Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Tuesday, May 17, 2011

Presiden PAS kekal, 6 layak tanding timbalan

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 17 Mei: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) mengekalkan jawatan presiden PAS tanpa bertanding, manakala enam orang dicalonkan untuk bertanding timbalan presiden dan 14 lagi untuk jawatan naib presiden.

Manakala 82 orang lagi dicalonkan untuk bertanding jawatan ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Demikian dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan yang juga Pengarah jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman pada sidang media di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Bagi jawatan timbalan presiden, enam orang yang dicalonkan termasuklah penyandangnya, Nasharudin Mat Isa.

Lima lagi yang dicalonkan ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, naib-naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Salahuddin Ayub,ahli jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Keenam-enam mereka turut dicalonkan untuk bertanding jawatan naib presiden bersama lapan yang lain iaitu:

1. Idris Haji Ahmad (ketua penerangan)
2. Mahfuz Omar (naib presiden)
3. Mazlan Aliman (AJK PAS Pusat)
4. Datuk Mohd Amar Abdullah (Exco Kerajaan Kelantan)
5. Mohd Hatta Md Ramli (Bendahari PAS Pusat)
6. Mujahid Haji Yusof Rawa (AJK PAS Pusat)
7. Nik Zawawi Nik Salleh (Ketua Peneranagn Dewan Ulamak)
8. Datuk Seri Nizar Jamaluddin (AJK PAS Pusat)

Mengikut perlembagaan PAS, seseorang itu hanya memerlukan dua pencalonan sahaja untuk melayakkan diri bertanding jawatan parti termasuk jawatan tertinggi iaitu Presiden dan Timbalan Presiden.

Pertandingan bagi jawatan AJK pusat adalah untuk 18 kerusi, manakala enam lagi kerusi AJK dilantik oleh parti.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pada sidang media sama berkata, surat tawaran akan dihantar kepada semua calon untuk mendapatkan pengesahan mereka sama ada menerima pencalonan tersebut atau tidak.

"Jadi mustahil kalau ada yang kata mereka tak tahu layak bertanding," katanya.

Tarikh tutup untuk membuat pengesahan adalah pada 26 Mei ini.

Pencalonan bagi jawatan utama parti ditutup pada 15 Mei lalu.

Katanya, PAS mempunyai 180 kawasan di seluruh negara dan 152 daripadanya menghantar pencalonan bagi jawatan utama namun enam borang ditolak menjadikan 146 pencalonan diterima.

Seramai 1,100 perwakilan akan menghadiri muktamar tahunan parti itu bermula 1 hingga Jun depan.

No comments: