Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Monday, September 03, 2007

Wajib menentang pemerintah jika mereka zalim - Mohamad Sabu

SIMPANG EMPAT, 31 Ogos - Konsep merdeka yang sebenarnya ialah mengubah amalan manusia menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah bukan sekadar menentang penjajah, kata Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Begitu juga katanya, sekiranya dulu orang putih datang ke negara ini dan membawa Islam rakyat tidak perlu melawan tetapi apabila mereka memperhambakan rakyat tempatan maka sebab itu mereka ditentang.

Katanya lagi, Islam dikembangkan dengan memerdekakan sesebuah negeri melalui konsep membawa manusia dari menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah.

"Tentera Islam dulu masuk untuk membebaskan sesebuah negeri dari pemerintah yang zalim dan mengajak manusia menyembah Allah.

"Kalau yang memerintah itu zalim wajib ditentang".

"Macam tulah juga Umno yang memperhambakan kita dengan menutup demokrasi dan menekan kita, wajib kita melawan mereka?" katanya ketika berceramah di Kampung Sungai Padang dekat sini 29 Ogos lalu.

Menurutnya, konsep kemerdekaan sebegini lah yang tidak diajar kepada rakyat di negara ini sebaliknya sejarah kemerdekaan amat diselewengkan.

"Bila nak sambut merdeka hanya ditunjukkan pemimpin Umno sahaja sedangkan perjuangan untuk kemerdekaan sudah bermula sebelum adanya Umno mahupun PAS,"jelasnya.

Jelasnya, pejuang-pejuang kemerdekaan seperti Tok Janggut, Mat Kilau atau Dato' Bahaman dan kemudiannya Dr Burhanuddin AL-Helmy, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan Ahmad Boestamam yang keluar masuk penjara tidak langsung ditonjolkan.

"Sambutan kemerdekaan seolah-olah sambutan ulang tahun Umno. Kalau diletakkan tokoh-tokoh seperti disebut tadi baru terpanggil untuk kita sambut bersama.

"Mereka inilah yang meniupkan semangat dan laungan merdeka bukannya Umno. Umno masa tu hanya sebut 'Hidup Melayu'," katanya.

Turut berceramah ialah Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin, Koordinator Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi, Anuar Tahir dan Ketua Penerangan Keadilan Perlis, Keria Senawi.
CERAMAH
DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN
(Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat)


Tarikh:
5 September 2007 (Rabu)

Tempat:
Markas PAS Bintong Barat
Jalan Wang Ulu, Bintong, Kangar, Perlis


Masa: 9.30 malam

SEMUA LAPISAN MASYARAKAT DIJEMPUT HADIR

Tuesday, August 28, 2007


CERAMAH PERDANA


TUAN HAJI MOHAMAD ABU

(NAIB PRESIDEN PAS)


bersama


YB USTAZ HAJI HASHIM JASIN

Pesuruhjaya PAS Perlis


&


TUAN HAJI MOHD ANUAR TAHIR

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat


Tarikh: 29 Ogos 2007 (RABU)

Tempat: Kg Sungai Padang, Simpang Empat, Perlis

Jam: 9.30 malam


SEMUA LAPISAN MASYARAKAT DIJEMPUT HADIR

Sunday, August 19, 2007

IKLAN CERAMAH IJTIMAK PAS PERLIS KE 11


Shahidan bakal hilang jawatan selepas Pilihan Raya Umum?

KANGAR, 14 Ogos - Pengaruh Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim sudah mula berkurangan khususnya dari golongan pertengahan yang termasuk di kalangan ahli dan kepimpinan Umno sendiri.

Baru-baru ini dilaporkan, Shahidan telah tersenarai sebagai antara Menteri Besar yang bakal digantikan pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam ruangan undian online di lamanweb AnakPerlis.com pula, Shahidan ternyata ditolak sebahagian besar para responden yang telah mengundi.

Dalam undian yang bertajuk "Setujukah anda jika Shahidan terus menjadi MB Perlis" itu lebih 70 peratus daripada 214 orang responden mengatakan tidak bersetuju dan hanya lebih 29 peratus yang bersetuju.

Dalam ruangan forum di web yang sama, beberapa topik berkaitan dibincangkan oleh para pengunjung seperti "Siapa Yang Layak Ganti Shahidan?", "Berapa lama lagi Shahidan boleh bertahan?" dan "Perubahan politik di Perlis".

Turut dibincangkan ialah beberapa nama tokoh politik yang disebut-sebut bakal menggantikan Shahidan sebagai Menteri besar.

Ternyata forum ini memberi ruang yang luas untuk orang ramai menyuarakan pendapat masing-masing tanpa mengira fahaman politik.

Komen-komen yang diberikan pula berdasarkan senario yang berkisar sekitar perkembangan politik semasa di negeri ini khususnya dan di seluruh negara amnya.

Mengulas perkara ini, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil berkata, senario ini sebagai satu gelombang perubahan yang bakal melanda dalam perkembangan politik di Perlis.

Katanya, bukan pihak pembangkang sahaja yag menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap Shahidan malahan di kalangan orang Umno sendiri pun begitu.

"Dia (Shahidan) nampak macam dah hilang fokus terhadap pentadbiran di negeri ini. Kadang-kadang dia suka bangkitkan benda kecil seperti perkara remeh-temeh tentang agama sedangkan banyak lagi benda besar yang perlu diambil perhatian,"katanya.

Tambahnya, sikap Shahidan yang hanya suka menunjuk-nunjuk atau mengungkit-ungkit tentang kebaikan atau sumbangan yang diberinya menjadikan orang ramai semakin jelik dengannya.

"Rakyat juga melihat bagaimana banyak projek di negeri ini yang terbengkalai dan membazir, kilang-kilang sudah banyak yang menutup operasi dan banyak projek hanya diberikan kepada kroni beliau.Orang ramai sudah mula hilang keyakinan kepadanya," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Perlis, Hairy Hashim melihat hasil undian yang dijalankan oleh lawan web AnakPerlis.com ini sebagai satu penolakan oleh golongan pertengahan.

Katanya, golongan ini yang terdiri dari mereka yang berpendidikan dan terdedah kepada maklumat dari pelbagai sumber mampu melakukan perubahan politik di negeri ini.

"Mereka sudah sedar akan pelagai kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran negeri ini. Meskipun sebahagian daripadanya adalah orang Umno sendiri tapi mereka boleh berfikir dan boleh membuat perubahan,"katanya

PAS Perlis anjur Ijtimak 23-26 Ogos

KANGAR, 11 Ogos - Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis akan menganjurkan Ijtimak PAS Perlis Kali ke-11 dari 23 Ogos hingga 26 Ogos 2007 ini bertempat di Markas Tarbiyah PAS Perlis, Jejawi Dalam dekat sini.

Menurut Ketua Penerangan PAS Perlis, Hairy Hashim, ijtimak ini adalah program tahunan PAS Perlis yang dilangsungkan setiap tahun sejak tahun 1997.

Program bermula dengan majlis pra-ijtimak pada bermula pada 22 Ogos dengan dengan program bacaan Yaasin dan solat hajat yang bakal diadakan di Balai Islam MADI.

Seterusnya, persembahan dikir barat dari Kelantan akan diadakan bertempat di Dataran MADI.
Majlis perasmian Ijtimak akan disempurnakan oleh Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa pada 23 Ogos. Beliau dijadualkan berceramah bersama Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Anuar Tahir.

Pada 24 Ogos, slot ceramah akan diisi oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar dan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua.

Manakala pada 25 ogos, Exco Kerajaan Kelantan, Nik Mohd Amar Nik Abdullah akan berceramah bersama dengan Naib Presiden PKR, Azmin Ali dan Saifuddin Nasution.

Majlis perasmian penutupan Ijtimak akan disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa pada 26 Ogos.

Beliau akan berceramah bersama dengan Dr Mariah Mahmud sempena program "Kembara Kemerdekaan".

Antara aktiviti yang bakal memeriahkan ijtimak pada tahun ini ialah Sukan Pemuda, pelajar sekolah dan PASTI; aktiviti Muslimat, gerai dan expo, khidmat masyarakat, pemerikasaan kesihatan percuma serta pertandingan pidato kemerdekaan.

Bagi mereka yang ingin berniaga pula boleh membuat tempahan gerai dengan menghubungi Ustaz Yusuf Dak di talian 013-5938274. Untuk keterangan lanjut atau sebarang sumbangan sila hubungi talian 04-9761836.

Sunday, July 22, 2007

CERAMAH


PENGUMUMAN PROGRAM


KULIAH PERBANDINGAN AGAMA
OLEH DATO' DR HARON DIN
(TIMBALAN MURSYIDUL AM PAS)
28 JULAI 2007 (SABTU)

SELEPAS SOLAT MAGHRIB

DI BALAI ISLAM MADI, JEJAWI DALAM


SELEPAS ITU ADA


PROGRAM MAKAN PULUT DURIAN
Bersama Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
( Presiden PAS )
&
Dato' Dr Haron Din

ANJURAN

Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiyah (MADI)

DERMA RM3.00 UNTUK DANA MADI
(Durian Special dari Batu Kurau)



Kemudiannya ada Ceramah:
TUAN GURU DATO' SERI HAJI ABDUL HADI AWANG
(PRESIDEN PAS)
DI DATARAN MADI
JAM 9.30 MALAM









Orang cerdik tidak mudah dipengaruhi media arus perdana - Anwar


Petikan Harakahdaily

BESERI, 21 Julai - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato' Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat untuk memilih menjadi orang cerdik dan tidak mudah terpengaruh dengan media yang digunakan untuk menipu rakyat.

Katanya, orang yang cerdik tidak akan percaya seluruhnya dengan sebarang dakyah yang disebarkan oleh media arus perdana yang cuba memperbodohkan rakyat.

"Orang yang cerdik akan menang, tapi yang kurang cerdik akan kalah dengan penipuan," ujarnya.

Anwar juga mengingatkan para kakitangan kerajaan yang bakal menerima kenaikan gaji pada bulan ini agar turut menjadi golongan yang cerdik.

"Kalau naik gaji, harga barang tak naik baru kita seronok. Tapi kalau gaji naik, barang pun naik, minyak pun naik kita seronok, itu tidak cerdik namanya," ujarnya.

Menurut Anwar, akhbar dan media cetak milik kerjaan Umno/BN hanya menghebahkan perkara yang baik tentang kerajaan dan perkara yang buruk tentang parti pembangkang.

"Membaca Utusan atau menonton RTM tidak akan membuatkan orang cerdik. Tidak ada yang lain yang disiarkan melainkan apa yang ada mengikut kerangka pemikiran Umno/BN.

"Mereka tidak memberikan gambaran yang betul. Kalau TV3 tunjuk benda yang betul tentang penyelwengan atau rasuah sudah tentu kalau bulan depan berlaku pilihan raya Umno akan kalah," jelasnya.

Anwar mengingatkan bahawa menjelang pilihan raya akan datang, kisah orang-orang PAS atau PKR yang keluar parti akan diulang-ulang oleh media.

Beliau menyingkap sejarah semasa pilihan raya umum tahun 1969 di kawasan Parit, Perka di mna wakil pAS, Cikgu Hashim Gera menentang Tan Sri Hussin Nordin dari Umno.

"Semasa itu, Tan Sri Hussin adalah Pengerusi Utusan Melayu dan tempoh berkempen adalah sebulan. Akhbar digunakan untuk menyebar dakyah orang keluar PAS dan masuk Umno.

"Setiap hari diberitakan ratusan orang keluar PAS masuk Umno. Sampai dekat hari mengundi bila dikira hampir 10 ribu sudah keluar PAS sedangkan ahli di situ ada 600 orang sahaja. Akhirnya Umno kalah dalam piliha raya tersebut," jelasnya.

Untuk itu katanya, kisah ini perlu diambil sebagai satu pengajaran agar PKR dan PAS dapat mengajar Umno/BN dalam pilihan raya akan datang untuk mengulangi balik pengalaman ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di program Sepetang Bersama Dato' Seri Anwar Ibrahim di Sekolah Rendah Islam At-Taqwa dekat sini.

Program anjuran Badan Perhubungan PKR Perlis itu dihadiri lebih 500 orang yang terdiri dari ahli dan penyokong PAS, PKR, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan juga ahli Umno.

Tuesday, July 17, 2007

Realisasikan tema "Merakyatkan Perjuangan" : PJ Perlis

Simbolik! Ustaz Hashim menyarungkan "vest" kepada seorang petugas PKU

KANGAR, 16 Jul - Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin menggesa para pemuda PAS agar menggiatkan usaha mendampingi orang ramai dalam usaha merealisasikan tema "Merakyatkan Perjuangan".


Katanya, pemuda PAS harus merubah strategi yang ada dengan menjadi lebih mesra rakyat dan berupaya menarik lebih banyak sokongan orang ramai kepada PAS khususnya di dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.


"Kita perlu jadi macam besi berani yang mampu menarik besi-besi yang lain, tapi jangan jadi besi buruk yang boleh ditarik oleh besi berani," katanya.


Selain itu, Ustaz Hashim menasihatkan para amilin pemuda agar tidak mudah termakan umpan yang dipasang oleh kerjaan Umno/Barisan Nasional (BN).


"Kerajaan yang ada sekarang ialah kerajaan yang suka menabur kebendaan kepada rakyat, jangan kita terpengaruh atau termakan umpan ini.


"Tapi jadilah seperti apa yang Tok Guru Nik Aziz sebut, bagi beras tanak, bagi kopi bancuh, bagi gula kacau, tapi prinsip perjuanga tidak digadai dengan semudahnya," ujarnya.


Beliau juga mengingatkan para pemuda bahawa golongan sasar perlu didekati, contohnya orang-orang tua di kampung yang kurang mendapat maklumat selain daripada radio dan tv.


"Mereka ni surat khabar pun tak baca, apatah lagi nak baca Harakah. Jadi mereka perlu didampingi dengan baik dan diberikan maklumat. Kita tak risau sangat dengan golongan pertengahan yang sudah celik ilmu dan celik maklumat," katanya lagi.


Ustaz Hashim berucap kepada para petugas pemuda dalam majlis pentauliahan Pasukan Kerja Utama (PKU) Pemuda PAS Perlis di Dewan Dato' Fadzil Noor, Balai Islam MADi dekat sini malam tadi.


PKU adalah istilah yang digunakan di Perlis sama seperti di tempat lain bagi Unit Kerja Jemaah (UKJ). Dalam majlis tersebut, 10 orang pemuda dari setiap Dun dalam negeri Perlis ditauliahkan sebagai anggota PKU yang bakal menjadi petugas utama dalam PRU akan datang.

RESPON ANGKATAN MUDA KEADILAN PERLIS BERKAITAN KENYATAAN MEDIA KHAIRY JAMALUDDIN ("KUBURKAN PKR")

Kenyataan Media
15 Julai 2007

Angkatan Muda KeADILan Rakyat Negeri Perlis (AMK) memandang serius tentang kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaludin yang disiarkan dalam Utusan Malaysia Sabtu, 14 Julai 2007 sebagai suatu kenyataan dangkal yang tidak berpijak di bumi yang nyata.

AMK Negeri Perlis ingin menyatakan bahawa persoalan sesiapa sahaja ahli Parti keADILan Rakyat (PKR) yang masuk atau keluar parti itu adalah suatu perkara biasa yang berlaku dalam mana-mana parti politik. Walaubagaimanapun, kita semua sedia maklum bahawa media arus perdana memang diarahkan oleh pihak tertentu untuk menyiarkan berita "sebahagian kecil" ahli PKR keluar parti, sedangkan ramai lagi ahli baru yang menyertai PKR langsung tidak akan disiarkan sama sekali. Dalam Umno sekalipun, ramai ahli parti berkenaan yang mengisytiharkan diri keluar dari Umno, namun ianya tidak didedahkan oleh media berkenaan.

Kami berpandangan bahawa Khairy tidak perlu bersusah payah untuk menguburkan PKR dalam pilihanraya umum yang akan datang, sebaliknya beliau harus memastikan supaya karier politik beliau sendiri tidak terkubur di dalam Umno terutama sekali dalam pemilihan Umno yang khabarnya akan diadakan pada tahun hadapan.

Awal-awal lagi kita semua sedia maklum terdapat beberapa cawangan Pemuda Umno di bahagian Rembau yang beliau sendiri menjadi ketuanya telah membuat usul undi tidak percaya kepada kepimpinan beliau tempohari sehinggakan mereka juga turut mencabar beliau untuk terus kekal bertanding sebagai ketua Pemuda Umno Bahagian Rembau pada tahun hadapan.

AMK Negeri Perlis ingin menegaskan bahawa Khairy sepatutnya menghitung karier politik beliau sendiri di dalam Umno daripada bertungkus lumus untuk menguburkan PKR, samada kariernya akan kekal ataupun terkubur sama sekali setelah berlaku perubahan dalam pucuk pimpinan negara pada suatu masa nanti.

Sejarah telah membuktikan bahawa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memegang jawatan selama 22 tahun yang diketahui mempunyai jasa yang besar dalam Umno pun boleh tewas dalam pemilihan G7 (perwakilan bahagian ke Perhimpunan Agung) Umno Bahagian Kubang Pasu pada tahun lepas setelah beliau tidak lagi mempunyai ‘kuasa’.

Apa sangatlah jika nak dibandingkan dengan Khairy yang baru setahun jagung berkecimpung sebagai menantu perdana menteri seterusnya dianugerahkan jawatan dalam Pemuda Umno setelah "kuasa" itu tiada suatu hari nanti.


Zamri Bin Sapar
Ketua AMK Negeri Perlis

Sunday, July 15, 2007

CERAMAH


SEPETANG BERSAMA ANWAR IBRAHIM DI PERLIS



Orang ramai dijemput ke program tersebut yang akan diadakan seperti berikut:

Tempat: Sekolah Rendah Islam Al-Taqwa, Beseri, Perlis.
Jam: 4.00 petang - 6.00 petang
Tarikh: 19 Julai 2007


Tetamu Khas: Dato' Seri Anwar Ibrahim

Untuk sebarang pertanyaan/maklum balas, sila hubungi:
017-471 4095 / 012-407 3996 / 019-434 2244

Thursday, July 12, 2007

Tambah anggota polis tidak jamin kadar jenayah turun

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 12 Julai (Hrkh) - Penambahan anggota pasukan polis di negara ini untuk menampung keperluan tidak menjamin penurunan kadar jenayah tanpa pelaksanaan syariat Islam, demikian kata Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Hashim Jasin.

Beliau mengulas cadangan kerajaan menambah dua lagi pusat latihan polis bagi menampung pertambahan anggota seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin.

Ustaz Hashim yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis melihat cadangan sedemikian tidak perlu jika undang-undang yang berlandaskan syariat Islam dilaksanakan di negara ini.

"Sebagai contoh, jika undang-undang jenayah Islam dapat dilaksanakan, dengan sendirinya hampir keseluruhan daripada masalah jenayah dan gejala sosial dapat diselesaikan," katanya.

Menurutnya lagi, apabila tiada pelaksanaan syariat Islam, kadar jenayah di negara ini berada pada tahap yang begitu membimbangkan.

"Kita menerima padahnya apabila syariat Islam ditolak," ujarnya.

Beliau berpandangan bahawa penambahan anggota polis dengan dibina pusat latihan tambahan ini tidak menjamin akan menurunkan kadar jenayah mahupun gejala sosial di negara ini.

"Ubatnya hanya satu jalan sahaja iaitu laksanakan undang-undang berasaskan syariat Islam," tegasnya.

Ditanya sama ada pelaksanaan syariat Islam ini akan mendatangkan kekeliruan bagi negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, Ustaz Hashim tidak melihat ini sebagai satu masalah.

Baginya, jika pelaksanaannya dibuat dengan penjelasan secara menyeluruh kepada rakyat, lama-kelamaan ianya akan dapat diterima umum.

"Saya yakin jika kita buat undang-undang Islam dan rakyat diberi penjelasan terlebih dahulu, mereka akan dapat menerimanya. Kita ambil contoh hukum bunuh untuk pengedar dadah, kini semua orang sudah faham dan dapat terima. Buat dulu baru tahu, selain dari itu, pahala pun dapat," jelasnya.

Sikap masyarakat perlekehkan SAR dikesali

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 6 Julai (Hrkh) - Masih ramai di kalangan masyarakat yang prejudis dan memandang rendah sistem pendidikan di Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Ini termasuk di kalangan mereka yang bergelar profesional di bidang pendidikan iaitu guru yang mengajar di sekolah-sekolah kerajaan.

Baru-baru ini berlaku insiden di mana pelajar SAR telah dipersendakan dan diperlekehkan oleh guru sekolah kerajaan ketika mereka menghadiri ujian Lisan Bahasa Inggeris untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pelajar-pelajar terbabit adalah dari Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiyah (MADI) yang telah menerima sidiran sinis dari guru yang mengendalikan ujian tersebut yang diadakan di Sekolah Rendah Stella Maris dekat sini.

Antara kata-kata yang dikeluarkan ialah, 'Buat apa mengaji di sekolah ni, bukan ada apa di sekolah tu', 'Mengaji di sekolah ni buka ada masa depan, esok nak kerja apa?'.

Menurut pelajar-pelajar yang terbabit, mereka juga diperlekehkan dengan keupayaan Bahasa Inggeris dengan kata, 'esok nak pi mengaji di Mesir macamana tak tahu Bahasa Inggeris, esok naik kapalterbang nak cakap apa?'.

Lebih menyedihkan terdapat juga kata-kata yang turut menghina dan memperlekehkan pelajar puteri yang memakai tudung labuh.

Menurut mudir MADI, Ustaz Zolkharnain Abidin, kejadian seumpama ini amatlah dikesali dan ini menunjukkan sikap prejudis mereka terhadap SAR.

"Ini berpunca dari sikap mereka sendiri yang memang anti kepada kewujudan sistem pendidikan di SAR," katanya.

Beliau yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat melihat penarikan balik wang perkapita kepada SAR oleh kerajaan lima tahun lalu adalah penyumbang besar kepada sikap masyarakat terhadap SAR.

"Akibatnya masih ramai yang mempunyai tanggapan negatif terhadap SAR," ujarnya.

Selain itu, beliau juga berpendapat ramai lagi di kalangan masyarakat yang masih tidak mendapat maklumat tentang perjalanan sistem pendidikan SAR.

"Ini juga berpunca dari sikap kerjaan sendiri yang terus memomokkan SAR. Akibatnya institusi pendidikan yang dulunya diasaskan oleh para ulama terus dipinggirkan dan dilupakan masyarakat," jelasnya.

Gambar separa lucah: DPP Perlis buat laporan Polis

Oleh Bashir Ishak
KANGAR, 3 Julai - Keghairahan akhbar-akhbar arus perdana menyiarkan gambar berunsur lucah melanggar tatasusila dan adat kesopanan masyarakat di negara ini.

Selain ruangan hiburan, ruangan sukan juga tidak kurangnya khusunya yang menyiarkan gambar menggiurkan para gadis litar dalam perlumbaan kenderaan bermotor.

Merujuk kepada ruangan sisipan akhbar Berita Harian, 30 Jun lalu yang memaparkan gambar aksi berunsur lucah gadis litar, Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) mewakili rakyat Malaysia amnya dan umat Islam khususnya tampil membuat laporan polis.

Rombongan DPPPs membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Kangar tengahari tadi.

Menurut Ketua DPPPs, Ustaz Ya'akub Abu Seman, laporan tersebut dibuat kerana ianya telah melanggar tatasusila dan adat kesopanan masyarakat bertamadun dan bercanggah dengan dasar agama Islam yang menjadi agama rasmi negara.

"Penyiaran gambar sebegini tidak menghormati sensitiviti umat Islam yang merupakan masyarakat majoriti di negara ini,"katanya.

Menurutnya, gambar sedemikian sebelum ini telah banyak kali ditegur oleh pelbagai pihak yang prihatin termasuk telah dibangkitkan di sidang parlimen.

"Namun pihak-pihak yang terbabit terutamanya kementerian yang terbabit, penganjur dan media seolah-olah tidak menghiraukan teguran tersebut," ujarnya.

Sehubungan itu katanya, DPPPs bimbang dalam isu-isu sebegini pihak kerajaan telah dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu yang hanya memikirkan keuntungan atau mempunyai niat jahat untuk merosakkan tatasusila rakyat dan kaum muslimin.

Justeru, DPPPs tampil membuat laporan polis memandangkan gambar sedemikian mengganggu sensitivi rakyat dan masyarakat Islam selain ianya jelas mengeksploitasi wanita dan jika dibiarkan akan mengundang gejala sosial yang lebih parah di kalangan muda-mudi khususnya.

"DPPPs berharap pihak polis akan membuat siasatan terhadap kementerian yang terbabit, pihak penganjur dan media yang bertanggungjawab menyiarkan gambar tersebut".

"Kita mahu penyiaran seperti itu diarahkan agar dihentikan demi menjaga kehormatan rakyat khususnya yang beragama Islam," kata Ustaz Ya'akub lagi.

DPP Perlis fokus dekat golongan muda untuk hadapi PRU 12

Oleh Peghelih La....

KANGAR- Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) akan menumpukan kepada empat fokus utama gerakerja bagi sesi ini khususnya bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Ketua DPPPs, Ustaz Ya'akub Abu Seman membentangkan empat fokus tersebut dalam ucaptamanya sempena sesi "brainstorming" DPPPs yang berlangsung kelmarin.


"Fokus pertama ialah untuk meramaikan para petugas pemuda sebanyak mungkin bagi menghadapi pilihanraya umum ke 12," katanya.

Katanya, pelbagai bentuk program bakal dirancang untuk mencapai tujuan tersebut termasuk mengadakan himpunan pemuda di setiap Dun sekerap mungkin dan memberi pentauliahan kepada petugas utama yang dilantik.

"Kita telah wujudkan Pasukan Kerja Utama (PKU) bagi pemuda di Dun dan mereka akan menjadi tonggak gerakan pemuda," jelasnya.

Menurutnya lagi, DPPPs telah merancang untuk memgadakan himpunan pemuda seluruh Perlis sedikit masa lagi.

Fokus kedua katanya ialah untuk memperhebatkan aktiviti atau gerakerja yang menumpukan usaha menarik lebih ramai pengundi muda menyokong PAS.

"Selain menganjurkan pelbagai aktiviti untuk golongan muda, Pemuda PAS juga akan tempat rujukan bagi golongan muda hari ini," ujarnya.

Sebagai usaha memperkasakan Dewan Pemuda, fokus ketiga DPPPs ialah melengkapkan oragnisasi pemuda di setiap peringkat daripada Dun hingga ke cawangan atau pangkalan.

Sementara itu, fokus keempat ialah elemen tarbiyah yang perlu digerakkan dengan lebih aktif dan kreatif.

"Tarbiyah akan digerakkan secara kebih menyeluruh di kalangan pemuda bagi melahirkan para amilin pemuda yang cekal dan ikhlas," katanya lagi.

Thursday, June 21, 2007

PENGUMUMAN PROGRAM

WACANA PENERANGAN

PENGHAKIMAN KES LINA JOY.... APA SIKAP KITA?

Oleh:
Cikgu Mohd Azmi Abdul Hamid (Presiden TERAS)
Ustaz Zolkharnain Abdin al-Hafiz (Exco Dewan Pemuda PAS Pusat)

Pada: Hari JUMAAT (22 JUN2007)
Tempat: SURAU TITI MIDIM, REPOH,KANGAR, PERLIS
Masa: 9.00 malam
SEMUA DIJEMPUT HADIR









Kabinet PAS Perlis kekal dengan sedikit rombakan

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 20 Jun - PAS Perlis mengekalkan hampir keseluruhan Ahli Badan Perhubungan (ABP) sesi lalu dengan sedikit rombakan.

