Bekas Timbalan Menteri Persekutuan Datuk Kalakau Untol, hari ini mengumumkan perletakan jawatan beliau dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan keanggotaan beliau dalam Barisan Nasional (BN).
Beliau mengumumkan pelepasan jawatan sebagai Pengerusi Superpanel (Sabah) Sdn Bhd, sebuah subsidiari milik penuh Lembaga Pembangunan Perumahan Bandar (LPPB) serta sebagai ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco), di dalam satu sidang akhbar di Tamparuli.
Kalakau, 55, pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Buruh pada tahun 1986 hingga 1990 dan merupakan Ketua Pemuda Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) negeri selama 12 tahun sejak 1985.
Dengan perletakan jawatan dan keanggotaan dalam BN tersebut, beliau juga mengumumkan keputusan untuk melibatkan diri dan menyokong dasar-dasar kumpulan pembangkang Pakatan Rakyat, seterusnya membantu mereka menyebarkan penjelasan ke seluruh negeri dalam usaha merakyatkan dasar Pakatan Rakyat untuk mendepani pilihanraya umum ke-13.
Kalakau menjelaskan walaupun pemimpin-pemimpin dari Sabah dari dulu sehingga sekarang telah melakukan yang terbaik untuk mempertahankan hak-hak negeri Sabah, namun pucuk pimpinan negara dan sebilangan pemimpin Persekutuan nampaknya tidak begitu serius dan komited dengan saranan dan tuntutan-tuntutan para wakil rakyat dari Sabah dan pihak kerajaan negeri Sabah sendiri. (Malaysiakini)
No comments:
Post a Comment