"Padan dengan rakyat mengutuskan kasut ke atas muka presiden yang akan berhenti beberapa hari lagi. Kita menyedari bahawa kasut bukan budaya kita tetapi itulah budaya orang kaki lima yang mengajar pemimpin yang tarafnya kaki lima juga."
(Berikut adalah teks penuh ucapan Presiden PAS Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang ketika sidang Mesyuarat Khas di Dewan Rakyat 12 Januari lalu yang mengecam pencerobohan Israel ke atas Wilayah Gaza di Palestin)
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat dan seluruh yang hadir. Pertama saya mengucapkan syabas kerana sidang khas yang diadakan pada petang ini walaupun kita sedang bertanding di Kuala Terengganu, tetapi kita bersatu di sini.
Pada hari penamaan calon saya bermukabalah dengan Yang Berhormat Jelebu, Menteri Luar berbincang betapa perlunya kita mengadakan pendirian yang bersama kerana masalah ini masalah kemanusiaan dan masalah kebinatangan.
Berlakunya tindakan-tindakan yang di luar perikemanusiaan, pembunuhan yang kejam tanpa batas terhadap kanak-kanak, orang tua, orang awam yang uzur yang tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan dan tidak boleh ambil apa tindakan yang sepatutnya.
Bahkan dalam kajian haiwan ada binatang yang bersimpati kepada yang kecil dan yang tua. Tindakan yang berlaku di Gaza adalah satu tindakan yang sangat melampau dan tidak boleh diizinkan oleh masyarakat antarabangsa dan kita adalah sebahagian daripada masyarakat antarabangsa.
Oleh kerana itu kita lupakan pertelingkahan cabang, pertelingkahan pandangan dalam beberapa isu tetapi dalam perkara naluri kemanusiaan kita wajib bersatu. Langkah kita ini bukan fanatik kepada kaum walaupun kita menyedari bahawa ada negara yang dipengaruhi oleh Zionis meluluskan undang-undang anti semantic seolah-olah tidak boleh anti terhadap kaum Yahudi. Bermakna anti pada kaum lain tidak mengapa.
Alhamdulillah di negara kita tidak ada undang-undang yang seperti ini. Kita anti terhadap kaum-kaum yang tertentu. Sikap kita pada hari ini bukan benci kepada bangsa Yahudi tetapi benci kepada kezaliman yang dilakukan oleh golongan pelampau Zionis yang juga ditentang oleh kalangan orang-orang Yahudi sendiri.
No comments:
Post a Comment