Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Monday, September 12, 2011

Pejuang haluan kiri ditangkap, Umno tak disentuhpun....

KANGAR - Kerajaan tidak harus bersikap berat-sebelah untuk mengiktiraf jasa para pejuang kemerdekaan termasuk golongan berhaluan kiri yang terlebih awal melaungkan slogan kemerdekaan, kata aktivis veteran Wan Khazim Wan Din.

Wan Khazim, 80, yang ditemui Harakah baru-baru ini meminta semua pihak mengenang kembali penderitaan yang dialami keluarga pejuang kemerdekaan berhaluan kiri yang pernah ditahan oleh penjajah British sekitar tahun 1940-an dahulu.

Menurutnya, apabila Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu bercakap tentang kisah Bukit Kepong ramai keluarga mangsa kejadian pada tahun 1950 itu berkecil hati, sedangkan nasib keluarga ahli-ahli parti berhaluan kiri tidak pernah diendahkan pun pada masa itu.

"Pengalaman saya sendiri mengalami sendiri pengalaman itu apabila bapa saya ditahan di bawan Ordinan Darurat selama lima tahun. Adakah pada masa itu kami tidak berkecil hati? Masa itu siapa yang ambil peduli keluraga kami? Kami dipulaukan dan dianggap bersekongkol dengan komunis.

"Zaman itu, siapa yang sebut merdeka dianggap komunis. Semua pertubuhan termasuk Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan sayapnya Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) serta Hizbul Muslimin telah diharamkan, aktivis ditangkap sehingga mencecah angka 18 ribu orang. Mereka yang tak bersalah dituduh subversif atau komunis. Yang tak disentuh masa tu hanyalah Umno," ujarnya yang menjadi ahli API sejak berusia 14 tahun.

Tegasnya, sejarah pejuang kemerdekaan negara menentang penjajahan British perlulah disingkap semula supaya menjadi pengajaran kepada generasi akan datang sejarah ini merupakan fakta yang tidak boleh disembunyikan.

"Pada zaman itu, pandangan orang-ramai khususnya orang kampung tentang parti berhaluan kiri cukup negatif. Kesatuan Melayu Muda ditubuhkan awal lagi oleh Ibrahim Haji Yaacob, kemudian diikuti PKMM bersama saya API dan AWASnya, diikuti Hizbul Muslimin. Umno pula ditubuhkan dengan dipimpin oleh mereka yang berpendidikan Inggeris yang terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan pada masa itu.

"Bila mereka memimpin Umno, orang takut.Mereka mempergunakan orang-orang kampung untuk perburuk pejuang-pejuang haluan kiri dengan momokan sebagai komunis sedangkan orang kampung bukan tahu pun apa dia komunis tu. Pengisytiharan darurat menyebabkan parti-parti berhaluan kiri berpecah, ada yang lari masuk hutan, lari ke Indonesia, ke Singapura dan ada pula yang masuk Umno.

"Masyarakat Melayu khususnya pada masa tu kecuali yang ada sedikit kesedaran boleh menerima, tapi orang-orang kampung ni susah sikit kerana mereka telah ditanamkan pemikiran bahawa komunis itu jahat.Sebenarnya British tak mahu bagi kemerdekaan pada masa itu, cuba kita fikir kan, kenapa Umno tak disentuhpun, org lain yang sebut merdeka kena tangkap ," jelasnnya.

Menyentuh tentang pengiktirafan terhadap seluruh pejuang kemerdekaan, Wan Khazim berkata perkara inilah yang sepatutnya paling membanggakan beliau, namun soalnya mengapa parti pemerintah tidak mahu memberikan pengiktirafan tersebut?

"Nampak gayanya nak kena tunggu kita ambil-alih Putrajayalah kot, Insya Allah barulah kita boleh tulis balik sejarah yang cuba disembunyikan. Yang mereka susah sangat nak iktiraf tu sebab apa? Sebab apa orang nak merdeka dulu ditangkap tapi Umno tak ditangkap pun?

"Saya tegaskan di sini sebab Umno tak mahu merdeka dan mereka buka pejuang kemerdekaan yang sebenar. Mereka hanya menerima kemerdekaan dari British. Umno lahir dengan slogan Hidup Melayu tapi sampai sekarang nama mereka sendiripun masih tidak menggunakan bahasa Melayu," katanya lagi.

No comments: