KANGAR- Pemuda PAS Perlis memandang serius di atas peningkatan kadar kes rogol khususnya yang membabitkan gadis bawah umur di kawasan Padang Besar .
Ini berikutan kenyataan Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros dalam sebuah akhbar baru-baru ini yang menyebut bahawa kes rogol telah meningkat sebanyak 15 peratus sepanjang tahun lalu.
Dalam kenyataannya, Che Man berkata kebanyakan kes yang dilaporkan membabitkan golongan remaja bawah umur dan kebanyakannya dikategorikan sebagai "rogol rela".
Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman melahirkan rasa kesal dan terkejut dengan peningkatan kes seperti ini apatah lagi ia lebih bersifat perlakuan seks bebas atau perzinaan.
"Kenyataan pihak polis menyebut kebanyakan kes melibatkan remaja bawah umur yang mengenali suspek, kalau dah namanya 'rogol rela' ianya bukan lagi rogol tapi perzinaan atau seks bebas.
"Kita yakin dalam kebanyakan kes, ia hanya dilaporkan apabila gadis-gadis ini sudah terlanjur. Itu yang berlapor, entah berapa banyak lagi yang tak berlapor atau berapa banyak lagi yang bakal dilaporkan," katanya.
Menurutnya lagi, kejadian sedemikian terjadi akibat kegagalan sistem pendidikan di negara ini untuk memberikan penekanan ke arah pengukuhan iman dan akhlak kepada para pelajar dan golongan remaja.
Selain itu katanya, golongan ini juga didedahkan dengan pelbagai perkara yang merosakkan pemikiran mereka yang mendorong ke arah perlakuan maksiat dan dosa.
"Hari ini penyalahgunaan teknologi seperti komputer, internet dan telefon mudah alih membolehkan reamaja berkongsi menonton gambar atau filem lucah.
"Mereka juga sering didedahkan dengan budaya hedonisme atau hiburan melampau yang turut ditaja oleh pihak kerajaan, pergaulan bebas tanpa batasan dan akhirnya terjebak ke kancah maksiat," katanya.
Ustaz Ya'akub juga melihat peranan ibu bapa juga penting dalam pembentukan peribadi anak-anak khususnya yang sedang memasuki alam remaja.
"Jiwa mereka jika tidak diisi dengan iman, akan mudahlah dipengaruhi dengan pelbagai perkara yang merosakkan. Ibu bapa tak boleh sepenuhnya menyerahkan tugas mendidik anak-anak kepada guru-guru di sekolah sebaliknya mengambil berat apa yang dilakukan anak-anak selepas waktu persekolahan.
"Pendidikan agama di luar sekolah juga perlu ditekankan. Ajar mereka menghadiri kelas pengajian agama di masjid atau surau," ujarnya.
Tambahnya, pihak berwajib perlu memperhebatkan peranan dalam memberi penekanan ke arah pembentukan iman, akhlak dan moral golongan remaja di samping mengusahakan kempen berkaitan bahaya hedonisme dan pergaulan bebas.
"Pemuda PAS Perlis bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam usaha membanteras atau membendung gejala sosial serta maksiat di negeri ini," jelasnya.
Alamat Baru Kami
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment