Oleh BASHIR ISHAK
KANGAR - Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata tindakan akhbar Utusan Malaysia yang menyiarkan berita bertajuk "Mat Sabu hina pejuang". pada 27 Ogos lalu sebagai suatu pembohongan.
Menurutnya, Utusan Malaysia telah memutar belit dan menambah cerita daripada ceramahnya yang diadakan pada 21 Ogos lalu di Padang Menora, Tasek Gelugor.
"Berikutan dengan penyiaran berita itu, Radio dan Televisyen Malaysia serta TV3 terus menyiarkan dan membuat ulasan terhadap berita Utusan Malaysia itu, seolah-olah adalah penyokong perjuangan komunis bahkan saya adalah bapa komunis yang sebenar.
"Beberapa akhbar dan laman blog meminta komen saya terhadap kecaman pelbagai pihak terhadap saya dan saya memberitahu mereka bahawa saya akan membuat pendirian apabila saya mendengar kembali ucapan saya tersebut kerana berita Utusan Malaysia tersebut hanya disiarkan seminggu selepas tarikh ceramah.
"Setelah mendengar kembali ucapan saya dan dibandingkan dengan berita muka depan dan muka 5 Utusan Malaysia, serta kecaman-kecaman yang berterusan disiarkan Utusan Malaysia bertarikh 28 Ogos, maka saya dapati Utusan Malaysia telah memutar belit dan menambah cerita yang menimbulkan fitnah terhadap saya dan parti saya (PAS)," jelasnya pada sidang media yang diadakan di Kompleks PAS Perlis hari ini.
Ketika ditanya media tentang ucapannya, Mohamad berkata beliau tidak pernahpun menyebut Mat Indera itu sebagai seorang komunis sepertimana yang telah disiarkan oleh Utusan Malaysia.
"Selepas mendengar balik ucapan saya itu, didapati saya berlaku percanggahan dengan berita yang disiarkan Utusan Malaysia. Malah saya sendiri tak pernah dengarpun nama Goh Pen Tun seperti yang disiarkan.
"Berita itu telah ditokok-tambah sehingga menimbulkan kegelisahan orang ramai dan menyebabkan saya dikecam, diancam dan difitnah di atas penyiaran berita oleh Utusan Malaysia itu," jelasnya.
Sehubungan itu, Mohamad berkata beliau akan berbicang dengan peguamnya untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap Utusan Malaysia
"Insya Allah saya akan bertemu dan berbincang dengan peguam saya selepas hari raya untuk tindakan selanjutnya terhadap berita yang telah diselewengkan itu," katanya.
Mengulas lanjut isu ini, Mohamad berkata penyiaran berita seumpama ini adalah suatu taktik parti pemerintah dengan menggunakan media arus perdana untuk mengalihkan isu sebenar yang lebih besar seperti kepincangan sistem pilihanraya di negara ini.
"Saya tak nampak sangat penyiaran berita ini bertujuan untuk menjatuhkan saya mahupun PAS, tetapi yang lebih besarnya mereka telah digunakan untuk mengalihkan tumpuan rakya dari isu Suruhanjaya Pilihanraya, isu pendatang asing sebagai pengundi serta pembongkaran PAS dan Bersih tentang kotornya daftar pemilih di negara ini.
"Ini yang mereka cuba alihkan dari pandangan orang ramai khususnnya sokonganorang-orang Melayu. Jadi mereka guna ucapan saya yang telah diselewengkan itu untuk mengalihkan isu yang lebih besar," jelasnya lagi
No comments:
Post a Comment