa jika saya biarkan ini berlaku. Dan mereka yang terus menerus mengampu Dato Seri Abdullah akan menjadi pengkhianat negara, bangsa dan orang Melayu serta agama mereka juga.


39. Akhirnya, analisa menunjukkan yang bertanggungjawab bagi kekalahan yang dialami Barisan Nasional ialah Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri. Jika dia mahu menebus dirinya dan bantu pulihkan UMNO dan BN dia harus meletak jawatan dan biarkan kerja-kerja pemulihan dijalankan oleh pihak lain. Selagi dia terus kekal Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Malaysia, pemulihan adalah mustahil.

Wednesday, May 21, 2008

Bantahan awal petisyen Dun Simpang Empat, Mahkamah tentukan Isnin depan

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 21 Mei (Hrkh) - Mahkamah Pilihan raya yang bersidang di Kangar hari ini akan memutuskan sama ada menerima bantahan awal untuk mengetepikan petisyen pilihan raya Dun N.14 Simpang Empat pada hari Isnin, 26 Mei 2008 akan datang.

Bantahan awal dikemukakan oleh responden kedua, Mohammad Daud Abdul Hamid (Pegawai Pengurus Pilihan raya Parlimen Arau) dan responden ketiga, Suruhanjaya Pilihan raya (SPR).

Petisyen pilihan raya tersebut telah dfailkan oleh calon Barisan Nasional, Zahari Bakar yang tewas dalam pilihan raya umum yang lalu kepada calon PAS, Rus'sele Eizan dengan majoriti 53 undi.

Selain Mohamad Daud dan SPR, Zahari turut menamakan Rus'sele sebagi responden pertama.

Bantahan awal ini didengar di hadapan Hakim Mahkamah Pilihanraya, Dato' Zainal Adzam Abdul Ghani.

Mohammad Daud dan SPR diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Rozi Bainon dengan dibantu oleh Wan Roslan Wan Ismail. Manakala Rus'sele diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin, Zulmi Sabri dan Aqbal Shiffudin Adnan Sallehudin. Sementara itu Zahari pula diwakili peguam Abu Bakar As-Sidek.

Dalam penghujahannya, Rozi antara lainnya menyebut petisyen yang dikemukakan itu mengandungi unsur-unsur yang remeh dan menyusahkan dan tidak wujud isu-isu yang boleh dibicarakan di bawah akta kesalahan pilihan raya serta tidak wujud pelanggaran akta kesalahan pilihan raya.

Selain itu menurutnya lagi, petisyen tersebut merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah yang memprejudiskan responden kedua dan ketiga dari segi masa, tenaga dan kos oleh pihak-pihak yang terbabit.

Setelah mendengar penghujahan yang dibuat, Zainal Adzam kemudiannya memutuskan beliau akan memberikan keputusan berkaitan bantahan awal tersebut pada 26 Mei ini.

Selain itu, beliau juga akan turut mendengar notis usul dari peguam yang mewakili Rus'sele yang akan turut membuat bantahan awal sebelum memutuskan sama ada petisyen ini akan diterima untuk perbicaraan atau menolaknya.
Zulmi yang ditemui kemudiannya menjelaskan pihak beliau juga akan mengemukakan bantahan awal pada 26 Mei ini atas dasar teknikal di mana petisyen yang dikemukakan itu adalah lemah dan tidak sempurna.

Umno bergolak hasil kerja kuat PAS

JEJAWI DALAM - Segala pergolakan yang berlaku dalam Umno juga berpunca daripada kerja kuat yang diusahakan oleh ahli-ahli PAS selama ini, demikian kata Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.

Menurutnya, keadaan ini menjadikan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi semakin tertekan dengan pelbagai masalah dan pergolakan yang datang bertimpa-timpa.

"Ini semua adalah hasil kerja kuat yang kita tunjukkan selama ini. Saya ingat Pak Lah takkan senang duduk kerana memikirkan apa pula yang bakal menimpa parti mereka selepas ini," katanya mengulas isu bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan keluar dari parti itu kelmarin.

Bagi Ustaz Hashim, banyak perkara yang berlaku melibatkan Umno dan pimpinan mereka adalah di luar jangkaan dan ini jelas menunjukkan Umno adalah parti yang sedang meuju ke arah kejatuhan.

"Siapa sangka orang macam Sanusi Junid nak keluar Umno? Pengalaman saya sendiri bila naik kapal terbang dan duduk sebelah seorang Umno. Dia tak henti-henti menghentam Pak Lah. Umno dah cukup gawat sekarang ni.

"Di Perlis sendiripun orang Umno sendiri pun dah tak angkat kepala dengan kita sekarang ni walaupun menang. Dulu orang kata Pakatan Rakyat tak boleh nak memerintah, Anwar Ibrahim nak cari mana 30 ahli parlimen? Saya nampak sekarang ni macam dah semakin dekat dah," ujarnya semasa menjadi naqib usrah kepimpinan PAS Perlis malam tadi

Thursday, May 15, 2008

Selamat Kembali Ketua Pemuda

KANGAR - Seluruh Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) mengucapkan selamat kembali ke tanahair kepada Ketua DPPPs Ya'akub Abu Seman.

Beliau bersama-sama Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin berangkat ke tanah suci Mekah untuk mengerjakan umrah 5 Mei lalu dan selamat tiba di tanahair petang semalam.

Turut serta mengerjakan umrah ialah Setiausaha Perhubungan PAS Perlis, Hisharuddin Hasan dan Naib Ketua DPPPs, Ustaz Yussaine Yahya.

PENGUMUMAN PROGRAM


KULIAH MAGHRIB DR HARON DIN


TARIKH: 21 MEI 2008

HARI: RABU

TEMPAT: BALAI ISLAM MADI, JEJAWI ,PERLIS

MUSLIMIN DAN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR