Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Thursday, November 08, 2007

Melayu tidak bodoh, tetapi Umno yang sering memperbodohkan mereka!

KANGAR, 7 Nov (Hrkh) - Orang Melayu memang tidak "bodoh atau lemah" seperti kata Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi sering diperbodohkan oleh pemimpin parti yang mengaku memperjuangkan nasib mereka.

"Sudah lebih 50 tahun negara kita merdeka tetapi orang-orang Melayu terus diperbodohkan oleh pemimpin Umno," kata Ketua Penerangan PAS Perlis, Hairy Hashim.

Beliau mengulas kenyataan Abdullah yang disiarkan baru-baru ini oleh beberapa laman web berita asing termasuk oleh Agensi Berita Peranchis (AFP) yang bertajuk "Malays 'not stupid or weak' and must become competitive".

Begitu juga, Bernama melaporkan Abdullah mahu orang Melayu menjadi lebih yakin kepada diri sendiri dan menghapuskan perasaan bimbang yang menguasai pemikiran mereka selama ini.

Menurut Hairy, sepanjang Umno menjadi tunjang pemerintahan negara, banyak keistimewaan orang Melayu seperti bahasa, tanah rizab dan biasisiwa semakin terhakis.

"Apa yang tinggal kepada orang Melayu sekarang? Umno dah buang satu-persatu, daripada bahasa, biasiswa sampailah kepada agama, semuanya semakin hancur.

"Umno jugalah yang memesongkan sejarah kemerdekaan negara dengan menafikan peranan pejuang kemerdekaan tulen dan para ulama.

"Tapi tengoklah esok bila Umno bersidang, merekalah yang paling lantang menyatakan mereka memperjuangkan nasib orang Melayu," katanya.

Mengulas lanjut, Hairy melihat orang-orang Melayu sentiasa diajar dengan budaya mengharap oleh pemimpin Umno sehingga menjadikan mereka terpinggir dan kurangnya daya saing dengan bangsa lain.

"Orang Melayu sering diberikan pengharapan tinggi melalui pelbagai projek RMK-9, koridor-koridor pembangunan dan sebagainya. Jadi orang Melayu akan kata kita kekalkan Umno/BN memerintah walhal tidak ada apa sangatlah yang mereka perolehi.

Kata Hairy, orang Melayu diperbodohkan dengan lebih teruk ialah semasa musim pilihan raya.

"Bila tiba musim nak mengundi, mereka sering diumpan dengan pelbagai janji pembangunan, sogokan kebendaan hatta janji memberikan geran tanah. Tapi akhirnya, yang dapat hanyalah duit RM50.00 dan kain pelikat," jelasnya.

Baginya, beliau bersetuju dengan kenyataan Abdullah yang mahu orang Melayu lebih yakin dan menghapuskan rasa bimbang.

Namun soalnya, siapakah yang membangkit rasa bimbang dan takut khususnya untuk orang Melayu lebih berubah selain daripada Umno yang menjadi parti pemerintah di negara ini.

"Bukan kepada orang Melayu sahaja, tetapi seluruh rakyat Malaysia diajar dengan budaya takut. Tambahan lagi, penyebaran maklumat kepada rakyat dibuat secara berat sebelah melalui media arus perdana.

"Rakyat di negara ini hanya disogok dengan maklumat yang lebih memihak kepada parti pemerintah sedangkan pemimpin negara menyatakan negara in mengamalkan demokrasi," tempelaknya.

Katanya, dengan maklumat yang berat sebelah ini dan ruang demokrasi yang sempit khususnya untuk parti pembangkang, maka rakyat tidak berpeluang untuk membuat penilaian secara bijak.

"Sebab itu rakyat khususnya orang Melayu mudah diperkotak-katikkan oleh pemimpin negara. Buatlah apa saja,naik harga minyak, harga barang,naikkan tol dengan sedikit penjelasan di media, rakyat percaya," sambungnya.

Bagaimanapun kata Hairy, orang Melayu sudah semakin cerdik dan mula celik maklumat, maka pemimpin Umno tidak selamanya akan terus memperbodohkan mereka.

"Kini orang dah mula sedar bahawa Umno adalah parti yang gagal untuk memperjuangkan nasib bangsa Melayu. Akan sampai masanya nanti mereka akan ditolak oleh bangsa mereka sendiri," ujarnya. - mr

No comments: