UCAPAN KETUA DEWAN PEMUDA PAS PERLIS SEMPENA MUKTAMAR DPP PERLIS KALI KE 32
بسم الله الرحمن الرحمن، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد:
Para ikhwah pemuda, sidang muktamar yang dirahmati Allah sekelian,
Setinggi-tinggi rasa syukur kita panjatkan kepada Allah kerana dengan izin dan kurnianya kita dapat berhimpun pada pagi ini. Dalam kesempatan berucap dalam Mesyuarat Agung Pemuda kali ini, saya rasa perlu untuk memperingatkan ikhwah sekelian –termasuklah diri saya sendiri- beberapa perkara asas dalam perjuangan kita. Dalam keghairahan kita berpolitik, adakalanya perkara-perkara asas ini kita abaikan menyebabkan pergerakan kita tidak sampai ke mana. Zaman dan strategi boleh berubah, namun ghayah perjuangan dan keperibadian para pejuang tidak seharusnya berubah.
Pertama; PAS sejak penubuhannya telah meletakkan suatu cita-cita perjuangan yang amat besar dan murni sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya (fasal 5); “Tujuan PAS ialah;
(1) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hakamnya menuju keredhaan Allah.
Cita-cita perjuangan yang bersifat Rabbani ini meletakkan PAS sebagai sebuah Hizbullah (Parti Allah) yang dijanjikan kemenangan oleh Allah dalam firmanNya;
“Merekalah itulah Hizbullah (pendokong-pendokong agama Allah). Ketahuilah! Sesungguhnya Hizbullahlah orang-orang yang diberi kejayaan (oleh Allah)”. (al-Mujadalah; 22)
Cita-cita perjuangan ini hendaklah sentiasa tersemat dalam hati sanubari kita; dingati setiap ketika dan dihayati setiap masa. Cita-cita ini lah yang membezakan kita dengan parti-parti yang lain. Semua parti berpolitik dan memberi khidmat kepada rakyat. Namun beza kita dengan mereka ialah kita melakukan semua itu kerana Allah dan kerana Islam. Prinsip kita bukan “Dari rakyat kepada rakyat dan untuk rakyat”, tetapi “Dari rakyat kepada Allah dan untuk agama”.
Kedua; Sekalipun kita meyakini PAS sebagai Hizbullah (Parti Allah), namun kejayaan PAS tetap bergantung kepada para amilin (petugas-petugas)nya. Sebuah parti yang bertaraf Hizbullah tidak akan berjaya jika pendokong-pendokongnya tidak memiliki sifat-sifat Hizbullah. Kejayaan Nabi Muhammad s.a.w. selain kerana perjuangan yang benar, sifat-sifat peribadi baginda dan para sahabat juga memberi kesan yang besar kepada kemenangan Islam. Sebagai renungan bersama, perhatikan apa yang disebut Allah tentang mereka;
“Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang (berjuang) bersamanya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat pada muka mereka - dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat dan juga di dalam Injil…”. (al-Fath; 29)
Untuk mendapat keperibadian Hizbullah yang kita maksudkan itu, tidak ada cara dan jalan yang mesti kita tempuhi melainkan melalui pentarbiahan. Setiap dari kita sebagai amilin (petugas) parti wajib mempunyai kesedaran untuk ditarbiah. Buat peringkat awal, letakkanlah pesuruhjaya kita dan ulamak-ulamak yang bergerak aktif dalam parti sebagai murabbi kita. Utamakan kuliah-kuliah mereka dari kuliah ustaz-ustaz yang sekadar mengajar ilmu agama tetapi tidak menerapkan ruh perjuangan dan pergerakan. Sebagai halatuju dalam mentarbiah diri kita sendiri, saya mencadangkan agar kita menjadikan 10 rukun bai’ah Imam As-Syahid Hasan al-Banna sebagai neraca dan ukuran bagi keperibadian yang ingin kita capai. (Rujuk lampiran di sebelah).
Ketiga; Sejak diasaskan PAS telah menjadikan Pilihanraya sebagai medan untuk menguji sejauhmana masyakakat dapat menerima dakwah dan dasar perjuangan PAS. Oleh demikian, kejayaan parti dalam Pilihanraya tidak harus diremehkan. Hal ini sekali lagi menuntut komitmen bersungguh-sungguh dari kita sebagai amilin-amilin muda parti. Menyedari Pilihanraya Umum Ke 12 semakin hampir, bermula saat ini kita perlu menyusun dan memperkemas kembali saf pergerakan pilihanraya pemuda. Unit-Unit Kerja Jamaah (UKJ) yang telah kita lancarkan sejak tahun lalu hendaklah digerakkan dan sasaran 10 petugas tetap UKJ di setiap cawangan hendaklah segera dicapai.
Akhirnya, kepada pemimpin yang bakal menerajui pemuda selepas ini saya mendoakan semoga Allah memberi kekuatan dan ketabahan kepadanya. Menjadi pemimpin memang suatu bebanan yang berat. Namun, di sebalik bebanan yang berat itu tersimpan untuk kita pahala yang menggunung yang tidak akan dapat dicapai oleh orang lain jika kita ikhlas dan merendah diri.
Sekian, Siiru ‘Ala Barakatillah. Selamat bermesyuarat agung.
Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil
Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis sesi 2005-2007
No comments:
Post a Comment