Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, September 16, 2005

PELIHARALAH ISLAM ……demi kejayaan hidup
(Oleh: Us. Ahmad Adnan Fadzil)
Kategori : Fikrah Pimpinan

Setiap dari kita menginginkan kejayaan dalam hidup. Kita amat bimbang jika kita ditakdirkan gagal oleh Allah. Namun harus kita sedari bahawa kejayaan mempunyai faktor-faktor yang menjurus kearahnya. Apakah faktor kejayaan yang paling utama dalam kehidupan manusia?

Sebagai seorang muslim, kita harus meyakini bahawa faktor asas kejayaan ialah agama iaitu Islam. Apabila seseorang itu menganut Islam dan berpegang-teguh dengannya, maka ia memiliki asas paling utama untuk berjaya. Kejayaan yang kita impikan bukanlah kejayaan setakat di dunia ini sahaja, tetapi juga kejayaan di alam akhirat yang kekal abadi. Lantaran pentingnya Islam inilah maka Allah mengutuskan para Rasul di mana mereka tidak datang melainkan dengan membawa agama yang satu iaitu Islam.

Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai Allah untuk menjadi pegangan dan tatacara kehidupan manusia. Agama yang lain dari Islam jika dianuti manusia, nescaya ia tidak akan mencapai keredhaan Allah dan kehidupannya di dunia dan di akhirat akan berada di dalam kancah kerugian dan kemusnahan.
“Sesungguhnya ad-Deen (yakni agama yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam“. (Ali-Imran:19)“Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi”.

Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w. meletakkan factor kejayaan manusia kepada tiga perkara;

1.Islam
2.Rezki yang mencukupi (yang boleh difahami sebagai kemajuan material/kebendaan)
3.Sifat qana’ah (redha dengan pemberian Allah kepadanya)

Hadis yang kita maksudkan itu berbunyi;

قد أفلح من أسلم و رزق كفافا و قنعه الله بما آتاه
“Sesungguhnya berjayalah orang yang Islam dan dikurniakan rezki yang cukup serta diberikan sifat qana’ah oleh Allah dengan apa yang dikurniakan kepadanya”. (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abdullah bin Umar r.a.)

Dalam hadis di atas Rasulullah s.a.w. tidak menafikan peranan material atau harta-benda (yang diungkapkan dengan kalimah rezki) sebagai salah satu factor kejayaan dan kebahagiaan manusia. Namun baginda meletakkan Islam adalah syarat kejayaan paling atas atau paling utama. Kemajuan material atau kebendaan jika tidak bertunjangkan Islam, nescaya kemajuan tersebut akan mendatangkan lebih banyak mudarat kepada manusia dari mendatangkan manfaat.

Mungkin di kalangan kita akan berkata; bagaimana dikatakan Islam merupakan syarat kejayaan paling utama, sedangkan negara-negara maju hari ini (Amerika, Jepun, Britain dan sebagainya) tidak pun menganut agama Islam dan mereka telah mencapai kejayaan?.

Memang benar negara-negara yang dikatakan maju itu telah berjaya dari sudut ekonomi dan material, namun adakah mereka benar-benar mengecapi kejayaan hidup yang sebenarnya? Kejayaan dalam erti-kata yang sebenarnya bukanlah hanya kejayaan dari satu sudut (iaitu ekonomi atau material), tetapi kejayaan dari pelbagai sudut kehidupan manusia merangkumi rohani, kejiwaan (saikologi), akhlak/etika, hubungan social, kekeluargaan dan sebagainya. Tidak guna harta kita banyak dan ekonomi kita kukuh tetapi masyarakat kita porak-peranda lantaran dari berlakunya keruntuhan rohani dan akhlak, musnahnya institusi keluarga dan berleluasanya gejala jenayah dalam negara. Namun inilah yang telah terjadi dalam masyarakat dunia hari ini terutamanya di negara-negara maju.

Menurut seorang ulama’ dan ahli fakir Islam terkenal Dr. Yusof al-Qardawi dalam satu bukunya “Islam dan Tamadun hari esok”; “Tamadun moden hari ini telah melahirkan beberapa akibat negative –hasil sikapnya yang meminggirkan agama- di mana kecelakaan dan kepahitan darinya tidak putus-putus dirasai oleh manusia zaman ini. Kesan-kesan negative tersebut ialah berlakunya;

1. Keruntuhan akhlak
2. Krisis rumah-tangga (keluarga)
3. Keresahan jiwa (saikologi)
4. Kecelaruan akal fikiran
5. Jenayah yang berleluasa.

Kesan-kesan negative di atas tidak perlu kita buktikan lagi kerana ia juga sedang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Jika kita renung dan kita tilik sedalam-dalamnya, semua kesan negative itu berpunca dari sikap manusia hari ini yang meminggirkan agama dan memandang mudah kewajipan-kewajipan dalam agama. Mereka merasakan cukuplah dengan duit yang banyak dan ekonomi yang kukuh untuk mencapai kebahagiaan. Namun jangkaan mereka itu meleset sama sekali. Kebahagiaan yang sebenar adalah mustahil untuk dicapai tanpa agama/Islam.


Inilah yang diperingatkan Allah kepada kita;

“Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta”. (Thaha:124).

“Peringatan Allah” yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah perintah Allah iaitu apa yang terkandung di dalam ajaran Islam itu sendiri kerana Islam adalah satu-satunya agama dari Allah yang diutuskan para Rasul membawanya.

Menurut Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya “Tafsir al-Quran al-‘Aziem” ketika mentafsirkan ayat di atas; “Ma’isyatan Dhanka (Penghidupan yang sempit)” itu ialah merasai kesempitan di dunia di mana orang yang berpaling dari peringatan Allah itu ia tidak akan mencapai ketenangan jiwa dan tidak akan merasai kelapangan dada. Bahkan dadanya akan sentiasa merasa sempit dan resah walaupun zahir hidupnya mewah; walaupun ia dapat memakai pakaian yang disukainya, memakan makanan yang disukainya dan tinggal di rumah-rumah yang disukainya. Akan tetapi oleh kerana di dalam hatinya tidak ada keyakinan kepada Allah dan tidak ada hidayah/petunjuk maka ia akan terus berada di dalam jiwa yang resah, fikiran yang bercelaru dan sentiasa terumbang-ambing. Inilah yang dimaksudkan kehidupan yang sempit oleh ayat tadi”.

Sekian, wassalam.

(Ustaz Adnan Fadzil ialah Ketua Pemuda PAS Negeri Perlis)

No comments: