Alamat Baru Kami
Thursday, May 15, 2008
Adun Simpang Empat seru kerajaan negeri beri rumah pada keluarga Hatib
KUALA PERLIS, 14 Mei (Hrkh) - Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Empat, Rus'sele Eizan menyeru pihak kerajaan negeri Perlis menimbangkan pemberian rumah kepada keluarga Hatib Leman, buruh yang mati dibunuh di Kampung Belakang Kilang Ais dekat sini minggu lalu.
Selepas kematian Hatib, keluarganya kini hilang tempat bergantung di samping tinggal di sebuah rumah yang terlalu daif dengan sewa sebanyak RM80.00 sebulan.
Isteri mangsa, Fazilah Muhammad, 31, kini tinggal di rumah tersebut bersama-sama lima orang anaknya yang berusia antara dua bulan hingga 17 tahun.
Akibat kesempitan hidup, mereka sekeluarga telah beberapa kali berpindah rumah sejak beberapa tahun lalu.
Fazilah yang kini masih di dalam pantang hanya bergantung hidup kepada dua orang anaknya, Hayati, 17 yang bekerja di sebuah restoran dan anak kedua, Mohd Asri, 16, yang bekerja sebagai seorang nelayan.
Rus'sele yang menziarahi mangsa baru-baru ini menggesa pihak kerajaan negeri memberikan perhatian serius terhadap nasib yang menimpa keluarga ini.
"Keadaan mereka sekeluarga amat daif dan menyedihkan serta tidak sesuai lagi untuk tinggal di rumah sedemikian. Kerajaan perlu menimbangkan untuk memberi rumah PPRT kepada keluarga ini.
"Begitu juga saya berharap agar kerajaan melihat nasib anak-anaknya yang keciciran daripada mendapat pendidikan," ujarnya. - mns
Orang ramai terus bantu keluarga buruh yang mati dibunuh
Semalam, wakil dari Pusat Muktamar Islam Sistem Penerbangan Malaysia mengunjungi keluarga mangsa dan menyampaikan sumbangan sebanyak RM4000.00 bagi meringankan bebanan hidup akibat kehilangan tempat bergantung ekoran kematian Hatib.
Tuesday, May 13, 2008
Berhentilah Memusuhi Tanpa Bukti
Sama seperti mana manusia memusnah ekosistem alam ini, manusia juga dalam banyak hal memusnahkan sistem keadilan dalam kehidupan sesama manusia. Seperti rosaknya alam; sungai, ozon, laut, bukit-bukau dan pelbagai lagi sehingga dunia ini rosak lalu memberi mudarat kepada kehidupan manusia, demikian juga manusia memusnah keadilan, kedamaian hidup, simpati dan rahmat yang akhirnya memusnah ketenteraman hidup sesama manusia. Lalu manusia bertanya:
Allah Maha Adil Lagi Maha Bijaksana. Sekalipun Dia Maha Tahu tentang dosa-dosa manusia, tetapi di akhirat kelak manusia tetap akan dibicarakan di mahkamah agung Allah yang bertempat di Padang Mahsyar. Setiap manusia akan ditimbang dosa dan pahalanya sebelum dihukum.
Seperti firman Allah: (maksudnya) Maka Sesungguhnya Kami (Allah) akan menyoal umat-umat yang telah diutuskan (Rasul-rasul) kepada mereka, dan Sesungguhnya Kami akan menyoal juga rasul-rasul itu. Kemudian Sesungguhnya Kami akan ceritakan kepada mereka (para rasul dan umat mereka), dengan ilmu (berdasarkan pengetahuan yang meliputi akan apa yang mereka lakukan), dan sememangnya Kami (Allah) tidak sekali-kali ghaib (maksudnya sentiasa mengetahui akan hal ehwal mereka).
Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, disebabkan mereka berlaku zalim terhadap ayat-ayat Kami (dengan meletakkannya pada bukan tempatnya). (Surah al-‘Araf ayat 6-9).
Jelas, Allah Maha Mengetahui segala perbuatan manusia, pun begitu diwujudkan sistem yang menunjukkan keadilan-Nya dengan ditimbang amalan manusia; baik dan buruk barulah dijatuhkan hukuman syurga atau neraka. Padahal jika Allah tidak membuat timbangan sekalipun, keputusan Allah tidak mungkin akan silap, kerana Dia Tuhan Yang Maha Mengetahui.
Ilmu Allah meliputi segalanya, namun demi menunjukkan keadilan, agar hamba-hamba-Nya tidak mempunyai sebarang alasan atau tidak puas hati apabila dihukum, diwujud sistem keadilan perbicaraan dan timbangan dosa.
Jika Allah tidak mewujudkan mahkamah perbicaraan di Hari Kiamat, adakah sesiapa yang boleh membantah Allah? Adakah sesiapa yang boleh menyatakan Allah tersilap dalam hukuman-Nya? Adakah sesiapa boleh menggugat kuasa Allah, seperti manusia menggugat kuasa pemerintah di dunia menerusi pemberontakan atau pilihan raya? Sama sekali tidak! Maha Suci Allah, tiada siapa yang dapat mencabar kebesaran kerajaan-Nya. Pun begitu diwujudkan sistem perbicaraan yang maha adil di mahkamah-Nya. Jika demikianlah Allah, apakah boleh di dunia ini manusia dihukum tanpa dibicara secara adil dan saksama?
Apakah wajar mana-mana peruntukan akta yang membenarkan seseorang dihukum dengan suatu hukuman tanpa diberi peluang membela diri? Mungkin seseorang boleh dikurung untuk sementara waktu siasatan, tetapi keadilan menyatakan dia wajib dibicarakan sebelum dihukum agar dia memahami apakah dosanya.
Jika manusia dihukum tanpa diberi peluang membela diri, maka jadilah macam peristiwa pembunuhan di Kuala Perlis baru-baru ini. Apabila mangsa dituduh mengintip seorang gadis, lalu diheret keluar dari rumahnya, dipukul beramai-ramai sehingga mati. Isterinya yang masih dalam pantang juga dipukul. Khabarnya, kemudian mereka sedar bahawa mereka tersilap orang.
Jika ada peruntukan undang-undang atau akta yang membolehkan manusia dihukum tanpa dibicara, maka ia adalah akta atau perundangan yang jelek. Sabda Nabi s.a.w “Bukti wajib (diberikan) oleh yang mendakwa, dan sumpah pula bagi yang membantah” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
Justeru, jika ada akta dan undang-undang yang seperti ini, maka Majlis Fatwa patutlah bersidang dan membincangkan pandangan Islam mengenainya; secara adil tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Itulah peranan fatwa yang berkongsi dengan keperluan rakyat. Jika tidak, kita akan terpinggir dari arus masyarakat yang mahu kejujuran dan ketulusan dalam pandangan agama.
Dalam dunia terbuka pula, manusia akan dihukum disebabkan tuduhan yang tidak berasaskan bukti. Seseorang akan ditohmah, atau ditempelkan label yang buruk hanya kerana tuduhan tanpa perbicaraan atau alasan. Mungkin tidak dipenjara atau dibunuh, tetapi akan dihukum dalam masyarakat terbuka atas tuduhan yang dibuat oleh orang lain kepadanya.
Mungkin ada yang akan pandang sinis, atau menolaknya, atau mempertikaikannya. Kadang-kala kesan hukuman masyarakat itu lebih perit dari sebatan atau penjara. Dalam dunia Internet, ramai yang menjadi mangsa tuduhan tanpa bukti atau ruang membela diri. Dalam politik juga demikian. Pelbagai label akan dilekatkan. Dalam dunia agama pun lebih kurang sama, bahkan kadang kala ‘lebih kuat syaitan berperanan menghasut’.
Sejak dahulu, jika ada pihak yang cuba membuat pembaharuan dalam memajukan pemikiran golongan agama dan umat Islam, pelbagai tohmahan dilontarkan. Mereka dituduh ‘kaum muda’. Maka menjadi mangsa ketika itu Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Muhammad Tahir Jalaludin, Burhanudin al-Helmi, Za‘ba, Mustafa ‘Abdul Rahman dan lain-lain lagi. Sehingga tokoh besar seperti Buya Hamka dari Indonesia dilarang masuk ke Johor atas tuduhan yang sama. Hanya kerana ada kelompok yang hasad dan ingin menjaga kepentingan diri.
Hari ini jika anda berbicara tentang keterbukaan pemikiran, keluasan menerima pendapat, kembali kepada nas-nas Islam yang asal maka anda sekali lagi akan dituduh kaum muda, atau Wahabi atau liberal. Walaupun anda tidak tahu apa itu Wahabi atau liberal dan apa itu kaum muda. Tuduhan itu tidak memerlukan bukti atau alasan, cukuplah untuk dijadikan tuduhan kerana hanya pendapat anda berbeza. Tuduhan tanpa bukti atau peluang pembelaan diri adalah kezaliman. Ia selalu dilakukan oleh pihak yang mempunyai kepentingan.
Juga boleh melunakkan hati golongan mualaf yang sudah menganut Islam dan keluarga mereka yang belum menganut Islam menerusi wang zakat. Mana perginya wang zakat yang ratusan juta dikutip saban tahun? Janganlah kita sempitkan konsep mualaf setakat yang baru menganut Islam sahaja. Luaskan kejumudan kita kepada nas-nas Islam yang lebih luas.
Jangan termakan gimik Umno mengenai ketuanan Melayu
Pengerusi Kelab Penyokong PAS Perlis, Khoo Yang Chong berkata demikian dalam ceramahnya di Markas PAS Simpang Empat dekat sini baru-baru ini.
"Hak keistimewaan orang Melayu dan Orang Asli Sabah-Sarawak sudah termaktub dalam perlembagaan negara. Jika adanya ketuanan Melayu, bagaimana dengan bangsa yang lain? Adakah mereka hamba atau abdi? Ini adalah satu istilah yang tidak logik dan tak masuk akal.
"Hak orang Melayu sudah terjamin dalam perlembagaan seperti kemasukan ke Universiti, hak mendapat pekerjaan dalam sektor awam, permit perniagaan, bahasa Melayu dan kuasa Raja-raja Melayu. Semua ini tidak boleh diusik," kata beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Khoo.
Cikgu Khoo menegaskan bahawa sebarang pindaan ke atas perkara-perkara yang membabitkan hak-hak orang Melayu ini perlu mendapat sokongan 2/3 undi di Parlimen dan harus dipersembahkan kepada Raja-raja Melayu sebelum diluluskan.
Justeru katanya, rakyat khususnya orang Melayu tidak perlu bimbang dengan konsep "Ketuanan Melayu" yang cuba dimainkan oleh Umno.
"Pihak Umno atau BN tak boleh pinda dengan mudah hak-hak ini melainkan mendapat kelulusan 2/3 di Parlimen dengan dipersetujui Raja-raja Melayu," jelasnya.
Selain itu, beliau turut mengingatkan pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang banyak menyertai forum berkaitan Ketuanan Melayu agar tidak terikut-ikut dengan rentak yang dimainkan oleh Umno.
"NGO ini janganlah pula jadi kuda tunggangan Umno dengan mengikut mereka secara membuta tuli. Bagaimana boleh dikatakan orang Melayu tergugat selepas pilihan raya umum yang lepas sedangkan suara orang-orang Melayu secara keseluruhannya adalah lebih kuat berbanding yang lain di parlimen?
Sunday, May 11, 2008
Selepas Islam Hadhari, Mufti Perlis selar ISA?
Petikan Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 11 Mei (Hrkh) - Seperti yang umum ketahui bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 merupakan undang-undang tahanan pencegahan yang sedang berkuatkuasa di Malaysia.
Dalam akta tersebut menjelaskan sesiapa pun boleh ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang dikatakan mengancam keselamatan negara dan selepas itu seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama tempoh dua tahun jika diluluskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, dan sekaligus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan.
Untuk rekod, sehingga kini terdapat tahanan ISA yang telah ditahan selama lebih enam tahun.
Sudah ramai yang mengkritik sama ada daripada parti Pakatan Rakyat, Pertubuhan Bukan Kerajaan seperti Gerakan Mansuhkan ISA, mangsa-mangsa keluarga tahanan ISA dan rakyat yang memprotes akta zalim ini malah menggesa ianya dihapuskan malah berpendapat undang-undang ini adalah bermotifkan politik semata-mata demi 'melindungi' kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN) daripada dikritik dan didedahkan kepincangannya.
Kali ini giliran tokoh agama seperti Mufti Perlis, Dato' Dr Asri Zainul Abidin dilihat menyelar dan mengkritik perbuatan dan tindakan ISA yang disifatkan sebagai satu langkah terkutuk serta bercanggah dengan Islam.
"Agama memusuhi perbuatan menghukum manusia tanpa bukti yang sah dan perbicaraan yang benar. Maka perbuatan seperti ini adalah amat terkutuk," katanya yang dipetik daripada laman webnya.
Katanya jika ada peruntukan undang-undang atau akta yang membolehkan manusia dihukum tanpa dibicara, maka ia adalah akta atau perundangan yang jelek dan merujuk kepada Sabda Nabi Muhammad s.a.w :"Bukti wajib (diberikan) oleh yang mendakwa, dan sumpah pula bagi yang membantah? (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
"Jika ada akta dan undang-undang yang seperti ini, maka Majlis Fatwa patutlah bersidang dan membincangkan pandangan Islam mengenainya, secara adil tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak," jelasnya lagi.
Sebelum itu beliau turut memberi contoh kesan buruk apabila seseorang itu tidak diberi peluang membela diri seperti yang terjadi di Kuala Perlis apabila seorang suami dituduh mengintip dan dibelasah hingga mati oleh penduduk kampung.
Katanya, isterinya yang masih dalam pantang juga dipukul dan kemudian penduduk sedar bahawa mereka tersilap orang.
"Mangsa telah mati, dihukum tanpa dia mengetahui apakah dosanya. Jika pun itu dosanya, apakah berhak dia dibunuh?" soal Dr Asri lagi dan menghuraikan segala kejelekan dan larangan agama terhadap perbuatan menuduh tanpa bicara dan peluang membela diri ini.
"Perangai suka menuduh secara rambang adalah lambang manusia kehabisan alasan," katanya.
Friday, May 09, 2008
Penahanan Raja Petra ancaman kepada blogger penyokong Pakatan Rakyat
Petikan Harakahdaily
Tian Chua membangkit tentang terdapatnya usaha dari dalam Umno untuk "memanaskan" pertandingan dalam parti yang kian nazak itu pada Disember depan.
Pertempuran antara kumpulan anak Badawi + Najib dengan kumpulan Ku Li dijangka akan "meletup" dan "memburai" dengan kempen-kempen yang di luar kawalan.
Sudah tentulah Ku Li akan bekerja kuat untuk menumpaskan anak Badawi dan anak Badawi juga akan bekerja keras untuk mempertahankan serambi kuasanya.
Antara Ku Li dan anak Badawi, maka kecenderungan anak Badawi untuk berbuat apa sahaja lebih berpotensi dengan segala kemudahan, modal dan penasihat rakus di sekelilingnya.
Kata Tian Chua dan kemudian disokong oleh Mohamad Sabu dalam ceramah berikutnya; apabila bahang kempen dalam Umno menjadi panas, Umno akan dikelam-kabutkan, media ligat tonjolkan isu ketidakstabilan politik yang ketara. "Negara dalam bahaya", begitulah adanya!
Apabila bahang panas membakar rentung hati dan perasaan perwakilan dan ahli-ahli Umno akar umbi, maka ketika ini, ada strategi licik yang dikatakan akan diatur untuk menangkap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dengan perangkap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menyumbat mereka di Kem Tahanan Kamunting, selama yang mungkin.
Apa yang menimpa Raja Petra boleh dilihat sebahagian dari taktik licik untuk memulihkan Umno dan BN pasca PRU Ke 12.
Taktik licik ini bukan sahaja menyiarkan siaran langsung sidang parlimen dan mengundang blogger ke Angkasapuri untuk berdebat dalam Rancangan BLOG, tetapi jauh lebih licik asalkan matlamatnya memulihkan Umno yang sudah mati pucuk itu berjaya bertenaga semula.
Penahanan Raja Petra saya lihat sebagai usaha "memutihkan" mana-mana blogger yang berani membongkar kepincangan BN dan juaknya, dari terus menjadi "hantu" Pakatan Rakyat.
Malah ada yang meramalkan, selepas ini lebih banyak tangkapan akan dibuat atas apa jua sebab yang boleh disabit dengan kesalahan mengikut akta-akta yang begitu banyak boleh digunakan.
Jika kebimbangan Tian Chua dan Mohd Sabu diambil kira, sudah pasti tiada apa halangan untuk anak Badawi berbuat strategi demikian bagi mengekalkan kuasa.
Ku Li barangkali hanya menjadi faktor sampingan yang diperelokkan bagi menjayakan strategi ini.
Sama seperti Umno mengeksploitasikan isu serangan Karpal Singh terhadap istana Perak dalam cerita penukaran 24 jam Pengarah JAIP oleh Menteri Besarnya, Nizar Jamaluddin.
Semua pihak dalam Umno berkokok dan menjerit mempertahankan institusi Sultan. Walhal, mereka jugalah yang menikus dan menikam institusi itu.
Paling dekat, dalam perlantikan Menteri Besar Perlis, Dr Mohd Isa Sabu. Istana dengan jelas menolak kemahuan anak Badawi (Umno) mengekalkan Shahidan Kassim.
Apa yang Shahidan buat? Penyokongnya bertindak macam mana di Perlis? Sekalipun berakhir dengan "patah hati".
Tragedi yang sama juga tercetus di Terengganu. Idris Jusoh terpelanting "ditendang" oleh istana sekalipun watikah Perdana Menteri dijadikan sandaran sokongan kerajaan BN ke atas beliau.
Slogan "Kami Nak Deris, Natang!" jauh lebih teruk sifat penghinaan dan penderhakaan oleh penyokong Idris Jusoh ketika menentang penolakan Istana Terengganu terhadap mantan MB itu berbanding Karpal yang hanya mengulas berdasarkan fakta dan undang-undang.
Nampaknya, serangan diatur rapi dalam usaha menjatuhkan Karpal Singh yang sudah tentu bertujuan untuk "membunuh" imej Pakatan Rakyat.
Kini media prmitif kuasaan mereka menggambarkan semua pemimpin PKR, PAS dan DAP tidak sensitif dengan isu-isu membabitkan kesultanan Melayu. Esok lusa, tulat tonggeng, pastinya ia terus dimainkan.
Harapan mereka, isu ini akan membangkitkan rasa kebangsaan Melayu di kalangan rakyat untuk menyokong Umno kembali.
Namun, tafsiran dan ramalan mereka kian meleset.
Jika pendedahan Tian Chua itu jadi kenyataan, maka amatlah malang bagi demokrasi di Malaysia. Rakyat harus menghalang dari perkara ini terjadi. Namun kebimbangan Tian Chua bertempat. Logiknya ada. Relevannyapun kuat. Tiada apa sekatan untuk anak Badawi melancarkan strategi ini, selagi kuasa ada ditangan.
Raja Muda Bimbang Penyalahgunaan IT
Menurut baginda, meskipun IT membawa banyak kebaikan, ia juga telah digunakan oleh pihak tertentu untuk menyebar maklumat palsu dan fitnah ke seluruh negara dan kepada masyarakat.
Ketika menutup minggu kesedaran IT Kolej Komuniti Arau, baginda bimbang masyarakat akan mudah terpengaruh dengan penyebaran fitnah termasuk melalui blog tertentu.
Blog adalah alat yang boleh digunakan secara dwifungsi iaitu untuk kebaikan atau untuk perkara-perkara yang tidak baik secara halus, titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin berharap rakyat menguasai IT supaya tidak ketinggalan dalam arus globalisasi.
-- BERNAMA
Wahabi tidak pernah difatwakan sesat - Menteri
Petikan Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 8 Mei (Hrkh) - Kerajaaan mahupun Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengeluarkan sebarang fatwa atau memutuskan bahawa fahaman Wahabi yang dipakai sebilangan umat Islam di negara ini sebagai sesat.
Demikian jawapan yang diberikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato' Zahid Hamidi (BN-Bagan Datok) kepada soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Zulkifli Noordin (KeADILan- Kulim Bandar Baru) berhubung dengan fatwa terhadap golongan Wahabi.
Sungguhpun begitu beliau telah menyenaraikan beberapa nama tokoh ulama di negara yang terdiri daripada golongan Wahabi antaranya Ustaz Abdullah Yassin dan Ustaz Hussein Yee Abdullah.
Semenjak tahun 1985 sehingga 1998 sebanyak enam kali Muzakarah Kebangsaan mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu golongan Wahabi beserta 'pemuka-pemuka golongan' itu dan kali terakhir ialah pada 30 Ogos 2007 di Putra Palace bertempat di Perlis bersama dengan Mufti Perlis Dato' Dr Asri Zainul Abidin.
Mengemukakan soalan tambahan, Zulkifli berkata jika tidak pernah difatwakan sesat mengapa golongan Wahabi ini sentiasa diberi tekanan seperti dilarang memberi ceramah, mengadakan kuliah agama dan ada yang turut ditahan oleh pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Negeri.
"Ustaz Abdullah Yassin pernah dua kali ditahan malah ada kes-kes mahkamah yang melibatkan golongan Wahabi ini. Atas alasan apa dikenakan tindakan sedemikian jika golongan ini tidak pernah difatwakan sesat?" soal Zulkifli.
Menjawab soalan, Zahid menyatakan tindakan tersebut adalah disebabkan golongan tersebut tidak turut serta dan 'memasuki' mana-mana mahzab dan sentiasa menjadikan persoalan 'bidaah' sebagai satu polemik yang mengundang rasa tidak senang pihak lain khususnya majoriti masyarakat Islam yang bermahzab Syafie.
Ahli Parlimen (PAS Baling Taib Azzamuddin mencelah dengan berpendapat bahawa mana-mana Mufti yang dilantik oleh Majlis Fatwa mahupun Jabatan Perdana Menteri mestilah menyelidiki latar belakang Mufti tersebut terlebih dahului memandangkan masyarakat umat Islam di sini merupakan umat Islam yang berfahaman mahzab Syafie.
Bagaimanapun Zahid yang bersetuju dengan pandangan Taib meminta pihak yang ingin membincangkan isu golongan Wahabi mahupun masalah kilafiyah ini membawa isu di platform yang lain dan bukannya di Parlimen.
Wednesday, May 07, 2008
PAS Perlis ziarah keluarga mangsa bunuh
Petikan Harakahdaily
KANGAR -Penderitaan keluarga Hatib Leman, buruh yang mati dibunuh di Kampung Belakang Kilang Ais dekat sini mendapat simpati daripada PAS Perlis.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Abdul Karim Md Rejab (gambar - menghulur bantuan) bersama-sama Ketua Penerangan, Hairy Hashim meluangkan masa menziarahi keluarga mangsa tengahari semalam.
Dalam kejadian malam Ahad lalu, Hatib mati dibelasah sekumpulan 20 orang penduduk yang tersilap menyangka beliau mengintai anak jirannya.
Isteri Hatib, Fazilah Muhammad 31, kini tinggal bersama-sama lima orang anaknya yang berusia antara dua bulan hingga 17 tahun di sebuah rumah yang begitu daif yang disewa dengan kadar RM80.00 sebulan.
Fazilah kini hilang tempat bergantung akibat kematian suaminya itu, apatah lagi beliau kini masih di dalam pantang. Mereka kini bergantung hidup kepada dua orang anaknya, Hayati, 17 yang bekerja di sebuah restoran dan anak kedua, Mohd Asri, 16, yang bekerja sebagai seorang nelayan.
Bagaimanapun semasa meziarahi rumahnya, Fazilah tidak berada di rumah kerana dipanggil ke balai polis berdekatan.
Kebetulan pula, pada masa itu rombongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis, Mat Hassan bersama-sama dengan Baitul Mal Perlis turut menziarahi keluarga tersebut.
Abdul Karim yang juga Pengarah Jabatan Khidmat Masyarakat PAS Perlis kemudiannya menyampaikan sumbangan kepada Mohd Asri selaku wakil kepada keluarga tersebut.
Sunday, May 04, 2008
PENGUMUMAN PROGRAM

Bantah Jom Heboh, Pemuda Perlis serah memo kepada kerajaan Perlis
Ustaz Ya'akub (kanan) menyerahkan memorandum kepada Ahmad Bakri (tengah) sambil diperhatikan AJK Pemuda PAS Perlis, Fakhrul Anwar KANGAR, 3 Mei 2008 (Hrkh)- Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) menghantar memorandum kepada kerajaan negeri Perlis membantah Konsert Jom Heboh yang bakal diadakan hari ini di Stadium Utama Negeri.
Memorandum tersebut diserahkan kepada Exco Pelancongan dan Kesihatan Negeri Perlis, Ahmad Bakri Ali oleh Ketua DPPPs, Ustaz Ya'akub Abu Seman di Dewan 2020 dekat sini pagi semalam.