Dalam mesyuarat Badan Perhubungan PAS Perlis yang dipengerusikan oleh Pesuruhjaya, Ustaz Hashim Jasin semalam, Ustaz Ahmad Ali dan Abdul Karim Mat Rejab dilantik semula sebagai Timbalan Pesuruhjaya.

Manakala Bendahari sesi lalu, Shukri Ramli akan mengisi satu lagi jawatan Timbalan Pesuruhjaya, manakala Hairy Hashim pula dilantik semula sebagai Ketua Penerangan.

Jawatan Setiausaha Badan Perhubungan kekal dipegang oleh Hisharuddin Hassan dan Mohd Ali Puteh pula dilantik sebagai Bendahari.

ABP yang dilantik ialah Hassan L. Othman, Zulkifli Arof, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, Abdul Zakaria, Ustaz Zolkharnain Abidin, Jaafar Daud, Adnan Din, Zulmi Sabri dan Wan Hassan Ismail.

ABP lain yang dipilih secara automatik dari Dewan-dewan ialah Ustaz Abdul Rashid Abdul Rahman (Ketua Ulama), Ustaz Ya'akub Abu Seman (Ketua Pemuda) dan Ustazah Siti Mariam Othman (Ketua Muslimat).

Begitu juga dengan Fakhrul Anwar (Setiausaha Ulama), Azmal Zaid (Setiausaha Pemuda), Shahirah Salleh (Setiausaha Muslimat), Ustaz Yahya Ahmad (Setiausaha Padang Besar), Ustaz Yussaine Yahya( Setiausaha Kangar) dan Ramli Ahmad (Setiausaha Arau).

Selain itu, turut diumumkan ialah Ketua-ketua lajnah dan jabatan di mana Ustaz Hashim sendiri akan mengetuai Lajnah Politik dan Pilihanraya.

Lain-lain lantikan ialah Ustaz Yussaine (Tarbiyah, Dakwah dan Perkaderan), Mohd Ali Puteh (Ekonomi dan Kewangan), Hairy Hashim (Penerangan dan ICT), Adnan Din (Pembangunan),Ustaz Zolkharnain (Hubungan Antara Kaum dan NGO), Jaafar Daud (Buruh, Petani dan Nelayan), Zulmi Sabri (Guaman dan Undang-undang) dan Wan Hassan Ismail (Pengguna dan Alam Sekitar).
Dalam pada itu, Abdul Karim Mat Rejab juga dilantik semula sebagai Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Perlis. Beliau juga akan menerajui Jabatan Khidmat masyarakat. Manakala Tajuddin Salleh kekal sebagai Pengerusi Badan Kebajikan PAS Perlis.

Golongan muda digesa sertai PAS, ubah persepsi masyarakat

KANGAR, 18 Jun - Golongan pemuda perlu keluar dari label pencetus masalah di dalam masyarakat, demikIan gesaan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman.

Katanya, generasi muda kini menjadi mangsa kepada sistem pendidikan negara yang pincang dari aspek pengukuhan akhlak dan moral.

"Bukan semua gologan muda bermasalah tetapi apabila berlaku pelbagai masalah sosial seperti lepak, pergaulan bebas, mat rempit dan sebagainya, golongan muda inilah yang terlebih dulu akan dilabelkan sebagai pencetus masalah," katanya.

Justeru katanya, golongan muda-mudi diajak untuk bersama-sama dengan PAS bagi mengubah persepsi masyarakat terhadap mereka.

"Marilah bersama-sama PAS melalui Dewan Pemuda atau Nisa' umpamanya untuk kita isi masa muda dengan aktiviti-aktiviti yang sihat dan bermanfaat kepada agama dan masyarakat.

"PAS bertangungjawab untuk membentuk golongan ini dan seterusnya merubah persepsi masyarakat yang sering melabelkan mereka sebagai bermasalah," katanya.

Ustaz Ya'akub berkata demikian dalam majlis ramah mesra dengan Pemuda Dun Indera Kayangan dekat sini hujung minggu lalu.

Program ini adalah sebahagaian daripada program DPP Perlis dan DPP Kawasan-kawasan untuk turun bertemu dengan pemuda di peringkat Dun bagi menyediakan jentera pemuda untuk menghadapi piliha raya umum akan datang.