Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Tuesday, December 15, 2009

Bajet Perlis 2010: Defisit meningkat lagi

KANGAR - Bajet 2010 bagi Negeri Perlis yang dibentangkan pagi tadi oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Md Isa Sabu mempunyai defisit sebanyak RM 75.6 juta.

Keseluruhan bajet yang dicadangkan ialah sebanyak RM198.41 juta, iaitu kenaikan sebanyak 0.7 peratus berbanding tahun 2009.

Perbelanjaan mengurus dianggarkan sebanyak RM142.7 juta manakala perbelanjaan pembangunan sebanyak RM55.71 juta.

Hasil yang dianggarkan bagi negeri Perlis pada tahun 2010 ialah sebanyak RM67.1 juta yang merangkumi Hasil Cukai sebanyak RM11.41 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM29.6 dan terimaan bukan hasil sebanyak RM26.1 juta.

Defisit sebanyak RM75.6 juta itu adalah lebih tinggi berbanding tahun lalu sebanyak RM70 juta.

Mengulas tentang bajet tersebut, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin (PAS-Sanglang) melihat tiadanya elemen pembinaan insan yang disentuh oleh Md Isa semasa pembentangan.

Katanya, bajet tersebut seolah-olah memberikan penumpuan sepenuhnya kepada pembangunan ekonomi sedangkan pembangunan yang sebenarnya perlu menekankan kedua-dua aspek rohani dan jasmani.

"Tiga strategi yang disebutkan dalam pembentangan bajet mungkin sesuai dengan tumpuan yang kerajaan negeri mahukan, tapi alangkah lebih baik sekiranya diletakkan satu lagi strategi untuk pembangunan insan di negeri ini sesuai dengan matlamat meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Begitu juga, sudut pendidikan juga tidak disentuh sedangkan kerajaan negeri mempromosikan negeri Perlis sebagai negeri ilmu," katanya.

Sementara itu, Rus'sele Eizan (PAS-Simpang Empat) pula mahu kerajaan negeri melihat secara lebih serius peningkatan defisit dalam bajet yang dibentangkan.

"Walaupun defisitnya hanya meningkat sekitar RM5 juta, tetapi sebagai sebuah negeri yang kecil dan sumber hasil yang sedikit, perkara ini perlu dipandang serius.

"Dalam bajet kali ini tiada cadangan untuk kerajaan negeri berusaha mencari sumber-sumber baru untuk mempertingkatkan hasil. Sebagai contoh melalui pelaburan luar atau sumbangan dari GLC dan sebagainya tanpa perlu bergantung kepada bantuan kerajaan pusat semata-mata.

"Kerajaan negeri juga perlu mengkaji balik mana-mana projek khususnya dalam bidang pertanian yang tidak memberikan pulangan malah menelan kos yang banyak," ujarnya ketika ditemui selepas pembentangan bajet.

1 comment:

tuan director said...

jika pas perlis memperjuangkan al Quran dan Sunnah, saya pasti sokong. Perlis unik