Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Monday, April 13, 2009

Md Isa 'produk haram' Umno, kata Hashim


Malaysiakini melaporkan Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh menyatakan Datuk Seri Shahidan Kassim sepatutnya menjadi menteri besar kerana beliau dilantik sebagai pengerusi perhubungan Umno Perlis.

Sambil menyifatkan Datuk Seri Dr Md Isa Sabu sebagai "produk haram" tradisi Umno, Hashim berkata, menteri besar itu harus melihat sejarah Umno di mana pengerusi perhubungan negeri, selalunya dilantik memegang jawatan tersebut.

"Salah faham oleh Md Isa. Pengerusi perhubungan sepatutnya jadi MB.

"Amalan dalam parti Umno, jawatan MB diserahkan kepada pengerusi perhubungan negeri. (Md Isa dilantik) MB masuk jalan bagaimana?” kata Hashim, mengulas kenyataan Md Isa yang mahu menteri besar turut dilantik sebagai pengerusi perhubungan bagi memudahkan penyelarasan.

"Beliau jadi MB bukan mengikut norma dan sistem dalam Umno. Dia adalah 'produk haram' dalam sistem parti.

"Md Isa tak ada merit untuk cakap (soal ini) kerana dia langgar sistem dan peraturan parti," tambah Hashim.

Md Isa berkata demikian semalam sebagai mengulas cadangan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mahukan jawatan pengerusi perhubungan Umno negeri dikembalikan kepada menteri besar.


Peneraju Umno negeri

Md Isa dilaporkan berkata, sewajarnya pentadbiran dan politik berada di bawah satu kepimpinan di peringkat negeri.

Menurut Md Isa lagi, jika menteri besar atau ketua menteri tidak dilantik sebagai pengerusi badan perhubungan Umno, sudah pasti penyelarasan sukar dilakukan dalam hal-hal pentadbiran berkaitan politik.

"Terpulang kepada presiden Umno untuk menentukan siapa yang akan dilantiknya sebagai peneraju Umno di negeri ini," Md Isa dipetik berkata.

Hashim berkata lagi, Md Isa menjadi menteri besar kerana lapan ADUN BN negeri itu – daripada 15 wakil rakyat - membuat keputusan yang bercanggah dengan keputusan parti yang mahukan Shahidan meneruskan jawatannya sebagai menteri besar selepas pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Sambil menyifatkan kenyataan Md Isa itu sebagai "amat pelik" dan "memutar belit sejarah", Hashim berkata, kenyataan menteri besar itu juga bercanggah dengan hasrat Umno untuk melakukan transformasi.

"Md Isa perlu berhenti bercakap perkara tersebut, kerana kenyataan tersebut bercanggah dalam era tranformasi dalam Umno," katanya.

'Tumpu pada tugas'

Beliau menasihatkan ADUN Bintong itu menumpukan tugas beliau untuk memajukan Perlis, di samping berlapang dada dengan mengiktiraf jasa Shahidan sewaktu memegang jawatan tersebut.

"Tak perlu bergaduh. Sepatutnya beliau tarik (pemimpin Umno negeri) bekerja bersama-sama, bukan bertindak meminggir dan menyisihkan orang yang dilihat rapat dengan Shahidan," katanya.

Walaupun lebih setahun sebagai menteri besar Perlis, Md Isa belum lagi dilantik pengerusi badan perhubungan Umno seperti tradisi di negeri-negeri lain.

Md Isa dan Shahidan terperangkap dalam perang politik susulan keputusan mengejut istana Arau membelakangkan bekas menteri besar itu selepas BN menguasai kembali Perlis, Mac tahun lepas.

Gejala yang sama berlaku di Terengganu apabila istana mengangkat Datuk Ahmad Said bagi menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh.

Bagaimanapun Idris melepaskan jawatan pengerusi badan perhubungan Umno kepada Ahmad tidak lama selepas itu.

Terkini dari Dewan Undangan Negeri Perlis

Sidang Dun Perlis pagi tadi menyaksikan Shahidan sekali lagi menguasai suasana dewan dengan berucap lebih sejam.

Dalam ucapannya beliau seperti biasa melalut tentang apa yang pernah dibuatnya dahulu.

Beliau juga menyuarakan ketidakpuasan hati tentang beberapa perkara termasuk kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan perlantikan JKKK baru.

Selain menghentam dua orang wakil PAS di DUN Perlis, beliau hanya membangkitkan perkara-perkara lama yang menjelekkan orang-ramai yang hadir termasuk di kalangan Ahli Dewan sendiri.

Pada awal ucapannya, beliau turut bertelagah dengan Adun Santan yang juga Exco Kerajaan Negeri, Sabry Ahmad....

Apapun bila ditanya oleh Adun PAS dari Simpang Empat, Rus'sele Eizan tentang samada beliau bersedia bersetuju jawatan Pengerusi Perhubungan Umno diserahkan kepada Md Isa, Shahidan berkata beliau tidak kisah....

Laporan lanjut menyusul .........

Sunday, April 12, 2009

Kecelaruan Penstrukturan Kabinet

Ramai yang rasanya pening kepala dengan penstrukturan serta penyerapan sesetengah jabatan dengan kementerian yang menyerapnya. Sesetengah daripadanya nampak seperti tidak teratur dan efisyen tanpa ada Ketua Setiausaha untuk mengepalainya.

Contoh yang ingin aku kemukakan ialah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD).

Mengapakah kementerian ini dibubarkan? Bukankah asal penubuhan MECD untuk membantu golongan usahawan terutamanya golongan bumiputera dalam bidang perniagaan?

Wajarkah sebuah kementerian yang sebelum ini menyelia dan menyalurkan pelbagai jenis bantuan kepada usahawan baru untuk mendapat lesen, pinjaman, latihan dan bimbingan di bawah satu bumbung dipecah serta dipisahkan?

Mara dan koperasi kini diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri, manakala LPKP di bawah JPM dan PKK di bawah JKR. Jelas bahawa keputusan ini bukannya bertujuan untuk memudahkan rakyat, sebaliknya menyusahkan rakyat yang terpaksa berurusan dengan pelbagai kementerian berlainan.

Apakah rakyat terlalu paloi untuk menilai penyerapan agensi-agensi ini, ke kementerian berlainan yang langsung tiada kena mengena dengan jabatan serta aktiviti mereka? Persoalannya, berapa banyak koperasi yang hendak di antarabangsakan? Adakah Mara ditubuhkan semata-mata untuk membantu perniagaan antarabangsa dan bukannya untuk membantu peniaagaan Melayu tempatan? Banyak sangat ke orang Melayu yang berniaga hingga ke luar negara? Atau mungkinkah hanya Melayu yang berniaga di peringkat global sahaja yang hendak dibiayai oleh Mara?

Begitu jugalah halnya dengan LPKP, mengapa ia tidak diletakkan saja di bawah Kementerian Pengangkutan seperti PKK yang diletakkan di bawah JKR?

Janganlah sewenang-wenangnya menukar sesebuah kementerian tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat. Adakah ini sifat sebuah kerajaan yang mesra rakyat?

Kononnya wujud PSI bagi Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik? Bagaimana pula PSI di kalangan kakitangan awam? Bukankah mereka juga memainkan peranan penting sebagai pelaksana dasar kerajaan?

Lu fikirlah sendiri.....

JAMIL KHIR SEBAGAI MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI UNTUK BACA TALQIN

Dipetik dari blog Ustaz Idris Ahmad

Confirm Mejar Jeneral (B) Jamil Khir Umno. Kawan lama saya sewaktu di Maktab Mahmud Alor Setar. Kemudian beliau belajar di Akademik Islam Universiti Malaya. Dia senior saya 2 tahun. Bapa dan adik beliau Pas totok. Ayah pernah menjadi AJK Pas Kawasan Jerai. Adiknya pula pernah menjadi Ketua Pemuda Pas Kawasan.


Saya pernah diberitahu oleh Kapten (B) Ustaz Jamsari (Pengarah Unit Amal Pusat), bahawa Jamil Khir ini kaki mengampu dalam KAGAT. Kami yang berfikrah Pas dalam Kagat, cukup menyampah dengan beliau dan mereka beritahu kepada saya memang dia Umno.


Saturday, April 11, 2009

Kisah MB Perlis dan Arumugam

Kesian dengan Menteri Besar Perlis...

Kisahnya, ketika puluhan wartawan dan jurufoto bersedia menunggu kepulangan bekas Exco Kedah dan Adun Bukit Selambau, V. Arumugam di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Dato' Seri Dr Md Isa Sabu pun turun dari kapal terbang yang sama.

Semasa dia keluar, tidak ramai yang perasan bahawa dia adalah MB Perlis... mungkin semua sibuk menunggu Arumugam kot...

Mujurah ada dua orang wartawan dari Perlis yang menegurnya...

Lepas tu ada pulak yang buat lawak, tanya "Di Perlis tak ada airport ka???"...

Tak lama selepas itu, Arumugam pun muncul... Disambut dengan paluan gendang dan tiupan  serunai oleh kaum India. Dikalungkan bunga malai...

Disambut pula oleh Speaker Dun Kedah dan Adun baru Bukit Selambau, S.Manikumar..



Respon kepada Menteri belia dan Sukan yang baru

Kembalikan Kepercayaan Belia Terhadap K'jaan Cabaran Terbesar Shabery

PETALING JAYA, 10 April (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata usaha untuk mengembalikan kepercayaan golongan belia terhadap kerajaan adalah cabaran paling besar yang perlu dipikul dalam portfolio barunya itu.

Beliau berkata ia berdasarkan pemerhatiannya terhadap keputusan pilihan raya umum lepas, diikuti semua keputusan pilihan raya kecil yang memperlihatkan rasa tidak senang hati golongan muda terhadap Barisan Nasional (BN).

Baca di sini>>>

<<<<<<<<>>>>>>>>

Komen Penghulu Peghelih La....

"BUATLAH APAPUN...ORANG MUDA DAH TAK MAU KAT Umno/BN...DEPA DAH MELUAT DENGAN HANGPA...PARTI YANG SARAT DENGAN RASUAH, PENYELEWENGAN, SALAHGUNAKUASA, PARTI SAMSENG PERAMPAS KUASA KERAJAAN YANG SAH... DAN LAIN-LAIN LAGI"


Apa kata TPj tentang perubahan pimpinan Umno?

Turun padang, dekati golongan muda

BESERI- Pemuda PAS diminta agar tidak duduk dalam keadaan selesa dalam keadaan imej Menteri Besar Perlis yang berbeza dari yang terdahulu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman memberikan peringatan demikian dengan mengingatkan bahawa Umno tetap sama walaupun bertukar pimpinan dengan imej yang berbeza.

"Mereka tetap datang dari saluran yang sama, jadi kita janganlah tertipu. Jadi janganlah kita sekadar menjadi pemerhati atau duduk berteori sahaja tanpa melakukan apa-apa," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-13 Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Padang Besar di Sekolah Rendah Islam AT-Taqwa di sini 5 April lalu.

Justeru beliau meminta jentera Pemuda PAS agar bersedia untuk turun padang untuk mendekati masyarakat khususnya golongan muda.

"Sebagai pemuda gerakan Islam, kita perlulah bersedia mengambil kesempatan ini untuk bersama-sama mendekati golongan muda. Masih ramai dari mereka masih berada di dalam kejahilan.

"Jangan biarkan mereka terus lalai, berpeleseran dan bergelumang dengan mungkar dan maksiat. Sudah sampai masanya kita sama-sama menghulurkan tangan, menarik mereka keluar dari dari alam jahiliyah," serunya.

Mesyuarat Agung DPP Padang Besar pada tahun ini menyaksikan Sarudin Bakar kekal sebagai Ketua, manakala Naib Ketua sesi lalu, Md Rodzi Ismail kini mengisi jawatan Timbalan Ketua.

Sementara itu, Bendahari DPP Padang Besar sesi lalu, Shuhairi Shamsuddin pula dipilih sebagai Naib Ketua.

Friday, April 10, 2009

SU politik MB Perlis letak jawatan

Petikan dari Malaysiakini

Setiausaha politik menteri besar Perlis, Ameir Hassan telah meletak jawatan berkuatkuasa 30 Mac lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ameir berkata, beliau menghantar surat peletakan jawatan itu pada 27 Februari lalu.

Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan berbuat demikian kerana tidak puas hati dengan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Mohd Isa Sabu.Sebaliknya, kata Ameir, beliau meletak jawatan kerana ingin kembali aktif dalam bidang guaman.

"Umno Perlis berada dalam keadaan mantap, bersatu dan tiada sebarang perpecahan," katanya.Ameir juga menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau merupakan penyokong bekas menteri besar, Datuk Shahidan Kassim.

"Sebaliknya, saya ingin bertanding mencabar beliau bagi jawatan ketua Umno Arau tetapi malangnya saya tidak cukup kuota," katanya.

Lagi pula, katanya, kalau hendak menyokong Shahidan, sepatutnya ketika beliau menjadi menteri besar kerana banyak faedahnya.

Bagaimanapun, ketua penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh mendakwa Ameir meletakkan jawatan kerana tidak puas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau mendakwa, Ameir juga berbuat demikian kerana tidak puas hati dengan pucuk pimpinan Umno Perlis.

"Ameir pernah menyatakan beliau tidak puas hati dengan beberapa pemimpin Umno termasuk menteri besar," dakwa Hashim.

Bagaimanapun, Ameir ketika diminta mengulas dakwaan Hashim itu berkata, sesiapa sahaja berhak membuat spekulasi."Saya tidak dapat menutup mulut mereka," katanya.

Komen Peghelih La... : -
1. Umno memang macam tu..
2. MB Perlis bila nak letak jawatan? Ada orang dok tunggu dah....lagi baik bubar DUN
3. Nak kembali aktif dalam bidang guaman? Market Perlis ni kecik... tak tau kot dah lobi projek besar.... (macam tak menasabah jer alasan...)
4. Lantaklah...hangpa memang macam tu Umno oiii...

Wednesday, April 08, 2009

Siapa dia?

Hari tu Tun Dr Mahathir pun masuk le semula ke parti Umno more....
Lepas tu dia pun turun la berkempen di pilihanraya kecil Dun Bukit Selambau...
Masa dia masuk ke dewan tu.... Aikkk macam kenal kawan yang pakai songkok tu...
Bersusah-payah dia mengawal orang ramai yang berasak-asak supaya laluan Tun Dr M ke pentas tidak terganggu....macam bodyguard le pulak...Siap berpeluh-peluh...
Ada apa-apa ka?

Nak tahu siapa???? Shahidan Kassim la...siapa lagi.....

Friday, March 27, 2009

Tiada wakil Perlis dalam MT Umno....

Tiga orang calon MT Umno dari Perlis
Tiga orang Dato' / Dato' Seri.....
Tiga orang Ketua Bahagian
Seorang MB
Seorang bekas MB
Seorang bekas Exco
Semua tak menang..... Tahniah...
Lepas ni pakat pi lobi kat Najib nak jadi Pengerusi Perhubungan pulak...
Tak pun lobi nak jadi MB...
Tak pun doa-doalah kot2 dapat jadi Ahli MT (tambahan) yang dilantik...S/U Agung , Bendahari, Ketua Penerangan...Pengerusi Lembaga Disiplin...(kalau hangpa tak bubar la)
Atau lobi nak jadi Senator..kot boleh masuk kabinet... Apa2 jer la...

Thursday, March 26, 2009

KULIAH MAGHRIB BULANAN

Disampaikan oleh:

DATO' DR HARON DIN
(Timbalan Mursyidul Am PAS)

PADA HARI SABTU
28 MAC 2009
Di Balai Islam MADI, Jejawi Dalam, Perlis
Jam 7.30 malam

Muslimin dan Muslimat Dijemput Hadir


Selamat berjuang di Bukit Selambau

Dewan Pemuda PAS Perlis mengucapkan selamat berjuang kepada petugas PAS Perlis di Pilihanraya Kecil Dun N.25 Bukit Selambau.

Para petugas kini sudah berada di tiga UPU yang diamanahkan untuk PAS Kawasan-kawasan dari Perlis .

PAS Kawasan Padang Besar ditempatkan di Taman Ria Utara, Kangar di Pekan Bukit Selambau dan Arau di Taman Bandar Baru.


Tuesday, March 24, 2009

Gantung Harakah: Umno-BN tak "gentleman" lawan pembangkang

KANGAR - Penggantungan akhbar Harakah dan Suara KeADILan selama tiga bulan jelas membuktikan kegerunan kerajaan Umno-BN gagal terhadap perkembangan penyaluran maklumat kepada rakyat melalui media alternatif.

Perkara demikian dinyatakan oleh Ahli Majlis Syura PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin yang melihat arahan penggantungan tersebut menggambarkan sikap tidak "gentleman" kerajaan Umno-BN.

"PAS Perlis melahirkan rasa kesal dengan penggantungan tersebut dan ini jelas menunjukkan bahawa mereka tidak bersifat "gentleman" dalam pertembungan dengan pembangkang dalam menangani isu-isu rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat manyifatkan penggantungan ini disebabkan pengaruh yang mendalam terhadap perubahan minda masyarakat hasil dari berita dan artikel yang disirakan kedua-dua akhbar tersebut yang boleh merugikan pihak kerjaan Umno-BN.

"Walaupun mereka ada media arus perdana seperti akhbar harian dan televisyen, namun mereka masih gagal menangkis apa yang dipaparkan melalui Harakah dan Suara KeADIlan. Jadi, mau tak mau kena gantung lah kedua-dua akhbar ni,"katanya.

Selain itu beliau juga melihat antara isu hebat yang membimbangkan pemimpin Umno-BN ialah pemaparan isu Altantuta Shaariibuu dan penglibatan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

"Isu ini sampai sekarang tidak pernah dinafikan atau ditolak dan ini amat mebimbangkan mereka khususnya dalam menghadapi tiga pilihanraya kecil (PRK) tak lama lagi.

"Bagaimanapun, saya yakin jentera pilihannraya Pakatan Rakyat mampu untuk membuat pendedahan dan menguasai sumber maklumat untuk memberikan kepada pengundi walaupun tanpa Harakah dan Suara KeADILan," jelasnya.

Mengulas lanjut, Ustaz Hashim berkeyakinan penuh bahawa tindakan penggantungan ini akan menjadikan rakyat lebih membenci kerajaan Umno-BN sehingga memberikan keputusan yang lebih baik dalam PRK khususnya di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

"Umno-BN ni lebih selesa untuk menutup segala kelemahan mereka dengan mengadakan pelbagai sekatan. Langkah seperti ini mungkin berkesan pada tahun 1970-an dan 80-an dulu, tapi tidak sekarang.

"Kini rakyat semakin sedar dan sentiasa dahagakan maklumat tepat yang mereka boleh perolehi dari media alternatif samada akhbar atau internet. Sekatan sebegini akan menjadi rakyat semakin membenci mereka dan akan diterjemahkan melalui majoriti yang lebih meningkat di Bukit Gantang dan BUkit Selambau nanti," ujarnya lagi.

Friday, March 20, 2009

Muhyiddin kata Umno Di Penghujung Jalan


KUALA LUMPUR, 20 Mac -Bernama melaporkan Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno kini sudah sampai ke penghujung jalannya dan ia mesti segera menjalani perubahan dan pembaharuan untuk mengembalikan kekuatan dan pengaruhnya seperti dulu.

Parti itu, katanya, hanya mempunyai masa empat tahun untuk berubah sebelum diadili semula oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-13, dan dalam masa yang sangat terbatas itu, semua pihak mesti komited menjayakan usaha memulihkan kembali imej parti itu termasuk sedia menerima perubahan.

"Ada orang kata Umno sudah sampai ke persimpangan jalan, saya kata Umno dah sampai ke penghujung jalan. Tempoh yang terakhir adalah empat tahun," katanya dalam satu temubual dengan Bernama di sini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang akan bertanding kerusi Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan, mengakui bahawa tugas itu bukan mudah namun barisan pimpinan Umno harus bersedia melakukannya walaupun terpaksa berdepan dengan tentangan daripada pihak tertentu.


Thursday, March 19, 2009

Hairan....Tapi Benar!!!



  • Hairan, KJ dan Ali Rustam, dua2 didapati bersalah tapi Ali Rustam takleh bertanding, KJ boleh lak

  • Hairan , kalau dlm Umno, dipanggil "politik wang" tapi kalau kat luar, depa panggil "Rasuah"

  • Hairan, kalau pesalah "politik wang" dlm Umno dianggap salah laku je tapi kalau di luar, dianggap "Rasuah" dah kesalahan Jenayah

  • Hairan, kalau pesalah "politik wang" hanya dikenakan tindakan gantung keahlian or tak layak bertanding tapi kalau di luar, kesalahan rasuah boleh kena denda 10 kali nilai rasuah atau penjara atau kedua2 sekali

  • Hairan, politik wang dgn rasuah ni nampak macam sama tapi tak sama ke?

  • Hairan ..hairan...tapi Benar.

Tuesday, March 17, 2009

Pantun Dua Kerat untuk renungan

Pantun ini disampaikan oleh penyajak, Pak Salleh Bakar di Dewan Sri Mentaloon, Alor Setar pada 15 Mac lalu...
Pantun Dua Kerat
Buah cempedak buah nangka
Buang Islam Melayu celaka

Buah betik buah nenas
Buang Islam di akhirat panas

Buah duku buah langsat
Buang Islam di akhirat bangsat

Buah rambai buah manggis
Buang Islam di akhirat menangis

Buah rambutan buah pulasan
Buang Islam di akhirat kepanasan

Buah tembikai buah nenam
Buang Islam di akhirat neraka terbenam

Buah peria buah kelapa
Buang Islam di akhirat papa

Buah petai buah ubi
Buang Islam di akhirat rugi


HMS Abu Bakar
8 Ramadan 1428 Hijrah
(20-9-2007)
Taman Meru, Ipoh

Monday, March 16, 2009

Samad Said cabar pemimpin Umno berbahasa Inggeris dalam kempen pilihan raya kecil

Petikan Harakahdaily

ALOR SETAR, 16 Mac (Hrkh) - Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said mencabar pemimpin kerajaan Umno-BN untuk turun berkempen dalam pilihan raya kecil yang akan berlangsung tidak lama lagi dengan bercakap dalam bahasa Inggeris.


Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad berkata, hasil daripada usaha yang dibuat oleh Gerakan Mansuh Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (GMP) baru-baru ini, tidak mustahil isu ini akan dibincangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Umno, yang dijadual akhir Mac ini.

"Dan dalam perhimpunan itu, oleh kerana pemimpin Umno terlalu mengagungkan bahasa Inggeris, adalah lebih baik mereka, dari peringkat atas hingga ke bawah, berbincang dalam bahasa Inggeris," tegas A Samad.

"Dan juga dalam kempen-kempen mereka pada masa akan datang juga, mereka kena gunakan bahasa Inggeris, jangan guna bahasa Melayu. Kalau nak bermesyuarat pun gunalah bahasa Inggeris kerana bahasa dan minda mereka adalah Inggeris," ujar pejuang bahasa itu lagi.

"Apakah hanya untuk mendapat undi dan kuasa, mereka guna bahasa Melayu, tetapi bila dapat kuasa mereka akan membuang bahasa Melayu. Kalau ada kempen-kempen mereka, kita perlu berani jerit kepada mereka, cakaplah bahasa Inggeris," kata A Samad ketika berucap pada program Gema Rakyat, "Isu PPSMI, Kita Pantang Berundur".

Program tersebut diadakan di Dewan Sri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, di sini, malam tadi.

Ketika memulakan ucapannya, A Samad membuat satu peringatan yang menggamatkan suasana dewan yang dipenuhi kira-kira 1,000 orang hadirin itu. "Ada satu perkara yang saya minta sebelum saya bercakap tentang nasib bahasa kita, iaitu bila ada pilihan raya, saya harap anda semua gunakanlah kuasa undi dan undilah siapa saja tapi jangan undi Umno," ujarnya, seraya mendapat tepukan gemuruh dan teriakan takbir oleh para hadirin.

Dalam ucapannya yang diselang-selikan dengan pendeklamasian puisi itu, A Samad terus membuat penegasan bahawa beliau tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak, sebaliknya hanya dimanfaatkan.

"Saya tidak ada parti tapi hanya meminjam pentas parti. Saya bukan diperalatkan tapi dimanfaatkan. Dengan itu, kita berada pada situasi menang-menang. Kalau saya diperalatkan sudah tentu saya akan menjadi mangsa," jelasnya.

Dalam pada itu, belia turut menegaskab bahawa hanya dua buah parti yang mampu menyelamatkan keadaan semasa iaitu PAS dan KeADILan.

"Dalam keadaan semasa saya melihat hanya PAS dan KeADILAN yang boleh menyelamatkan orang Melayu. Sekiranya orang Melayu merasakan teraniya, sokonglah dua parti ini," katanya lagi.

Selain itu, A Samad menjelaskan bahawa beliau akan meneruskan perjuangan untuk menyelamatkan bahasa Melayu dalam program "Kembara Kasih bahasa".

"Saya rasa terpanggil bahawasanya dalam sisa-sisa usia saya inilah untuk saya berlawan dan dengan semangat inilah saya akan menjelajah untuk memperjuangkankan bahasa saya.

"Saya bersedia kembali ke negeri Kedah ini dengan syarat anda semua bekerja untuk menumbangkan pemimpin-pemimpin yang sombong," ujarnya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

Program berkenaan dianjurkan oleh Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Kedah (Wehdah) dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Kedah.


Thursday, March 12, 2009

PAS Perlis kunjungi Dr Juanda

KANGAR - Pimpinan PAS Perlis baru-baru ini mengadakan kunjungan muhibbah ke atas Mufti Perlis yang baru dilantik, Dr Juanda Jaya di pejabatnya di sini pagi tadi.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin mengetuai rombongan yang disertai Timbalan-timbalan Pesuruhjaya, Ustaz Ahmad Ali dan Hj. Abdul Karim Md Rejab.

Turut serta Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perlis, Hisharuddin Hassan dan Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Zolkharnain Abdin.

Kunjungan tersebut yang julung-julung kali dibuat itu bertujuan untuk berkenal-kenalan di samping bertukar pandangan tentang permasalahan berkaitan agama Islam.

Dalam pertemuan hampir sejam itu, Ustaz Hashim menjelaskan bahawa PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan Islam.

"Kami berharapa untuk kita sama-sama membuat sesuatu khususnya di negeri Perlis ini. Kita di negeri ini ada fahaman As-Sunnah dan bermazhab. Harapannya, untuk kepentingan agama kita sama-sama dapat memainkan peranan tanpa membezakan fahaman mazhab mahupun politik," katanya.

Dr Juanda pula berkata beliau akan cuba membuat yang terbaik untuk kerja-kerja agama tanpa memihak kepada mana-mana kumpulan.

"Yang selalu bergaduh-gaduh ni sebabnya masing-masing jahil. Macamana kita nak definasikan As-sunnah tu? Yang pentingnya ialah cara penyampaian dan penerangan kepada masyarakat. Kita tak perlu ambil kira sangat benda-benda remeh kerana orang ramai dah mula cerdik,"ujarnya.

Secara dasarnya, pertemuan tersebut menyetujui bahawa setiap usaha yang dijalankan perlu dilihat dari kaca mata dakwah dengan tidak taksub kepada mana-mana pegangan mazhab atau parti politik.

Begitu juga, turut dipersetujui bahawa perlu adanya usaha menunjukkan kepada umum bahawa masih terdapat banyak kelemahan dalam pentadbiran agama Islam di negara ini dengan membuat beberapa perubahan terhadap kerangka yang sedia ada.

Pemuda PAS Turun Padang di Dun Sanglang

SANGLANG - Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) baru-baru ini mengadakan program "Pemuda Turun Padang" ke kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sanglang.
Program tersebut berjaya diadakan pada 8 dan 9 Mac lalu.

Antara lain objektif program ini adalah untuk mengaktifkan organisasi Pemuda PAS di peringkat akar umb, membina semangat kerja berpasukan selain mendekatkan PAS dengan masyarakat setempat. Program selama dua hari satu malam ini meyaksikan pelbagai aturcara disusun dengan melibatkan semua UPU dan cawangan di dalam Dun Sanglang serta setiap Lajnah dalam DPPPs.

Program turut melibatkan Pemuda PAS kawasan-kawasan yang hadir berkampung di Dun Sanglang (tidur di Markas MTD di Kampung Rama).

Program yang diadakan:

1.Kuliah maghrib diadakan di UPU Sungai Padang.
2.Ceramah oleh Exco Kedah, Dr Ismail Salleh, Adun Simpang Empat, Rus'sele Eizan dan Ketua DPPPs, Ustaz Ya'akub Abu Seman di UPU Bunga Mas.
3.Qiyamullail dan diikuti dengan kuliah subuh di UPU Bongor Kudung.
4.Unit Amal gotong-royong membersihkan perkuburan Tok Ko'Bah di UPU Tok Pulau.

5.Program Motivasi Remaja di UPU Simpang Sanglang.
6.Sukaneka Pasti di UPU Sunggai Padang

7.Pertandingan wau di Kampung Jawi Seratus dalam UPU Bunga Mas.
8. Kenduri rakyat di UPU Bongor Kudong. Dua ekor lembu ditumbangkan.
9.Kaunter Jom Sertai PAS


Taklimat program oleh Ketua DPP Arau, Zulmi Sabri

Ceramah di Bunga Mas

Ustaz Ya''akub dan Zulmi memasang khemah untuk kenduri rakyat

Sukaneka Pasti di Markas Sungai Padang

Penyampaian hadiah sukaneka Pasti

Program Motivasi Remaja di Dewan Orang Ramai, Simpang Sanglang

Beramal Kerana Allah!! Unit Amal membersihkan kawasan perkuburan

Kenduri rakyat

Kaunter Jom Sertai PAS

Pertandingan Wau....


Wednesday, March 11, 2009

MB Perlis jadi sasaran musuh politiknya

Dipetik dari Malaysiakini

Walaupun sudah setahun menerajui pentadbiran kerajaan Perlis, menteri besarnya, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu terus menerus menjadi sasaran musuh politiknya.

Terbaru, beliau difitnah melalui satu sebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya beliau telah diarahkan oleh pihak istana supaya bercuti panjang.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, setiausaha politiknya, Amier Hassan, berkata fitnah tersebut disebarkan oleh "mereka yang kecewa dan merasakan mereka tersisih".

"Sebenarnya pentadbiran menteri besar sekarang tidak menyisihkan sesiapapun," kata beliau yang juga seorang peguam.

Bagaimanapun, katanya, masih ada pihak yang tidak berniat baik terhadap menteri besar sekarang.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya mengenai mereka yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah tersebut.

"Kita tidak boleh menuduh sesiapa dalam soal ini.

"Perbezaan pendapat dan perbezaan dasar adalah satu perkara yang boleh menjejaskan kestabilan parti jika tidak ditangani dengan teliti," tambahnya.

Cuba kaitkan istana

Amier mengulas lapoaran media mengenai penyebaran SMS yang cuba mengaitkan nama Raja Perlis yang kononnya baginda telah mengarahkan Md Isa bercuti panjang mulai 1 Mac lalu.

Beliau yang turut SMS fitnah tersebut awal bulan ini, menyifatkan perbuatan itu sebagai satu fitnah dan pendustaan.

Bagaimanapun, beliau kurang pasti sejak bila SMS itu mula tersebar berhubung isu tersebut.

"Kita juga tidak faham mengapa perkara sebegini harus timbul, walhal pentadbiran menteri besar berjalan lancar.

"Saya tidak nampak apa-apa kekurangan yang wujud (pada pentadbiran Md Isa) setakat ini," kata Amier.

Beliau berkata, Md Isa yang juga ketua Umno bahagian Kangar, meneruskan tugas-tugas beliau seperti biasa.

Menurut Amier, Raja Perlis memberi kepercayaan kepada wakil rakyat Bintong itu untuk mentadbir negeri itu.

"Tuanku tidak pernah campur tangan dalam urusan politik," katanya sambil menegaskan bahawa sokongan rakyat Perlis kepada Md Isa semakin bertambah.

Thursday, March 05, 2009

Pemuda PAS Turun Padang

Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis akan mengadakan program "Pemuda Turun Padang" di DUN Sanglang pada 8 dan 9 Mac ini.

Pelbagai program akan dijalankan sepanjang dua hari. Antaranya ialah sukan bolasepak 5 sebelah, pertandingan wau, motivasi pelajar, Ceramah, khidmat masyarakat, kuliah maghrib, qiyamullail dan kenduri rakyat.

Program ini dijalankan di setiap Unit Peti Undi (UPU) di dalam Dun Sanglang.

Sebarang maklumat lanjut hubungi 019-4574652 / 019-4546670 / 012-5932325 /012-5896676


Umno/BN sudah lama memalukan negara

KANGAR - Dewan Pemuda PAS Perlis menegaskan imej Malaysia di mata dunia sudah lama tercalar dan ditertawakan akibat perbuatan pimpinan Umno/Barisan Nasional(BN) dan bukan hanya kerana peristiwa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang diadakan di bawah pokok.

Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman menyelar kenyataan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar yang menyatakan persidangan DUN Perak semalam sebagai suatu yang amat memalukan dan mencalar imej negara di mata dunia.

"Pemimpin Umno/BN sendiri selama ini pun telah banyak menjadikan negara kita sebagai "laughing stock". Berpunca dari tindakan yang mereka sendiri lakukan imej negara ini tercalar dan memalukan.

"Ambil contoh terbaru di Perak sendiri, apabila mereka merampas kuasa kerajaan Pakatan Rakyat secara tidak beretika. Tidakkah mereka sedar perbuatan tersebut turut mencalar imej negara, apatah lagi imej BN sendiri," ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan pemimpin Umno/BN sebagai hipokrit kerana membuat kenyataan sedemikian selepas kemelut politik yang berlaku di Perak tersebut yang berpunca dari tindakan angkuh mereka sendiri.

"Mereka yang membuat onar, mereka sendiri yang cuba nak menjadi juara. Menteri Pelancongan, Dato' Seri Azalina Othman Said kata perbuatan tersebut tak bertamadun, tapi bertamadunkah pimpinan negara yang menyekat hak rakyat?

"Selama ini juga, mereka sendiri yang berselindung di sebalik undang-undang rimba seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, kebebasan bersuara dan kebebasan rakyat untuk berhimpun. Adakah itu bertamadun?

"Pemimpin Umno/BN yang menerajui negara ini sudah lama mencemarkan imej negara apabila disabitkan dengan salah-guna kuasa dan rasuah, memperkudakan sistem perundangan sehingga orang luar tidak percaya lagi dengan sistem kehakiman di negara ini. Itu baru sebahagian, banyak lagi tindakan mereka yang telah memalukan negara," katanya lagi.

Justeru beliau meminta pemimpin Umno/BN agar mencermin diri masing-masing dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.

"Mereka sering menyatakan pemimpin Pakatan rakyat tak faham undang-undang sedangkan sebaliknya mereka sendiri yang telah mencabul undang-undang.Tidakkan mereka juga sedar bahawa golongan cerdik pandai, pakar undang-undang dan pemerhati politik juga sering tidak sehaluan dengan mereka bila memberikan pandangan.

"Mereka sepatutnya cermin diri dulu apa yang telah mereka buat. Hasil tindakan Umno/BN, dunia melihat demokrasi dan keadilan di Malaysia semakin terhakis," ujarnya.


Bekas Menteri Akui Wujud Kecelaruan Dalam PPSMI

Petikan Bernama
KANGAR, 5 Mac (Bernama) -- Bekas Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad mengakui wujud kecelaruan dalam pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) walaupun tujuan pelaksanaannya adalah baik.

Menurutnya PPSMI bertujuan meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia tetapi sepanjang enam tahun pelaksanaannya ia dilihat seperti tidak mencapai sasarannya disebabkan kecelaruan itu.

"Masalah itu hanya dapat diatasi jika para pendidik meningkat dan menggalakkan tahap penguasaan bahasa Inggeris dengan kemudahan-kemudahan sokongan yang disediakan termasuk bahan pengajaran dan pembelajaran," katanya selepas menyampaikan syarahan tokoh kebangsaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini Khamis.

Menurutnya Kementerian Pelajaran termasuk para pendidik serta pelajar perlu bertindak segera untuk menangani kelemahan yang ada sekiranya ingin merealisasikan PPSMI.

"Galakkan penggunaan bahasa Inggeris dalam kehidupan harian kerana ia penting bagi meningkat kefahaman dalam bahasa itu," kata Musa yang juga bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Katanya, identiti bangsa Melayu tidak akan berubah sekiranya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar," katanya.

Sebelum itu, beliau yang menyampaikan syarahan bertajuk "Isu-isu Dalam Pendidikan Tinggi Semasa di Malaysia - Sejarah dan Hala Tuju" berkata proses pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar memang berkesan tetapi setiap rujukan atau jurnal harus diterjemahkan segera ke dalam bahasa penghantar itu.

"Setiap rujukan dan jurnal adalah di dalam bahasa Inggeris dan sekiranya bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar dapat disokong dengan bahan-bahan dalam bahasa penghantar itu sendiri ia tidak akan menimbulkan masalah untuk para pendidik dan pelajar mendapatkan rujukan segera. Tetapi kini kebanyakan jurnal adalah dalam bahasa Inggeris," katanya.

Selain itu, Musa berkata, Kementerian Pelajaran perlu mengkaji semula kedudukan pencapaian pelajar di bandar dan di luar bandar kerana wujud perbezaan antara taraf pendidikan di bandar dan luar bandar menyebabkan pelaksanan PPSMI tidak mencapai sasarannya.

"Kita tidak boleh bezakan antara pendidikan di bandar dan luar bandar kerana tahap pendidikannya berbeza tetapi kita mampu mencari pendekatan yang terbaik untuk meningkatkan tahap pendidikannya," katanya.

-- BERNAMA

Hujah siapa yang nak dipakai??

Bila Adun Pakatan Rakyat Perak mengadakan sdiang DUN di bawah pokok, pelbagai reaksi ditimbulkan.

Di pihak Umno-BN, berikut komen pimpinan mereka:





Di pihak yang lain, apa pula kata mereka?




“Jika di atas pokok pun ia sah” (Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, Ahli Akademik)


Habis, mana satu yang nak dipakai ni? Fikir sendirilah..... Majlis Peguam tidak dianggotai mereka yang bangang... Ku Li adalah ahli politik yang cukup matang dan disegani.... Dr Agus dan Dr Aziz bukannya calang orang....

Adakah pemimpin Umno-BN nak terima pendapat mereka? Umno memang payah anak terima pandangan cerdik-pandai ni.... Lihat saja apa dah jadi dengan PPSMI. Dulu golongan cendiakawan, ahli bahasa dan lain-lain dah bantah... Buat juga....... (Tunggu saja Sabtu ni...kita pakat-pakat pi protes PPSMI).... Perak pula? Tunggulah hukuman dari rakyat @ pengundi......


Monday, March 02, 2009

XPDC bermotosikal Pemuda PAS Dun Sanglang

Diadakan pada hari Sabtu, 28 Februari . Berlepas dari markas MTD Sanglang di Kg Rama menuju ke markas PAS Kawasan Kuala Kedah di Kubang Rotan.
Kemudian bertolak ke Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU) di Tandop.
Singgah di Alor Setar dalam perjalanan pulang.
Ustaz Hashim menyampaikan amanat kepada peserta XPDC

Ustaz Hahim menyampaikan jaket kepada AJK Pemuda Dun

Bersemangat sebelum bertolak

Penunggangan berhemah

Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustaffa menyampikan ucapan kepada peserta XPDC

Bertukar-tukar cenderahati

Bergambar beramai-ramai

Mendengar tazkirah oleh Ustaz Mokhtar di SDIDU

Makan di Radix Fried Chicken









Terkini dari Perak : Pulak dah... lagi pening!!!???

Dalam tindakan mengejut untuk menggagalkan sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dirancang esok, kompleks pentadbiran negeri yang menempatkan dewan itu akan ditutup esok.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh bahagian khidmat pengurusan, Bangunan Perak Darul Ridzuan di Jalan Bukit Gantang Wahab akan ditutup. 

Kakitangan yang menetapkan temujanji di bangunan tersebut esok diarah membatalkannya. 

Notis tanpa tandatangan itu dari pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK)  menggunakan logo rasmi kerajaan negeri.

Teruskan membaca di sini >>>

Nik Aziz: Pemilihan PAS guna kaedah Syura

Petikan BERNAMA
KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, parti itu bercadang menggunakan kaedah syura bagi pemilihan jawatan dalam parti itu pada Muktamar Tahunan Ke-55 Jun ini.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, ini kerana PAS seboleh-bolehnya mahu mengurangkan sebarang perselisihan dalam parti itu, termasuk dalam soal pemilihan pemimpin.

Kaedah syura iaitu perbincangan bagi mencapai persetujuan bersama, berkemungkinan besar digunakan dalam pemilihan muktamar tahunan parti itu yang dijangka diadakan pada Jun ini.

"Seboleh-bolehnya kita tak mahu ada perselisihan, nak lari daripada berselisih pun tak boleh kerana manusia ni tak sama, tapi kalau cara syura boleh (kurangkan perselisihan), tak apalah, asalkan syura tu tak bercanggah dengan asas bermesyuarat," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Pelantikan Pengarah-pengarah Syarikat Dalam Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) Tahun 2009 di sini, hari ini.

Nik Aziz berkata, beliau berharap muktamar tahun ini akan dapat diadakan di salah sebuah negeri di mana Pas baru bertapak.