Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, January 19, 2007

Kalaulah ahli Umno faham 9 Amanat Berjihad Ahmad Badawi.....

Oleh Basri Hussain
Para kepimpinan dan ahli Umno perlu menghayati kembali pesanan bekas pemimpin mereka, Dato' Ahmad Badawi Abdullah Fahim seperti yang disiarkan di ruangan rencana Berita Harian baru-baru ini.

Dalam ruangan tersebut, penulisnya menggariskan sembilan Amanat Berjihad Ahmad Badawi serta petikan ucapannya suatu masa dahulu.

Beliau yang juga ayahanda kepada Perdana Menteri Malaysia sekarang berpesan agar berjuang dengan ikhlas dan kerana Allah.

Perkara inilah yang perlu diberikan keutamaan dalam perjuangan, bukannya untuk mengharapkan habuan dunia sama ada kuasa, pangkat atau wang ringgit.

Keduanya, setiap pemipin perlu berani, berdisiplin, mematuhi pemimpin dan tidak menikam kawan dari belakang.
Jika kita lihat dalam Umno sekarang, berani itu mungkin tidak menjadi masalah tetapi dalam bab berdisiplin mungkin boleh dipertikaikan.

Bukan sedikit pemimpin Umno yang dikenakan tindakan oleh jawatankuasa disiplin parti mereka kerana pelbagai salahlaku, rasuah politik dan sebagainya.

Dalam mematuhi pemimpin pula, ahli Umno cukup hebat. Malah ada pula yang patuh membuta tuli tanpa melihat bagaimana rupa dan tingkahlaku pemimpin tersebut.

Walau jelas pemimpin tidak berakhlak, terlibat dengan penyelewengan dan rasuah tetapi mereka masih diangkat dan disanjung malah ditaati.

Begitu juga, bila Ahmad Badawi menyarankan agar tidak menikam kawan dari belakang, dalam perebutan kuasa dan jawatan pelbagai helah digunakan. Dalam Umno sampai membunuh pun ada!

Berikutnya, Ahmad Badawi berpesan agar tidak menggunakan landasan politik untuk mencari wang dan kekayaan serta jangan menggunakan wang untuk mendapat tempat dalam parti politik.

Sudah ternyata dalam Umno amalan rasuah politik berleluasa dan kuasa politik digunakan untuk mencari kekayaan.

Cuba kita senaraikan pemimpin Umno dari Ketua Bahagian sehinggalah ke Perdana Menteri, cuba tunjuk seorang yang susah hidupnya atau hidup dalam penuh kesederhanaan.

"Islam melarang perbuatan rasuah di kalangan pemerintah dan rakyat, kerana perbuaan rasuah itu sama jahatnya dengan merompak dan menyamun," demikian petikan ucapan Ahmad Badawi suatu ketika dahulu.

Rata-rata mereka berkereta mewah, rumah besar sedangkan rakyat biasa ramai yang masih hidup pada tahap yang amat menyedihkan dan menanggung bebanan hidup yang semakin hari semakin meruncing.

Dalam apa keadaan sekalipun, setiap perjuangan jangan meninggalkan sembahyang fardu, demikian pesan beliau yang seterusnya.

Tentu kita masih ingat seorang pemimpin tertinggi Umno yang pernah membentangkan belanjawan negara sehingga melampaui waktu solat asar.

Rencana tersebut turut memetik kata-kata Ahmad Badawi yang berbunyi, "Kalau orang Melayu mengetepikan Islam selepas merdeka, maka mereka yang berjuang politik tidak akan ke mana, hanya menjadi alat bagi kepentingan orang lain.

Mari kita lihat bagaimana status Islam dan syariatnya di negara kita pada masa ini. Bagaimanakah perlaksanaan Islam? Di mana duduknya Al-Quran dan As-sunnah dalam pemerintahan negara? Malah kemurnian Islam kini cuba digugat oleh pelbagai golongan namun,
pihak pemerintah yang diterajui Umno seolah-olah membiarkannya sahaja.

Pesannya lagi, kalau menjadi pemimpin mestilah ada Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fatanah. Jika diambil satu sahaja sifat ini iaitu amanah, kita sudah dapat menyimpulkan bahawa ianya sudah tiada lagi berdasarkan hujah-hujah yang diberikan di atas, apatah lagi amanah yang dipikul untuk mendaulatkan islam serta menjadi khalifah di atas muka bumi ini.

Kalau ada perselisihan dalam harakah (parti atau organisasi), hendaklah berusaha mencari jalan damai, pesan Ahmad Badawi lagi.

Tidakkah di dalam Umno sendiri yang selalu berlaku pecah belah. Pada tahun 1987 umpamanya, Umno berpecah kepada Team A dan Team B sehingga membawa kepada pengharaman parti itu pada tahun berikutnya dan penubuhan parti Semangat 46 kemudiannya.
Tidakkah mereka tahu mencari jalan damai?

Beliau turut berpesan agar pemimpin jangan sombong dan jangan menghina rakyat.

Pemimpin Umno memang mesra rakyat khususnya wakil rakyat mereka. amun kesombongan tidak sahaja ditunjukkan melalui hubungan individu. Gaya hidup mewah dalam keadaan rakyat hidup menderita juga membuktikan kesombongan dan menghina rakyat.

Pesan terakhir Ahmad Badawi ialah jangan menukarkan politik dengan ekonomi, akibatnya kita menjadi hamba dan negara tergadai.

Sudah jelas dengan kuasa politik yang ada, pemimpin Umno serta kroni mereka telah bersekongkol untuk mengaut khazanah dari bidang ekonomi sehingga harta negara berlegar di kalangan mereka sahaja.

Rakyat terus hidup merana sedangkan pemimpin hidup mewah. Siapakah menguasai politkik negara? Siapakah yang terlibat menjual kepentingan negara kepada bangsa asing? Siapakah yang berkuasa sehinggakan tanah-tanah, rumah-rumah dan premis perniagaan banyak
di beli orang asing di Johor? Tidakah ini menggadai negara namanya.

Ahli-ahli Umno seharusnya menjadikan 9 Amanat berjihad Ahmad Badawi ini sebagai satu teks khusus untuk difahami dan dihadamkan sebelum mahu bergelut dalam perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara seperti yang mereka laung-laungkan.





PTPP tidak bermakna jika pendidikan Islam diabai - Pj Perlis

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 18 Jan - Pelan Tindakan Pembangunan Pendidikan (PTPP) 2006-2010 yang dilancarkan Perdana Menteri semalam tidak bermakna sekiranya pendidikan Islam dikesampingkan.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin berkata demikian ketika diminta mengulas tentang PTPP yang bermatlamat untuk mewujudkan pendidikan berkualiti untuk semua.

"Dalam sistem pendidikan negara, sudah terbukti beberapa kali pembaharuan yang dibuat tidak dapat memberikan kesan kepada masyarakat bila pendidikan agama tidak diberikan penumpuan, sebaliknya masyarakat terus dibelenggu dengan pelbagai masalah sosial dan keruntuhan akhlak," katanya yang ditemui Harakahdaily.

Mengulas lanjut, beliau melihat apa yang dibentangkan ini lebih berbentuk pembangunan fizikal dan banyak menyentuh aspek pengukuhan bidang pengajaran berdasarkan sains dan teknologi masa kini sedangkan aspek moral dan akhlak hanya diberikan penumpuan yang minimum.

"Sepatutnya sudah sampai masa Kementerian Pendidikan memberikan masa yang lebih dan tumpuan kepada pendidikan agama memandangkan masalah akhlak dan gejala sosial di kalangan remaja yang semakin teruk hari ini," sambungnya.

Katanya lagi, tidak guna untuk mendidik pelajar 'berfikir di luar kotak' kalau mereka tidak mampu menjaga akhlak dan moral.

"Sungguhpun ada disentuh tentang Islam Hadhari dalam asas pembangunan PTPP ini, saya tidak nampak bagaimana Islam Hadahari mampu membawa seseorang itu menjadi insan yang benar-benar bertakwa kepada Allah," katanya.

Pada beberapa kali sidang Dewan Undangan Negeri Perlis, beliau sendiri sering membangkitkan tentang penumpuan kepada pendidikan agama di peringkat sekolah.

Antaranya, Ustaz Hashim turut menyeru agar ditambah lebih banyak sekolah menengah agama berasrama penuh di dalam negara ini.
"Bagi PTPP ini saya tidak meletakkan banyak harapan. Kalau silap langkah keadaan akan menjadi lebih parah kerana tiada penumpuan khusus diberikan kepada pembangunan insan menurut landasan agama," ujarnya.

Wednesday, January 17, 2007

Tuntutan tubuh suruhanjaya bebas bukan baru - Ketua Penerangan PAS

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 12 Jan - Cadangan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman menubuhkan satu suruhanjaya bebas bagi mengkaji semula undang-undang dan peraturan pilihan raya serta penstrukturan semula SPR bukanlah perkara baru yang dituntut parti pembangkang di negara ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Awang menegaskan bahawa perkara berkaitan undang-undang dan amalan SPR sudah lama diperkatakan kerana ternyata semakin lama semakin teruk.

Katanya, rakyat di sebuah negara yang mengamalkan demokrasi perlu diberikan peluang sepenuhnya menunaikan hak untuk memilih wakil rakyat sama ada di peringkat negeri mahupun parlimen sesuai dengan pilihan mereka.

"Amalan demokrasi bukan hanya pada hari pilihan raya sahaja tetapi tetapi hak rakyat bersuara dan memilih perlu diberikan sepenuhnya mengikut kehendak dan parti pilihan mereka," katanya yang ditemui Harakahdaily selepas menyampaikan kuliah haraki di Pejabat Perhubungan PAS Perlis dekat sini baru-baru ini.

Namun katanya, amalan demokrasi dan pilihan raya sejak kebelakangan ini lebih tersekat berbanding zaman awal kemerdekaan dulu yang lebih terbuka dan banyak ruang diberikan kepada parti pembangkang.

"Umpamanya, zaman Tunku Abdul Rahman dulu, kita boleh adakan dan tiada sekatan seperti sekarang. Walaupun kita tidak menang di banyak negeri tetapi kekalahan yang dialami itu kita tidaklah dirasai kerana amalan SPR seperti yang ada sekarang," ulasnya.

Tambahnya lagi, antara yang pernah disarankan oleh pihak pembangkang ialah mencelup jari dalam dakwat kekal selepas pembuangan undi agar tiada yang mengundi lebih dari sekali.

"Perkara ini saya tidak nampak ada masalahnya. Sedangkan di India yang pengundinya ratusan juta tidak pula menimbulkan masalah," jelasnya.

Menyentuh mengenai suruhanjaya bebas yang dicadangkan oleh Abdul Rashid, Ustaz Ahmad melihat perlaksanaannya perlu mengambilkira pandangan orang ramai terlebih dahulu.

"Suruhanjaya ini perlu juga disertai wakil setiap parti politik, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan setiap pemegang jawatan mesti betul-betul boleh diterima semua pihak sebab itu nama yang bakal dicadangkan perlu pandangan orang ramai terlebih dahulu.

"Begitu juga setiap pindaan peraturan yang akan dibuat kena dengar pandangan rakyat terlebih dahulu," sambungnya.

Perkara lain yang turut mendapat perhatian Ustaz Ahmad ialah tempoh masa untuk suruhanjaya bebas ini dapat berfungsi.

"Jika SPR sendiri sudah sedar bahawa peraturannya yang berusia lebih 50 tahun dan kurang sesuai, sementara suruhanjaya ini mahu ditubuhkan maka SPR yang ada sekarang pun kena diperbetulkan segera khususnya untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-12 akan datang," serunya.

Beliau memberi contoh penggunaan media kerajaan serta jabatan kerajaan semasa pilihan raya sudah jelas membuktikan amalan yang cukup tidak adil dan mengaibkan dalam sebuah negara yang mengakui mengamalkan demokrasi.

"Di Bangladesh umpamanya apabila dibubar parlimen,kerajaan sementaranya dipegang oleh hakim. Tetapi di Malaysia selepas bubar parlimen, bekas wakil rakyat yang berjawatan Menteri, Timbalan Menteri atau Setiausaha Parlimen masih bebas mengunakan jawatan dan kuasa mereka semasa berkempen.

"Begitu juga pegawai kerajaan yang dilantik sebagai pegawai pilihan raya pun majoritinya dipilih daripada penyokong Umno yang sudah tentu banyak yang mereka boleh buat sesuatu yang tidak kena dengan peraturan," jelasnya.

Walau bagaimanapun, Ustaz Ahmad senada dengan ramai pimpinan PAS yang lain yang masih ragu dengan Abdul Rashid sendiri dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Saya juga kurang yakin dengan beliau sendiri berdasarkan pengalaman kita yang lepas. Masa jumpa dengan kita cakapnya sedap tapi apabila balik macam lain pula," katanya.

PAS Perlis tubuh PASTI Bestari

Oleh Wartawan SEDAR
KANGAR - Bagi membentuk generasi pra sekolah yang terdidik dengan asas-asas Islam yang sempurna, maka banyak Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) telah ditubuhkan di seluruh negara.

Namun bagi memnuhi tuntutan semasa, PAS Perlis telah menubuhkan sebuah Pasti yang berkonsepkan Bestari yang menawarkan kepelbagaian pengisian yang bermanfaat serta kemudahan pendidikan dan servis yang lebih sempurna kepada masyarakat.

Idea Pasti Bestari ini telah dicetuskan sendiri oleh Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin agar ada sebuah Pasti yang mempunyai pelbagai servis yang boleh menjadi alternatif kepada Tadika-tadika persendirian yang ada di negeri ini.

Katanya, selain pendidikan pra sekolah, Pasti Bestari ini juga menyediakan khidmat penjagaan (nursery) kanak-kanak bagi kakitangan kerajaan dan swasta yang bekerja sehingga ke petang.

Selain itu, Pasti yang dibuka untuk kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun imi turut menyediakan kelas bacaan Al-Quran pada waktu petang.

Orang ramai boleh memilih tiga sesi untuk menghantar anak mereka iaitu dai jamn 7.30 pagi hingga 1.00 tengahari atau 3.00 petang atau 5.00 petang dengan bayaran yuran bulanan yang berbeza.

Pasti Bestari ini terletak di sebuah banglo 5 bilik yang lengkap berhawa dingin di Taman Utama di pinggir bandar Kangar.

Pasti ini memunyai tiga orang guru dan dua orang pembantu yang bertugas sepenuh masa.

Sehingga hari ini, seramai 41 pelajar telah mendaftar ke Pasti ini, manakala seramai 18 orang pula mendaftar ke kelas Al-Quran

Menurut pengurus Pasti Fakhrul Anwar Ismail, sambutan yang diberikan pada hari pertama persekolahan adalah sangat memberangsangkan dan melebihi jangkaan awal.

"Kita berbangga dengan sambutan yang diberi. Ini memandangkan Pasti ini masih baru ditubuhkan. Ini menunjukkan masyarakat menerima konsep yang kita bawa," katanya.

Thursday, January 04, 2007

Kenaikan tol bukti kerajaan tidak tahu keutamaan rakyat

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 3 Jan (Hrkh)- Kerajaan dilihat tidak tahu memberikan keutamaan terhadap bebanan yang ditanggung oleh rakyat dan menggula-gulakan pula dengan perkara yang lain untuk meredakan kemarahan mereka.

AJK PAS Pusat, Mahfuz Omar berkata demikian ketika diminta mengulas tentang isu kenaikan tol di lima buah lebuhraya di Lembah Kelang dan penurunan kadar cukai jalan bagi kenderaan bermotor.

Katanya, kadar minimum tol di lima lebuhraya terbabit yang dinaikkan bermula 1 Januari lalu adalah 60 sen, tetapi jika pengguna membayar tol setiap hari mereka akan membayar lebih RM400.00 setahun.

"Sedangkan penurunan kadar cukai jalan minimum sebanyak RM10.00 hanya dibayar sekali dalam setahun. Jika tol naik setiap tahun, sepatutnya cukai jalan dihapuskan langsung, barulah membantu meringankan beban rakyat," katanya yang juga Timbalan Ketua Penerangan PAS Pusat.

Tambahnya lagi, walaupun Menteri Kerja Raya, Dato' Seri S. Samy Velu sering menggembar-gemburkan bahawa kadar tol di Malaysia lebih murah berbanding negara lain, namun jalan bertol di Malaysia adalah terlalu banyak.

"Di negara luar jalan bertol ada satu dua sahaja seperti di Thailand tetapi di negara kita, contohnya Di Lembah Kelang boleh dikatakan jalan bertol ada di sekeliling bandar," jelasnya.

Menurut Mahfuz lagi, beliau tidak nampak sebarang jaminan daripada kerajaan yang menyatakan bahawa untuk mendapat servis yang baik, maka rakyat perlu membayar (tol), namun soalnya apakah yang bakal terjadi selepas tamat perjanjian konsensi nanti.

"Persoalannya apa akan jadi selepas tamatnya perjanjian konsesi nanti? Apakah jaminan kerajaan bahawa jalan yang kini dikutip tol dan akan diambil kembali, perkhidmatannya akan sama selepas tidak dikenakan tol?," soalnya.

Selain kerajaan yang tidak tahu prioriti ke atas bebanan rakyat ialah rakyat sendiri yang tidak tahu menilai apa yang dibuat oleh kerajaan.

Mahfuz melihat rakyat Malaysia masih kukuh dengan semangat "hangat-hangat tahi ayam".

Apabila sesuatu masalah menimpa, kemarahan rakyat hanyalah untuk seketika dan lama-kelamaan akan reda sehingga timbul isu baru pula.

"Umpamanya isu kenikan harga minyak, rakyat marah tetapi tidak lama. Selepas kerajaan menggula-gulakan dengan satu benda baru, maka semangat yang meluap-luap tadi kembali menurun," katanya.

Mahfuz ditemui di majlis ceramah penerangan anjuran PAS kawasan Kangar di Markas PAS Cawangan Bintong Barat dekat sini malam tadi.