Ulama diseru sepakat hadapi permasalahan umat Islam
Oleh Bashir Ishak
Oleh Bashir Ishak
Petikan : Harakahdaily
KANGAR, 28 Nov (Hrkh) - Pelbagai permasalahan besar yang melanda umat Islam pada zaman ini perlu ditangani dengan menggembeleng tenaga semua pihak khususnya para ulama.
Justeru, para ulama serta individu yang bertanggungjawab dalam bidang agama diminta agar memberi penumpuan khusus bagi menyelesaikan masalah ini dengan mengenepikan perbedaan pendapat, demikian seru Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Ahmad Ali.
Katanya, memang terdapat perselisihan mazhab dan pandangan oleh para ulama terdahulu dalam bidang agama khususnya yang melibatkan ilmu fekah, tetapi perbezaan pandangan sebegini tidak boleh diperbesarkan sehingga melemahkan umat keseluruhannya.
"Umat Islam tidak akan lemah kerana baca Bisimillah kuat atau pelan dalam solat, juga tidak lemah kerana berqunut subuh.
"Tapi umat Islam akan jadi mundur kerana sering mempertikaikan perkara-perkara furuk atau khilaf dalam agama sedangkan setiap pandangan itu ada hujahnya tersendiri mengikut ulama," katanya.
Tegasnya, banyak perkara besar yang perlu diberi perhatian pada masa ini seperti gejala sosial, rosak akhlak dan yang paling membimbangkan ialah gejala riddah atau murtad.
"Sudah sampai masanya satu penyatuan atau kesepakatan sejagat dicapai untuk memperbetulkan keadaan demi masa depan umat Islam. Bukan masanya untuk kita mempertikaikan perkara-perkara kecil," sambungnya lagi.
Ustaz Ahmad juga menyeru golongan cerdik-pandai dalam bidang agama agar berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang hujah khususnya yang membabitkan ulama-ulama zaman silam.
"Jangan kita mudah untuk mempertikaikan ulama terdahulu seperti imam-imam mazhab. Mereka berada pada kurun yang lebih dekat dengan Rasulullah s.a.w., ilmu yang mereka ada sanadnya lebih jelas dan hampir dengan zaman Nabi," katanya.