Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Saturday, January 17, 2009

LEGA TAK JADI PILIHANRAYA KECIL SANGLANG


Oleh Bashir Ishak

Saat ini, ribuan petugas PAS/Pakatan Rakyat sedang bertungkus-lumus berkempen dan membuat persediaan untuk menghadapi hari pembuangan undi bagi Pilihanraya Kecil (PRK) P.036 Kuala Terengganu(KT).

Sebentar tadi, seorang sahabat lama menelefon penulis mengucapkan tahniah menyatakan PAS sudah menang berdasarkan suasana yang didengarnya daripada beberapa orang Umno yang berada di KT.

Beliau, anak seorang bekas Adun Umno mungkin menyatakan demikian bagi membuka bicara memandangkan sudah agak lama kami tidak bertemu.

Apapun baginya, walaupun mungkin berbeza pandangan politik, penulis dapat merasakan beliau juga tahu peluang PAS untuk menang di KT adalah cerah dan mungkin juga berharap PAS akan menang.

Daripada pandangan yang penulis baca melalui e-mail yang pernah dihantarnya ke mailing group kami (rakan-rakan semasa sekolah menengah dulu), beliau juga mewakili pandangan pengundi muda yang turut tidak berpuashati dengan pentadbiran kerajaan sekarang yang diterajui Umno.

PRK kali ini adalah yang kedua selepas Pilihanraya Umum (PRU) ke 12, 8 Mac tahun lalu.

Terdahulu, wakil rakyat pembangkang di Parlimen memperolehi Ketua yang baru apabila Dato' Seri Anwar Ibrahim menang di PRK Permatang Pauh.

Apapun, sebelum itu rakyat juga menunggu sebuah PRK yang akhirnya tidak jadi walaupian angin sudah mula bertiup.


Sepatutnya di Sanglang tapi sebaliknya......

Tanggal 16 September adalah satu tarikh yang menjadi tumpuan ramai. Selain hari penubuhan negara Malaysia, tarikh tersebut juga diuar-uarkan sebagai tarikh simbolik Pakatan Rakyat mengambil-alih pemerintahan negara ini.

Namun bagi penulis, tarikh tersebut lebih bermakna apabila Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin diisytiharkan secara sah menjadi wakil rakyat Dun Sanglang oleh Mahkamah Persekutuan.

Dalam PRU ke 12 yang lalu beliau yang sepatutunya memenangi kerusi Dun tersebut tetapi berlaku kesilapan sehingga SPR mengumumkan calon Bn sebagai pemenang.

Selepas difailkan petisyen, mahkamah pilihanraya di Kangar pada 18 Jun 2008 memutuskan kerusi Dun N.15 Sanglang dikosongkan tanpa mengisytiharkan Ustaz hashim sebagai pemenang yang mutlak.

Apapun, selepas difailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan, Alhamdulillah Ustaz Hashim dapat juga bergelar Yang Berhormat walaupun terpaksa menunggu lebih enam bulan dan mengangkat sumpah kira-kira dua bulan berikutnya (11 November).

Ketika diisytiharkan kerusi Dun Sanglang dikosongkan, maka cakap-cakap berkenaan PRK di Sanglang sudah mula kedengaran.

Pihak Umno/BN juga dilihat sudah melakukan gerakerja mereka termasuk mengadakan beberapa program pemimpin mereka turun bertemu rakyat di Dun Sanglang.

Bagi PAS Perlis sendiri, tidak dinafikan persiapan juga telah dibuat dengan rapinya.

Rumah-rumah penginapan sudah dicari, penempatan bagi petugas dari luar Perlis sudah diagihkan memgikut Peti Undi, pengumpulan isu-isu dan tak kurang pula beberapa siri ceramah gempur Sanglang sudah diadakan. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan, walaupun pada masa itu rayuan ke Mahkamah Persekutuan belum lagi difailkan.

Penulis sendiri juga sudah tercari-cari sebuah penempatan untuk dijadikan pejabat media dan ICT bagi sahabat-sahabat yang akan datang dari luar Perlis.

Apa jadi kalau berlaku PRK Sanglang?

Kalaulah keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 September itu tidak memihak kepada Ustaz Hashim, sudah tentu berlakunya PRK Sanglang.

Kelmarin penulis diberitahu oleh sahabat yang baru pulang dari Terengganu bahawa suasana di sana begitu sesak dengan orang ramai yang terdiri daripada petugas-petugas pilihanraya bagi parti-parti yang bertanding dan disesakkan lagi dengan kehadiran ribuan anggota polis.

Lantas terbayang di fikiran penulis terbayang bagaimana pula sekiranya berlaku PRK di Sanglang?

Dun Sanglang mempunyai pengundi tidak sampai lapan ribu orang iaitu lebih kurang sama banyak dengan jumlah pengundi wanita di Dun Ladang dalam PRK KT.

Dun Sanglang pula mempunyai hanya tujuh daerah mengundi (peti undi). Sekiranya semua negeri menghantar petugas ke Sanglang, maknanya setiap peti undi akan dijaga oleh dua buah negeri!!

Sekiranya kita memandu pada kelajuan 90 km sejam melalui sempadan Kedah-Perlis dari Sanglang, Kedah, kita sudah memasuki Dun Sanglang di Perlis dan tidak sampai lima minit kemudiannya kita akan tiba  ke Dun Simpang Empat pula. Itulah panjang Dun Sanglang. Lebarnya pula, dengan pemanduan yang sama, tidak lebih 10 minit. Itulah keluasan Dun Sanglang!!

Sebahagian besar kawasannya pula adalah dipenuhi dengan sawah bendang. Isyy tidak terlintas di fikiran bagaimana agaknya kesesakan yang akan terjadi sekiranya berlaku PRK Sanglang.

Begitu juga keadaan yang tegang akan berlaku lantara kawasan yang sempit  dan dipenuhi petugas-petugas parti... dan mungkin juga pihak polis yang datang berkhemah ala-ala di Padang Arafah. Tapi itu hanyalah satu bayangan penulis...

Syukur Alhamdulillah keputusan Mahkamah Persekutuan memihak kepada calon PAS.

Apapun bagi penulis.... leganya tak jadi PRK Sanglang.


Kini tumpuan rakyat beralih ke KT


Kisah Sanglang sudah berakhir bila Ustaz Hashim mengangkat sumpah sebagai Adun.

Kini tumpuan sepenuhnya adalah untuk memenangkan calon PAS, Abdul Wahid Endut di KT.

Insya Allah, satu lagi kerusi pembangkang akan bertambah di Parlimen selepas diumumkan keputusan PRK KT pada 17 Januari akan datang.

Kepada para petugas PAS/Pakatan Rakyat dan tak lupa juga kepada sahabat-sahabat wartawan yang berada di sana, dengan iringan doa diucapkan selamat bertugas buat kalian.

No comments: