Oleh Bashir Ishak
BESERI- Apabila propoganda atau hujah mereka sudah tidak lagi diterima rakyat, maka Umno / Barisan nasional (BN) mula menutup ruang demokrasi kepada parti pembangkang.
"Dulu mereka berhujah kalau undi PAS bolehkan buat pembangunan?, kalau PAS menang wanita tak boleh kerja serta menakutkan orang bukan Islam dengan PAS. Kini hujah macam tu tidak lagi diterima rakyat," demikian jelas Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Katanya, rakyat kini sudah sedar bahawa PAS mampu memerintah dengan baik seperti yang ditunjukkan di negeri Kelantan.
"Bila Tok guru Nik Aziz menerajui Kelantan, mereka mampu buat pembangunan walaupun tidak hebat, mampu membayar hutang dan kadar kemiskinan turun, maka orang melihat PAS mampu memerintah," jelasnya.
Menurutnya, bangsa asing juga sudah mulai bersama-sama dengan PAS. Ini terbukti apabila penubuhan kelab penyokong PAS di kalangan bangsa Cina, India mahupun Siam.
"Jika ini PAS mampu memerintah Malaysia. Tapi semestinya BN kata tidak dan mereka mulai menutup ruang demokrasi," katanya ketika berceramah di Sekolah Rendah Islam At-Taqwa dekat sini.
Mohamad mengingatkan bahawa pilihanraya kecil di Machap dan Ijok baru-baru ini adalah muqaddimah kepada bentuk pilihanraya umum yang bakal dihadapi tidak lama lagi.
Katanya, pemerintahan negara yang diterajui Umno/BN kini mirip penghujung pemerintahan Suharto di Indonesia apabila tentera dan polis digunakan semasa pilihanraya.
"Masa itu, rakyat Indonesia turun mengundi dalam pilihanraya di hujung senjata Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI). Kita pun sedang menuju ke arah itu.
"Buktinya di Ijok baru-baru ini. Polis dikerahkan sepenuhnya. Sekarang ni pilihanraya bukan parti lawan parti tapi parti lawan polis dan kerajaan," katanya lagi.
Selain itu katanya, bagi menyekat pengaruh gerakan Islam yang sedang bergelombang di kalangan rakyat, kerajaan yang berteraskan sekular juga akan menggunakan pendekatan Islam.
"Kaedah yang digunakan ialah penerapan nilai-nilai Islam seperti digunakan oleh Anwar Saddat di Mesir, Zia ul Haq di Pakistan dan Tun Mahathir di Malaysia.
"Begitu juga dengan Islam hadhari yang digunakan untuk mengekang pengaruh gerakan Islam seperti PAS," jelasnya.
Namun menurutnya, pemimpin-pemimpin Umno sendiri apabila sudah tidak berkuasa akhirnya mula mengakui pendekatan Islam ini hanyalah digunakan untuk mereka mengekalkan kuasa.
"Tun Mahathir sendiri mengakui Islam Hadhari ini tak ada dan yang ada adalah Islam syumul. Begitu juga Tun Ghafar Baba(Allahyarham) pun kata tak pernah dengar Islam Hadhari dari kecil sampai besar,' ujarnya.
Katanya lagi, senario ini dan perkembangan semasa menunjukkan bahawa kuasa Islam kini sedang muncul kembali.
"Sedarlah, apabila Islam dan politik bercantum maka kuasa Islam akan bangkit semula," sambungnya.
No comments:
Post a Comment