Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Thursday, November 19, 2009

Pemuda ditembak polis: Pemuda PAS Perlis gesa siasatan telus

ARAU - PAS Perlis memandang serius kejadian pihak polis menembak mati seorang pemuda di Guar Sanji baru-baru ini kerana ianya membabitkan imej pasukan polis yang semakin menjadi pertikaian di kalangan rakyat.
Baru-baru ini, seorang lelaki yang hanya bersenjatakan pisau pemotong sayur mati ditembak selepas dikatakan mengugut untuk membunuh seorang rakan beliau.

Dalam kejadian berhampiran pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guar Sanji, dekat sini, Mohamad Taufik Noorzan, 21, meninggal dunia selepas terkena satu das tembakan dari seorang anggota polis pada bahagian kanan dadanya.

Mengulas kejadian ini, Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman menyifatkan insiden yang berlaku itu menjejaskan imej dan profesionalisme pasukan polis di mata umum.

"Sepatutnya insiden sedemikian tidak berlaku sekiranya pasukan polis bertindak dengan lebih berhati-hati bagi memastikan keselamatan orang awam.

"Tindakan membunuh adalah jalan terakhir, apatah lagi ianya hanya membabitkan seorang yang hanya bersenjatakan pisau pemotong sayur sahaja dan dia bukanlah seorang penjenayah.

"Kita bukan nak mempersoalkan tugas polis tapi berharap agar siasatan yang telus diadakan berkaitan insiden ini," katanya.

Ustaz Ya'akub ditemui selepas menziarahi Rashidi Abdul Rahman, pemuda yang didakwa telah dipukul oleh Mohamad Taufik sebelum kejadian beliau ditembak.

Turut hadir mengiringi beliau, Exco Pemuda PAS Perlis dan Pemuda PAS Arau.
Selain itu, beliau turut menziarahi keluarga Mohamad Taufik dan bertemu dengan bapanya, Noorzan Abdul Rahim.

No comments: