Apa khabar Malaysia? Semoga kita semua terus maju dan berpadu dalam memacu negara ini ke arah masa depan yang lebih cemerlang.
PRU-13: Overview
PRU-13 semakin hampir.Gendang sudah dipalu.Strategi sudah diatur.Semangat dan motivasi sudah mula dipupuk. Setiap pihak, sama ada BN ataupun PR, semakin rancak dan bersemangat merencana gerak kerja awal bagi menghadapi perlawanan genting itu nanti. Masing-masing sudah memasang target dan matlamat tersendiri, BN pasti ingin mempertahankan kemanangan dan PR pula pasti berusaha mencipta sejarah menerajui kepimpinan negara buat julung kalinya. Itulah matlamat mereka, yang pasti akan dilaksanakan oleh jentera masing-masing.
PRU-13 dikatakan bakal berlangsung dengan penuh sengit dan hangat. Banyak analisa awal yang telah dibuat oleh para penganalisis politik berkenaan gambaran awal dan juga kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku pada PRU-13 nanti. Apa yang pasti, PRU-13 bakal menjadi satu pilihanraya yang akan menentukan status kedudukan parti-parti yang bertanding, samada ia masih mendapat sokongan dan kepercayaan daripada rakyat ataupun sebaliknya. Jika keputusan PRU-12 dahulu dikatakan satu sejarah baru dalam arena politik negara, penulis merasakan tidak mustahil akan tercipta satu lagi sejarah baru pada PRU-13 nanti.
Dengan pelbagai peristiwa yang mewarnai pasca PRU-12 yang lepas sehinggalah ke saat ini, pasti satu lagi anjakan baru akan berlaku pada PRU-13 ini. Kedua-dua pihak, BN mahupun PR diselubungi dengan pelbagai isu dan krisis yang sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada graf dan corak undian kelak. Pasti semua itu akan dinilai dan diperhalusi oleh para pengundi dalam menentukan calon mahupun parti yang akan menjadi pilihan mereka nanti.
PRU-13 dan anak muda
Dalam setiap pilihanraya, pengundi adalah elemen yang paling penting dalam menentukan keberjayaan sesuatu pilhanraya itu. Ya, merekalah yang bakal memberikan kepada setiap calon yang bertanding tanda "X" sebagai tanda sokongan dan persetujuan mereka kepada calon tersebut untuk menjadi wakil kepada mereka di dewan negeri mahupun di dewan rakyat nanti. Sudah pasti, para pengundi ini akan dipancing oleh pihak yang bertanding dengan pelbagai 'umpan' untuk memilih mereka.
Pilihanraya kali ini bakal menyaksikan ANAK MUDA menjadi sasaran utama parti-parti yang bertanding. Jika dilihat pada PRU-12 yang lepas, ANAK MUDA sebenarnya sudah memainkan peranan yang besar dalam melakar sejarah pada pilihanraya itu. Ini kerana, antara faktor kemenangan PR pada ketika itu ialah kemampuan mereka menguasai undi daripada anak muda. Namun pada kali ini, semua parti sudah mula sedar akan nilai undi seorang anak muda dalam memastikan kemenangan calon mereka.
Jika dirujuk kepada angka terbaru pengundi muda yang didaftarkan oleh parti-parti politik, ia dengan jelas menunjukkan bahawa semua pihak memandang serius akan undi daripada golongan muda. Ini jelas lagi dibuktikan dengan isu sampingan seperti isu kebenaran mahasiswa berpolitik dan juga isu calon muda yang pasti ada perkaitannya dengan anak muda. PAS telah melancarkan kempen 'Orang Muda Geng Kito', manakala BN pula dengan tema 'BN Pilihan Orang Muda' dalam usaha memikat hati orang muda untuk mengundi mereka. Parti lain juga dilihat tidak ketinggalan dalam mendampingi golongan ini dengan pelbagai program yang disasarkan kepada anak muda telah dijalankan.
YA, anak muda bakal menjadi PERMATA dan EMAS dalam PRU-13 nanti.Seharusnya, peluang ini perlu dipergunakan dengan sebijaknya oleh para pengundi muda dalam menentukan hala tuju pemerintahan negara untuk tempoh sekurang-kurangnya 4-5 tahun yang mendatang. Untuk itu, anak muda perlulah bersedia dari segenap sudut kerana sudah pasti mereka akan dihidangkan dengan pelbagai janji mahupun tawaran oleh kedua-dua pihak dalam usaha mendapatkan undi muda. Justeru, penulis ingin berkongsikan beberapa TUNJANG yang seharusnya menjadi asas kepada anak muda dalam menentukan aliran undi mereka nanti.
BACA LAGI >>>
No comments:
Post a Comment