Alamat Baru Kami
Friday, May 25, 2007
Gaji naik: Kakitangan Awam jangan lupa tanggungjawab agama
"Tahniah kepada mereka tetapi kepada kakitangan beragama Islam jangan lupakan kewajipan menunaikan hak kepada agama seperti mengeluarkan zakat dan infak," seru ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman.
Katanya, dengan mengeluarkan zakat dan infak, golongan yang memerlukan seperti fakir miskin dan sebagainya dapat dibantu untuk meringankan beban hidup mereka.
Menurutnya, di sebalik memberikan kenaikan gaji kepada kakitangan awam, kerjaan perlu juga memikirkan survival golongan yang tidak menerima kenaikan gaji seperti mereka yang bekerja sendiri, buruh, petani, nelayan, guru pondok dan Sekolah Agama Rakyat.
Baginya, golongan ini juga turut menanggung beban kenaikan kos sara hidup tetpi tidak menerima kemudahan-kemudahan seperti yang dinikmati oleh kakitangan awam mahupun swasta.
"Rakyat jangan dibebankan dengan kenaikan harga barang keperluan. Setiap kali adanya kenaikan gaji atau pemberian bonus isu kenaikan harga barang akan timbul.
"Dan kerajaan sentiasa berjanji untuk membuat pemantauan. Pemantauan yang sering disebut perlulah lebih serius kerana hakikatnya harga barang akan terus naik,"katanya.
Sementara itu, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Zolkharnain Abidin menyeru agar kerajaan dapat menjamin kehidupan golongan yang tidak menikmati kenaikan gaji seperti kakitangan awam.
"Pastikan tiada kenaikan harga barang. Perkhidmatan kerajaan perlu diberikan percuma kepada golongan ini," katanya.
Menurutnya, kakitangan awam mendapat pelbagai kemudahan perkhidmatan awam seperti di hospital dengan percuma sedangkan rakyat yang lain perlu membayar.
"Jadi, kita sarankan agar mereka yang bukan kakitangan awam juga dikecualikan bayaran bagi perkhidmatan tertentu," serunya.
Selain itu, Ustaz Zolkharnain juga menyeru kerajaan agar memandang serius nasib golongan petani khususnya dalam aspek pemasaran produk pertanian.
"Beri jaminan agar produk pertanian dapat dipasarkan dengan baik kerana para petani juga menanggung pelbagai kos seperti anak benih, baja dan racun yang turut meningkat sedangkan produk yang dihasilakn tidak terjamin penjualannya," katanya lagi
ELAK BUDAYA POLITIKING DALAM PEMILIHAN PARTI
Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat Bahagian Padang Besar ingin menyatakan kebimbangan di atas politiking yang berlaku di dalam pemilihan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang bakal berlangsung Jumaat ini.
Kami membantah sekeras-kerasnya sebarang bentuk campurtangan kepimpinan parti di dalam pemilihan AMK. Biarlah perwakilan AMK sendiri yang menentukan siapa yang berhak dipilih oleh mereka tanpa perlu tunjuk ajar oleh sesiapapun.
AMK Bahagian Padang Besar menyeru agar semua pihak dalam AMK khususnya dan induk amnya supaya tidak menyemai bibit-bibit permusuhan antara satu sama lain yang berasaskan kumpulan atau bangsa atau ideologi masing-masing. Marilah kita berkongres dengan penuh semangat persaudaraan dan memfokuskan kepada agenda untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum yang dijangkakan akan diadakan dalam tahun ini juga.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah milik semua ahli dan pendokong keadilan dan kebenaran. PKR bukan milik mana-mana individu atau dinasti! PKR adalah parti yang memperjuangkan rakyat, bukannya sebuah parti yang ditubuh untuk memperjuangkan agenda peribadi sesiapapun.
Fokus kita wajib terarah kepada penggubalan satu polisi untuk kesejahteraan rakyat bukannya memperjuangkan agenda peribadi. Rakyat yang hari ini semakin dihimpit dengan kenaikan kadar inflasi dan kos hidup yang semakin tinggi amat memerlukan sebuah parti yang benar-benar ikhlas, telus dan amanah untuk menyelesaikan permasalahan mereka.
Di samping menjurus kepada memperjuangkan rakyat, kita juga wajib menyediakan pelan bertindak seberapa segera untuk memastikan pilihanraya umum kali ini benar-benar bebas dan adil.
AMK Bahagian Padang Besar menyokong sebarang agenda pilihanraya atau pilihan jalanraya demi menjatuhkan penguasa yang korup dan mementingkan ‘tauke’.
AMK Bahagian Padang Besar ingin mengucapkan selamat berkongres kepada seluruh perwakilan yang akan berkampung di Seremban pada hujung minggu ini. Kami mendoakan agar semangat kongres ini dapat diterjemahkan dengan kemenangan besar PKR dan rakan-rakan pembangkang dalam pilihanraya umum nanti.
Selamat berkongres.
AMK BAHAGIAN PADANG BESAR
Thursday, May 24, 2007
Pemuda dan Muslimat Perlis selesai lantikan portfolio
Dalam mesyuarat Jawatankuasa DPPPs kali yang pertama yang diadakan kelmarin, Azmal Zaid Ahmad Azmi dipilih sebagai Setiausaha, Sarudin Abu Bakar sebagai Bendahari dan Zulmi Sabri sebagai Ketua Penerangan.
Perlantikan ini merupakan rombakan kecil selepas perlantikan awal yang dibuat sebelum ini dalm mesyuarat khas yang diadakan sebaik sahaja selesai Muktamar DPPPs 1 Mei lalu.
Timbalan Ketua, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil diberikan portfolio Penyelidikan dan Risalah manakala Naib Ketua, Ustaz Yussaine Yahya bakal menerajui Lajnah Tarbiyah dan kepimpinan.
Lajnah Kebudayaan, Belia dan Sukan akan dipimpin oleh Hisham Hamid, Jabatan Amal oleh Ustaz Rosmadi Ramli dan Jabatan Pasti oleh Zahari Bakar.
Sementara itu, Ketua-ketua lajnah lain yang dilantik ialah Fakhrul Anwar Ismail (Kebajikan dan Kemasyarakatan), Zuhairi Johan (Pembangunan Remaja) serta Saiful Rani (Pengguna dan Alam Sekitar).
Muslimat belum lantik Setiausaha
Dalam perkembangan yang lain, Dewan Muslimat PAS Perlis (DMPPs) belum menyelesaikan sepenuhnya perlantikan portfolio selepas mesyuarat pertama mereka baru-baru ini.
Menurut Ketuanya, Ustazah Siti Mariam Othman, jawatan Setiausaha masih belum diisi berikutan tiada persetujuan untuk melantik calon yang sesuai.
"Jawatan Setiausaha akan diumumkan dalam masa yang terdekat ini dengan calon yang dicadangkan lebih muda dan berwibawa, " katanya.
Bagaimanapun,semua jawatan penting lain sudah diisi dengan Rahini Ali sebagai Bendahari, Noradilah Ismail sebagai Ketua Penerangan, Shahirah Salleh sebagai Ketua Nissa' dan Aishah Shamsuddin memegang portfolio Kebajikan dan Ekonomi.
Dalam Muktamar DMPPs yang berlangsung baru-baru ini, Siti Mariam terpilih sebagai Ketua, Latifah Mat sebagai Timbalan Ketua dan Amnah Abdul Rahman sebagai Naib Ketua.
Umno / BN tutup ruang demokrasi bila hujah gagal
"Dulu mereka berhujah kalau undi PAS bolehkan buat pembangunan?, kalau PAS menang wanita tak boleh kerja serta menakutkan orang bukan Islam dengan PAS. Kini hujah macam tu tidak lagi diterima rakyat," demikian jelas Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Katanya, rakyat kini sudah sedar bahawa PAS mampu memerintah dengan baik seperti yang ditunjukkan di negeri Kelantan.
"Bila Tok guru Nik Aziz menerajui Kelantan, mereka mampu buat pembangunan walaupun tidak hebat, mampu membayar hutang dan kadar kemiskinan turun, maka orang melihat PAS mampu memerintah," jelasnya.
Menurutnya, bangsa asing juga sudah mulai bersama-sama dengan PAS. Ini terbukti apabila penubuhan kelab penyokong PAS di kalangan bangsa Cina, India mahupun Siam.
"Jika ini PAS mampu memerintah Malaysia. Tapi semestinya BN kata tidak dan mereka mulai menutup ruang demokrasi," katanya ketika berceramah di Sekolah Rendah Islam At-Taqwa dekat sini.
Mohamad mengingatkan bahawa pilihanraya kecil di Machap dan Ijok baru-baru ini adalah muqaddimah kepada bentuk pilihanraya umum yang bakal dihadapi tidak lama lagi.
Katanya, pemerintahan negara yang diterajui Umno/BN kini mirip penghujung pemerintahan Suharto di Indonesia apabila tentera dan polis digunakan semasa pilihanraya.
"Masa itu, rakyat Indonesia turun mengundi dalam pilihanraya di hujung senjata Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI). Kita pun sedang menuju ke arah itu.
"Buktinya di Ijok baru-baru ini. Polis dikerahkan sepenuhnya. Sekarang ni pilihanraya bukan parti lawan parti tapi parti lawan polis dan kerajaan," katanya lagi.
Selain itu katanya, bagi menyekat pengaruh gerakan Islam yang sedang bergelombang di kalangan rakyat, kerajaan yang berteraskan sekular juga akan menggunakan pendekatan Islam.
"Kaedah yang digunakan ialah penerapan nilai-nilai Islam seperti digunakan oleh Anwar Saddat di Mesir, Zia ul Haq di Pakistan dan Tun Mahathir di Malaysia.
"Begitu juga dengan Islam hadhari yang digunakan untuk mengekang pengaruh gerakan Islam seperti PAS," jelasnya.
Namun menurutnya, pemimpin-pemimpin Umno sendiri apabila sudah tidak berkuasa akhirnya mula mengakui pendekatan Islam ini hanyalah digunakan untuk mereka mengekalkan kuasa.
"Tun Mahathir sendiri mengakui Islam Hadhari ini tak ada dan yang ada adalah Islam syumul. Begitu juga Tun Ghafar Baba(Allahyarham) pun kata tak pernah dengar Islam Hadhari dari kecil sampai besar,' ujarnya.
Katanya lagi, senario ini dan perkembangan semasa menunjukkan bahawa kuasa Islam kini sedang muncul kembali.
"Sedarlah, apabila Islam dan politik bercantum maka kuasa Islam akan bangkit semula," sambungnya.
Gagal tunai amanah, rakyat wajib tumbangkan BN
BESERI, 22 Mei - Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno wajib ditumbangkan segera kerana tidak nampak aspek kebajikan yang mereka berikan khususnya untuk Melayu-Islam di negara ini.
Gesaan ini diluahkan oleh Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin memandangkan Umno kini gagal memenuhi amanah mereka menjaga kepentingan umat Melayu dan Islam.
"Jika kita cakap tentang kebangsaan Melayu tiada kebajikan, begitu juga tiada kebajikan untuk orang-orang Islam di negara ini," katanya dalam ceramah di Sekolah Rendah Islam At-Taqwa malam tadi.
Menurutnya, kini kepentingan Islam dan Melayu di negara ini semakin hari semakin terhakis dan banyak benda-benda yang dibuat secara umum bergerak lebih kepada menghakiskan nilai-nilai Islam.
"Ingat Nabi s.a.w. sudah berpesan dahulu lagi bahawa ikatan Islam itu semakin terungkai satu demi satu bermula sistem pemerintahan dan akhirnya solat.
"Sekarang sistem pemerintahan sudah bertukar dari sistem yang dulunya adalah pemerintahan Islam berdasarkan al-Quran dan As-Sunnah. Tapi kini semakin dipinggirkan dan akhirnya dibuang," ingatnya.
Pesan Ustaz Hashim lagi, umat Islam jangan sibuk memperkatakan tentang perkara-perkara furuk dalam ibadah sedangkan permasalahan utama umat Islam diletakkan di sisi.
"Kita dok berbalah bab yang sudah diputuskan oleh ulama muktabar dahulu sedangkan Islam kini ditindas dan sekular menguasai negara. Ambil contoh di Turki, apabila sekular berkuasa Islam disekat sepenuhnya," katanya.
Menurutnya lagi, berdasarkan keadaan yang ada inilah PAS tampil dalam masyarakat untuk memperbetulkan sistem nilai yang semakin rosak ini
Padang Besar dan Kangar kekal muka lama
KANGAR- PAS Kawasan Padang Besar dan Kangar masing-masing mengekalkan hampir keseluruhan muka lama dalam Jawatankuasa Harian mereka.
PAS Padang Besar yang bermesyuarat baru-baru ini telah mengekalkan Ustaz Yahya Ahmad sebagai Setiausaha, Saad Seman sebagai Bendahari dan Daud Hassan sebagai Penolong Setiausaha.
Dalam pada itu,hanya satu sahaja pelantikan baru iaitu mantan Ketua Pemuda sesi lalu, Kamis Yub telah dilantik sebagai Ketua Penerangan.
Dalam mesyuarat Agung PAS kawasan kali ke-13 baru-baru ini, Abdul Karim Mat Rejab kekal dengan jawatan Yang DiPertua, Mohd Ali Puteh sebagai Timbalan Yang DiPertua dan Hassan Lebai Othman sebagai Naib Yang DiPertua.
Ustaz Abdul Rashid Abdul Rahman pula memgang jawatan Ketua Urusan Ulama, Sarudin Abu Bakar sebagai Ketua Pemuda dan Amnah Abdul Rahman sebagai Ketua Muslimat.
Tiada perubahan di Kangar
Sementara itu di Kangar, Ustaz Yussaine Yahya dipilih semula sebagai Setiausaha PAS kawasan.
Adnan Din juga kekal sebagai Bendahari, manakala Fakhrul Anwar Ismail dipilih semula sebagai Ketua Penerangan.
Pemegang jawatan lain yang kekal ialah Hairy Hashim (Yang DiPertua), Abdul Zakaria (Timbalan Yang DiPertua), Wan Hassan Ismail (Naib Yang DiPertua),Ustaz Salleh Adam (Ketua Urusan Ulama), Ustaz Yaakub Abu Seman (Ketua Pemuda) dan Ustazah Siti Mariam Othman (Ketua Muslimat).
Arau selesai lantikan AJK Harian
Jawatan Ketua Penerangan pula disandang oleh Ramli Awang menggantikan Ketua Penerangan sesi lalu, A. Haris Sulaiman yang beralih ke jawatan Bendahari.
Dalam pada itu, Jaafar Ariffin dilantik sebagai Penolong Setiausaha dan Hassan Majid dilantik semula sebagai Ketua Keselamatan PAS Kawasan.
Jawatan tertinggi lain sebelum ini sudah diisi dengan Ustaz Ahmad Ali kekal sebagai Yang DiPertua, Abu Bakar Ali sebagai Timbalan Yang DiPertua dan Jaafar Daud Naib Yang DiPertua.
Ustaz Che Nordin Che Mat pula memegang jawatan Ketua Urusan Ulama, Zulmi Sabri sebagai Ketua Pemuda dan Latifah Mat sebagai Ketua Muslimat.
Sementara itu, perlatikan portfolio lain termasuk ketua-ketua lajnah masih belum dibuat.
Pendidikan bermatlamat perperiksaan gagal didik akhlak
Pengabaian pendidikan agama secara serius dan menyeluruh di samping asakan pelbagai bentuk hiburan yang melekakan menjadikan generasi muda hari ini semakin terpesong dari landasan.
Hasilnya, pelbagai gejala sosial berlaku termasuk pergaulan bebas dan zina yang berleluasa sehingga melahirkan ramai anak luar nikah dan suburnya budaya buang bayi di dalam masyarakat.
Semua senario yang digambarkan di atas merupakan satu barah yang melanda rakyat di negara ini khususnya umat Islam, demikian kataKetua Dewan Pemuda PAS Perlis yang baru, Ustaz Ya'akub Abu Seman.
Beliau berpendapat sudah sampai masanya umat Islam kembali kepada undang-undang yang disyariatkan oleh Allah SWT bagi membendung pelabagai masalah yang berlaku."Pelbagai kaedah boleh dicuba tetapi sebaik-baik jalan ialah kembali kepada Islam dan syariatnya yang diperintah oleh Allah," katanya memberi respon terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang ingin menubuhkan unit untuk membendung gejala buang bayi.
Katanya lagi, masalah sosial seperti pembuangan bayi ini perlukan satu usaha penggembelengan tenaga dan pemikiran dari pelbagai pihak untuk mencari jalan penyelesaian.
"Pemikir-pemikir Islam diseru agar berusaha mencari jalan penyelesaian ke atas pelbagai konflik yang sedang melanda masyarakat hari ini," jelasnya.
Selain itu, beliau melihat penglibatan pelbagai kaum dan agama juga perlu bagi mencari jalan penyelesaian bersama di sebuah negara majmuk seperti Malaysia.
"Begitu juga, tokoh-tokoh Islam perlu bersatu dengan tokoh agama lain seperti Buddha atau Kristian bagi mencari satu penyelesaian bersama kerana masalah sosial ini bukannya masalah pokok Islam sahaja," serunya lagi.
Monday, May 07, 2007
Hairy Hashim kekal YDP Kangar
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa telah merasmikan mesyuarat Agung kali ke 32 PAS kangar di Markas PAS Titi Midin dekat sini.
Friday, May 04, 2007
Dewan Muslimat turut mendapat ketua baru
Beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat Kangar akan dibantu oleh Latipah Mat sebagai Timbalan Ketua dan Amnah Abdul Rahman selaku Naib Ketua.
Muktamar Dewan Muslimat Perlis kali ke 32 itu telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.
Sekitar Muktamar DPP Perlis Di Dewan HPA Jejawi Dalam
Ustaz Ya'akub ketuai DPP Perlis
Muktamar kali ke 32 DPPPs yang berlangsung di Dewan HPA Jejawi Dalam dekat sini kelmarin menyaksikan tiga orang ulama muda akan menerajui DPPPs.
Thursday, May 03, 2007
KEMBALI MENGHAYATI ASAS-ASAS PERJUANGAN
بسم الله الرحمن الرحمن، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد:
Para ikhwah pemuda, sidang muktamar yang dirahmati Allah sekelian,
Setinggi-tinggi rasa syukur kita panjatkan kepada Allah kerana dengan izin dan kurnianya kita dapat berhimpun pada pagi ini. Dalam kesempatan berucap dalam Mesyuarat Agung Pemuda kali ini, saya rasa perlu untuk memperingatkan ikhwah sekelian –termasuklah diri saya sendiri- beberapa perkara asas dalam perjuangan kita. Dalam keghairahan kita berpolitik, adakalanya perkara-perkara asas ini kita abaikan menyebabkan pergerakan kita tidak sampai ke mana. Zaman dan strategi boleh berubah, namun ghayah perjuangan dan keperibadian para pejuang tidak seharusnya berubah.
Pertama; PAS sejak penubuhannya telah meletakkan suatu cita-cita perjuangan yang amat besar dan murni sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya (fasal 5); “Tujuan PAS ialah;
(1) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hakamnya menuju keredhaan Allah.
Cita-cita perjuangan yang bersifat Rabbani ini meletakkan PAS sebagai sebuah Hizbullah (Parti Allah) yang dijanjikan kemenangan oleh Allah dalam firmanNya;
“Merekalah itulah Hizbullah (pendokong-pendokong agama Allah). Ketahuilah! Sesungguhnya Hizbullahlah orang-orang yang diberi kejayaan (oleh Allah)”. (al-Mujadalah; 22)
Cita-cita perjuangan ini hendaklah sentiasa tersemat dalam hati sanubari kita; dingati setiap ketika dan dihayati setiap masa. Cita-cita ini lah yang membezakan kita dengan parti-parti yang lain. Semua parti berpolitik dan memberi khidmat kepada rakyat. Namun beza kita dengan mereka ialah kita melakukan semua itu kerana Allah dan kerana Islam. Prinsip kita bukan “Dari rakyat kepada rakyat dan untuk rakyat”, tetapi “Dari rakyat kepada Allah dan untuk agama”.
Kedua; Sekalipun kita meyakini PAS sebagai Hizbullah (Parti Allah), namun kejayaan PAS tetap bergantung kepada para amilin (petugas-petugas)nya. Sebuah parti yang bertaraf Hizbullah tidak akan berjaya jika pendokong-pendokongnya tidak memiliki sifat-sifat Hizbullah. Kejayaan Nabi Muhammad s.a.w. selain kerana perjuangan yang benar, sifat-sifat peribadi baginda dan para sahabat juga memberi kesan yang besar kepada kemenangan Islam. Sebagai renungan bersama, perhatikan apa yang disebut Allah tentang mereka;
“Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang (berjuang) bersamanya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat pada muka mereka - dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat dan juga di dalam Injil…”. (al-Fath; 29)
Untuk mendapat keperibadian Hizbullah yang kita maksudkan itu, tidak ada cara dan jalan yang mesti kita tempuhi melainkan melalui pentarbiahan. Setiap dari kita sebagai amilin (petugas) parti wajib mempunyai kesedaran untuk ditarbiah. Buat peringkat awal, letakkanlah pesuruhjaya kita dan ulamak-ulamak yang bergerak aktif dalam parti sebagai murabbi kita. Utamakan kuliah-kuliah mereka dari kuliah ustaz-ustaz yang sekadar mengajar ilmu agama tetapi tidak menerapkan ruh perjuangan dan pergerakan. Sebagai halatuju dalam mentarbiah diri kita sendiri, saya mencadangkan agar kita menjadikan 10 rukun bai’ah Imam As-Syahid Hasan al-Banna sebagai neraca dan ukuran bagi keperibadian yang ingin kita capai. (Rujuk lampiran di sebelah).
Ketiga; Sejak diasaskan PAS telah menjadikan Pilihanraya sebagai medan untuk menguji sejauhmana masyakakat dapat menerima dakwah dan dasar perjuangan PAS. Oleh demikian, kejayaan parti dalam Pilihanraya tidak harus diremehkan. Hal ini sekali lagi menuntut komitmen bersungguh-sungguh dari kita sebagai amilin-amilin muda parti. Menyedari Pilihanraya Umum Ke 12 semakin hampir, bermula saat ini kita perlu menyusun dan memperkemas kembali saf pergerakan pilihanraya pemuda. Unit-Unit Kerja Jamaah (UKJ) yang telah kita lancarkan sejak tahun lalu hendaklah digerakkan dan sasaran 10 petugas tetap UKJ di setiap cawangan hendaklah segera dicapai.
Akhirnya, kepada pemimpin yang bakal menerajui pemuda selepas ini saya mendoakan semoga Allah memberi kekuatan dan ketabahan kepadanya. Menjadi pemimpin memang suatu bebanan yang berat. Namun, di sebalik bebanan yang berat itu tersimpan untuk kita pahala yang menggunung yang tidak akan dapat dicapai oleh orang lain jika kita ikhlas dan merendah diri.
Sekian, Siiru ‘Ala Barakatillah. Selamat bermesyuarat agung.
Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil
Kepimpinan DPP Kangar 2007-2009
Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke 32 DPP Kangar
Wednesday, May 02, 2007
YDP ARAU, PADANG BESAR KEKAL
KANGAR, 30 April (Hrkh) - Tiada perubahan pucuk pimpinan yang berlaku di Padang Besar dan juga Arau pada mesyuarat agung masing-masing hujung minggu lalu.
PAS Kawasan Arau yang bermesyuarat agung kali ke 33 Sabtu lalu menyaksikan Ustaz Ahmad Ali menang tanpa bertanding jawatan Yang DiPertua.
Begitu juga dengan jawatan Timbalan dan Naib Yang DiPertua yang tiada pertandingan disandang oleh Abu Bakar Ali dan Jaafar Daud masing-masing.
Mesyuarat Agung tersebut berlangsung di Sekolah Rendah Islam l-Furqan, Padang Siding dan dirasmikan oleh Penegerusi Tetap PAS, Ustaz Abu Kassim Abdullah.
Sementara itu di Padang Besar, Abdul Karim Mat Rejab terus menerajui PAS kawasan setelah juga menang tanpa bertanding.
Hj Abdul Karim
Beliau akan dibantu oleh Mohd Ali Puteh dan Hassan Lebai Othman selaku Timbalan dan Naib Yang DiPertua yang turut mengekalkan jawatan masing-masing tanpa pertandingan.
PAS Padang Besar mengadakan mesyuarat agungnya kali yang ke 13 di Sekolah Rendah Islam At-Taqwa Ahad lalu dan dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mahfuz Omar.