Memorandum tersebut menyatakan kebimbangan masyarakat Malaysia yang prihatin akan situasi dan tahap keruntuhan akhlak dan gejala sosial yang ada di Malaysia dewasa ini.
Realiti yang ada bukan sahaja memperlihatkan kegagalan penguasa yang diamanahkan rakyat gagal menanganinya, malahan mereka pula yang bersifat ?pemangkin aktif? serta penyumbang terhadap pelbagai kemungkaran dan kerosakan nilai dan jati diri generasi muda harapan negara pada hari ini.
Begitu juga, pembinaan modal insan yang dicitakan, nampaknya serba tidak menjadi apabila kepimpinan umat Islam pada hari ini, seolah-olah sudah kehilangan "kompas?" dan arah tuju, sehinga tidak tahu apa bentuk progam yang perlu diutamakan kepada generasi muda supaya mereka benar-benar menjadi aset berharga kepada negara an bukannya liabiliti negara.
Justeru, memorandum tersebut dikemukakan sebagai medium untuk menyuarakan kebimbangan rakyat di negeri Perlis khususnya masyarakat Melayu Islam yang prihatin, bagi membantah dan menentang usaha sogokan hiburan melampau dewasa ini.
Apatah lagi yang bersifat tidak terkawal kepada rakyat di negeri Perlis khususnya melalui Konsert Jom Heboh yang akan diadakan pada 4 Mei 2008 nanti.
Asas-asas yang digunakan dalam memorandum tersebut ialah:
1.Bercanggah dengan ajaran Islam dan tuntutan sunnah yang sebenarnya.
2.Dikenalpasti antara penyumbang utama keruntuhan akhlak muda-mudi di Malaysia.
3.Membantutkan usaha membangunkan iman dan minda generasi muda pada hari ini.
4.Pemimpin sewajarnya membimbing rakyat ke jalan kebaikan bukannya menjerumuskan mereka ke lembah dosa dan maksiat.
5. Negeri Perlis sewajarnya menjadi contoh kepada negeri lain sesuai dengan kedudukannya sebagai ?Negeri Darul Sunnah?, dan ?Negeri Perlis Negeri Ilmu?.
6.Masih banyak alternatif hiburan halal yang dapat disajikan kepada rakyat, selain konsert hiburan para artis yang merosakkan, yang tidak punya nilai dan visi di dalam mendidik masyarakat.
Friday, May 02, 2008
Mufti Perlis kritik program hiburan melampau 'ala zoo' dalam khutbah
Petikan Harakahdaily"Semua semua perkara ada 'rights and limits', ada hak dan hadnya maka apabila ia datang mestilah mengikut peraturan. Kita terkejut bila diiklankan ada artis yang dikenali bermasalah akan datang. Kita menegur bukan kerana beliau membuka baju tapi gelagatnya yang berterusan. Kita mahu ada misi ada kejelasan.
"Kita tak mau apabila orang melihat hiburan bagikan pergi ke zoo, dengan melompat-lompat dan menjerit-jerit tanpa batasan dan tak tahu identiti.
Tapi dalam masa yang sama kita bercakap tentang memajukan Islam, memajukan umat Islam, mahukan minda kelas pertama tapi dalam masa yg sama kita menyogokkan kepada remaja dengan hiburan yang memperbodohkan mereka, dengan hiburan yang tidak membangunkan minda mereka," tegasnya.
"Artis di Barat menjerit-jerit dan melompat-lompat, jeritan dan lompatan itu menghasil wang yang banyak untuk menyara mereka dan jadikan manusia seperti kita menjadi pengikut, maka kita menjadi hamba kepada media.
"Tetapi jeritan artis dan remaja kita hanya yang didengar ialah tentang isu, cerita keruntuhan moral, penyalahgunaan dadah dan seumpamanya.
"Kita bercakap tentang kemajuan, adakah remaja kita tidak maju kerana tidak tahu melompat atau menjerit? Maka kita tak dapat menerima artis rock di negeri ini, hiburan kita berperaturan kita tak dapat terima unsur khurafat, campur gaul yang melampaui batasan, pendedahan tubuh dan tidak menghormati sensitiviti orang Islam dengan tidak dapat membezakan waktu solat. Sebelum ini kedengaran muzik dan bunyi-bunyian mengatasi suara azan. Kita telah banyak dicandukan dengan hiburan seperti ini setiap kali ada pesta hiburan yang meruntuhkan moral anak-anak kita," ujarnya.
Selain itu, beliau turut menyentuh tentang pembabitan anak-anak orang Melayu/Islam yang ramai setiap kali berlangsungnya pesta hiburan.
"Kita bukan ekstrimis agama atau anti hiburan tapi kita mahu melihat generasi ini maju ke hadapan dan demikian tanggungjawab kepimpinan orang Islam mestilah berfikir untuk memajukan umat mereka," serunya.
Asri turut menyeru ibu-bapa supaya mengambil tanggungjawab memastikan anak-anak agar tidak terbabit dalam Festival Jom Heboh di Perlis sekiranya ianya gagal mengikuti peraturan yang ditetapkan.
"Jika tidak menurut peraturan, ibu bapa mesti memastikan anak-anak mereka tidak terlibat sama. Allah Taala mengingatkan 'Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, nanti kamu akan disentuh oleh api neraka'.
"Jika mematuhi aturan, bolehlah pergi melawat pameran atau hiburan yang tidak melampau. Tapi jika tidak patuh, kitalah ibu bapa yang bertanggungjawab memastikan unsur-unsur ini tidak meyusup masuk ke jiwa anak-anak.
"Jangan fikir kita sebagai ibu bapa siapalah kita untuk menghalang suatu program yang besar, tetapi hendaklah fikir kitalah yang bertanggungjawab dan memikul amanah.
KENYATAAN MEDIA JABATAN MUFTI PERLIS MENGENAI JOM HEBOH
Assalamualaikum wr. Wbth.,
Tuan
KENYATAAN MEDIA JABATAN MUFTI PERLIS MENGENAI JOM
HEBOH
Pada dasarnya, Jabatan Mufti Perlis tidak mengharamkan Program Jom
Heboh anjuran Stesyen TV3, akan tetapi pihak Jabatan Mufti dukacita
dengan nilai-nilai negatif yang terselit bersama dengan program Jom
Heboh tersebut.
2. Pihak Jabatan Mufti mencadangkan garis panduan berikut
sebagai panduan pelaksanaan program Jom Heboh di Negeri Perlis:
i. Program Jom Heboh tanpa konsert adalah satu keutamaan
sekiranya hendak dilaksanakan di Negeri Perlis
ii. Jika disertai dengan program konsert, ia hendaklah
terkawal dan berdisiplin
iii. Artis-artis yang menimbulkan contoh-contoh yang buruk
seperti Faizal Tahir atau aliran artis lain dari aliran rock,
dangdut dan seumpamanya yang mempromosikan
gelagat-gelagat liar dan ala kebudak-budakan yang
menghapuskan nilai-nilai kematangan hidup tidak boleh
dibenarkan
iv. Maka artis-artis yang hendak dibawa masuk hendaklah
artis yang telah dirujuk persetujuan dari Jabatan Mufti,
secara umumnya dicadangkan artis-artis puisi seperti
Kopratasa, Ramli Sarip dan Suhaimi Mior Hassan ataupun
kumpulan-kumpulan nasyid di tanahair.
v. Sebarang aktiviti-aktiviti yang memperlihatkan nilai-nilai
kebodohan yang seakan-akan memperlekehkan akal dan
pemikiran rakyat adalah tidak boleh dibenarkan
vi. Unsur-unsur khurafat seperti penampilan kepercayaankepercayaan
misteri dan karut tidak dibenarkan. Demikian
juga jualan barang-barangan khurafat dan tahyul seperti
kayu koka tidak dibenarkan
vii. Penganjur Jom Heboh hendaklah menghormati sensitiviti
orang-orang Islam seperti tidak menguatkan bunyianbunyian
pada waktu solat sehingga kelihatan seperti tidak
menghormati agama.
Sekian , terima kasih.
“BERKHIDMAT UNTUK AGAMA DAN NEGARA”
Saya yang menjalankan tugas,
( DR. MOHD. ASRI BIN ZAINUL ABIDIN )
Mufti,
Kerajaan Negeri Perlis.
Pandangan Mufti Mengenai Program Jom Heboh Perlu Diberi Perhatian
"Pandangan mufti akan dibangkitkan pada mesyuarat bersama TV3 selaku penganjur program itu di sini esok," katanya.
Antara pandangan Dr Mohd Asri ialah program itu perlu dihentikan seketika ketika masuk waktu untuk bersembahyang serta tidak menampilkan artis yang tidak boleh menjadi contoh kepada orang ramai.
Semalam mufti tersebut turut memberi contoh nama penyanyi yang disifatkan sebagai tidak berdisiplin dan tidak patut mengambil bahagian dalam program hiburan berkenaan.
Dr Md Isa berkata pandangan Mufti Perlis itu akan menjadi garis panduan kepada program hiburan yang bakal diadakan di Perlis di masa depan.
"Pandangan mufti perlu diambil kira kerana program Jom Heboh itu juga terletak tidak jauh dari Masjid Putra dan Masjid Behor Empiang," katanya.-- BERNAMA
Mufti tidak benar Faizal Tahir ke Perlis
KANGAR: Bintang One In A Million, Faizal Tahir yang baru 14 hari mengecapi kebebasan selepas tiga bulan digantung kemunculan di kaca televisyen, sekali lagi berdepan masalah apabila kehadirannya melalui Konsert Jom Heboh 2008 di Perlis ditentang Mufti negeri itu, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Walaupun turut mempertikai Konsert Jom Heboh 2008 anjuran TV3 itu di Perlis, Dr Asri secara peribadi menyebut nama Faizal antara artis yang tidak patut dibenarkan membuat persembahan di Perlis, selain artis aliran rock dan dangdut.
Dr Asri berkata, kemunculan artis aliran sedemikian terutama dengan imej rambut panjang dan tingkah laku yang sering meraung serta melompat-lompat menunjukkan imej yang tidak matang dan tidak sesuai sekali untuk dipertontonkan kepada rakyat Perlis.
Mengenai Faizal, katanya, beliau sendiri sudah mengajukan surat kepada Pejabat Menteri Besar Perlis, meminta penganjur Jom Heboh 2008 menilai semula atau menghalang artis terbabit ke negeri ini, yang dianggap tidak sesuai dengan imej Perlis selain mampu membawa pengaruh buruk kepada rakyat.
"Saya tidak anti-manusia bernama Faizal Tahir, tetapi keperibadian dan tingkah laku liar serta tidak matang artis itu setiap kali melakukan persembahan, jelas membayangkan imej kebudak-budakan.
"Bagi saya, perbuatan seperti melompat-lompat dan meraung seperti yang sering dipertontonkan artis itu, terutama insiden membuka baju ketika melakukan persembahan tidak boleh diterima di Perlis. "Paling teruk, dia (Faizal) dilihat masih berada pada tahap krisis identiti kerana tidak tahu hala tuju sendiri. Malah, dia sendiri tidak tahu siapa dirinya yang sebenar kerana kejap mahu jadi manusia, kejap mahu jadi Superman," katanya di sini, semalam.
Faizal yang baru memenangi anugerah Artis Lelaki Paling Popular dan Artis Baru Lelaki Terbaik dalam Anugerah Planet Muzik 2008, digantung persembahannya di kaca televisyen sebelum ini, berikutan tindakannya membuka baju ketika melakukan persembahan sempena ulang tahun ke-4 8TV, Januari lalu.
Sementara itu, mengenai Jom Heboh ke negeri ini, Dr Asri berkata Jabatan Mufti Perlis tidak pernah mengeluarkan fatwa mengharamkannya, tetapi dukacita dengan nilai negatif yang terselit bersama program terbabit.
"Saya sudah mengajukan surat kepada Menteri Besar Perlis, Datuk Dr Md Isa Sabu dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Ahmad Bakri Ali, minggu lalu meminta kerajaan negeri menetapkan garis panduan, sesuai dengan negeri ini sekiranya Jom Heboh 2008 dibenarkan dibawa masuk ke Perlis.
"Jom Heboh tanpa konsert adalah satu keutamaan jika dibenarkan di Perlis. Bagaimanapun jika disertai konsert, ia haruslah terkawal dan berdisiplin," katanya.
"Ini termasuk menghormati sensitiviti orang Islam seperti tidak menguatkan bunyi pada waktu solat, selain mengelak sebarang unsur khurafat dan tahyul seperti penampilan kepercayaan misteri dan karut, serta penjualan barangan berunsur sedemikian. "Islam tidak pernah menghalang hiburan atau menghadkannya kepada nasyid semata-mata, tetapi ia perlu berada dalam garis panduan yang ditetapkan.
"Kenapa kita mahu bawa artis yang tidak membangun minda rakyat, sedangkan ramai lagi yang berimej bersih terutama artis berunsur puisi seperti Kopratasa, Ramli Sarip, Suhaimi Mior Hassan dan M Nasir," katanya.
Perlis menjadi destinasi kedua Jom Heboh 2008 yang kini masuk edisi keenam, pada 3 dan 4 Mei ini. Kemuncak program itu adalah konsert membabitkan artis seperti Faizal Tahir, Jay Jay, The Lima, Fazli Zainal, Ramlah Ram, Farawahida, Mila dan Ayu OIAM
Wednesday, April 30, 2008
YB Bang Din angkat sumpah sebagai Adun
Terdahulu Yazid mengangkat sumpah sebagai speaker setelah namanya dicadangkan oleh Menteri Besar, Dato' Dr Md Isa Sabu dan disokong oleh Adun Pauh, Dato' Seri DiRaja Syed Razlan Putra Jamalullail.
Abdullah Hassan (BN-Sanglang) turut mengangkat sumpah walaupun belum pasti kesahihannya sebagai Adun kerana kemenangannya dipertikaikan berikutan kesilapan Suruhanjaya Pilihan raya mengumumkan pemenang bagi kerusi Dun tersebut.
Ustaz Hashim fail petisyen Dun Sanglang
Petisyen tersebut difailkan melalui Tetuan Zuljaafar Ibrahim & Co di Mahkamah Tinggi Kangar jam 3.15 petang 23 April lalu.
Petisyen dan Notis Petisyen Pilihanraya tersebut diserahkan oleh peguam Zulmi Sabri dan diterima oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar, Badrul Munir Mohd Hamdy.
Menurut Zulmi, petisyen ini difailkan dalam tempoh 21 hari selepas keputusan PRU diwartakan dan pihak pempetisyen akan menyerahkannya kepada defendan, Abdullah Hassan (Calon BN), Mohammad Daud Abdul Hamid (Pegawai Pengurus Pilihanraya Parlimen Arau) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa 15 hari.
Keputusan PRU ke 12 diwartakan pada 8 April lalu dan tarikh akhir mengemukakan petisyen ialah pada 29 April ini.
Dalam PRU 8 Mac lalu, Ustaz Hashim yang bertanding mempertahankan kerusi Dun tersebut diisytiharkan kalah kepada pencabarnya, Abdullah dengan majoriti 149 undi.
Bagaimanapun berlaku kesilapan semasa mengisi nama calon pada borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi) yang mana Ustaz Hashim sepatutnya menang dengan majoriti 47 undi.
Pada 3 April lalu, Mahkamah Tinggi Kangar telah menolak permohonan Saman Pemula yang dikemukakan oleh Ustaz Hashim bagi tujuan yang sama dengan alasan mereka tidak mempunyai peruntukan untuk mendengar kes tersebut.
Sebaliknya, pihak plaintif diminta untuk memfailkan petisyen pilihan raya. Saman pemula yang dikemukakan itu menuntut untuk mendapatkan perintah deklarasi bahawa Defendan Kedua (Mohammad Daud) dan Defendan Ketiga (SPR) telah melakukan kesilapan mengisytiharkan Defendan Pertama (Abdullah) sebagai calon yang menang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam PRU ke 12 bagi bahagian N.15 Sanglang.
Plaintif juga memohon deklarasi bahawa beliau adalah calon yang menang dan sewajarnya dipilih sebagai Adun. Begitu juga, plaintif memohon perintah mengarahkan SPR selaku defendan ketiga mewartakan keputusan PRU ke-12 bagi Dun N.15 Sanglang dimenanginya dan dipilih sebagai Adun.
Thursday, March 27, 2008
BN kian rapuh, tidak relevan lagi
KANGAR, 26 Mac (Hrkh) - Kejayaan besar Barisan Rakyat yang didokong oleh PAS, KeADILan dan DAP dalam pilihan raya umum (PRU) ke-12 lalu membuktikan bahawa pakatan Barisan Nasional kini semakin rapuh, kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohd Anuar Tahir.
Menurutnya, formula yang diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra pada tahun 1955 dulu melalui pakatan Perikatan yang merangkumi Umno, MCA dan MIC kini mula dilihat sedang menuju titik akhirnya.
"Sebagai contoh, MIC dilihat sudah tak relevan kepada masyarakat India kecuali semua parti politik India perlu bersatu.
"Jadi, kini kena ada satu formula baru untuk memerintah negara ini dan pakatan Barisan Rakyat sudah bersedia menggantikan pemerintah yang sedia ada," katanya.
Dalam pada itu, sebagai penggerak Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih), Mohd Anuar melihat PRU kali ini tetap berlangsung dengan proses yang buruk.
Katanya, tuntutan Bersih yang dibuat kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sehingga kini masih belum dipenuhi.
"Kita lihat di Wangsa Maju umpamanya, terdapat ribuan pengundi pos, Mohamad Sabu kalah dengan undi pos, sebab itu Bersih menuntut supaya dihapuskan undi pos.
"Selain itu kita juga telah mengesan banyak penipuan yang berlaku. Umpamanya undian yang berulang di mana seorang pengundi itu didaftarkan sebagai pengundi pos dan pengundi biasa.
"Dalam keadaan macam ni pun kita masih mampu menang di lima buah negeri termasuk menguasai hampir semua parlimen di Wilayah Persekutuan," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada satu majlis minum petang anjuran Majlis Tindakan Dun (MTD) Bintong di Pasti Teluk Kacang dekat sini semalam.
Hadir dalam majlis yang diadakan tersebut ialah pimpinan dan petugas MTD serta beberapa orang wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Mohd Anuar yang bertanding di Dun N06 Bintong dalam PRU yang lalu kemudiannya mengambil kesempatan menziarahi beberapa buah rumah di Kampung Behor Janggus dan Wang Ulu yang menjadi mangsa ribut pada 22 Mac lalu.Eratkan semula hubungan istana, pemimpin dan rakyat saran PAS Perlis
KANGAR, 18 Mac (Hrkh) - PAS Perlis berharap kepimpinan baru negeri yang diterajui oleh Dato' Dr Md Isa Sabu dapat mengeratkan semula hubungan antara institusi istana, pemimipin dan rakyat.
Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin membuat gesaan demikian kepada Md Isa yang dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baru semalam.
