Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Thursday, August 27, 2009

MEMORANDUM MEMBANTAH CERAMAH YANG MENGELIRUKAN DAN BERBAUR HASUTAN OLEH USTAZ MOHD ASRI BIN SOBRI

Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis (DPPNPs) secara rasmi membantah dan mengecam tindakan Ustaz Mohd Asri Bin Sobri yang mengeluarkan kenyataan yang di anggap mengelirukan dan dan berbaur hasutan ketika menyampaikan kuliah maghrib di Masjid Alwi Kangar pada hari Isnin bersamaan 17 Ogos 2009.


Pendedahan di buat hasil daripada ketidakpuasan hati ahli qariah Masjid Alwi yang hadir pada malam tersebut. Ustaz tersebut begitu berani mengeluarkan kata-kata keras sehingga mengelirukan dan menghina agama Islam yang suci. Antara kata-kata yang di keluarkan adalah :


1. Solat hajat perdana yang dianjurkan, tidak di suruh dan dilakukan oleh Rasulullah SAW. Maka amalan tersebut sama seperti orang yang berpesta dangdut di kelab malam.

2. Amalan bertahlil dalam masjid adalah bida’ah dan maksiat. Dosanya lebih besar daripada dosa berzina di dalam masjid.

3. Mengecam golongan Islam Iran sehingga menganggap Yahudi lebih baik daripada golongan Islam Iran


DPPNPs merasakan bahawa kenyataan yang di keluarkan oleh ustaz tersebut adalah satu perbuatan yang salah di sisi agama Islam dan budaya masyarakat Islam di Malaysia khususnya di Perlis. Kata-kata tersebut menyebabkan masyarakat Islam begitu marah. Hasil daripada tinjauan wakil DPPNPs yang pergi ke Masjid Alwi untuk mendapatkan ulasan balas daripada AJK Masjid dan ahli qariah, mereka sangat marah dan kecewa dengan tindakan tersebut. Selain itu, mereka begitu terkejut dengan tindakan ustaz terbabit yang tidak menghormati dan menjaga kesucian agama Islam sehingga sanggup menghukum amalan bertahlil dan solat hajat perdana sebegitu rupa.


DPPNPs melihat kejadian ini adalah natijah daripada membincangkan perkara-perkara “furuk” secara keterlaluan sehingga terlupa pada adab dan etika dalam membincangkannya. DPPNPs begitu risau dengan fenomena ini yang mana pada pendirian DPPNPs perkara ini lebih mendorong kepada berlakunya perpecahan di kalangan umat Islam dan bukannya penyatuan dan pemurnian agama Islam seperti yang di gembar-gemburkan.


Ulama terdahulu telah menetapkan kaedah dalam membincangkan perkara furuk agar tidak menjadi fitnah kepada agama Islam itu sendiri. Perbuatan menghukum secara keras amalan-amalan yang ada sandaran Al Quran, Hadis hanya akan menyebabkan berlakunya kekeliruan di kalangan umat Islam.


DPPNPs berpandangan bahawa terdapat perkara lain yang sewajarnya di berikan perhatian iaitu masalah gejala sosial di kalangan remaja yang kian membimbangkan. Melihat kepada situasi yang ada pada hari ini, ramai di kalangan umat Islam khususnya orang Melayu terlibat dalam gejala-yang tidak bermoral. Mengikut statistik Bahagian Hal Ehwal Awam, Bukit Aman, ada terdapat 265 gadis bawah umur lari mengikut kekasih. Sementara itu, dalam tempoh 20 tahun sehingga 1999, jumlah penagih dadah menjangkau sebanyak 240,000. Kes juvana pula semakin membimbangkan. Dalam tempoh 10 tahun antara 1989 hingga 1998, kadar jenayah yang membabitkan remaja lelaki meningkat sebanyak 35 peratus, manakala remaja perempuan meningkat sebanyak 25 peratus.


Lebih dari 60 peratus remaja atau belia yang terlibat dalam gejala tidak bermoral adalah dari anak bangsa Melayu yang mana pada masa ini anak muda Melayu masih berjaya memegang rekod peningkatan gejala sosial yang tertinggi sejak 50 tahun yang lalu. Sebut apa sahaja kesnya, bunuh, dadah, bohsia, mat rempit, zina, buang anak, mencuri, bergaduh dan sebagainya, anak muda Melayulah yang menjuarainya.
Justeru, DPPNPs berperdirian bahawa masalah gejala sosial inilah yang sepatutnya di beri perhatian sewajarnya. Masalah ini mestilah di cegah kerana golongan remaja adalah aset masa depan negara. Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Barang siapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangan (kuasa), jika ia tidak mampu hendaklah di ubah dengan lidahnya (lisannya), jika ia tidak mampu hendaklah ia mengubah dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman .”


DPPNPs menggesa kepada badan-badan berkaitan terutama Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs), Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) dan Jabatan Mufti serta Exco Agama Kerajaan Negeri Perlis mengambil tindakan yang sewajarnya kepada ustaz berkenaan agar kejadian seumpama ini tidak berulang lagi di masa hadapan.


Sesungguhnya DPPNPs akan terus konsisten menentang segala tindakan yang boleh mengelirukan kefahaman umat Islam khususnya di negeri Perlis. Kami juga akan terus konsisten melaksanakan amar maaruf nahi mungkar dan sanggup bekerjasama dengan semua pihak dalam menjaga dan menyelesaikan kepentingan umat Islam dan ummah sehingga Islam tertegak di atas muka bumi ini.


Sekian, terima kasih.
Ustaz Ya’akub Abu Seman
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis

No comments: