ALOR SETAR: Usaha untuk menyatupadukan perbincangan sebagai satu negara yang tidak berhasil dan diskriminasi dari menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Negeri semasa Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu antara sebab utama kepada penubuhan Majlis Menteri Besar/Ketua Menteri bagi Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.
Perkara itu dinyatakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada sidang media selepas Persidangan Menteri-Menteri Besar Dan Ketua Menteri Kerajaan Negeri Bersama Kepimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, Sri Mentaloon, di sini pada 18 Januari lalu.
“Bila Perdana Menteri mengadakan satu mesyuarat berasingan dengan Menteri Besar-Menteri Besar Barisan Nasional, kita ada dua pilihan; sama ada kita balik ke negeri masing-masing atau kita merayau-rayau di bandaraya tersebut.
“Saya rasa kita telah begitu sabar dan tabah hati dalam masa setahun ini. Dengan harapan kita sebagai rakyat Malaysia yang telah dipilih oleh rakyat secara sah secara demokrasi bolehlah kita berbincang sebagai salah satu daripada Menteri Besar atau CEO negeri masing-masing.
“Tetapi kita selalu disisihkan, kita selalu diasingkan. Oleh sebab itu kita rasa terdesak. Ini bukan inisiatif kitalah, ini kita bukan nak sengaja cari pasal. Ini kita terdesak, terdesak kerana Perdana Menteri lebih lihat dari segi politik dan hanya adakan majlis yang tidak merangkumi Menteri Besar dan Ketua Menteri dari Pakatan Rakyat,” tegas beliau.
Ujarnya, pembentukan majlis itu juga bakal memberi satu harapan dan nafas baru lebih-lebih lagi selepas kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat pada Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu baru-baru ini.
Katanya juga, majlis bersama itu juga boleh mengurang sikap atau semangat kenegerian.
“Kerana kita semua nak menjurus ke arah satu negara sebagai satu warganegara Malaysia. Yang kedua kita harap dengan berkongsi kejayaan di negeri masing-masing, kita dapat kemajuan yang lebih ketara sesikit dan ketiga kalau ada sebarang masalah dan tentunya ada masalah ianya boleh diselesaikan secara bermusyawarah,” terangnya pada sidang itu.
No comments:
Post a Comment