"Sebelum ini mungkin berlaku sedikit keretakan antara tiga elemen penting ini dan diharap hubungan dapat dieratkan semula agar dapat kita bina negeri Perlis ini dengan lebih baik dan teratur," katanya.
Ustaz Hashim juga menggesa kepimpinan baru yang bakal dibentuk Md Isa melayan rakyat tanpa sebarang diskriminasi.
"Rakyat negeri terdiri dari pelbagai fahaman politik dan mereka harus diberikan layanan sama rata sama ada dari segi pembangunan atau pemberian projek. Tumpukan kepada kepentingan umum bukannya golongan tertentu sahaja," gesanya.
Mengulas tentang pembentukan kabinet negeri yang bakal dibuat dalam masa terdekat ini, Ustaz Hashim menyeru agar Md Isa memberi lebih ruang kepada barisan Exco dan wakil rakyat untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
"Kita dah ada Exco dan wakil rakyat, jadi agihkan tugas mengikut portfolio masing-masing, jangan macam dulu walaupun ada Exco dan wakil rakyat tapi nampak jelas dibolot segalanya oleh seorang sahaja.
"Kepimpinan baru juga diminta untuk memberikan penumpuan dalam memperbaiki segala kelemahan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan agensi berkaitan. Kepincangan dalam kewangan negeri, Majlis Perbandaran Kangar dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis antara yang perlu dberikan perhatian," serunya.
Dalam pada itu, Ustaz Hashim menasihatkan Md Isa agar tidak terikut dengan cara Menteri Besar dulu yang banyak menaburkan sumbangan kepada rakyat sekiranya tidak mampu.
Sebaliknya kata beliau, Md Isa perlu beralih kepada memberikan sesuatu yang lebih bernilai daripada pemberian yang sedia ada.
"Mungkin YAB Menteri Besar tak mampu nak ikut bagi sumbangan macam MB dulu, tapi ini bukannya satu perkara yang perlu dirisaukan. Rakyat akan lebih faham dan menghendaki sesuatu yang lebih bernilai daripada yang dulu. Ada perkara lain yang lebih utama untuk beliau beri perhatian," katanya lagi.
Semalam Md Isa dipilih secara rasmi sebagai Menteri Besar Perlis keenam menggantikan Dato' Seri Shahidan Kassim.
Majlis angkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baru diadakan di Istana Arau petang semalam di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.Sunday, March 16, 2008
Konflik berebut jawatan MB Perlis masih berlarutan
KANGAR, 15 Mac (Hrkh) - Siapa Menteri Besar kami? Mungkin itu yang sedang berlegar di fikiran rakyat Perlis sehingga hari ini.
Ini berikutan situasi terkini apabila wujudnya dua nama yang bakal mengisi jawatan panas tersebut.
Semalam, umum mengetahui pihak Istana Perlis telah memperkenankan perlantikan Dato' Dr Md Isa Sabu sebagai Menteri Besar sedangkan penyandang, Dato' Seri Shahidan Kassim pula membawa watikah perlantikan daripada Perdana Menteri.
Sekali imbas ianya dilihat seperti wujudnya konflik antara Istana Perlis dan Putrajaya dan siapakah yang lebih berkuasa di atas perlantikan ini?
Md Isa dilantik berdasarkan peruntukan yang termaktub di dalam undang-undang di mana Raja Perlis berhak melantik seorang Menteri Besar sedangkan Shahidan pula mempertahankan beliau membawa mandat partinya, Barisan Nasional.
Drama perlantikan Menteri besar Perlis ini adalah rentetan pelbagai episod yang berlaku sejak dua bulan lalu.
Seperti yang diketahui umum, baru-baru ini, Setiausaha Agung Umno, Dato' Radzi Sheikh Ahmad secara terbuka menyatakan Menteri Besar Perlis perlu ditukar.
Kemyataannya itu sekali gus membuka pekung Umno Perlis yang mempunyai masalah kepimpinan di peringkat tertinggi dan dilihat berpuak-puak.
Menjelang penamaan calon untuk pilihan raya umum (PRU) yang lalu, sekali lagi berlaku kekecohan apabila dikatakan nama Shahidan terkeluar daripada senarai calon.
Berlaku kekecohan di Perlis sehinggakan ada pihak yang meletakkan jawatan beramai-ramai, bendera parti diturunkan, bilik gerakan ditutup dan sebagainya.
Lebih teruk, ada ura-ura mengatakan protes besar-besaran akan dibuat sehingga melibatkan pihak istana.
Hanya sehari menjelang penamaan calon barulah senarai calon BN Perlis dapat diumumkan. Itupun masih wujud kontroversi bila awalnya Dato' Mastika Junaidah Hussin diumumkan sebagai calon Parlimen Arau tetapi kemudiannya digantikan dengan adik Shahidan, Ismail Kassim.
Pada malam pengumuman kemenangan calon-calon yang bertanding dalam PRU di Dewan Sivik Arau, secara terang-terangan dilihat masih wujud perselisihan di kalangan pimpinan Umno Perlis apabila calon Dun Pauh, Dato' Seri Utama Syed Razlan Putra Jamalullail diumumkan sebagai pemenang.
Pada masa itu hanya penyokongnya sahaja yang bertepuk-sorak meraikan kemenangan sedangkan pemyokong-penyokong Shahidan yang turut berada di dalam dewan tersebut hanya berdiam diri.
Selepas tamatnya PRU dan BN berjaya menguasai Perlis, kedudukan Shahidan masih menjadi tanda tanya sedangkan hampir semua negeri telah menyelesaikan perlantikan Menteri Besar masing-masing.
Desas-desus menyatakan beliau tidak disenangi oleh pihak Istana Perlis bertiup kencang dan beberpa nama disebut-sebut sebagai pengganti.
Apakah dengan watikah dari Perdana Menteri itu beliau sanggup menebalkan mukanya untuk mengadap Tuanku Raja Perlis sedangkan baginda sendiri telah memperkenankan Md Isa sebagai Menteri Besar?
Tinjauan Harakahdaily malam tadi mendapati para penyokong Shahidan mula memenuhi perkarangan kediaman rasmi Menteri Besar untuk mengetahui perkembangan terkini.
Sementara di kediaman Md Isa di Taman Guru Jaya dekat sini terdapat beberapa orang penyokongnya yang sedang berkumpul di samping terdapat sebuah trak polis yang sedang berkawal.
