Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Thursday, July 27, 2006

Pelajar gagal kuasai 3M bukti kelemahan kerajaan

Oleh : Nikon
Kategori : Berita
Kangar, 25 Julai : Kegagalan lebih 100 ribu pelajar sekolah rendah untuk menguasai kemahiran Membaca,Menulis dan Mengira (3M) , jelas membuktikan kelemahan kerajaan dalam menangani isu pendidikan negara ini.

Pandangan ini diluahkan oleh Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat Ustaz Taib Azzamuddin Mohd Taib dalam satu temuramah beliau dengan Pegelihla semalam.

Di Parlimen baru-baru ini, Timbalan Menteri Pelajaran Dato' Hon Choon Kim, mendedahkan bahawa seramai lebih 100 ribu pelajar sekolah rendah masih gagal menguasai 3M.

Menurut Hon lagi walau bagaimanapun , bukan semua dari jumlah 100 ribu itu tidak dapat menguasai kesemua ketiga-tiga kemahiran itu. Ada pelajar yang mungkin hanya gagal dalam satu atau dua kemahiran sahaja tetapi termasuk dalam angka 100 ribu itu .

Antara sebab yang dinyatakan kepada kegagalan ini ialah latar belakang keluarga, kurangnya motivasi dari keluarga dan prasarana yang disediakan.

Ustaz Taib yang merasa kesal dengan laporan itu memberikan contoh lain tentang kelemahan kerajaan dalam isu pendidikan iaitu Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) .

“PLKN sebenarnya menyerlahkan kelemahan kerajaan dalam mendidik anak bangsa kerana apa perlunya program ini setelah 11 tahun anak-anak kita menghabiskan masa mereka di sekolah? Tidak cukupkah lagi dengan 11 tahun itu?,” tanya beliau .

Katanya, perkara ini disebabkan kehidupan masyarakat kita terlalu dilimpahi dengan program-program hiburan yang melalaikan dan adakalanya melampaui batas

"Dan pastinya kelulusan program ini datangnya dari pihak kerajaan,” tambah beliau.

Menurutnya lagi masalah program hiburan yang melalaikan ini bukan sahaja menjangkiti anak-anak tetapi lebih malang lagi ada ibu bapa juga tidak kurang hebatnya sehingga ada yang menangis di hadapan TV untuk peserta Akademi Fantasia yang mereka minati .

"Ibu bapa begini jelas akan memberikan contoh negatif kepada anak-anak dan sekaligus memberikan kesan terhadap pembelajaran anak-anak, malah boleh mematikan semangat belajar mereka," katanya.

Selain itu, Mantan Imam Besar Masjid Negara itu turut melihat bahawa sekatan ke atas program yang menggalakan dan membimbing insan kearah agama harus dihapuskan agar manusia dapat kembali kepada Allah .

Beliau memberikan contoh di mana kegagalan sistem pendidikan ini juga menjadi bukti betapa pentingnya Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang suatu masa dahulu diserang dengan tohmahan yang mengatakan bahawa ia adalah pusat melahirkan pengganas .

SAR katanya boleh membawa kebaikan bukan sahaja kepada anak-anak tetapi juga ibu bapa yang mana ada ketikanya ibu bapa pula ditegur oleh anak-anak mereka apabila melakukan kesalahan kerana anak-anak mereka mempunyai ilmu.

"Ibu bapa pula akan merasa segan untuk membuat perkara yang melalaikan kerana ditegur anak-anak mereka. Bayangkan betapa harmoninya rumah tangga sebegini. Anak yang mendengar kata dan ibu bapa yang penyayang,” ujarnya.

No comments: